Wacana Islam
Oleh Anuar Puteh
Amalan kepimpinan yang baik merupakan salah satu daripada keperluan hidup manusia dalam keadaan dunia yang semakin mencabar pada hari ini. Keperluan ini menjadi semakin mendesak kepada umat Islam berdasarkan keadaan dan kedudukan mereka yang boleh dikatakan jauh ketinggalan berbanding golongan lain sama ada di Timur atau di Barat.
Keadaan ini perlu diterima secara terbuka dan setiap kelemahan yang ada perlu diakui serta diperbaiki ke arah mewujudkan satu bentuk kepimpinan kehidupan masyarakat yang bertepatan dengan objektif asal kejadian manusia iaitu pengabdian diri kepada Pencipta. Objektif ini merupakan persoalan asas yang perlu difahami dalam menilai amalan kepimpinan yang berkesan dalam Islam.
Kepimpinan dari sudut bahasa Arab membawa maksud Imamah, Khilafah, Qiyadah, Za'amah, Riasah, Siyadah dan Riayah. Dari sudut istilah menurut Ibn Taimiyah kepimpinan merupakan tuntutan utama agama. Tanpa kepimpinan urusan pentadbiran agama dan bangsa tidak dapat dijalankan secara sempurna. Menurut Muhammad Tahyir kepimpinan adalah fungsi pimpinan dalam sesuatu masyarakat yang wujud hasil interaksi di antara orang yang mempunyai kebolehan untuk melaksanakan pimpinan dengan keperluan yang ada.
Kepimpinan menurut Fathi Yakan pula ialah satu kemahiran berkomunikasi dengan fitrah manusia untuk mempengaruhi dan juga mengarahkan manusia ke arah mencapai matlamat dengan cara memastikan kepatuhan, kepercayaan dan penghormatan.
Objektif kepimpinan dalam Islam adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan juga untuk mendapatkan kebaikan bagi semua makhluk.
Sistem kepimpinan (pentadbiran) Islam terbit daripada beberapa sumber dan yang paling utama ialah al-Quran dan sunah. Al-Quran merupakan kitab Allah yang mengandungi ajaran yang syumul untuk kemaslahatan seluruh umat manusia.
Di dalam al-Quran juga terdapat ayat-ayat dan peraturan yang berkaitan dengan tatacara kehidupan bermasyarakat yang mencakupi pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, perundangan, sosial, pendidikan termasuklah kepimpinan.
Kepimpinan dalam Islam adalah bermatlamatkan kemaslahatan semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Ini kerana matlamat kepimpinan itu sendiri adalah untuk menjaga keharmonian semua makhluk.
Kesederhanaan digalakkan oleh Islam dalam semua hal termasuk penggunaan sumber-sumber dalam kepimpinan kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang sederhana, pertengahan dan umatnya pula merupakan umat yang menjadi teladan kerana kesederhanaan. Kesederhanaan digalakkan juga dalam ibadat khusus dan umum seperti bersembahyang, bersedekah, berbelanja, pertuturan, perbuatan, berpakaian dan sebagainya.
Allah memperuntukkan masa 24 jam kepada setiap manusia sehari semalam. Masa tersebut tidak pula kurang dan lebih bagi setiap manusia. Dalam jangka masa itulah pelbagai kewajipan dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sama ada dalam urusan dunia dan akhirat seperti sembahyang, puasa, berzikir, bekerja, makan, minum dan juga tidur.
Masa juga begitu penting dalam sesebuah urusan pengurusan dan kepimpinan. Ini kerana setiap daripada mereka yang terlibat dalam urusan ini perlu menyelesaikan setiap urusan pada masa yang ditetapkan supaya tidak mengganggu urusan dan menyusahkan orang lain.
Oleh itu, Allah telah memerintahkan kepada manusia supaya menghargai dan menggunakan masa dengan sebaiknya supaya tiada urusan yang terbengkalai dan tertangguh. Mereka yang suka menangguh dalam menyelesaikan urusan mereka akan menyebabkan urusan mereka akan tidak sempurna kerana melakukannya dalam jangka waktu yang singkat tidak seperti yang dijangkakan.
Manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan itu tidak berdasarkan kepada pangkat, kuasa, gelaran, kedudukan dan sebagainya dalam hierarki pengurusan (Mustafa Daud, 1994 ).
Setiap manusia perlu menyedari bahawasanya Allah melihat dan mengetahui setiap apa yang mereka lakukan sama ada di hadapan umum ataupun secara tersembunyi. Seandainya setiap manusia mempunyai sifat ihsan pastinya mereka akan melaksanakan tugas dengan ikhlas, sepenuh hati dan bersungguh-sungguh semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Allah telah menjanjikan syurga kepada mereka yang mempunyai sifat ini termasuk dalam pengurusan organisasi.
Rasuah adalah satu perbuatan memberi ganjaran kepada seseorang bagi kepentingannya dan menafikan hak orang lain. Oleh kerana itu, rasuah boleh dikatakan sebagai satu sifat mementingkan diri sendiri. Sifat ini tidak boleh dilakukan dalam urusan harian manusia terutama dalam pengurusan organisasi dan kepimpinan.
Kepimpinan organisasi dalam Islam adalah bersifat menyeluruh, mempunyai ciri-ciri dinamisme, profesionalisme dan sempurna. Hal ini bertitik tolak daripada tanggapan bahawa segala apa yang dilakukan oleh manusia dikira sebagai ibadat termasuk ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah, ketua, keluarga dan organisasi.
- Anuar Puteh, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Utusan Malaysia 19/12/03
Friday, December 19, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment