Oleh Syed Hamid Albar
TUGAS Menteri Luar memerlukan saya berada di New York setiap tahun semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan. Bezanya pada tahun 2003 perjalanan ke New York adalah untuk kali terakhir bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Ketua Delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB.
PBB yang terletak di New York adalah satu forum untuk masyarakat antarabangsa membahas dan merumuskan soal keamanan dan kesejahteraan termasuk ancaman terkini, iaitu keganasan.
Yang anehnya, pada waktu ini kewibawaan dan kredibiliti badan dunia ini sendiri terjejas kerana kelumpuhannya untuk menyelesaikan konflik rantau dan antarabangsa tertentu.
Hak kesaksamaan di antara negara kecil dan besar yang menjadi asas piagam PBB semasa ditubuhkan, walaupun masih benar dari segi teorinya, tetapi dari segi amalan telah menimbulkan banyak tanda tanya dan keraguan.
Ia menjadi lebih nyata dengan adanya kuasa veto yang digunakan oleh Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB semata-mata untuk mencapai kepentingan mereka. Namun, dunia tidak mempunyai pilihan lain. Itulah sahaja badan dunia yang sejagat, walau apa pun kelemahan yang diperkatakan mengenainya.
Bagaimanapun, sama ada kita mengakui ataupun tidak, hakikatnya jelas bahawa dunia sudah berubah. Dalam konteks ini, yang paling ketara sekali adalah perubahan melalui pendekatan pre-emptive dan unilateral yang telah menimbulkan banyak kontroversi dari aspek kesahihan penggunaannya sebagai kaedah menyelesaikan masalah keganasan ataupun pertukaran rejim.
Amerika Syarikat serta sekutunya menjadi pendukung kuat kepada pendekatan tersebut selepas 11 September. Banyak penganalisis antarabangsa mengatakan dunia sedang menuju ke arah hegemoni berteraskan imperialisme berbentuk baru. Kecenderungan menggunakan pendekatan unilateral bukti jelas terhadap hakikat tersebut.
Proses multilateral, jika tidak dapat mencapai kehendak mereka sering diketepikan, walaupun ia bertentangan dengan amalan ataupun undang-undang antarabangsa. Sesungguhnya badan dunia tercabar serta kredibiliti dan kewibawaannya tercemar apabila sistem multilateral tidak dihormati.
Semua negara sepakat inginkan dunia yang selamat setelah melalui pengalaman Perang Dunia II tetapi bagaimana hendak mencapainya terus menjadi perbahasan. Pada hari ini, semua negara merdeka termasuk Switzerland menjadi ahli PBB.
Pada saya, Bangsa-Bangsa Bersatu adalah tempat ketua negara/ketua kerajaan serta Menteri Luar masing-masing berhujah dan mengadakan pertemuan secara bilateral ataupun multilateral bagi memenuhi tugas rasmi masing-masing. Kehadiran mereka di kota raya ini bukanlah satu pilihan tetapi keperluan.
Malaysia dan negara-negara lain sama ada secara lantang ataupun senyap-senyap menyuarakan perlunya PBB disusun semula bagi mengambil kira realiti masa kini. Buat ketika ini, ia masih menjadi harapan. Bezanya pada masa ini seolah-olah ada kesungguhan dan kesegeraannya kerana Setiausaha Agung PBB Kofi Annan turut serta mengakui secara terbuka tentang kelemahan dan perlunya PBB disusun semula.
Beliau telah menubuhkan satu kumpulan pakar bagi membuat kajian dan membentangkan syor kepadanya. Sama ada beliau berjaya atau tidak bergantung kepada banyak perkara yang berkaitan dengan bentuk dan corak yang hendak diambil bagi menjadikan ia relevan dengan cabaran semasa.
Dalam hal ini, apa yang penting adalah keperluan untuk mewujudkan satu mekanisme bagi perkongsian pengetahuan dan pengalaman untuk menganalisis cabaran semasa dan masa depan terhadap keamanan dan keselamatan. Adalah juga wajar dilakukan satu penilaian yang mendalam berkenaan sumbangan secara tindakan bersama (collective action) yang diambil bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
Selain itu, cadangan-cadangan yang praktikal dan bersesuaian mengenai perubahan-perubahan yang perlu dilakukan untuk menyusun semula PBB adalah mustahak untuk menjadikannya sebuah badan antarabangsa atau mekanisme yang sahih dan berkesan dalam mengambil apa-apa tindakan secara bersama.
Apa juga tindakan yang diambil oleh PBB pada masa ini, ia masih belum dapat menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan dunia. Bagi menangani masalah keganasan, misalnya, masyarakat antarabangsa mengakui perlu ada kerjasama secara bilateral, serantau serta antarabangsa di kalangan negara.
Kesan 11 September turut dirasai oleh perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB bila mereka diperiksa dengan ketat, seolah-olah mereka adalah suspek yang mungkin melakukan keganasan. Apatah lagi jika wajah seseorang itu mirip orang Asia Barat atau namanya berbunyi Islam, mereka akan diberikan ``layanan istimewa''.
Diplomat atau menteri tidak menjadi perkiraan kepada mereka yang melaksanakan tugas. Ini satu-satunya masa kita akan diawasi secara dekat. Sudah tentu tidak hairan jika kita berasa terpenjara dan kebebasan kita tersekat bila berada di kota besar ini pada masa Perhimpunan Agung PBB.
Perasaan ini tidak dapat dielakkan kerana di merata kawasan kota, ada sekatan dan kepungan jalan raya ke bangunan PBB. Kesesakan menjadi lumrah setiap hari kita berada di New York. Orang ramai lebih-lebih lagi warga New York turut berasa bosan dan marah kerana kehidupan harian mereka terganggu.
Ada masanya saya perhatikan warga New York naik berang dengan polis kerana hidup mereka terganggu.
Kita boleh merungut dan mengadu secara bertulis ataupun lisan kepada pemerintah tetapi ia tidak akan membawa apa-apa kesan.
Saya fikir pelaksanaan peraturan dan undang-undang bukanlah masalahnya, tetapi cara pelaksanaan yang menimbulkan kemarahan pelawat asing. Di lain negara pun keselamatan diberikan keutamaan, namun pelaksanaannya secara beradab dan bersopan menjadikan orang menyambut baik kehadiran pemeriksaan untuk kebaikan mereka.
Bukan kita benci kepada rakyat Amerika atau negara tersebut, tetapi pada tindak-tanduk pegawai-pegawai mereka dalam menjalankan tugas. Bagi perwakilan dari negara Islam pula, mereka seolah-olah menjadi kumpulan sasar.
Apabila Presiden AS membuat lawatan rasmi (bukan hanya terhad kepada negara Islam), beliau akan berhadapan dengan cemuhan, demonstrasi dan beberapa tindakan lain yang menzahirkan rasa tidak senang dan puas hati terhadap tindakan dan polisi pentadbiran AS. Mungkin perkara ini berlaku disebabkan sikap pimpinan AS sendiri dalam menguruskan perhubungan mereka dengan negara lain.
Dasar luar mereka juga dianggap sombong tanpa menghiraukan pandangan masyarakat antarabangsa. Sikap ``sama ada bersama kita atau tidak bersama kita'' memberi tekanan kepada negara-negara lain, walaupun tidak anti mereka, dalam menguruskan dasarnya secara bebas.
Kita tidak berada di New York kerana kita hendak berada di situ. Apa yang boleh kita perkatakan, kini perwakilan Malaysia yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB memahami apa yang saya suarakan kerana mereka juga melalui pengalaman yang sama.
Selepas beberapa hari berada di sini, kita mula menerima perkara ini sebagai perkara biasa yang tidak perlu dibincang ataupun menimbulkan kemarahan. Kita lebih filosofikal serta melihat kelucuan pada setiap insiden yang berlaku. Tidak syak lagi soal keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh kita permudahkan. Persediaan mereka semasa Perhimpunan Agung PBB menjadikan New York seperti sebuah kota raya yang bersedia untuk peperangan. Di setiap penjuru ada polis sama ada yang beruniform ataupun tidak, termasuk pasukan dari ejen perisikan (Secret Service) AS.
Dari mula berada di Lapangan Terbang Antarabangsa New York sehinggalah sampai masa hendak pulang kita berhadapan dengan pemeriksaan rapi. Mereka katakan tidak ada diskriminasi di antara mereka yang datang dari negara Islam dan bukan Islam, pemeriksaan dikatakan dilakukan secara rambang.
Saya senantiasa hairan mengapa kalau rambang, saya sering menjadi mangsa pemeriksaan. Setelah berlaku satu insiden pada tahun lalu, saya membuat keputusan untuk bertanya kepada pegawai keselamatan ``airport''. Beliau telah memberitahu saya semasa check-in, pihak syarikat penerbangan akan membuat tanda tertentu di pas masuk (boarding pass) tempat duduk penumpang. Berasaskan tanda ini, maka sekali lagi kita akan berhadapan dengan pemeriksaan.
Syarikat penerbangan pula membuat pertimbangan untuk menandakan kita sebagai risiko hanya berasaskan kepada nama dan wajah kita semasa check-in. Selalunya terkenalah kepada orang Islam atau orang yang difikirkan berasal dari Asia Barat. Yang terkecuali sedikit daripada tindakan rapi begini, saya fikir mungkin, ketua negara ataupun ketua kerajaan.
Kita tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan kuasa mereka yang melaksanakan peraturan ataupun undang-undang. Banyak masa dihabiskan di jalanan untuk sampai ke majlis resepsi yang saya diundang kerana terlalu banyak sekatan jalan raya (road block) yang diadakan.
Bagi menangani masalah keganasan antarabangsa, jelas sekali kerjasama erat diperlukan. Malahan pada pendapat Malaysia yang kini dikongsi oleh majoriti masyarakat antarabangsa, masalah keganasan tidak dapat diselesaikan selagi punca keganasan berlaku tidak dianalisis secara mendalam.
Kita menyaksikan dunia terus pincang kerana jurang kemiskinan di antara negara kaya dan miskin masih luas. Niat untuk melihat dunia yang lebih seimbang serta wujudnya keadilan sejagat adalah satu idealisme dan impian yang masih lagi tidak terisi.
Pemimpin-pemimpin dan delegasi terus menegaskan betapa pentingnya Bangsa-Bangsa Bersatu dihormati bagi menjamin keamanan, kesejahteraan dan kestabilan antarabangsa. Sebenarnya pendekatan unipolar dianggap oleh negara membangun sebagai mencabar kebebasan dan kedaulatan mereka. Negara kecil dan lemah berasa terancam kerana terpaksa mengikut telunjuk kuasa besar. Demokrasi dan sistem perdagangan bebas dilihat lebih memanfaatkan negara maju. Apabila persidangan WTO di Cancun gagal mencapai kesepakatan, negara membangun berasa lega kerana mereka berjaya berperanan untuk mencorakkan sistem perdagangan bebas. Di manakah boleh diletakkan multilateralisme, liberalisme dan demokrasi bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian dunia, adalah persoalan-persoalan yang perlu dirumuskan.
Sedang kita mendengar laungan serta irama demokrasi dan hak asasi, tindakan mereka sendiri tidak melambangkan sifat tersebut. Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri dituduh tidak demokratik dan telus di dalam pelaksanaan kuasa-kuasanya mengikut piagamnya sendiri. Negara yang berkuasa seolah-olah berupaya untuk menjadikan apa yang tidak sah sebagai sah diterima. Justeru itulah kedengaran negara-negara membangun mula menyuarakan, kebanyakan secara berhati-hati, tentang ketidakadilan yang tercetus kerana pengamalan sistem unipolar.
Mereka mahukan dunia yang terus diurus dan digerakkan melalui sistem multilateral. Prinsip ini hanya tersebut di bibir sahaja. Yang terserlah adalah kemunafikan sistem antarabangsa masa kini. Kini terdengar semula tuntutan supaya Bangsa-Bangsa Bersatu disusun semula supaya ia dapat mencerminkan realiti masa kini. Dewasa ini tidak ada lagi dunia yang dipisahkan oleh perbezaan ideologi ataupun berasaskan perang dingin. Bangsa-Bangsa Bersatu seharusnya diperbaharui dan tidak terus kekal dengan formula lamanya. Ia perlu lebih telus dan demokratik, sejajar dengan tuntutan supaya negara-negara mestilah demokratik. Negara kecil dan membangun tidak mahu dipinggirkan dan ditakluk kebebasan dan ekonominya.
Cita-cita ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana tekanan yang hebat dikenakan. Kebanyakan negara tidak berani untuk menegur kerana mereka tidak dapat berhadapan dengan tekanan secara langsung ataupun tidak langsung dari negara-negara tertentu.
Oleh itu suara lantang, tegas dan berprinsip Malaysia sentiasa diberi sambutan hangat dan membanggakan. Apabila Dr. Mahathir memberikan pandangannya, menegur kepincangan dan ketidakadilan yang diamalkan oleh kuasa besar ekonomi dan militari, beliau diberikan sanjungan dan tepukan gemuruh oleh para perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB. Tahun 2003 adalah kali terakhir untuk mereka mendengar suaranya mewakili Malaysia. Kritikan dan teguran berteraskan hujah munasabah dan benar Dr. Mahathir disetujui oleh majoriti negara, walaupun mereka sendiri tidak dapat menyarankannya. Ini jelas dapat dilihat apabila ramai perwakilan negara-negara ahli beratur untuk bersalam dengan Dr. Mahathir selepas ucapannya. Mereka juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada saya selaku Menteri Luar Malaysia.
Malaysia berpegang kepada pendekatan multilateral dalam hubungan politik antarabangsanya. Kita percaya hanya sistem multilateral sahaja yang dapat menjamin keadilan dan keselamatan sejagat boleh dipertahankan. Ia akan menyumbang kepada pengukuhan hubungan rantau dan antarabangsa. Yang pentingnya ialah pendekatan kita tidak statik ataupun beku tetapi dinamik serta bergantung kepada keadaan dan tuntutan semasa sebagai sebuah negara perdagangan yang berdaulat dan merdeka.
Mingguan Malaysia, 21/12/03
Sunday, December 21, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment