Friday, December 12, 2003

Pelanggan Internet Malaysia berjumlah 3.04j

SYARIKAT penyelidikan teknologi maklumat, IDC Malaysia menyatakan jumlah pelanggan Internet di Malaysia telah mencecah 3.04 juta pengguna yang menyumbang perolehan sebanyak RM508,5 juta untuk tahun ini.

Kajian terbaru `Peluang Perkhidmatan Nilai Tambah dan Akses Internet 2002-2007' oleh IDC itu menunjukkan bilangan pelanggan pengguna rumah mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu mewakili 79.3 peratus dan kini berkembang pesat untuk perkhidmatan jalur lebar.

Penganalisis Peranti, Kajian Komunikasi IP dan Perundingan, IDC Malaysia, Lincoln Lee berkata, walaupun pasaran akses Internet dikuasai sepenuhnya oleh pelanggan `dial-up', pengguna akan mula tertarik kepada perkhidmatan jalur lebar yang kini semakin menarik dan mampu dimiliki.

Beliau berkata, dengan penurunan harga dalam jalur lebar baru-baru ini, teknologi komunikasi canggih itu akan menjadi pilihan utama pengguna Internet tempatan di masa depan.

Pasaran akses internet pada keseluruhannya dikuasai oleh pelanggan dial-up, menyumbang sebanyak 77.8 peratus daripada RM508.5 juta, manakala perolehan jalur lebar akan meningkat 94.5 peratus bagi tempoh 2002 dan 2007, katanya.

Lee berkata, dengan peningkatan dalam perkhidmatan Streamyx, IDC menjangkakan pasaran jalur lebar akan menjadi pemacu utama untuk pertumbuhan bagi pasaran perkhidmatan tambah nilai dan akses internet.

``Kami menjangkakan teknologi jalur lebar akan menjadi pemacu kepada pasaran akses Internet negara namun begitu penyedia perkhidmatan Internet harus memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan adalah tinggi,'' katanya.

Utusan Malaysia 10/12/03

No comments: