Sunday, December 21, 2003

Memerhati Media

JIKA ditinjau, minggu lalu nampaknya merupakan minggu yang berfaedah bagi pentadbiran Presiden George W. Bush. Tangkapan Saddam Hussein (ibarat tikus dalam lubang, seperti yang digambarkan sebilangan besar media Amerika Syarikat (AS) merupakan tonik sesuai bagi Bush dan pasukannya di Iraq, yang tertekan dengan peningkatan jumlah kematian anggota tentera AS. Sementara Bush mahu menggambarkan diri beliau sebagai seorang wira yang mempunyai perasaan kasihan terhadap seorang musuh yang jahat, kita masih boleh melihat senyuman sinis beliau di sebalik sandiwara tersebut. Pasukan Bush amat berhati-hati akan imej yang ditonjolkan mereka sebagai pemenang kerana sedar bahawa sikap mereka yang keterlaluan akan membawa akibat yang buruk.

Namun walaupun dengan usaha gigih, hakikatnya ialah pentadbiran Bush tidak boleh mengaku bahawa mereka mencapai kejayaan mutlak. Akhirnya, yang pentingnya bukan hanya orang Arab dan Islam, tetapi juga ramai rakyat Eropah, Asia dan Afrika berasa terkilan akan penyerahan diri Saddam yang dilihat sebagai pemimpin Arab terakhir yang tidak terikat dengan kuasa AS. Penangkapan Saddam bukan membawa keriangan sedunia. Dan sementara media AS teramat gembira dengan kejayaan mereka, media lain agak berhati-hati dalam melaporkannya dan menyuarakan kebimbangan yang dirasai dunia.

PENGHINAAN TERHADAP SADDAM, ARAB
SEBUAH artikel bertajuk Peningkatan mendadak sentimen anti-AS (The Hindu - 19/12/03) berkata bahawa penangkapan Saddam telah ``membawa kepada peningkatan perasaan anti-AS yang ketara.'' Penulis Atul Aneja melaporkan, ``Di serata dunia Arab, terdapat perasaan terhina yang amat sangat berikutan penangkapan Saddam, dan cara ia berlaku telah menggusarkan perasaan, terutama di kalangan rakyat Palestin, yang melihat bekas presiden Iraq tersebut sebagai simbol tentangan terhadap Amerika dan Israel.'' Rommel Moushi dari Pergerakan Demokratik Assyrian telah dipetik sebagai berkata, ``Saya rasa imej yang dipertontonkan melalui televisyen memperlihatkan keputusan strategik dari pasukan penakluk AS untuk menonjolkan bahawa Encik Hussein, yang menyokong pihak Palestin, adalah pemimpin berani Arab yang terakhir.'' Sepucuk surat ke Capital Times di Madison, Wisconsin, ditulis Kevin Barret bertajuk Penghinaan terhadap Saddam di TV akan memanfaatkan Al-Qaeda (Capital Times - 17/12/03). Ia bermula begini: ``Wahai Pengarang: Kamu, bersama dengan media AS lainnya, telah tersilap akan manfaat utama penangkapan Saddam. Apa yang rakyat Amerika tidak menjangka ialah penghinaan terhadap seorang bekas ketua negara Arab di televisyen telah membuka peluang untuk Al-Qaeda - dan pergerakan penentang yang lain - menambah bilangan rekrutnya dengan meningkatkan kemarahan terhadap kesombongan AS.'' Sebagai amaran, Barret menambah, ``Sekiranya saya seorang pemuda Arab atau Islam yang pintar, saya akan mempelajari kejuruteraan genetik, dan saya akan merancang sesuatu yang buruk yang boleh menjadi teladan terhadap penghinaan melampau pihak Israel dan Amerika kepada masyarakat Arab dan Islam.'' Barret yang menetap di negara Arab berkata tentang imej televisyen yang menunjukkan Saddam diperiksa gigi serta dicukur janggut dan rambut beliau: ``Reaksi ketara terhadap penghinaan Saddam dalam dunia Arab dan Islam ialah perasaan malu, kemarahan yang tinggi dan tekad untuk membalas dendam atau melakukan apa sahaja untuk menentukan penghinaan sedemikian tidak berlaku lagi.'' Barret juga mengkritik kesombongan Amerika dengan berkata, ``Keengganan Amerika untuk tidak mengaku dan memberi perhatian kepada pandangan pihak lain memperlihatkan kebebalan yang amat tebal sehinggakan kita tidak dapat membayangkannya.''

MAULANA: Dalam ucapan kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Oktober lepas, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tentang penghinaan dan malu yang dihadapi dunia Islam kerana tertekan dengan kuasa Barat dan kelemahan untuk mengubah nasib mereka. Beliau mendesak Barat agar tidak memperkecilkan penghinaan ini terhadap masyarakat, yang akan membawa mereka ke arah keganasan dan perbuatan nekad. Tetapi sekali lagi, AS nampaknya tidak mahu tahu akan kesan penghinaan terhadap sesebuah masyarakat. Mungkin penulis Mesir Sayyid Nassar menggambarkannya dengan betul apabila beliau memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera: ``Dengan mencukur janggut beliau, suatu simbol kekuatan di Iraq dan dunia Arab, Amerika telah melakukan sesuatu yang dianggap suatu penghinaan di rantau ini.'' Laman web Al-Jazeera juga menambah, ``Imej penangkapan Saddam Hussein oleh tentera Amerika menambah risiko akan peningkatan sokongan Arab terhadap penentang di Iraq dan mengasah semangat mereka untuk membalas dendam.'' Tajuk berita seperti ``Kita telah menangkapnya!'' dalam New York Post dan cerita tangkapan tersebut yang berbunyi: ``Tentera Amerika menangkap Saddam Hussein yang berjanggut dan lesu, memerangkap diktator Iraq yang dahulu ditakuti semasa beliau bersembunyi dalam terowong bawah tanah yang sempit seperti seekor tikus dalam lubang'' akan hanya membawa malu kepada negara Arab dan dunia Islam. Laporan Reuters yang dimuatkan dalam The Washington Post bertajuk Serah diri dilihat ramai sebagai penghinaan (The Washington Post - 16/12/03) memetik wartawan Maghribi Khalid Jamai sebagai berkata, ``Tidak ada orang Arab atau Islam yang akan lupa kepada imej tersebut adalah amat memalukan untuk menunjukkan gambar tersebut. Ia salah dari segi maruah, untuk menunjukkan beliau sebagai seolah-olah seekor gorila yang keluar dari hutan, dengan diperiksa oleh seseorang untuk mencari kutu.''

Pentadbiran Bush mungkin menjangka mereka telah menunjukkan imej yang menakjubkan. Tetapi mereka lupa bahawa reaksi terhadap imej tersebut mungkin jauh lebih menakjubkan.

RAJA SEGALA RAJA SEPERTI KANAK-KANAK
TETAPI sudah tentunya bukan semua orang yang memberi pesanan untuk berjaga-jaga. Penulis neokonservatif Charles Krauthammer mungkin telah mempamerkan kesombongan Amerika dalam artikelnya bertajuk Membunuhnya dengan perlahan (Washington Post - 19/12/03). Dalam laporan mirip persembahan hadiah Oscar, penulis ini mempersembahkan Oscar bagi Dokumentari Terbaik kepada ``Pemeriksaan gigi Saddam'' dan hadiah Penerbit Terbaik kepada ``Si bijak di ibu pejabat AS yang telah memilih klip ini sebagai imej dunia yang pertama terhadap penangkapan Saddam Hussein''. Sambil menyentuh tentang revolusi Iraq dalam tahun 1958 di mana Perdana Menteri Nuri Said ``ditarik belakang kereta melalui jalan-jalan Baghdad,'' Krauthammer menambah, ``Ini bukan cara kami rakyat Amerika. Sebaliknya, kami menunjuk Saddam Hussein - Raja Segala Raja, Singa Tigris, Saladin di negara Arab - membuka mulutnya dengan taat seperti seorang kanak-kanak yang mahu diperiksa mulut (dan kutu beliau)... Ia adalah pemandangan yang sungguh indah.''

MAULANA: Berita beginilah yang akan sampai kepada penonton Arab dan Islam dan ini akan membawa reaksi malu dan terhina. Tetapi pentadbiran Bush dan sahabat mereka dari media konservatif mahu agar penghinaan ini ditingkatkan. Mereka tidak sedar, walaupun telah diberi amaran, akan kesan dari perlakuan mereka. Akhirnya walaupun ada yang gembira dengan tertangkapnya Saddam, ada juga yang bersimpati dengan beliau. Bukan kerana mereka menyayangi bekas pemimpin Arab ini, tetapi lebih kerana mereka tidak suka, atau amat membenci, Amerika yang bongkak dan mementingkan diri.

Mingguan Malaysia, 21/12/03


No comments: