Isu Islam Semasa
Oleh SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD. SALLEH
Dakwah adalah tugas yang perlu dijalankan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Hakikat ini dinyatakan menerusi satu ayat al-Quran yang mengisahkan tentang usaha dakwah yang dijalankan oleh Nabi Nuh a.s., yang maksudnya: (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: ``Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman).''
Apa yang jelas ialah teknologi, khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu golongan pendakwah untuk menjalankan tugas dakwah ini sepanjang masa tidak kira siang atau malam. Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai IKIM.fm misalnya, memanfaatkan teknologi penyiaran terkini yang membolehkannya beroperasi 24 jam sehari dengan tenaga kerja yang optimum.
Sehubungan dengan itu, adalah sesuatu yang difikirkan wajar agar teknologi dimanfaatkan supaya dakwah Islamiah akan terus tersebar ke seluruh penjuru dunia, insya-Allah.
Mungkin akan ada yang beranggapan bahawa tekno-da'ie ini adalah seorang individu yang mempunyai pengetahuan agama di samping pengetahuan tentang teknologi. Pada pandangan penulis, ia tidak semestinya demikian. Golongan tekno-da'ie dalam konteks abad ke-21 ini berkemungkinan besar merupakan satu kumpulan individu atau jemaah yang mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri.
Dalam jemaah tekno-da'ie tersebut, terdapat seorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama yang akan menjadi orang di hadapan tabir menyampaikan mesej amar makruf nahi mungkar. Beliau akan disokong oleh beberapa individu lain di belakang tabir yang mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi yang akan menyediakan bahan dakwah dalam bentuk yang inovatif, interaktif dan menarik untuk disampaikan kepada orang ramai menggunakan teknologi terkini.
Dalam perkataan lain, jemaah tekno-da'ie ini sebenarnya adalah sekumpulan individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang satu iaitu ingin menegakkan syiar dan syariat Islam yang mengajak manusia ke jalan kebenaran. Pendek kata wujud kerjasama pintar dan sinergi di antara golongan agama dengan golongan teknologis.
Tanggungjawab dakwah adalah tanggungjawab semua orang. Dakwah tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu satu-satu golongan semata-mata. Dakwah boleh dilakukan dalam bentuk percakapan (dakwah bil lisan), penulisan (dakwah bil kitab) dan kelakuan (dakwah bil hal). Tidak ada seorang pun yang boleh lari dari tanggungjawab dakwah ini.
Dalam konteks perbincangan mengenai tekno-da'ie ini, ia memberikan satu peluang kepada mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi untuk berdakwah dan bekerjasama dengan golongan alim ulama dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Golongan teknologis berperanan dalam membuat pakej dengan menggunakan teknologi terkini supaya Islam akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan cekap.
Golongan alim ulama pula menyediakan bahan kandungan yang amat-amat diperlukan bagi tujuan dakwah. Perlu disedari bahawa cabaran yang menanti umat Islam hari ini ialah ketandusan dan kekurangan bahan-bahan Islam yang menggunakan ICT. Justeru, bahan-bahan Islam yang menggunakan ICT ini perlulah diperbanyakkan.
Bagi menjayakan matlamat ini, perlu ada kerjasama di antara golongan alim ulama dengan golongan teknologis. Gabungan kedua-dua inilah yang akan mencetuskan dan merealisasikan jemaah tekno-da'ie.
Tidak dinafikan bahawa pendekatan dakwah konvensional dan tradisional adalah penting. Bagaimanapun, perlu diwujudkan satu golongan pendakwah yang mampu menggunakan ICT bagi tujuan murni ini. Ini kerana rata-rata generasi hari ini adalah generasi yang celik ICT dan techno-savvy. Untuk menghampiri mereka ini, perlulah digunakan pendekatan yang terkini dan moden.
Justeru, perlu ada satu golongan tekno-da'ie yang bijak dan selesa menggunakan ICT untuk berdakwah.
ICT dapat dimanfaatkan oleh pendakwah menerusi dua cara iaitu untuk mencari maklumat bagi memperkayakan ilmu pengetahuan pendakwah dan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai. Kebijaksanaan pendakwah adalah diperlukan bagi tujuan ini dalam memilih platform dan aplikasi ICT yang terbaik untuk menyampaikan dakwah, baik menerusi e-mel, laman web, aplikasi perbualan seperti IRC dan ICQ, penggunaan SMS, telefon mudah alih, animasi, power point dan sebagainya.
Masjid boleh memainkan peranannya sebagai pusat kegiatan golongan tekno-da'ie ini dengan menyediakan prasarana yang diperlukan seperti komputer dan Internet.
Di dalam era ICT yang penuh dengan pelbagai cabaran yang tidak pernah terbayang oleh manusia sebelum ini, adalah penting bagi institusi masjid dan surau memainkan peranannya secara berkesan dengan strategi-strategi yang teratur dan tersusun.
Ini adalah penting bagi menyediakan umat Islam dengan persiapan-persiapan yang sewajarnya untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran getir ini. Hakikatnya, masih ramai di kalangan umat Islam yang masih tidak sedar akan kepentingan ICT dalam kehidupan hari ini. Ini kerana ICT hanya dipandang dari aspek negatif semata-mata, walhal ICT adalah satu alat yang jika digunakan dengan betul dan bijaksana mampu membawa manusia kepada kebaikan dan kejayaan.
Selepas peristiwa 11 September 2001 pula, ICT digunakan oleh mereka yang memusuhi Islam untuk menjatuhkan imej Islam dengan mengetengahkan dakyah-dakyah palsu mengenai Islam. Media massa dan Internet digunakan dengan meluas untuk memerangi Islam. Sebab itu penguasaan dalam bidang teknologi adalah amat penting dalam mempertahankan kedaulatan negara kita.
Kekuatan tamadun-tamadun Islam sehingga kurun ke-13 Masihi sebenarnya bukan terletak semata-mata kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya banyak bergantung kepada kekuatan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang diperkukuhkan dengan keimanan dan ketakwaan. Justeru, umat Islam perlu menyedari akan hakikat ini dan merebut peluang yang disediakan oleh ICT untuk mengejar kembali mereka yang telah lama maju.
Dalam hal ini, wajar sekali golongan yang bergelar tekno-da'ie ini menjadi tonggak ke arah penguasaan kembali umat Islam ke arah mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Mereka inilah yang perlu memikul tanggungjawab untuk memperbetulkan imej Islam yang telah diwarnai dengan salah faham dan salah tanggap, di samping pada waktu yang sama menyebarkan kefahaman yang sebenar tentang Islam. - SHAIKH MOHD SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Utusan Malaysia, 19/12/03
Friday, December 19, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment