Oleh Saodah Abd. Rahman
Suasana kedudukan rakyat Iraq semakin hari kian meruncing. Amerika Syarikat (AS) telah mengikut corak rejim Israel ke atas rakyat Palestin dalam bertindak terhadap rakyat Iraq.
Jika kawasan penempatan rakyat Palestin telah dipagar oleh Israel untuk menempatkan pendatang-pendatang Yahudi, maka suasana begini sedang dilakukan oleh tentera AS di Iraq. Kampung-kampung di Iraq dipagar oleh tentera AS dengan alasan untuk memantau kegiatan pemberontak dan musuh mereka. Tindakan mereka menggeledah rumah-rumah di Iraq menunjukkan bahawa tentera AS sudah berani bertindak ganas ke atas rakyat Iraq.
Maruah dan harga diri rakyat Iraq dicemari oleh tindakan tentera penceroboh. Ini adalah nasib malang yang menimpa rakyat yang menghuni di tanah yang terkenal dengan sumber kekayaan semula jadi - minyak, dalam jangka masa panjang.
Nasib dua buah negara Arab itu memperlihatkan kepada dunia betapa lemahnya umat Islam masa kini. Negara mereka boleh dijajah sewenang-wenangnya oleh orang asing.
Dalam suasana peperangan, umat Islam hanya memikirkan makanan dan minuman untuk ahli keluarga mereka sahaja. Hubungan persaudaraan dan kepentingan untuk masyarakat dan agama kian hari menjadi semakin tandus.
Kanak-kanak yang dianugerahkan oleh Allah dengan sifat fizikal yang sempurna bertukar menjadi cacat. Kanak-kanak yang sering ketawa dan gembira di sisi ibu bapa menjadi yatim akibat bom yang digugurkan oleh AS. Lantaran ibu bapa sudah tiada maka mereka menjadi kanak-kanak jalanan berkeliaran di jalan-jalan raya.
Dalam suasana umat Islam bertungkus-lumus menghadapi pencerobohan AS dan sekutunya di Iraq, terdapat pergerakan di negara Barat yang berjuang untuk kemanusiaan begitu giat menyumbangkan bakti kepada kanak-kanak yang berkeliaran di jalan-jalan.
Akhirnya kanak-kanak yang berkeliaran ini menjadi anak angkat kepada pergerakan kemanusiaan tersebut. Lantas kalimah syahadah yang sering dilafazkan oleh kedua-dua ibu bapa mereka dahulu kian luput dalam ingatan mereka.
Umat Islam hilang generasi akibat peperangan. Perkara ini diceritakan oleh dua orang ahli yang aktif dalam badan kebajikan Malaysia yang menguruskan soal anak yatim ketika penulis menemui mereka di Damsyik, Syria pada bulan Oktober 2003. Mereka dalam perjalanan ke Iraq.
Umat Islam perlu memahami bahawa ini adalah akibat daripada perbuatan umat Islam yang kurang matang dalam hal ehwal politik Islam. Tindak-tanduk mereka untuk menguasai negara berasaskan kepada pemikiran penjajah Barat.
Jika Saddam Hussein terkenal dengan kekejaman terhadap rakyatnya, kekejaman AS terhadap rakyat Iraq melebihi perbuatan Saddam. Negara hancur dan sumber kekayaan negara diagihkan sesama kuasa besar. Cara mereka mengagihkan kekayaan negara Islam adalah seperti perompak mengagihkan harta yang dirompak. Rakyat Iraq hilang maruah dan negara musnah.
Jika seorang pemimpin Islam memerintah secara kejam, maka umat Islam sendiri yang perlu menjatuhkannya tanpa sebarang pertolongan dari orang asing.
Ini adalah konsep politik dalam Islam. Campur tangan dari kuasa asing mesti dielakkan dalam usaha untuk menjatuh pemimpin Islam yang kejam.
Sikap membawa masuk orang asing untuk menjatuhkan pemimpin Islam adalah simbol kepada kemusnahan agama dan umat. Konsep penjajahan kuasa Barat ke atas negara-negara Islam perlu dijadikan satu pengajaran kepada umat Islam.
Dalam suasana negara dan umat Islam berada dalam kategori negara-negara ketiga, strategi untuk memperkukuhkan ekonomi, politik dan sosial amat diperlukan. Perpaduan umat dan keamanan merupakan formula utama ke arah kemajuan negara. Kekerasan dan sikap terlalu bergantung kepada kuasa besar untuk memperoleh kuasa politik merupakan racun yang paling berbisa yang boleh memusnahkan agama dan negara.
Peristiwa kehancuran yang berlaku di Iraq dan Afghanistan akibat kehadiran kuasa besar atas jemputan rakyat negara tersebut yang jahil mengenai hal ehwal politik dalam Islam sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada rakyat dalam negara ini.
Rakyat Iraq dan negara-negara Islam yang dikuasai oleh kuasa besar sukar untuk mendapat kebebasan selama mana kuasa besar tersebut bertapak di negara mereka. Kekayaan negara telah dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dan diagihkan sesama mereka secara terbuka.
AS dan negara-negara sekutu dengannya begitu bebas menentukan dasar politik, ekonomi dan sosial negara tersebut. Maruah dan harga diri rakyat negara-negara tersebut terkubur akibat perpecahan umat, jahil dalam hal ehwal politik Islam dan lemah keimanan.
Rakyat Iraq, Afghanistan dan Palestin mungkin menghadapi pertumpahan darah berpuluh tahun lamanya jika mereka ingin membebaskan negara masing-masing daripada kuasa Barat dan kerajaan boneka yang dilantik oleh kuasa tersebut.
Sejarah telah menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat negara-negara Islam yang diperintah oleh boneka kuasa Barat menghadapi pertumpahan darah berpuluh tahun lamanya demi mempertahankan kekayaan dan maruah negara mereka. Sebuah negara Arab misalnya mengalami lebih lima puluh tahun ekonomi mereka dijajah oleh AS setelah boneka mereka dilantik memimpin negara.
Negara Arab itu yang kaya dengan sumber asli seperti pelancongan dan lain-lain menghasilkan pengemis di setiap pelosok bandar akibat kekayaan negara mereka dirampas oleh kuasa besar dengan kerjasama rakyat negara itu sendiri.
Iraq dan Afghanistan akan menghadapi padah yang paling teruk kerana tentera-tentera AS dan sekutunya telah bertapak di tanah air mereka. Bagi membebaskan negara tersebut daripada cengkaman penjajah dan mengembalikan kekayaan negara, mereka terpaksa bertarung dan mengorbankan nyawa untuk menghalau penjajah dari negara mereka dan menggulingkan golongan boneka yang dilantik oleh kuasa-kuasa besar tersebut. Maka tercatatlah dalam sejarah abad ke-21, tanah Arab menuju ke arah kehancuran dan darah mengalir di setiap pelosok negara. Senjata canggih AS diuji di tanah kelahiran para Nabi dan pusat tamaddun Islam yang terkenal di zaman Islam.
Kesan tamadun Islam musnah akibat bom AS untuk menguji kekuatan. Umat Islam masih terlena lantaran terlalu cuai dan lalai tentang tanggungjawab. Umat Islam berada dalam pagar berduri akibat dijajah oleh musuh hasil kerjasama dengan umat Islam yang kecundang dari prinsip hidup Islam.
Umat Islam dalam negara ini perlu menentang sebarang kegiatan yang boleh mendorong negara ke arah kehancuran seperti dialami oleh negara Arab dan Islam yang lain.
Pembangunan yang dikecapi masa kini perlu diperkukuhkan di seluruh negara supaya rakyat dapat menikmati kemajuan negara. Perpaduan umat perlu diperkukuhkan. Unsur-unsur perpecahan perlu dihapuskan kerana ia merupakan satu virus yang boleh melemahkan kekuatan umat.
Nurani rakyat perlu diisi dengan roh keagamaan agar tindak-tanduk mereka tidak terkeluar daripada prinsip Islam. Jika perkara ini berjaya dilaksanakan maka Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara Islam di Asia yang mempunyai kewibawaan dan kekayaan yang sukar untuk dirampas oleh sebarang kuasa luar.
- DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Utusan Malaysia, 19 Disember 2003
Friday, December 19, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment