Friday, April 16, 2004

Dari Gerbang Negeri: Stigma cah keting dalam budaya politik Kelantan

Oleh Zulkifli Md Ali


SELASA lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan beliau tidak mahu lagi melihat berlaku perbuatan cantas mencantas atau ‘cah keting’ sesama sendiri di kalangan Umno Kelantan dalam lawatannya pada masa akan datang.

Perdana Menteri yang juga Pemangku Presiden Umno secara ringkas berkata: “Apabila sekali lagi saya datang ke Kelantan, saya harap tidak lagi mendengar cerita ada berlaku cah keting.”

Kata-kata itu disambut dengan ketawa sinis oleh sebahagian daripada lebih 1,500 jemputan, majoritinya ahli Umno yang menghadiri perjumpaan pemimpin bersama Ahli Jawatankuasa Umno bahagian empat peringkat seluruh negeri, di Kota Bharu hari itu.

Kebanyakan mereka kelihatan berbisik-bisik dengan tetamu lain yang duduk bersebelahan, mungkin memperkatakan soal cah keting yang sememangnya menjadi asam garam orang berpolitik.

Reaksi spontan itu menggambarkan bagaimana sudah wujud suatu persefahaman maksud yang sama-sama difahami sama ada bagi pihak Abdullah atau hadirin dan budaya ini memang segar diamalkan di kalangan ahli politik Kelantan.

Soalnya adakah hadirin benar-benar memahami mesej yang ingin disampaikan itu. Ini kerana bukan baru pertama kali pemimpin negara memperkatakannya, malah pemimpin dulu juga kerap meminta perbuatan tidak menguntungkan parti itu, dihentikan.

Bagaimanapun, sehingga hari ini perkara seperti itu masih terus berlaku. Perkara ini jika tidak dikawal boleh memusnahkan organisasi semantap Umno yang setakat ini dapat mengekalkan rekod pemerintahan dan pentadbiran terbaik di rantau ini.

Mungkin benar seperti kata Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hussain Mohamed, bahawa Munsyi Abdullah pernah menyebut tabiat cah keting dalam buku catatan pelayarannya iaitu ketua negeri yang dipanggil sultan ketika itu ada menasihatkan rakyatnya (Kelantan) antara lain berbunyi: “Berperanglah (berlumba) kamu untuk mendapatkan sesuatu jawatan.”

Beberapa pemerhati politik di Kelantan ketika diajukan persoalan itu berkata, soal cah keting bukan saja berlaku di negeri itu, malah di negeri lain. Ia juga bukan saja dalam Umno, bahkan parti pembangkang dan organisasi lain yang tiada sangkut paut dengan politik.

Mereka berpendapat, cah keting dalam dialek Kelantan itu sama maksudnya dengan hasad dengki, cantas mencantas atau pengkis bagi bahasa lain di luar Kelantan. Cuma ia menjadi stigma apabila dikaitkan dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Ia juga bukan saja berlaku di kalangan masyarakat Melayu, tetapi bangsa lain, cuma tindak tanduk atau perlakuannya berbeza walaupun matlamatnya sama iaitu menjatuhkan orang lain dan orang yang dijatuhkan adalah rakan karib atau pernah memberi pelbagai bantuan.

Bagaimanapun, kerana mahukan jawatan, mereka sanggup melakukan apa saja seperti ‘enau dalam belukar’ berlumba melepaskan diri untuk mendapatkan cahaya matahari dan sanggup membinasakan enau lain.

Dalam konteks cah keting itu pula mereka akan berlumba-lumba melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dimahukan sehingga ada yang sanggup ‘membunuh’ masa depan rakan sendiri.

Bila agaknya persoalan cah keting ini akan berakhir? Sebenarnya sampai bila pun persoalan itu tidak akan selesai selagi manusia mempunyai perasaan tamak dan dahaga kuasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kok Lanas, Datuk Annuar Musa, berpendapat apa yang Perdana Menteri mahu ialah memberi keutamaan kepada perkara tertentu dalam perjuangan parti.

“Soal berbeza pendapat sememangnya dibenarkan, malah ada baiknya dalam membentuk sebuah parti politik yang utuh, cuma jangan kerana perbezaan pendapat ia berakhir dengan menjatuhkan orang lain.

“Paling penting ialah kita perlu mematuhi saluran yang diamanahkan pemimpin iaitu bekerja dalam satu pasukan. Sebenarnya ia menjadi stigma apabila dikaitkan dengan Kelantan. Wabak dari luar biasanya cepat merebak ke Kelantan. Akibatnya rakyat Kelantan akan cepat menjadi mangsa,” katanya.

Cara paling baik untuk mengatasi cah keting ialah dengan mematuhi segala arahan ketua dan jika berlaku perbezaan atau perlumbaan, cepat-cepatlah kembali kepada asas perjuangan dengan segera merapatkan barisan bagi berhadapan dengan musuh.

Langkah segera paling sesuai diambil bagi menyelesaikan persoalan itu pula ialah patuh dengan arahan ketua. Jangan melawan atau cepat melenting. Selepas itu ambil masa sejenak memikirkan sebab musabab sesuatu keputusan dibuat.

Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik, ingat setiap perkara yang berlaku ada baiknya, mungkin tidak kepada individu, tetapi menguntungkan sekumpulan orang yang jelas lebih baik daripada kepentingan peribadi.

Berita Harian :: 16/4/2004



No comments: