Oleh Norbakti Alias
PADA mata kasar, orang melihat Umno Kedah lemah sehingga membolehkan Pas menyimpan impian besar untuk menjadikannya negeri ketiga yang ditawan selepas Kelantan dan Terengganu.
Namun, benarkah andaian itu atau ada pihak yang cuba berangan-angan Mat Jenin atau ada pihak tertentu yang sebenarnya takut dan cemburu kemampuan Umno Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.
Tanpa sebarang isu tempatan yang boleh dimainkan, Pas kini menggunakan isu nasional hasil kes berprofil tinggi seperti dakwaan ke atas bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia dan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, untuk memancing undi.
“Pas silap jika mahu gunakan kes berkenaan sebagai isu kerana hakikatnya rakyat sendiri sukakan tindakan itu,” kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Walaupun mengakui pembangkang akan tetap menggunakan isu itu, khususnya di kalangan pengundi pedalaman, Aziz percaya rakyat menyokong tindakan kerajaan dan Umno masih relevan untuk mereka.
Bagi Setiausaha Agung Pas, Nasharudin Mat Isa, kes berkenaan tidak ubah sebagai pelan kosmetik kerana biarpun didakwa sekarang, kes seperti membabitkan Chia mungkin hanya didengar selepas pilihan raya iaitu pada Ogos.
“Ini mungkin hanya wayang kerana seperti ada yang tak kena apabila perbicaraannya bermula lama lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Yan.
Nasharudin tetap menyatakan Umno Kedah lemah kerana perpecahan dalam parti itu selain ketandusan pemimpin muda, namun Syed Razak berpendapat sebaliknya.
“Umno Kedah tidak lemah tetapi nampak kerdil kerana kebanjiran orang kuat Pas yang diterajui Presidennya ketika itu, arwah Datuk Fadzil Noor.
"Selain itu, mereka mempunyai Nasharudin, Mohd Sabu dan Mahfuz Omar,” kata Syed Razak.
Bagaimanapun, katanya, pengaruh Pas kini dikatakan semakin lemah berikutan kematian Fadzil dan tampuk kepemimpinan Pas sudah diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah, difahamkan beberapa ‘orang kuat’ Pas yang bertanding di Kedah sebelum ini akan ‘dipindahkan’ terutama ke Terengganu untuk memperkukuhkan kedudukan sebagaimana ketika Allahyarham Fadzil di Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas dan Keadilan dikatakan gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan, sekali gus memberi kelebihan kepada BN khususnya Umno.
Pada masa sama, ada pergolakan dalam Pas sendiri di mana orang tempatan tidak lagi mahu orang luar bertanding di Kedah kerana menyimpan cita-cita memimpin negeri itu.
“Kita tak ada masalah dalam soal ini kerana tidak semestinya orang Kedah akan bertanding di Kedah,” kata Nasharuddin.
Konsep mesra rakyat yang digunakan Syed Razak dilihat pendekatan baik dalam menambat hati mereka yang selama ini tawar hati dengan parti atau pengundi atas pagar.
Tidak ramai yang tahu, pendekatan Syed Razak itu datangnya hasil pengalaman sendiri yang menyedarkannya betapa baginya perlu membawa imej sederhana yang mesra rakyat.
“Pernah sekali ketika saya bercuti di Pulau Pinang, saya dipanggil melawat mangsa ribut di kawasan saya (Pengkalan Kundur).
“Saya ke sana agak lewat dan mahu tidak mahu terpaksa membawa kereta Jaguar saya ke situ. Bayangkan nilai rumah (pondok) yang musnah itu kira-kira RM300 sedangkan tayar kereta saya saja RM500 sebiji. Inilah yang menyedarkan saya,” katanya.
Berbanding 1999 di mana banyak undi protes, kini suasana politik Kedah lebih aman, malah Syed Razak mengakui perpaduan ahli serta hubungan dengan pegawai perkhidmatan awam Kedah (KCS) yang lebih dihormati penduduk negeri ini, ketika ini adalah jauh lebih baik.
Namun, beliau berkata pada masa sama kelemahan biasa yang ada tetap daripada sikap segelintir ahli yang mengamalkan sikap cantas mencantas terutama dalam mencari tempat menjadi calon bagi pilihan raya akan datang atau mereka yang tidak terpilih bertindak menarik sokongan penyokong mereka.
“Soal calon banyak memainkan peranan tetapi jika semua pihak mengetepikan kepentingan peribadi, Umno negeri boleh menjadi lebih kuat,” kata Ariffin Man yang juga Ketua Pemuda Pokok Sena.
Mungkin ia secara kebetulan, namun pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) dilihat lebih kepada faktor penenang dalam menangani masalah dalaman yang mungkin timbul nanti.
Kehadirannya atau lebih tepat nasihatnya dikatakan mampu mengelakkan sebarang percakaran di kalangan pemimpin parti dalam menghadapi pilihan raya nanti.
Biarpun ada yang berpendapat, kehadiran Dr Mahathir lebih memberi banyak peluru untuk parti pembangkang menyerang kerajaan, ia tetap dilihat pendinding terbaik dalam mengekalkan kestabilan Umno Kedah sendiri.
“Kehadiran Dr Mahathir bukan sekadar menjadi penenang, tapi Umno Kedah merasakan sebagai bekas Perdana Menteri yang memimpin negara selama 22 tahun, beliau adalah aset penting kerana pengetahuan dan pengaruhnya.
“Malah, Dr Mahathir sendiri dalam mesyuarat Perhubungan Umno Negeri menyatakan hanya sudi menerima tugas itu jika tidak mendatangkan masalah,” kata Ariffin yang juga Setiausaha Kerja Umno Kedah.
Bagi Nasharudin, faktor Dr Mahathir tidak penting bagi Pas kerana beliau bukan personaliti yang menjadi sasaran, tetapi perbezaan dasar antara kedua-dua parti.
“Bagi Pas, Dr Mahathir sudah menjadi sejarah,” katanya.
Walaupun ketika ini ada desas-desus yang mengatakan Syed Razak tidak akan dikekalkan sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya umum nanti, penampilan sederhana yang ditonjolkannya mungkin satu kelebihan buatnya untuk terus menjawat tugas itu sehingga tercapai sasaran Kedah Maju 2010.
Sebelum ini, kedudukan Syed Razak dikatakan agak goyah sehingga ada orang sekelilingnya yang mula mencari dahan pautan baru, namun sejak kebelakangan ini beliau nampak agak kukuh.
Malah, orang yang sebelum ini cuba ‘lari’ daripadanya nampak sudah berpatah balik selepas menyedari kesederhanaan Syed Razak dan penerimaan rakyat kepada kepemimpinannya mampu memikat hati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengekalkannya di negeri yang masih agak konservatif ini.
Syed Razak juga tidak gentar untuk memasuki kawasan pembangkang, malah akan menghulurkan tangan untuk bersalam terlebih dulu, imej yang sedikit sebanyak mampu mencairkan hati ahli pembangkang.
Caranya mungkin ortodok, tetapi di kalangan penduduk luar bandar yang masih konservatif, ia adalah penghargaan tinggi untuk bersalaman dengan pemimpin negeri.
“Beliau cukup low profile, namun sewaktu kepemimpinannya, Syed Razak berjaya memulihkan hubungan dengan istana dan anggota perkhidmatan awam negeri, menyelesaikan isu sekolah agama rakyat serta menaikkan taraf Alor Star kepada bandar raya.
“Secara peribadi, ia adalah kejayaan yang agak besar baginya jika dibandingkan dengan suasana politik pada 1999,” kata Ariffin.
Selain Syed Razak, nama yang disebut-sebut untuk jawatan itu adalah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir: bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Affifuddin Omar serta bekas Exco, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.
Abdul Kadir bukan lagi nama asing dalam politik tanah air, namun beliau mungkin berhadapan kesukaran dengan fahaman penduduk negeri ini khususnya di kawasan pedalaman yang masih konservatif.
Bagi Dr Affifuddin, selepas diketepikan pada 1999, beliau kini dilihat kembali aktif dalam politik dan ketika ini adalah ahli jawatankuasa penaja Umno Padang Terap.
Abdul Rahman, bekas Adun Tanjung Seri, yang digugurkan pada 1999, juga ketika ini adalah Timbalan Ketua Penaja Umno Pokok Sena.
“Saya yakin BN Kedah yang diterajui Umno mampu menang selesa pada pilihan raya kali ini.
“Pengundi yang dulu tidak memilih BN akan berubah untuk menyokong kerana situasi politik di sini jauh berbeza berbanding 1999,” kata Adun Kota Darul Aman, Datuk Chong Itt Chew.
Kali ini, katanya, BN pasti mampu mencatat keputusan lebih baik daripada 23 kerusi DUN berbanding 13 yang dimiliki pembangkang. Bagi kerusi Parlimen pula, BN memperoleh lapan kerusi selepas merampas kerusi Pendang pada pilihan raya kecil 2002, berbanding pembangkang tujuh.
Berita Harian- Rabu 18/2/2004
Wednesday, February 18, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment