Ruang Dan Waktu Oleh Adam A. Kadir
KELMARIN, Selasa 9 Disember, akhbar ini dan New Straits Times telah mengutamakan berita Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan, dalam pertikaman lidahnya dengan Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Berita-berita dalam kedua-dua akhbar ini tidaklah sehebat siaran berita TV3 pada malam Selasa sebelum itu. Tidak perlu rasanya diberikan penilaian buruk-baik apa yang disuarakan oleh Nazri, tetapi sudah cukup kalau diulangkan satu ungkapan yang digunakan oleh Nazri. Beliau merujuk kepada Pengarah Siasatan BPR itu sebagai seorang yang berkedudukan low level (tahap rendah).
Rujukan negatif ini diselang-seli pula dengan panggilan-panggilan condescending (memandang rendah) terhadap peribadi dan tugas rasmi yang dijalankan oleh bos BPR itu.
Kesan yang ditinggalkan ialah tanda tanya, apakah BPR benar-benar bebas seperti yang termaktub dalam undang-undang, dan apakah benar seseorang menteri mengatasi BPR, justeru menteri tidak perlu tunduk kepada seorang seperti pengarah BPR?
Biar apa pun bentuk dan isi jawapan kepada soalan ini, satu hal adalah pasti. Rakyat mahukan BPR menjadi sebuah badan yang bebas. Ia harus bertindak tanpa fear atau favour (tanpa ketakutan atau memilih bulu).
Perselisihan sikap antara ahli-ahli politik yang berkuasa seperti menteri dengan pihak pegawai yang dilantik oleh ahli-ahli politik adalah sesuatu yang lumrah, sering juga membawa hasil yang sangat menyayatkan.
Lihat umpamanya apa yang berlaku kepada ahli politik yang paling berkuasa dalam dunia, iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS).
Pada tahun 1974, Presiden Richard Nixon terpaksa meletak jawatan. Pada tahun 1998/1999, Presiden Bill Clinton pula hampir-hampir menghadapi nasib yang sama seperti Nixon.
Kedua-duanya mengalami akibat pe-laksanaan tugas yang dijalankan oleh pegawai yang dilantik oleh ahli politik yang berkuasa. Presiden Nixon melantik pendakwa khas untuk menyiasat perilaku aktivis-aktivis penyokongnya ketika mereka menceroboh pejabat parti Demokrat, iaitu parti lawan. Selepas beliau memberhentikan peguam negaranya yang bertanggungjawab melantik pendakwa khas itu, beliau melantik pula pendakwa khas yang baru.
Malang bagi Nixon, pendakwa baru itu pun bertindak seperti pendakwa lama, malah lebih tegas lagi. Lama-kelamaan, terkumpul fakta dan bukti bahawa aktivis-aktivis itu menceroboh kompleks Watergate atas nama Presiden, maka Nixon tidak ada pilihan melainkan meletak jawatan. Rakan-rakan Senator dan Congressman tidak dapat menyelamatkannya.
Bagi Clinton pula, pendakwa khas yang dilantiknya menyiasat penyalahgunaan kuasa ketika beliau menjadi gabenor negeri Arkansas (sebelum menjadi Presiden) atas pinjaman bank sebanyak AS$300,000 kepada peminjam yang ada kaitan dengan isterinya, Hillary.
Sebelum selesai tugas itu, pendakwa khas itu merangkum pula tugas menyiasat skandal seks antara Clinton dengan Monica Lewinsky di White House.
Hasilnya: Clinton didapati tidak bersalah oleh Dewan Senat apabila dibela oleh penyokong-penyokongnya di dewan itu. Justeru beliau terselamat dan terus bertugas sehingga akhir penggal kedua.
Hakikat yang hendak didentingkan di sini ialah betapa sensitifnya hubungan ahli-ahli politik yang berkuasa dengan pegawai yang dilantik oleh mereka, di satu pihak, dan hubungan mereka dengan media, di satu pihak yang lain.
Maka kehangatan antara pihak menteri dan pengarah BPR ini adalah hasil daripada peranan media. Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah, inilah peranan yang dituntut ke atas media seperti apa yang berlaku terhadap skandal Watergate dan Clinton-Monica yang disebutkan di atas.
Berbalik kepada senario Nazri dan pengarah siasatan BPR, saya percaya penanganan yang menggunakan kepala yang lebih dingin dan terkawal oleh kedua-dua pihak, terutama pihak ahli politik, adalah satu pilihan yang lebih bermakna.
Jika timbul sesuatu yang lebih `membonces' daripada yang sepatutnya, pihak media tidak harus dipersalahkan. Ini kerana tugas media ialah mencari berita. Lebih besar berita terakhir, lebih laku. Inilah salah satu ukuran kejayaan media.
Kita tidak akan menang kalau salah menangani media, kata seorang bekas pegawai tinggi kepercayaan Allahyarham Tun Razak. Benar sekali.
- Datuk Adam Kadir ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negar
Wednesday, December 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment