Sunday, April 11, 2004

Apabila ‘orang agama’ jadi pesaing politik

Oleh Jahamy

PILIHAN Raya Umum Ke-11 baru-baru ini melihat lebih ramai ulama atau mereka yang dianggap ‘orang agama’ menjadi calon jika dibandingkan dengan pilihan raya sebelumnya.

Di antara calon itu ada yang berjaya dan ada yang gagal untuk menjadi Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Kita mengetahui bahawa proses pilihan raya adalah untuk memilih pemimpin politik dan di dalam sistem demokrasi kita, setiap calon biasanya adalah ahli sesuatu parti politik.

Di sini timbul persoalan penting mengenai kesan jangka panjang terhadap kredibiliti serta kedudukan ulama agama di dalam masyarakat apabila mereka aktif dalam proses pilihan raya.

Lazimnya, ulama agama dianggap sebagai satu sumber penting mengenai hal-ehwal keagamaan. Mereka sering dianggap sebagai golongan yang tidak mempunyai kepentingan peribadi selain daripada membantu masyarakat di dalam memahami agama serta tuntutannya.

Mereka juga dianggap sebagai golongan yang tidak akan menyisihkan sebahagian masyarakat dan memihak kepada sebahagian yang lain. Ini bermakna buat sekian lama, ulama agama dianggap sebagai berkecuali dan bebas daripada pengaruh seperti kepartian, perkiraan bangsa, keturunan atau darjat seseorang.

Walaupun ulama agama mungkin berbeza pandangan dan tafsiran mengenai suatu isu agama, mereka tidak dianggap akan memusuhi satu sama lain ekoran perbezaan berkenaan. Sifat sedemikian membuat mereka mudah didampingi oleh setiap lapisan masyarakat.

Kini kita melihat sebagai contoh, bekas imam Masjid Negara Taib Azzamuddeen Md Taib bertanding di atas tiket Pas manakala seorang lagi yang juga bekas imam Masjid Negara Datuk Pirdaus Ismail bertanding di bawah naungan Umno.

Kedua-dua mereka ini digolongankan di dalam kategori ulama agama oleh masyarakat kita. Pas dan Umno adalah parti yang dianggotai oleh orang Melayu Muslim di mana kedua-dua parti ini memang pesaing politik.

Azzamuddeen kalah kepada seorang wanita yang dikenali sebagai pemotivasi Islam iaitu Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Di Baling, 86 peratus pengundi adalah Melayu Muslim. Adalah menarik bahawa pada hari penamaan calon, Azzamuddeen dilaporkan berkata bahawa dari segi agama beliau tidak ada perbezaan dengan Dr Mashitah, hanya dari segi ideologi politik saja.

Ucapan ini membuat beberapa orang bertanya: “Tidakkah persamaan agama itu berupaya untuk mengatasi perbezaan ideologi politik terutama apabila kita telah lihat perpecahan Melayu akibat permainan politik?” Kita boleh mengambil iktibar daripada surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:-

“Berpegang kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-pecah dan ingatlah akan nikmat Allah (yang diberikanNya) kepadamu, ketika kamu telah bermusuh-musuhan, lalu dipersatukanNya hatimu, sehingga kamu jadi bersaudara dengan nikmatNya, dan adalah kamu di atas pinggir lubang neraka, lalu Allah melepaskan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, mudah-mudahan kamu menerima petunjuk”.

Pirdaus pula kalah di tangan isteri bekas Timbalan Perdana Menteri. Keadaan ini menunjukkan bahawa pengundi di Permatang Pauh sanggup menolak seorang ulama agama walaupun 80 peratus daripada pengundinya adalah Melayu Muslim.

Kekalahan Azzamuddeen serta Pirdaus merumuskan bahawa pengundi menolak kedua-dua bekas imam sebagai pemimpin mereka. Perkara yang lebih penting ialah dengan pembabitan kedua-dua mereka ini di dalam proses pilihan raya, adakah kedudukan mereka sebagai ulama agama yang boleh diterima oleh orang ramai tergugur?

Datuk Ismail Kamus, seorang lagi yang telah dipertokohkan sebagai ulama agama oleh kerajaan satu ketika dulu melalui pelbagai pendedahan adalah calon bagi Pas.

Beliau ditewaskan oleh Datuk G Palanivel di Parlimen Hulu Selangor yang mempunyai 50.5 peratus pengundi Melayu. Begitu juga dengan Datuk Dr Haron Din yang dikhabarkan sebagai berupaya berhubung dengan jin turut kalah.

Sekiranya kita melihat kepada ramai calon Pas, kebanyakan mereka terdiri daripada kalangan dipertokohkan sebagai ulama agama sewaktu bersama dengan kerajaan BN melalui program seperti forum perdana dan sebagainya. Hampir semua mereka ditolak oleh rakyat.

Pada pilihan raya yang lalu, kita mendengar pelbagai ‘ugutan agama’ yang dilemparkan oleh ulama agama yang berpolitik. Sebagai contoh, ada seorang ulama agama yang menjadi calon berceramah bahawa tangan pengundi akan disoal di akhirat jika tidak mengundi parti yang memperjuangkan Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Dr Mohamad Yusoff Hussain pula dilaporkan berkata bahawa mulut pemimpin Pas akan disoal di akhirat. Bapa Dr Mashitah pula menjadi mangsa politik sehingga didesak untuk berhenti menyampaikan khutbah Jumaat dan kuliah subuh.

Penulis tidak mempertikaikan siapa betul dan siapa salah. Sebaliknya, adakah ini menunjukkan bahawa suatu trend mencampuradukkan agama dengan politik akan menjadi satu ciri tetap di negara kita?

Sekiranya kita melihat kepada negara orang Islam yang lain, pembabitan ulama agama dalam proses pilihan raya dirasakan menimbulkan ketegangan masyarakat serta memecahbelahkan umat Islam.

Ini adalah kerana beberapa sebab, di antaranya ialah ulama agama yang secara terus terbabit dalam politik berasakan diri mereka lebih terikat dengan kesetiaan kepada parti daripada mementingkan perpaduan atau ukhuwah Islamiah.

Di negara kita umpamanya, tindakan memperalatkan agama demi politik pernah mencetuskan pelbagai masalah seperti kafir mengkafir, penggunaan masjid dan surau untuk tujuan politik dan sebagainya.

Ada pula pihak yang berpendapat bahawa memperalatkan agama dalam politik atau pembabitan ulama agama dalam proses pilihan raya hanya akan mewujudkan ‘persaingan agama’.

Dalam erti kata lain ia mungkin akan mewujudkan persaingan untuk menonjolkan siapa lebih beragama, lebih suci atau lebih berilmu agama. Persaingan ini amat berbeza daripada persaingan untuk melakukan kerja amal yang dianjurkan oleh Allah untuk memperoleh keredhaanNya.

Lainlah keadaannya jika ulama agama yang bersaing di dalam proses pilihan raya tidak mempersoalkan ‘keIslaman’ atau kredibiliti lawan mereka serta akur dengan ikhlas kepada sebarang keputusan pilihan raya walaupun kalah.

Malangnya, ini tidak berlaku di negara kita mahupun di kebanyakkan negara lain di mana ulama agama membabitkan diri dalam proses pilihan raya. Persaingan politik di antara ulama agama dikhuatiri akan mewujudkan syak wasangka umat terhadap ulama agama yang tidak langsung membabitkan diri mereka dalam politik.

Ini kerana rakyat didedahkan kepada keadaan di mana ulama agama yang berpolitik boleh dengan tiba-tiba bertukar daripada ’kawan menjadi lawan’. Sekiranya tanggapan rakyat ini semakin menjadi kenyataan, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap ‘institusi ulama agama’ itu sendiri.

Ini akan melahirkan pemikiran bahawa jika ulama agama dianggap tidak layak memimpin mereka di dunia, mereka juga akan dianggap tidak layak untuk memimpin masyarakat ke akhirat.

Pada masa sama juga, kita tidak harus lupa kepada tanggapan bukan Islam terhadap Islam apabila perbalahan politik di antara ulama agama yang bersaing bertambah buruk.

Ada pihak yang khuatir bahawa perbalahan sedemikian bukan saja mengelirukan yang Islam dan bukan Islam, namun boleh melahirkan gambaran yang negatif terhadap Islam itu sendiri.

Perkara ini menjadi serius apabila penyertaan di dalam parti politik atau pemilihan calon dikaitkan dengan akidah seseorang. Pada permukaannya, mungkin kita merasai bahawa pembabitan ulama agama di dalam proses pilihan raya adalah suatu evolusi yang baik.

Ini adalah sangkaan yang baik, namun kita perlu menilai kesan buruknya juga untuk mempertimbangkan kesan jangka panjang yang sebenar.

Penulis tidak langsung berpendirian bahawa ulama agama tidak berhak untuk bertanding. Di dalam demokrasi, setiap rakyat yang cukup syarat berhak untuk bertanding.

Penulis hanya bertujuan mengajak pembaca dan pemikir masyarakat memikirkan secara serius kesannya ke atas tanggapan masyarakat terhadap ulama agama serta kesannya terhadap perpaduan umat apabila ulama agama menjadi pesaing politik.

Kajian juga harus dilakukan sama ada persaingan ulama agama di dalam politik akan melahirkan trend politik Khawarij serta mengundang perbalahan ketara dan berterusan di kalangan ahli parti politik masing-masing. Jika ini berlaku, kitalah yang menyalakan api itu.

Berita Harian :: April 2004

1 comment:

Jahamy said...

Tuan punya blog,

terima kasih kerana postkan artikel ini. Boleh juga layari blog saya untuk perbincangan.

salam