Thursday, April 15, 2004

Pemikiran strategik pemimpin MCA

Pemikiran Firdaus
(firdaus@um.edu.my)
Pemimpin MCA pintar dan sabar
Menyusun strategi sambil bermadah
Wajarlah UMNO mengambil iktibar
Jangan terhantuk baharu tengadah
Minggu lalu, bila membaca berita-berita berkenaan strategi MCA menempatkan (mencalonkan) anggota-anggotanya dalam barisan Kabinet baru, saya teringat seungkapan kata perbilangan Minangkabau yang berbunyi: ``Jika duduk meraut ranjau, jika tegak meninjau jarah''.

`Meraut ranjau' merujuk kepada kegiatan-kegiatan mempertajam senjata dan memikirkan strategi. `Meninjau jarah' bermaksud mengawasi musuh-musuh atau musibah yang mungkin merempuh. Perkataan `jarah' itu kadang-kadang bertukar bunyi menjadi `jarak', tetapi frasa meninjau jarak (memandang jauh ke hadapan dan sekeliling) masih merujuk kepada kewaspadaan terhadap pelbagai kemungkinan.

Ertinya, selain daripada menganjurkan agar kita memanfaatkan masa dengan penuh bijaksana, pesanan atau pengajaran yang hendak disampaikan ialah supaya kita senantiasa waspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan-kemungkinan buruk yang merugikan.

Dari satu segi, perbilangan adat Minangkabau tersebut boleh dianggap sebagai satu pengajaran dalam kaedah pengurusan masa dan sekali gus satu pengajaran dalam pemikiran strategik.

Pada hemat saya pucuk pimpinan MCA (walaupun besar kemungkinan tidak tahu berbahasa Minang) telah memanfaatkan pengajaran-pengajaran tersebut (terutama anjuran berfikiran strategik) dengan penuh bijaksana.

Kesan tentang kebijaksanaan MCA itu saya peroleh bila membaca satu laporan sebuah harian berbahasa Cina, Oriental Daily News, yang dipetik oleh akhbar The Sun keluaran Khamis, 8 April yang lalu.

Sumber asal laporan tersebut ialah perbualan telefon antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dengan pendengar-pendengar sebuah stesen radio berbahasa Cina, Radio 988, yang disiarkan secara langsung.

Laporan itu menjelaskan perhitungan-perhitungan strategik MCA untuk memilih portfolio jawatan-jawatan Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa minggu yang lalu.

Seperti sedia dimaklumi, dalam barisan Kabinet baru itu MCA telah diperuntukkan empat jawatan Menteri, lapan jawatan Timbalan Menteri dan empat jawatan Setiausaha Parlimen. Kata Ka Ting, dalam memilih bidang tugas atau portfolio untuk jawatan-jawatan eksekutif tersebut, pucuk pimpinan MCA senantiasa dipandu oleh kepentingan masyarakat Cina.

Yang khusus menarik perhatian dalam penjelasan Presiden MCA itu ialah rasional atau sebab-sebab kenapa parti itu memilih tiga portfolio (kementerian) tertentu untuk jawatan Timbalan Menteri.

Kementerian-kementerian itu ialah Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri. Inilah tiga daripada empat kementerian yang dianggap lebih mustahak daripada kementerian-kementerian lain dan yang mempunyai hubung kait secara langsung dengan kepentingan utama masyarakat Cina.

Jawatan Timbalan Menteri dalam satu kementerian penting yang lain (Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) diperuntukkan kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang juga dianggap sebagai parti Cina walaupun mendakwa sebagai parti pelbagai kaum. Dengan demikian di tiap-tiap satu daripada empat buah kementerian yang penting itu, masyarakat Cina mempunyai seorang Timbalan Menteri.

Pemilihan MCA ke atas Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (iaitu Kementerian Pendidikan dalam Kabinet terdahulu dan sekarang dipecahkan menjadi dua kementerian yang berasingan) tidaklah menghairankan. Untuk sekian lama isu-isu dan persoalan pelajaran atau pendidikan secara terus-menerus merupakan salah satu matlamat dan teras utama perjuangan politik masyarakat Cina di negara ini.

Malah kita boleh berhujah bahawa pada masa-masa tertentu isu pendidikan/ pelajaran ini pernah menjadi duri dalam daging yang menyebabkan hubungan dan kerjasama antara UMNO dan MCA menjadi pedih.

MCA memang senantiasa gigih bukan sekadar memperjuangkan peluang-peluang pendidikan untuk masyarakat Cina, tetapi tidak kurang pentingnya ialah kegigihan dan iltizamnya memperjuangkan pelajaran Cina (termasuk penggunaan bahasa pengantar dan kandungan kurikulum). Perjuangan itu mempunyai sejarah yang panjang, sejak sebelum merdeka hingga sekarang, secara berselindung atau berterus terang.

Justeru demi meneruskan perjuangan tersebut, tentu banyak manfaatnya untuk mempunyai seorang Timbalan Menteri di tiap-tiap kementerian yang menggarap hal ehwal pelajaran dan pendidikan itu dari tahap prasekolah membawa kepada pengajian pasca ijazah.

Rasional atau alasan MCA memilih (meletakkan seorang Timbalan Menteri) dalam Kementerian Dalam Negeri, menurut Ka Ting adalah kerana tiga jabatan penting berada di bawah pengawasan kementerian itu: Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Seperti sedia dimaklumi, Jabatan Imigresen antara lain bertanggungjawab mengenai hal-hal izin keluar masuk Malaysia, izin bermastautin dan kewarganegaraan, pengeluaran pasport dan permit kerja. Jabatan Pendaftaran Negara bertanggungjawab dengan pengeluaran kad pengenalan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bertanggungjawab meluluskan pendaftaran serta memantau kegiatan pertubuhan-pertubuhan.

Kata Ka Ting: ``Perkara-perkara mengenai kewarganegaraan, umpamanya kad pengenalan merah, sangatlah penting dan menjadi punca keprihatinan di kalangan masyarakat Cina''.

``Pada masa yang sama di Malaysia sekarang terdapat tidak kurang daripada 8,000 pertubuhan-pertubuhan Cina yang meliputi pelbagai bidang dan sektor. Masyarakat Cina menganggap persatuan yang pelbagai ragam itu sebagai sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan mereka.''

Yang tidak disebut secara eksplisit oleh Ka Ting ialah pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah satu tenaga sosial atau kumpulan-kumpulan pendesak yang bertenaga dalam sistem politik di negara ini yang bila-bila masa boleh jadi lawan atau kawan kepada MCA.

Ertinya, pertubuhan-pertubuhan tersebut boleh memperalat MCA untuk kepentingan tuntutan masyarakat Cina atau boleh diperalat oleh MCA - dan dijadikan senjata dalam proses tawar-menawar antara kaum yang sudah menjadi sebahagian yang integral dalam amalan berpolitik di Malaysia ini.

Proses tawar-menawar? Ya, MCA yang mempunyai pemimpin dengan pemikiran yang strategik dan bijak bermadah itu belum lupa terhadap hakikat politik tawar-menawar antara kaum tersebut. Kerana itu UMNO - sebagai rakan kongsi kuasa - janganlah pula sampai lupa. Jangan ditunggu terhantuk sebelum tengadah.

- PROFESOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya.

Utusan Malaysia :: Khamis 15/4/2004

No comments: