Oleh Abd. Manaf Ahmad
Permintaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jangan ada sesiapa melaga-lagakannya dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi haruslah dihormati semua orang. Permintaan itu dibuat kerana perbuatan melaga-lagakan pemimpin politik sama ada dalam kerajaan atau pembangkang sudah menjadi lumrah mainan dalam politik. Harapan dan nasihat Najib pada hari pertama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, patutlah diambil iktibar dan menghayatinya.
Mainan politik seumpama itu sangatlah tidak sihat kerana ia boleh membawa keburukan kepada kedua-dua pemimpin yang dilaga-lagakan itu, malah ia boleh membawa kepada bencana kerana perbuatan itu akan menjadikan negara kita tidak stabil. Ini boleh berlaku kerana yang bertembung itu dua kumpulan yang besar. Kita menyaksikan pertempuran berlaku di sesetengah Negara Ketiga hingga membawa kepada kancah perang saudara. Janganlah menghidupkan budaya politik `pecah-pecah kemudian perintah'. Orang ramai tidak harus menjadi pak turut kepada orang politik yang kecewa.
Tentu tidak perlu ditanya, apakah sebabnya nasihat seumpama itu dinyatakan. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pemimpin politik ada penyokongnya sendiri yang mahu menjulang tokoh mereka ke tempat dan kedudukan yang lebih tinggi. Pemimpin penyokong ini akan menyusup masuk ke pejabat Timbalan Perdana Menteri dan membuat cadangan atau rancangan mereka sendiri tanpa diketahui oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh supaya Timbalan Perdana Menteri cepat naik ke tangga terakhir.
Sejarah pentadbiran negara kita menyaksikan tidak semua Timbalan Perdana Menteri berjaya menjadi Perdana Menteri kerana sandiwara yang dimainkan oleh penyokong-penyokong mereka. Isunya kecil sahaja tetapi membawa makna yang besar. Umpamanya kelakuan penyokong orang nombor dua meletakkan gambar Timbalan Perdana Menteri setara dengan gambar Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak merasa apa-apa tetapi orang yang melihatnya membuat ulasan dan komen.
Daripada perbuatan yang kecil itu boleh membawa angkara yang besar seperti digandingkan dua huruf yang sama. Malah penyokong seorang Timbalan Perdana Menteri masuk ke bahagian-bahagian UMNO mencalonkan nama beliau menjadi Presiden UMNO. Api menjadi semarak apabila negara kuasa besar mahu mengetepikan Perdana Menteri dengan memberi sambutan karpet merah kepada Timbalan Perdana Menteri semasa beliau membuat kunjungan ke negara itu. Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri ini tidak menjadi Perdana Menteri.
Jika penyokong Perdana Menteri daripada kalangan orang politik melihat sandiwara yang dilakonkan oleh penyokong Timbalan Perdana Menteri itu seperti benar-benar berlaku, maka sudah tentu penyokong Perdana Menteri akan segera bergerak mempertahankan serangan yang dilihat sebagai berbahaya itu. Pada masa itu akan berlakulah satu pertembungan yang hebat seperti ombak menghempas pantai atau banjir memusnah jambatan. Pada masa itu salah seorang daripada mereka terpaksa berundur. Permintaan Najib itu mempunyai hikmah yang besar.
- Datuk Abdul Manaf Ahmad adalah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Utusan Malaysia, Jumaat 16/1/2004
Friday, January 16, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment