Friday, November 21, 2003

Ikrar pelihara nilai Islam

Oleh Abd. Manaf Ahmad

Dalam sejarah penubuhan Pas, inilah kali pertama parti itu mengakui bukan secara terbuka tetapi secara tersirat dan diumumkannya semasa membentangkan Dokumen Negara Islam bahawa mereka mengiktiraf dan mengakui suntikan Islam yang dibuat oleh UMNO dalam kerajaan adalah berkesan dan memberi manfaat. Pengiktirafan ini dirakamkan dalam mukadimah muka surat 15 hingga muka surat 19 Dokumen Negara Islam yang berwarna hijau muda itu.

Ayat-ayat al-Quran yang dibentangkan dalam mukadimah itu adalah ayat-ayat yang dibawa oleh penceramah UMNO dari dahulu hingga sekarang dengan harapan umat Islam dapat mengambil iktibar daripadanya.

Sebagai contoh, ayat 107 dari surah Al-Anbiyaa' yang bermaksud: ``Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.'' Memang benar bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai payung rahmat yang menjamin keselamatan bagi seluruh alam. Sebab itu media cetak dan media elektronik kerajaan membawa risalah yang jelas kepada jumhur umat Islam bahawa Islam itu indah dan perlu dipertonton sebagai agama yang cantik dan indah.

Pemerintah sentiasa menjalankan tanggungjawab berdakwah dengan hikmah dan bijaksana. Pemimpin-pemimpin kerajaan sentiasa berinteraksi dan berhujah dalam mana-mana forum dengan hujah-hujah yang baik serta menjauhi daripada kata-kata yang boleh mencemarkan kesucian Islam itu, sekalipun dicabar dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata yang tidak manis didengar.

Alhamdulillah pemimpin Pas telah mulai sedar akan realiti dan sensitiviti masyarakat berbilang agama, etnik dan budaya di negara ini. Kesedaran yang baik itu tidak boleh dipersembahkan dengan cara retorik tetapi mestilah secara amalan lisan dan perbuatan yang baik yang berlandaskan Islam seperti mana yang ditunjukkan oleh kerajaan melalui kempen `Penerapan Nilai-nilai Islam', `Bersih Cekap dan Amanah', `Kepimpinan Melalui Teladan' dan lain-lain lagi.

Dengan jujur masyarakat mengakui perjuangan Pas dalam memelihara amalan demokrasi berparlimen. Semenjak merdeka hingga sekarang, Pas tidak pernah memulau mana-mana pilihan raya di negara ini dan tidak pula menentang kerajaan secara militan dan terbuka. Ia juga menjadi hujah kepada sesetengah pihak dan mengancam Pas kerana mengambil bahagian dalam pilihan raya yang dianjurkan oleh kerajaan yang dianggap tidak Islamik. Kesedaran seumpama ini boleh diubahsuai oleh pimpinan Pas pada masa akan datang dan tentulah tidak mustahil satu hari nanti parti Islam itu akan kembali duduk di bawah satu bumbung seperti mana yang berlaku di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain dan Allahyarham Datuk Asri Muda pada tahun 1970-an.

Cita-cita umat Islam yang mahu melihat negara ini lebih maju ke hadapan akan tercapai segera, sekiranya tidak ada apa-apa halangan tetapi dikongsi bersama ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kita miliki bersama hampir lima puluh tahun itu, untuk menjadi teladan kepada dunia Islam hari ini.

Jika kita dapat membawa Malaysia ke mercu yang lebih tinggi tanpa emosi kepartian, maka pada masa itu tentu akan ada ahli perniagaan daripada kalangan orang Islam dan bukan Islam yang mampu membawa modal yang besar ke Pantai Timur dan membawa pembangunan yang diperlukan.

Sebenarnya inilah dasar yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w. semasa memperkenalkan sahifah atau muahadah (perlembagaan) Madinah dahulu yang menjadikan penduduk Madinah dari pelbagai kaum dan agama itu dapat sama-sama berniaga dan hidup aman damai. Jika ini berlaku di negara kita, sudah tentu para pemimpin Islam yang memberontak di negara-negara Islam lain itu akan datang belajar dengan kita bagaimana kita boleh hidup dalam dunia Islam dengan aman damai seperti zaman Nabi dahulu.

Alhamdulillah, cita-cita Pas yang termaktub di dalam perlembagaannya fasal 5 ceraian (i) dan (ii) mahu memperjuangkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang mengamalkan nilai-nilai hidup Islam dan mempertahankan kesucian Islam serta kewujudan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perkara itu sebenarnya tercapai apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memulakan pentadbirannya dengan memperkenalkan dasar `Penerapan Nilai-nilai Islam'. Tentulah kita tidak dapat melihat hasilnya dalam masa yang singkat tetapi jika usaha seumpama ini disokong oleh Pas dengan jujur tentulah pentadbiran Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membawa hasil yang lebih positif kerana pentadbirannya akan bebas daripada gangguan emosi politik yang tidak membawa apa-apa faedah.

Itulah cita-cita kita semua tanpa mengira kaum dan agama yang mahu melihat kesinambungan pentadbiran yang diredhai Allah semenjak Nabi Muhammad yang menegakkan negara Islam di Madinah, membawa zaman Khulafa al Rashidin hingga hari ini. Jika ini dapat dijalankan maka dapatlah kita menuju kehendak dan keredhaan Allah seperti dalam Surah Az-Zaariyat ayat 56 yang bermaksud: ``Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku.''

Ramai umat Islam kurang yakin tentang usaha meletak al-Quran dan hadis sebagai lambang perlembagaan sesebuah negara Islam kerana banyak negara Islam berbuat demikian tetapi pada hakikatnya mereka tidak pun mengurus dan melaksanakannya mengikut lunas-lunas Islam yang sepatutnya. Apa salahnya kita melaksanakan kehendak al-Quran dan hadis itu secara yang termampu oleh kita tanpa meletakkannya sebagai lambang negara. Bukankah itu satu tindakan yang bijak dan berhikmah seperti mana yang dituntut oleh al-Quran. Tentu lebih baik kita berusaha ke arah yang termampu daripada kita memaksa diri mencipta sebuah negara ideal yang tidak termampu oleh kita.

Bukan asing lagi bagi umat Islam di Malaysia mendengar ceramah umum di dewan atau menonton TV mengenai ikrar setiap orang Islam dalam solat yang bermaksud: ``Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah Tuhan Sekalian Alam.''

Adakah Pas melalui Dokumen Negara Islam merasa sangsi tentang ikrar itu, jika negara Islam tidak dapat ditegakkan? Maknanya ikrar dalam solat kita bahawa `solatku, ibadatku dan matiku' tidak sempurna jika tidak ditegakkan negara Islam di Malaysia seperti mana yang dikehendaki oleh Pas.

Persoalannya di sini bagaimana dengan solat umat Islam di Australia, Amerika Syarikat dan Eropah? Adakah solat mereka tidak sempurna? Sebenarnya ikrar kita itu mestilah diikuti dengan pelaksanaan oleh pancaindera kita yang lima iaitu mata jangan melihat benda-benda yang haram, mulut jangan bercakap dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, minda jangan memikir perkara-perkara yang haram dan sebagainya.

Bagaimana ikrar kita dalam negara Islam yang dianggap sebagai sempurna itu, jika mulut membuat fitnah, mencarut dan menghina orang dilakukan seperti minum air setiap pagi? Bentuklah walau bagaimana negara Islam ideal yang diinginkan, jika perkara-perkara seumpama ini berlaku terutama yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi negara Islam itu sendiri, maka negara Islam itu tidak bermakna sama sekali.

Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, mahu melihat keadilan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terjamin. Sebenarnya itulah juga yang diidamkan oleh pemerintah. Persoalannya bolehkah kita memberi kesejahteraan kepada semua orang? Bolehkah kita memberi keadilan kepada semua orang? Bolehkah kita menjamin keselamatan kepada semua orang.

Pelaksanaan secara ideal tidak mungkin dapat dilaksanakan, kerana tanggapan seseorang mengenai keadilan, kesejahteraan dan keselamatan itu berlainan dengan seseorang, kumpulan, parti bahkan berlainan tanggapan di antara satu bangsa dengan satu bangsa yang lain.

Bagaimana hendak melaksanakan keadilan, kesejahteraan dan keselamatan mengikut kehendak Islam? Jawapannya kita lakukan mengikut kaedah syura yang dibawa oleh Islam iaitu menghormati suara majoriti dalam pilihan raya. Tidak ada rakyat yang mahukan pemerintah zalim, pemerintah yang boleh membawa huru-hara dan pemerintah yang mahu membawa penderitaan kepada rakyat. Hasil pilihan raya umum kita yang memberikan kemenangan kepada mana-mana parti adalah manifestasi rakyat yang mahu kerajaan yang boleh membawa keadilan, keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat, negara dan agama.

- Datuk Abd. Manaf Ahmad adalah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Utuan Malaysia, Jumaat 21/1o/2003

No comments: