Oleh Ramli Abdul Karim
WALAUPUN kejayaan menangkap Saddam Hussein pada 8.30 malam (waktu tempatan) 14 Disember lalu disifatkan sebagai sejarah besar Amerika Syarikat (AS) abad ini, ia juga sebenarnya bukti kegagalan negara kuasa besar itu.
Penangkapan Saddam, 66, hidup-hidup sudah pasti suatu tragedi dan penghinaan terbesar buat bekas presiden Iraq yang dikatakan sebagai zalim itu.
Tetapi pada masa yang sama, ia juga boleh dianggap sebagai kegagalan AS kerana sebelum ini ia meletakkan matlamat untuk membunuh Saddam di medan perang. Malah AS pernah mengumumkan kematiannya sebelum ini.
Kegagalan itu pula tentunya lebih ditujukan kepada Presiden George W. Bush yang selama ini menjadikan rancangan membunuh Saddam sebagai agenda peribadi dan keluarganya.
Dendam Bush dan keluarganya terhadap Saddam bermula 12 tahun lalu apabila AS gagal menyingkirkan bekas presiden Iraq itu dalam Perang Teluk.
Bush juga membawa `amanat' bapanya, George Bush supaya menghapuskan Saddam kerana melancarkan cubaan membunuh beliau ketika melawat Kuwait sewaktu menjadi Presiden AS pada 1993.
Sebab itulah Bush sebelum ini begitu beria-ia mahu menghapuskan Saddam sehinggakan mengarahkan serangan dilancarkan ke atas Iraq pada Mac lalu.
Ketika itu arahan Bush ialah ``bunuh Saddam Hussein dan tawan Iraq dalam tempoh 48 jam''. Itulah matlamat AS ketika menceroboh Iraq berdasarkan maklumat risikan yang mengesan kedudukan Saddam.
Apabila tiga dozen peluru berpandu Tomahawk seberat 1,000 paun (453 kilogram) dilancarkan dari kapal perangnya pada subuh 20 Mac, AS begitu yakin Saddam terbunuh dalam serangan pertama itu.
Ini ditambah pula dengan serangan oleh dua pesawat juang F-11 yang menggugurkan empat bom `berangkai' pemusnah kubu bawah tanah di lokasi yang dikenal pasti kedudukan Saddam dan dua anaknya, Qusay dan Uday.
Presiden Bush mengarahkan serangan itu bertindak atas maklumat bahawa Saddam berada di salah sebuah daripada tiga bangunan di Baghdad yang dijadikan sasaran.
Ramai yang masih ingat tentang dakwaan AS bahawa banyak saksi melihat Saddam diusung keluar dari runtuhan bangunan yang diserang itu.
Namun kemunculan Saddam untuk memberi amanat di kaca televisyen empat hari kemudian memberi tamparan hebat buat Bush sendiri dan perisikan AS. Ia sekali gus menjadi bukti kegagalan AS yang pada awalnya mahu menamatkan awal peperangan tetapi akhirnya ia berlarutan sehingga dua bulan.
Matlamat membunuh Saddam dalam tempoh 48 jam bertukar kepada penangkapannya selepas hampir sembilan bulan kemudian. Itu pun selepas terdapat penyokong Saddam yang dipercayai anggota keluarganya sendiri membocorkan rahsia lokasi persembunyiannya.
Ketika penyampai stesen Cable News Network (CNN), Nic Robertson membuat liputan langsung dari lokasi penangkapan Saddam, dia memberitahu bahawa tentera AS sebenarnya telah berkali-kali memasuki dan melalui rumah di kawasan ladang itu.
Malah tentera penceroboh yang melancarkan gerakan memburu gerila telah merampas senjata dari rumah berkenaan tetapi datang memulangkannya semula.
Dengan maklumat yang diperoleh daripada sumber yang mendedahkan kemungkinan Saddam bersembunyi di bawah tanah, akhirnya Saddam diberkas.
Dari sebuah lubang menempatkan bilik sedalam dua meter di bawah tanah, Saddam keluar menyerah sambil `memperkenalkan' dirinya sebagai Presiden Iraq dan ingin berunding.
Keadaannya dilaporkan begitu lemah dengan janggut dan jambang yang hampir menutupi wajah serta rambutnya yang kusut masai.
Apabila wajah-wajah hodoh Saddam itu ditayangkan untuk meyakinkan seluruh dunia tentang penangkapan pemimpin diktator itu bersama-sama keputusan ujian DNA, masih ada pertikaian tentang identiti sebenar lelaki yang ditangkap itu.
Selain didakwa melanggar peraturan layanan terhadap tahanan perang (POW) mengikut Konvensyen Geneva, gambar-gambar itu dipersoalkan oleh orang yang pernah menemui Saddam.
Seorang pemimpin Austria, Joerg Haider yang pernah menemui Saddam di Baghdad pada Februari 2002, menegaskan bahawa ujian air liur untuk DNA tidak memberi apa-apa makna. Ini kerana katanya, AS tidak mempunyai spesimen awal atau contoh DNA Saddam yang sebenarnya.
Lalu Haider menyifatkan peristiwa penangkapan Saddam oleh 600 tentera AS itu sebagai suatu `lawak bodoh'. Ini kerana, beliau percaya masih terdapat kemungkinan lelaki yang ditangkap itu adalah orang yang menyamar sebagai Saddam.
Di Baghdad pula, penangkapan Saddam itu disambut dengan pelbagai reaksi. Penduduk yang dulunya merasakan mereka ditindas oleh Saddam telah meraikannya dengan berarak di jalan-jalan raya.
Malah, lapan orang terbunuh dan 80 yang lain cedera pada hari pertama rakyat Iraq meraikan penangkapan Saddam dengan melepaskan tembakan.
Kepada penduduk yang pernah merasai jasa dan budi Saddam, mereka menyambutnya dengan tangisan serta doa untuk keselamatannya.
``Ini adalah berita buruk buat kami rakyat Iraq, jika pun mereka menangkap Saddam Hussein, kami semua adalah Saddam Hussein'' kata Ammar Zidan, 21, kepada wartawan asing di Adwar.
Penduduk di kawasan Adwar berkabung kerana memperingati semula bagaimana Saddam sering berenang di Sungai Tigris. Bagi penduduk situ, Saddam adalah seorang pemimpin yang baik dan bermurah hati.
Sehingga kini, tentera AS tidak mendedahkan di mana Saddam ditempatkan. Tetapi daripada beberapa maklumat, banyak pihak percaya beliau sudah dipindahkan ke kem tentera AS di Qatar.
Sementara menunggu kesudahan nasibnya selepas ditangkap, AS dan Bush sendiri kini berdepan pelbagai risiko politik dan keselamatan akibat penangkapan itu.
Kerana menanggung malu gagal membunuh Saddam untuk memenuhi amanat bapanya, Bush terpaksa menyatakan bahawa hukuman mati adalah paling wajar untuknya. Ia dibuat ketika beliau menerima tekanan antarabangsa yang menentang hukuman itu.
Memanglah `Perang Bush-Saddam' tidak akan berakhir selagi Saddam masih hidup. Ini kerana dalam apa saja cara termasuk melalui perbicaraan, peluang lebih memihak kepada Saddam untuk `menang'.
Ini kerana kelahiran watak zalim Saddam `dicipta' sendiri oleh AS, iaitu penyokong kuat Saddam suatu ketika dahulu. AS yang menolong Iraq ketika Saddam melancarkan perang ke atas Iran. AS jugalah yang membekalkan bahan kimia untuk dijadikan senjata oleh Iraq dalam perang saudara itu.
Mingguan Malaysia, 21/12/03
Sunday, December 21, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment