Oleh ZULKIFLI ABDULLAH
(WARTAWAN UTUSAN)
Bahang pilihan raya sudah mula terasa. Ramai pemerhati politik menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang terdekat.
Parti-parti politik kini sedang sibuk merangka strategi serta manifesto parti untuk meraih sokongan rakyat dalam proses pendemokrasian negara yang ditetapkan lima tahun sekali.
Biarpun begitu, pilihan raya ke-11 ini bakal mencipta sejarah apabila beberapa peraturan baru diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pilihan raya pertama pada alaf baru ini berjalan dengan licin dan teratur.
Ia bertepatan pula dengan era pemerintahan Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan aspek ketelusan dalam pentadbirannya.
Pilihan raya umum ke-11 ini bakal menyaksikan semua kegiatan calon sepanjang kempen di seluruh 219 kawasan Parlimen yang meliputi 567 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipantau oleh Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
Seperti mana kata Setiausaha SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, penubuhan pasukan itu membolehkan badan bebas tersebut mengambil tindakan tegas menurunkan poster tanpa permit serta menghentikan ceramah berbau hasutan dan perkauman.
Pada kebiasaannya, tempoh berkempen yang diberikan kepada parti-parti politik pada pilihan raya umum dijadikan `medan' untuk menghentam seseorang atau parti politik terbabit secara agresif.
Menyedari perlunya proses pilihan raya negara dijalankan secara sistematik dan tidak mencetuskan sebarang ketegangan, rusuhan mahupun pergaduhan sesama penyokong, kewujudan PP-KPR adalah bertepatan sekali.
PP-KPR dianggotai oleh Ketua Pegawai SPR, pegawai kanan polis, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil parti politik dan calon bebas yang bertanding.
Dengan itu, PP-KPR tidak harus dilihat kononnya akan bertindak menghalang `kebebasan' hingga membolehkan mereka berbuat sesuka hati dalam tempoh berkempen.
Buat pertama kalinya juga SPR terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan undang-undang pilihan raya di mana sebelum ini tugas tersebut dipikul oleh pasukan polis.
Bagi tujuan itu, SPR akan mengedarkan kod etika pilihan raya kepada semua parti politik sejurus selepas Parlimen dibubarkan nanti. Sesungguhnya undi itu adalah rahsia dan sesiapa sahaja berhak menentukan wakil rakyat dan kerajaan yang bakal menerajui pemerintahan negara sejajar dengan amalan demokrasi berparlimen.
Setiap kali ada pilihan raya umum, pusat pembuangan undi akan menjadi begitu sibuk kerana kesedaran orang ramai untuk menunaikan hak mereka sudah semakin meningkat.
Memperlihatkan pentingnya warga tua yang berusia melebihi 60 tahun diberi layanan istimewa, buat pertama kalinya juga SPR akan menyediakan saluran khas untuk mereka.
Melalui saluran berkonsepkan `Mesra Pengundi' ini, bilik pembuangan undi dan tempat menyemak daftar pemilih bagi golongan itu akan berada pada jarak yang dekat agar tidak membebankan mereka.
Seperkara lagi, saluran pertama iaitu bilik untuk pembuangan undi kepada warga tua itu hanya dihadkan kepada 350 nama sahaja berbanding 700 nama pada saluran-saluran lain bagi mengelakkan kesesakan.
Buat pertama kalinya juga, tempoh masa untuk mereka yang hendak mendaftar sebagai calon pada hari penamaan calon turut dipendekkan.
Kalau sebelum ini, masanya dihadkan antara pukul 9 hingga 12 tengah hari tetapi pilihan raya alaf baru ini tempohnya dipendekkan dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi.
Menurut Wan Ahmad, sejarah juga dicipta kerana buat pertama kalinya setiap calon yang hendak bertanding perlu meletakkan deposit bagi membolehkan mereka memasang sepanduk, poster dan bendera parti untuk tempoh berkempen.
Di bawah peraturan baru ini, setiap calon Parlimen akan dikenakan wang pertaruhan sebanyak RM5,000 manakala bagi calon Dewan Undangan Negeri pula sebanyak RM3,000.
Sebelum ini, calon-calon hanya dikehendaki mendapatkan permit dari pihak berkuasa tempatan jika mereka hendak menggantung poster dan sepanduk ketika berkempen.
Seperti kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, wang pertaruhan itu tidak akan dikembalikan oleh SPR sekiranya calon terbabit gagal menanggalkan poster-poster dan sepanduk itu sebaik sahaja selesai pilihan raya.
Dengan cara ini, kita tidak lagi melihat poster dan sepanduk dibiarkan begitu sahaja sejurus selesai pilihan raya hingga mencemarkan sesuatu kawasan terbabit seperti yang terjadi pada pilihan raya sebelum ini.
Buat pertama kalinya, pada pilihan raya umum kali ini SPR turut memansuhkan `pondok-pondok panas' dan mewujudkan satu kawasan larangan dalam lingkungan 50 meter dari pusat pengundian yang dikenali sebagai `barung'.
`Barung' merupakan kawasan yang bebas daripada sebarang taktik kempen di saat-saat akhir termasuk ugutan dan tipu-helah yang mungkin ditimbulkan oleh perayu undi.
Dengan itu, perayu undi tidak lagi dibenarkan `mengacau' pengundi kerana kawasan itu akan dikawal oleh pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan ketua penguat kuasa SPR.
Di samping itu, SPR turut mewujudkan jawatan penunjuk arah bagi memastikan semua pengundi mendapatkan bantuan mengenai arah dan saluran mengundi masing-masing daripada petugas khas.
Lantaran itu, pilihan raya umum akan datang ini diyakini rakyat akan dapat diadakan dengan lebih aman dan gejala-gejala kurang sihat mahupun kempen secara ganas dapat dibendung.
Diharapkan, peraturan-peraturan baru ini akan dipatuhi oleh setiap individu, para penyokong calon dan parti supaya imej Malaysia tidak tercalar kerana pilihan raya umum sesebuah negara sering mendapat perhatian dunia.
Menjadi harapan SPR dan kerajaan juga, peraturan-peraturan baru itu akan dipatuhi oleh semua pihak agar pilihan raya pertama pada alaf baru ini menunjukkan kematangan fikiran setiap lapisan masyarakat dan tahap ketamadunan rakyat di negeri bertuah ini.
Utusan Malaysia, Sabtu 28/2/2004
Saturday, February 28, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment