Friday, April 16, 2004

Pendekatan bangunkan moral sumber manusia

Isu Islam Semasa
Oleh Khairul Azhar Idris


Sememangnya sudah menjadi hasrat bagi setiap kerajaan dan pemimpin untuk menjalankan tugas dan amanah kepimpinan kepada rakyat dengan cara yang terbaik mungkin. Namun ada kalanya dalam masa-masa tertentu niat yang baik ini sukar dicapai akibat dari kelalaian atau mungkin juga dari keletihan akibat bebanan tugas yang tidak kunjung padam.

Lebih-lebih lagi kini sudah ada usaha murni pihak kerajaan apabila memperkenalkan satu kod etika kerja para wakil rakyat baik di peringkat negeri mahupun Parlimen dalam usaha untuk memantau prestasi dan pencapaian kerja yang cemerlang. Tujuannya amatlah baik iaitu bagi memberikan satu bentuk perkhidmatan yang terbaik dan profesional kepada rakyat.

Satu gambaran yang sudah sinonim dalam ajaran Islam berkaitan urusan tugas dan pekerjaan adalah pencapaian tahap prestasi kerja yang cemerlang. Islam telah menetapkan sejak awal lagi bahawa apa jua urusan dan tugasan yang dilakukan wajarlah secemerlang mungkin.

Bagi mencapai hasrat ini, Islam mempunyai kod etika dan indeks prestasinya yang tersendiri yang didahului oleh keimanan, ketakwaan dan berusaha untuk memenuhi redha Ilahi. Tugas yang dipikul pula merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Inilah konsep yang paling asas yang perlu difahami oleh setiap individu yang beriman dengan ajaran Islam.

Seterusnya Islam juga mengajarkan kepada umatnya bahawa ketakwaan dan kekukuhan keimanan kepada Tuhan akan meningkatkan lagi kualiti sahsiah dan imej diri seseorang insan yang bergelar pemimpin. Imej diri akan dipelihara supaya sejajar dengan imej keislaman.

Di samping itu, mereka juga akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaian dan prestasi kerja mereka secemerlang mungkin kerana mereka percaya bahawa Islam amat menuntut dan menyukai setiap amalan yang dilakukan secara profesional dan bersungguh-sungguh.

Mereka juga tidak akan lupa dengan ajaran Islam yang mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan akan dihitung dan akan diberi balasan dan ganjaran yang setimpal. Islam amat mengalu-alukan usaha ke arah kecemerlangan prestasi di kalangan umatnya.

Rasul s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah amat menyukai apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan penuh ketekunan (memperbaiki dan mempertingkatkannya) - hadis riwayat Al Baihaqi.

Dalam sebuah lagi hadis, Rasul s.a.w bersabda yang bermaksud Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun tuntutan Islam adalah kecemerlangan itu seharusnya bersifat global dan menyeluruh yang merangkumi prestasi keimanan, imej personaliti dan sahsiah, moral dan akhlak, malah prestasi kerjaya juga.

Jika pemimpin itu mampu mentadbir organisasinya dengan penuh berdisiplin sehingga membuahkan prestasi keuntungan yang memberangsangkan dalam syarikatnya, ia juga sewajarnya mempunyai prestasi yang baik dari segi ketakwaan dan hubungannya dengan Tuhan. Ia bukan sahaja mampu mengurus masa dengan baik, tetapi pada masa yang sama juga sentiasa memelihara tuntutan solat dengan tidak mengabaikan waktu solat apatah lagi meninggalkannya.

Sememangnya usaha pihak pemerintah dalam memperkenalkan kod etika kerja dan indeks prestasi kerja di kalangan pemimpin baik politik mahupun perkhidmatan awam adalah satu usaha yang baik untuk mencapai tahap kecemerlangan dan pembangunan prestasi. Dan ia pula amat dituntut oleh Islam.

Berkaitan etika, Imam Al Ghazali ada menyatakan bahawa etika adalah suatu kajian mengenai kepercayaan agama tertentu dan mengenai kebenaran dan kesalahan sesuatu tindakan bagi tujuan amali dan bukan kerana ilmu semata-mata. Tujuan utama etika adalah mempengaruhi kelakuan sebenar.

Semua perbuatan baik haruslah bertujuan memperbaiki kerohanian supaya ia memperoleh kebahagiaan di akhirat. Perbuatan-perbuatan yang bermoral tidak dibezakan dari amalan-amalan agama. Semakin warak seseorang itu maka semakin bermorallah dia.

Memandangkan etika bertitik tolak daripada ajaran agama tentang nilai-nilai yang murni bagi membentuk perilaku sebenar manusia, maka cabaran yang paling utama adalah memastikan nilai-nilai beretika ini diamalkan.

Oleh yang demikian, satu mekanisme bagi menilai pelaksanaannya perlu dirangka tanpa mengabaikan aspek ketelusan dan keadilan.

Seterusnya pendekatan yang baru diberi perhatian ini merupakan satu usaha yang murni dan agak terkini kerana ia bertujuan untuk membangunkan sahsiah dan moral sumber manusia jika dilihat dari sudut pandangan keduniaan yang sebelum ini cuba menyempitkan pembangunan moral dan sahsiah hanya sebagai urusan keagamaan semata-mata.

Tambahan pula sehingga kini pembangunan dan pencapaian prestasi yang cemerlang begitu dijuruskan dalam aspek pertumbuhan ekonomi, pembangunan material dan sosioekonomi sahaja.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu umpamanya melalui United Nations Development Programme melihat pembangunan berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi dalam pendapatan negara atau pendapatan per kapita dan telah meletakkan pencapaian tertentu sebagai matlamat indeks pembangunannya yang disasarkan setiap tahun berdasarkan kepada beberapa petunjuk.

Manakala Bank Dunia juga turut meletakkan petunjuk-petunjuk tertentu dalam menyasarkan matlamat indeks pembangunannya yang meliputi pendapatan per kapita, kadar literasi penduduk, jurang pendidikan, tahap kesihatan penduduk dan lain-lain.

Amat perlu dinyatakan di sini bahawa negara-negara Islam yang menganggotai OIC mewakili jumlah penduduk dunia yang besar sekitar 1.3 bilion dan mempunyai keluasan bumi yang besar juga merangkumi 32.3 juta kilometer persegi dunia yang diduduki serta mempunyai sumber tenaga manusia dan hasil bumi dan laut yang besar, tetapi menghasilkan pendapatan negara berjumlah AS$1.3 trilion sahaja berbanding negara-negara bukan OIC yang mencecah kepada AS$30 trilion dalam tahun 2002.

Adalah diharapkan dengan pengenalan kerajaan kepada Kod Etika dan Indeks Prestasi Kerja, Malaysia sebagai sebuah negara Islam mampu menjadi pelopor dalam memperkenalkan pembangunan indeks bagi prestasi yang cemerlang pembangunan moral dan etika sumber manusia dengan memperkenalkan petunjuk-petunjuk berdasarkan kepada nilai-nilai murni sejagat yang boleh diterima bukan sahaja di negara ini, tetapi juga bagi kalangan negara-negara OIC.

- Khairul Azhar Idris ialah Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Utusan Malaysia :: 16/4/2004

No comments: