Sunday, April 11, 2004

Islam wadah terbaik bentuk bangsa Malaysia

Oleh Muhamad Razak Idris

DALAM usaha memajukan budaya umat Islam, langkah utama yang perlu digerakkan ialah menghidupkan agama dalam amalan hidup masyarakat. Ia merujuk kepada usaha menterjemahkan nilai daripada ajaran al-Quran ke dalam segenap aspek pengamalan kehidupan seharian, tata susila kemasyarakatan dan dasar kenegaraan.

Matlamat akhir daripada langkah ini ialah penjelmaan nilai dan prinsip utama al-Quran yang menjadi dasar utama Islam sebagai satu fenomena kebudayaan yang hidup untuk menggerakkan kemajuan dan kebangkitan masyarakat.

Dalam konteks hari ini, tugas menghidupkan agama adalah antara jihad terbesar. Ini kerana ia menjadi sebahagian punca permasalahan dan halangan utama umat Islam untuk bangkit, seterusnya kembali menyumbang kepada sejarah dan kemajuan peradaban dunia. Ketidakupayaan untuk menterjemahkan nilai ajaran yang dianuti memberi kesan negatif kepada perkembangan agama dan kelangsungan umat Islam.

Diteliti dalam pelbagai debat dan perbahasan, muncul aliran pemikiran, terutama dari Barat, yang mempersoalkan relevennya Islam sebagai satu sistem hidup dalam konteks masa kini.

Ini memberi gambaran terhadap tahap pemikiran dan perasaan sesetengah kelompok masyarakat yang seolah-olah dilanda keraguan dan ketidakyakinan terhadap kebenaran dan kesyumulan Islam yang sekian lama diucapkan oleh ulama dan ilmuwan Islam. Ini memandangkan, perbahasan Islam masih lagi dalam bentuk seruan dan teori yang tidak tergambar dan terlaksana dalam amalan harian kehidupan umat Islam yang menganuti ajarannya.

Sebahagian masyarakat berada dalam kekeliruan akibat kelemahan dan ketidakupayaan umat Islam menterjemahkan ajaran dan nilai Islam dalam kehidupan moden hari ini. Peranan Islam sebagai agama yang membentuk nilai unggul dan menjadi sumber penggerak kebangkitan bangsa, tidak harus dipertikaikan kerana ia terbukti dalam sejarah perkembangan peradaban dunia.

Kebangkitan bangsa Arab dan peranannya yang besar dalam sejarah peradaban manusia pada kurun terdahulu, contohnya, adalah natijah daripada keutuhan nilai ajaran agama Islam yang berjaya diterjemahkan dalam budaya kehidupan mereka.

Kelangsungan bangsa Arab berada dalam keadaan `nazak' dan tidak menentu akibat kebekuan pemikiran dan prejudis puak yang menebal sebelum usaha pemulihan dan pembaharuan semula budaya hidup dijayakan oleh Nabi Muhammad.

Ajaran al-Quran, sumber utama nilai Islam adalah punca penggerak utama kebangkitan bangsa Arab di pentas peradaban. Oleh demikian, usaha dan langkah menghidupkan agama dalam kerangka budaya masyarakat adalah cabaran terbesar umat Islam sekiranya kita bertekad untuk melihat satu kebangkitan baru tamadun umat di rantau alam ini.

Dalam konteks negara kita, cabaran ini bertambah besar memandangkan medan untuk proses penjelmaannya unik dan tersendiri.

Malaysia ditakdirkan oleh sejarah sebagai tempat pertemuan dan perhimpunan bangsa besar dan kecil yang pelbagai.

Realiti kemajmukan masyarakat menuntut kepada kreativiti dan ijtihad yang lebih meluas dalam rangka penterjemahannya.

Cabaran utama kita ialah menterjemahkan maksud dan nilai ajaran Islam sebagai satu sistem hidup yang tidak saja dapat dihayati oleh masyarakat Melayu-Islam, malah difahami dan dikongsi oleh masyarakat bukan Islam daripada pelbagai kaum dan bangsa. Ia adalah agenda bagi membentuk dan membina budaya ‘Islam ke-Malaysiaan’ yang mengambil kira unsur murni yang pelbagai menjadi satu sistem nilai yang diperkongsikan.

Agenda ini adalah satu kerangka misi yang harus diusahakan secara muafakat oleh setiap lapisan masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab untuk kita membuktikan bahawa Islam sebagai satu agama yang mengajarkan nilai progresif yang mempunyai jawapan dan penyelesaian terhadap apa juga persoalan dalam perubahan zaman. Adalah satu kesalahan bagi kita mempersoal dan menyalahkan agama kerana ketidakupayaan memberikan jawapan secara praktik terhadap persoalan baru yang berkembang, sedangkan kesalahan itu disebabkan ketidakupayaan penganutnya dalam memahami dan mengkaji secara tepat dan mendalam mesej Islam.

Islam ke-Malaysiaan sebagai satu satu kerangka berfikir baru menuntut satu penekunan semula terhadap teks tradisional serta penelitian yang objektif terhadap sejarah, pengaruh dan kesan sosial yang berkembang dan tumbuh dalam realiti Malaysia moden.

Dalam menjayakan misi ini, pembudayaan awal perlu dimulakan terhadap ilmuwan dan cerdik pandai tanah air. Mereka perlu menjadi kumpulan penggerak, terutama dalam merungkai permasalahan semasa dan meleburkan kebekuan serta ketidakyakinan masyarakat terhadap ajaran Islam.

Untuk itu, proses pengkajian ilmu dalam rangka menjalinkan keserasian pandangan antara konsepsi agama dan realiti sosial yang berkembang perlu diperbanyakkan. Satu kerangka berfikir baru serta penghayatan terhadap agenda kerja bersama bagi mewujudkan satu budaya baru masyarakat yang berteraskan nilai, perlu segera diperdebatkan.

Proses pembudayaan baru ini merujuk kepada keperluan menghidupkan semangat ijtihad iaitu pemugaran budaya berdialog dan berdebat secara berhemah, keterbukaan sikap dalam menerima pandangan dan pendapat baru serta bertindak positif dalam berdepan dengan persoalan baru.

Langkah lain yang mustahak ialah penggemblengan institusi ilmu serta pusat penyelidikan bagi membuka ruang dan menggerakkan agenda pembudayaan ini. Ini boleh dijayakan melalui usaha penajaan kegiatan penyelidikan, pembukuan dan penterjemahan aspek yang mempunyai kesesuaian. Perbincangan seperti bengkel, muzakarah atau seminar dengan membabitkan tokoh berkelayakan dalam dan luar negara mustahak, terutama dalam rangka menyemarakkan dialog bagi memahami pengalaman peringkat global.

Usaha akan lebih berkesan sekiranya kita mampu mengupayakan institusi di peringkat akar umbi untuk terbabit dalam menjayakan dan menghidupkan agenda ini. Institusi masjid, jawatankuasa pembangunan desa atau pertubuhan belia dan wanita adalah antara kumpulan awam di peringkat akar umbi yang boleh menjayakan usaha ini kerana pembabitan mereka secara langsung dengan masyarakat terbanyak.

Tema sosial yang mempunyai kaitan langsung dengan masyarakat yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dari sudut Islam perlu dikenal pasti dan diberi keutamaan untuk diperbahaskan. Langkah seterusnya ialah menterjemahkan jawapan itu sebagai satu sistem nilai dan etika yang hidup. Kita perlu memberi jawapan praktik. Contohnya, konsep bangsa Malaysia dan bagaimana nilai Islam dapat menjadi sumber penggerak ke arah pembentukan wajah bangsa yang bakal dibina.

Berita Harian :: April 2004

No comments: