Wacana Islam
Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad
Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang berjaya mencatatkan rekod pembangunan yang amat pesat dalam tempoh 47 tahun kemerdekaannya. Kejayaan ini dapat dilihat melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia di mana dalam tempoh 1973-1995, purata pendapatan per kapita sebenar rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 2.5 kali ganda.
Dalam tempoh tersebut, kadar kemiskinan juga telah menurun dari lebih separuh populasi rakyat Malaysia dalam kategori miskin kepada 7.8 peratus pada 1995. Usaha untuk mencapai kemiskinan sifar sewajarnya diteruskan meskipun realiti kemiskinan sifar mungkin mendapat reaksi yang pelbagai.
Persoalan definisi kemiskinan mendapat banyak takrifan. Dari sudut ekonomi, kemiskinan boleh ditakrifkan sebagai ketidakcukupan penguasaan sumber-sumber ekonomi yang mengakibatkan seseorang tidak mampu memainkan peranan yang berkesan sebagai salah seorang ahli dalam sesebuah masyarakat. Akibatnya, seseorang itu terpaksa bergantung harap dan bantuan daripada pihak lain.
Definisi yang terlalu umum ini sukar untuk dijadikan ukuran. Oleh itu, kemiskinan biasanya diukur berdasarkan kadar garis kemiskinan; sama ada garis kemiskinan relatif atau mutlak; atau garis kemiskinan bandar atau luar bandar; masing-masing mempunyai ukuran yang berbeza.
Secara asasnya, kemiskinan dari sudut ekonomi dilihat pada kedudukan material atau kebendaan seseorang. Dari kaca mata agama Islam, kemiskinan mencakupi sudut kebendaan dan sudut kerohanian seseorang mahupun masyarakat. Kedua-duanya mendapat keutamaan dan mesti diperangi.
Dalam usaha untuk membanteras kemiskinan kebendaan, Islam menganjurkan pengganutnya supaya bekerja kuat untuk menunaikan nafkah terhadap keluarga dan tanggungan. Kita juga diwajibkan mengeluarkan zakat di samping memberi sedekah, mewakafkan harta, memberikan hadiah dan sebagainya sebagai satu cara untuk membersihkan rohani dan harta perolehan kita. Kewajiban menunaikan haji turut menjadi satu motivasi untuk umat Islam bekerja keras bagi menunaikan ibadah tersebut.
Ini dijelaskan lagi oleh al-Quran di dalam surah al-Qasas ayat 77 di mana Allah berfirman, Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.
Selain memerangi kemiskinan kebendaan, miskin kerohanian merupakan satu penyakit sosial yang lebih bahaya. Penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara tujuan agama Islam diturunkan di mana pada zaman Arab Jahiliah, masyarakatnya hidup dalam kegentingan dan kemelaratan rohani.
Islam memandang tinggi ketinggian dan kekayaan rohani seseorang individu. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sesungguhnya ialah kaya hati.
Sebagai sebuah negara yang dinamik, usaha untuk membanteras kemiskinan sewajarnya mengambil kira kedua-dua aspek kemiskinan tersebut. Ini kerana, kemiskinan akan mendatangkan banyak masalah pada pembangunan negara. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa kemiskinan mengancam masyarakat kerana ia mendatangkan bahaya kepada akidah; bahaya kepada etika dan moral; bahaya kepada akal fikiran; bahaya kepada keharmonian rumah tangga dan bahaya kepada masyarakat dan negara keseluruhannya.
Dalam dasar dan polisi ekonomi Islam itu sendiri, antara objektif utamanya ialah untuk memastikan keperluan asasi setiap rakyat dipenuhi, memastikan kesaksamaan dalam pembahagian kek ekonomi (berbeza dengan kesamarataan pembahagian kekayaan) dan membanteras wujudnya perbezaan jurang kekayaan yang besar dalam masyarakat.
Adalah diharapkan, dalam kita terus mencatatkan kecemerlangan dalam pencapaian kadar di atas, usaha yang lebih gigih turut diberikan dalam memerangi kemiskinan rohani masyarakat. Semoga kadar kes jenayah, gejala samseng di sekolah, isu murtad dan sebagainya lagi akan dapat dikurangkan dan seterusnya terus lenyap dalam masyarakat kita.
- MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD ialah pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Utusan Malaysia :: 16/4/2004
Friday, April 16, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment