Oleh Kadir Dikoh
SEORANG pemimpin kanan Umno cuma mampu tersenyum apabila diajukan pertanyaan sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah memberikan bayangan mengenai tarikh pilihan raya umum ke-11 pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti atau Kabinet.
“Nantilah dulu, kan Pak Lah dah kata nak kuatkan lagi Barisan Nasional (BN),” katanya sambil menjamu selera di restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara baru-baru ini.
Tetapi kata menteri itu, jangan sama sekali under estimate Perdana Menteri kerana sebagai bekas diplomat berpengalaman, Menteri Luar dan pernah terbabit secara langsung ketika negara ditadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran), Abdullah pasti tahu menilai keadaan sebelum memutuskan masa sesuai untuk pilihan raya umum.
Mengapa perlu menunggu masa lebih lama, sedangkan keadaan politik sekarang sesuai untuk mengadakan pilihan raya?
“Mungkin pasal calon,” jawabnya ringkas dan menambah: “Kami sedang menunggu laporan pihak ketiga bagi menilai potensi sebenar bakal calon yang disenaraikan. Kini kaedah itu digunakan supaya laporan lebih adil.
“Dulu apabila kita terima laporan, beberapa nama dikemukakan oleh bahagian tetapi akhirnya ‘calon paling layak’ adalah ketua bahagian dan laporan ini pula disediakan sendiri oleh ketua bahagian. Apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, semua kata tak ada masalah, boleh menang. Ya, takkan nak beritahu kawasan dia bermasalah dan tak boleh menang.
“Inilah antara kesilapan pada pilihan raya umum lalu. Sekarang kita perlu laporan orang ketiga,” katanya tetapi enggan memberitahu siapa orang atau pihak ketiga yang dimaksudkan.
Beliau kemudian secara terperinci memberitahu kaedah pemilihan calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, tetapi katanya ia rahsia strategi utama yang tidak boleh disiarkan kerana dikhuatiri menjadi ikutan atau diketahui parti pembangkang.
Katanya, contoh terbaik sebagai pengajaran ialah ketika pilihan raya kecil DUN Anak Bukit di Kedah pada Julai 2002 apabila calon veteran BN tewas kepada calon muda Pas.
“Kita letak orang veteran dan Pas sebaliknya, calonkan jurutera, orang muda dan good looking pula. Selesai kita dibuatnya. Untuk itu, kita harus menilai kehendak rakyat yang berbeza di antara kawasan bandar dan luar bandar. Ini adalah pengajaran yang baik sebagai garis panduan,” katanya.
Kegiatan melobi menjadi calon dikatakan semakin giat dan ini perkara biasa bukan saja kepada parti komponen BN, malah parti pembangkang sekalipun. Yang dikhuatiri ialah tindakan balas dendam apabila seseorang tidak dipilih dan paling menyedihkan apabila wujud kegiatan ‘tikam dari belakang’ termasuk menyokong parti lawan.
Sebenarnya, gendang pilihan raya sudah dipalu. Pak Lah mula melakukan lawatan ke negeri selepas ini. Lawatan pertama seumpama itu yang sepatutnya ke Kedah semalam, dibatalkan berikutan kematian ibunya, Datuk Khailan Hassan petang kelmarin.
Kehadiran ramai pemimpin pembangkang selain barisan Kabinet serta pelbagai lapisan masyarakat pelbagai kaum termasuk artis di kediaman Pak Lah di Kepala Batas semalam bagi menziarahi jenazah ibunya itu, jelas menunjukkan beliau pemimpin yang popular di kalangan rakyat.
Pak Lah hampir selesai melawat negara Asean kecuali Myanmar. Pertengahan bulan ini, beliau ke Iran untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8), manakala pada 27 dan 28 Februari ke Caracas, Venezuela untuk menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 15 (G15).
Jadual Perdana Menteri pada Februari dan Mac agak sibuk selain menghadiri banyak acara rasmi di dalam negara. Pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri juga memberi petunjuk ke arah itu, manakala Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mula sibuk mengadakan majlis taklimat di negeri.
Ketika mengadakan pertemuan dengan editor media tempatan di Putrajaya Sabtu lalu, Pak Lah turut diumpan soalan mengenai suasana politik sekarang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.
“Saya mendengar banyak nasihat buat masa ini. Anda fikir sekarang adalah masa yang terbaik? Saya sedang memantau keadaan bagi melihat bila masanya yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum. Itu saja yang saya boleh katakan.
“Saya tahu orang ramai bercakap mengenainya. saya tidak boleh tentukan bila ia diadakan, mungkin enam bulan, mungkin lebih. Apa yang saya harapkan bekerjalah macam biasa,” katanya.
Apabila Pak Lah menyebut “enam bulan atau lebih”, apakah ia satu bayangan pilihan raya umum diadakan pada separuh kedua tahun ini, iaitu sekitar Jun? Mungkinkah pilihan raya negeri Sabah diadakan serentak dengan pilihan raya umum?
Jika pilihan raya umum hendak diadakan serentak dengan DUN Sabah, ia mesti diadakan selewat-lewatnya 12 Jun tahun ini. Tempoh penggal DUN Sabah berakhir pada 12 April ini dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN. Tempoh penggal Parlimen sekarang hanya berakhir pada 20 Disember ini.
Tidak salah jika Pak Lah mahu mengadakan pilihan raya menjelang tempoh Parlimen berakhir pada hujung tahun. Maknanya, ia boleh diadakan pada Jun, Julai, Ogos, September atau Oktober ini dengan membiarkan pilihan raya negeri Sabah diadakan dulu.
Ada yang meramalkan pilihan raya umum kemungkinan besar diadakan pada Mac ini – serentak dengan pilihan raya negeri Sabah. Antara 13 hingga 21 Mac adalah cuti penggal persekolahan.
Meskipun ada pihak mengatakan pilihan raya tidak semestinya diadakan pada cuti persekolahan kerana masa mengundi cuma sehari yang boleh diadakan pada hujung minggu, tetapi lazimnya pada waktu itulah diadakan pilihan raya sebelum ini.
Persiapan menempatkan peti undi memerlukan dewan sekolah atau bilik darjah dikosongkan sehari dua sebelum itu selain SPR banyak menggunakan tenaga guru sebagai petugas sementara di pusat mengundi.
Tarikh pembuangan undi pada pilihan raya umum lalu (29 November 1999) dan hari penamaan calon (20 November 1999) adalah waktu permulaan cuti panjang persekolahan hujung tahun. Cuma kerajaan mengisytiharkan 29 November sebagai cuti umum bagi membolehkan kakitangan awam dan swasta keluar mengundi beramai-ramai.
Mac sebenarnya tarikh popular menjadi ramalan, termasuk di kalangan pembangkang. Kenyataan Abdullah pada pertemuan dengan editor itu, membayangkan pilihan raya bukan diadakan pada Mac.
Namun, iklim politik kini lebih menyebelahi BN yang ditambah pula oleh populariti Pak Lah sejak menyandang jawatan Perdana Menteri 31 Oktober lalu. Keadaan pembangkang pula bertambah bercelaru dengan Barisan Alternatif (BA) masih berebut kerusi sesama sendiri.
Sudah pasti faktor Kelantan dan Terengganu turut diambil kira oleh Pak Lah sebelum membubarkan Parlimen. Kempen Gelombang Biru di Terengganu dikatakan semakin menyengat, manakala politik Kelantan sedang mengukuh selepas tempias pemilihan jawatankuasa penaja bagi Umno yang kecoh seketika.
Sabah dikatakan tidak bermasalah selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Joseph Pairin Kitingan menyertai semula BN. Bagaimanapun, politik Sarawak sedikit bergolak berikutan pembubaran dua parti komponen – Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) disebabkan krisis kepemimpinan.
PBDS masih menunggu rayuannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam usaha menghidupkannya semula tetapi dipercayai ia tidak dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang. Sumber berkata, calon ‘PBDS’ nanti akan diletakkan sebagai calon langsung BN (tanpa parti) kaedah yang pernah diguna pakai pada pilihan raya sebelum ini.
Pas pula beria-ia untuk menawan Perlis, Kedah dan Pahang selain berazam mengekalkan Kelantan dan Terengganu. Pada pilihan raya umum lalu, Pas berjaya menembusi beberapa negeri termasuk Selangor, tetapi isu ketika itu lain yang berkisar kepada mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekarang pula selera pengundi sudah berubah.
Namun, BN terutama Umno tidak harus terlalu berpegang kepada hakikat itu terutama di Kedah yang harus bekerja lebih kuat bagi mengekang kemaraan Pas. Pada pilihan raya umum lalu, Pas menang 12 daripada 36 kerusi negeri manakala lapan daripada 15 kerusi Parlimen. Sasaran Pas kini ialah sekurang-kurangnya menang 19 kerusi DUN Kedah.
DAP pula bagaikan sudah bertalak tiga dengan Pas kerana matlamat masing-masing bertentangan. DAP sedar jika ia terus bekerjasama dengan Pas, prestasinya terus merosot seperti ketika pilihan raya lalu kerana ditolak oleh masyarakat Cina.
Soal pengagihan kerusi di kalangan semua 13 parti komponen BN dirasakan tidak menimbulkan banyak masalah. Meskipun pelbagai permintaan dikemukakan, sudah menjadi kelaziman semua pihak harus menerimanya setelah keputusan dibuat oleh Perdana Menteri selepas berunding dengan mereka.
Difahamkan, kuota pengagihan kerusi di kalangan parti komponen kemungkinan besar kekal seperti pada pilihan raya umum lalu tetapi dengan sedikit penyelarasan selain tambahan kerusi baru berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Sebanyak 25 kerusi Parlimen baru dijangka ditandingi pada pilihan raya umum akan datang, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 219. Ia membabitkan penambahan enam kerusi Parlimen di Johor, lima di Sabah dan Selangor, tiga di Pahang, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Apa pun, hanya Pak Lah yang tahu bila masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Mungkin sekarang ini, Perdana Menteri tengah membuat perkiraan dan merancang strategi terbaik dalam usaha bukan saja bagi BN mencapai kemenangan mudah, malah mencatat sejarah tersendiri untuk menang lebih besar.
Berita Harian, Rabu 4/2/2004
©
Wednesday, February 04, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment