KAJIAN kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedia menimbang cadangan menaikkan had umur kelayakan memiliki lesen memandu daripada 17 tahun kepada 20 tahun adalah langkah wajar yang terpaksa diambil. Ini memandangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan korban jiwa semakin menjadi-jadi terutama setiap kali musim sesuatu perayaan.
Keprihatinan Perdana Menteri yang memandang serius mengenai peningkatan kadar kemalangan jalan raya sememangkan amat membanggakan rakyat.
Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk mengurangkan kadar nahas, namun usaha ini kurang menampakkan sebarang hasil yang memuaskan. Perlukah kita menyalahkan pengguna jalan raya semata-mata walaupun faktor kecuaian pemandu telah dikenalpasti sebagai punca utama petaka itu?
Mungkin benar juga seperti yang dikatakan oleh Dr. Zabidi Hussin, pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan dalam ruangan ini bahawa undang-undang jalan raya kita yang sedia termaktub hari ini sudah cukup untuk memastikan keselamatan rakyat di jalan raya.
Cuma selera untuk menguatkuasakan undang-undang itu saja tidak begitu lahap sepanjang tahun oleh pihak berwajib. Sebagai bukti, kes saman tertunggak yang kian menimbun saban tahun menimbulkan tanda tanya rakyat tentang ketegasan dan ketelusan agensi penguat kuasa terbabit dalam melaksanakan undang-undang nominalnya itu.
Persoalannya, adakah penguatkuasaan yang agak longgar dan ketidaktegasan JPJ dan polis trafik menjurus kepada sikap kebiadaban sesetengah pemandu hari ini? Faktor inilah yang perlu menjadi fokus utama kerajaan dalam melaksanakan dasar kementerian terbabit.
Adalah diharapkan 82,000 anggota polis termasuk konstabel daripada semua unit yang telah diberi kuasa mengeluarkan saman trafik berkuat kuasa serta-merta dapat menyedarkan warga pemandu kita yang naik `lemak' selama ini agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya kerana mereka akan senantiasa diperhatikan selepas ini.
Tentang sikap segelintir pemandu pula terutamanya kenderaan berat seperti lori dan bas, mengapa mereka sering dilihat sentiasa bersikap angkuh di jalan raya?
Dalam Islam, Allah s.w.t. telah memberi peringatan kepada umat manusia bahawa berlakunya kerosakan dan kemusnahan di muka bumi ini adalah akibat daripada perilaku tangan dan perbuatan manusia itu sendiri.
Jelas sekali kealpaan kita adalah kunci keselamatan nyawa sendiri, keluarga dan orang lain. Oleh itu, janganlah kita berada dalam kelompok golongan orang yang sering lalai dan alpa sepanjang masa.
Apapun tumpuan kepada kenderaan berat perlulah diutamakan. Langkah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang akan menguatkuasakan peraturan mewajibkan pemilik kenderaan berat termasuk lori dan bas mempamerkan permit di cermin depan masing-masing mulai Januari depan adalah satu langkah wajar sebagai usaha mengurangkan angka korban jalan raya membabitkan kenderaan ini.
Selain itu cadangan pengerusi LPKP, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar agar semua pemandu kenderaan pengangkutan awam diwajibkan mengikuti kursus anjuran lembaga itu adalah usaha yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.
Sewajarnya kursus ini perlu diperluaskan kepada semua pemandu kenderaan berat lain terutama lori.
Begitu juga peraturan lain seperti mewajibkan syarikat pengangkutan awam menyediakan pemandu gantian bagi perjalanan yang jauh, cadangan menempatkan seorang anggota penguatkuasa dalam setiap bas ekspres, merombak jadual operasi perjalanan bas sebelum 9.00 malam dan sebagainya adalah langkah proaktif yang bertujuan baik demi menjamin keselamatan jalan raya kita sentiasa berada dalam keadaan selamat kepada semua penggunanya.
Gelagat pemandu kenderaan berat selama ini begitu merimaskan. Contohnya bas-bas ekspres jarang sekali dilihat mematuhi had laju yang dibenarkan, malah mereka sering memecut laju mengejar `trip' atau jadual perjalanan.
Keangkuhan mereka lebih terserlah di lebuh raya. Paparan `adegan' sebuah bas memecut laju ala-filem Hollywood Speed oleh sebuah televisyen swasta baru-baru ini adalah realiti sebenar sikap pemandu kita yang terpaksa ditelan walaupun pahit.
Justeru, penguatkuasaan peraturan had laju saya kira cukup mustahak sebagai jaminan sistem keselamatan jalan raya di negara kita dalam keadaan selamat selain faktor lain.
Aspek pemanduan berhemat selain keadaan sesebuah kenderaan berat perlulah dipantau selalu oleh pihak berwajib sepanjang masa agar saman dapat dikeluarkan dengan serta-merta dan kenderaan dapat disita mengikut seksyen tertentu dalam akta kesalahan trafik yang sedia termaktub. Pemandu seperti ini perlu didisiplinkan semula untuk membentuk tertib pemanduan terpuji.
Realiti hari ini, faktor pertambahan jumlah kenderaan berdaftar setiap tahun juga faktor penyumbang kepada bertambahnya angka kemalangan maut. Menurut perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.
Pada tahun 1998, sebanyak 9.1 juta kenderaan telah didaftarkan dan telah meningkat kepada 11.3 juta pada 2001. Malah meningkat lagi kepada 12.01 juta pada tahun 2002 akibat persaingan antara model kenderaan nasional dan import untuk sama-sama bersaing memonopoli jalan raya kita.
Logiknya, tentulah jalan semakin sesak dan sempit untuk menampung kapasiti kenderaan itu yang sentiasa berulang alik di rangkaian jalan raya kita sepanjang masa. Lebih-lebih lagi apabila tiba musim sesuatu perayaan atau cuti sekolah sehingga kesesakan trafik bertambah tenat. Ñ PAUZI MOHD. ISA, Bidor, Perak.
Utusan Malaysia, Jumaat 26/12/03
Friday, December 26, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment