Friday, April 16, 2004

Nakhaie Ahmad Menulis: Ketamadunan Islam dalam pembangunan negara

nakhaieyadim@hotmail.com


MUNGKIN bagi sesetengah kalangan tertanya-tanya bagaimana Islam Hadhari telah dijadikan satu daripada agenda dalam manifesto Barisan Nasional (BN). Pada hal BN adalah gabungan pelbagai komponen parti politik yang Islam dan bukan Islam.

Satu daripadanya ia memperlihatkan toleransi yang tinggi di kalangan pemimpin parti komponen BN. Bagaimanakah BN berjaya mewujudkan toleransi yang begitu mantap di kalangan pelbagai kaum yang berbeza agama, sedangkan kita lihat di negara lain, kumpulan daripada satu agama saja tidak mampu mencapai toleransi yang mantap seperti ini.

Bahkan, lebih aneh lagi mengapa toleransi dan persefahaman tidak dapat diwujudkan antara Umno dengan Pas, sedangkan mereka daripada satu bangsa dan agama.

Bagi saya, toleransi yang wujud di kalangan parti komponen BN sudah menjadi budaya politik rakyat Malaysia. Walaupun ada Pas dan DAP yang masih tidak mengamalkan budaya toleransi itu, golongan ini adalah minoriti yang mempertahankan tradisi lama. Lambat laun, golongan ini akan terhakis dan budaya politik toleransi itu akan menjadi budaya arus perdana masyarakat di negara ini.

Usaha pembangkang memusnahkan budaya politik bertoleransi ini hingga ke sekarang ternyata masih gagal. Boleh dikatakan budaya politik toleransi ini semakin ampuh dan ia akan menjadi budaya dominan dalam masyarakat kita.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan negara ini sebagai negara Islam, saya telah diminta memberikan penjelasan kepada pemimpin Pemuda dan Wanita MIC. Dalam penjelasan itu, saya telah mengaitkan pembentukan negara Islam Malaysia dengan ketamadunan atau hadharah.

Pengisian Islam sebagai dasar negara ialah dari aspek ketamadunannya. Dalam lapangan pembangunan untuk semua rakyat, aspek ketamadunan Islam itulah yang akan dilaksanakan. Dari aspek akidah, ia akan dilaksanakan hanya kepada orang Islam. Dalam aspek ini, dasar “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamamu” menjadi pegangan dan dasar utama.

Mengapakah ketamadunan Islam?

Saya telah menjelaskan kepada mereka bahawa MIC sudah lama menghayati politik Islam yang dipelajarinya daripada Umno. Politik toleransi adalah politik Islam. Dari aspek ketamadunan, Islam membuka pintu untuk menerima apa-apa juga kebijaksanaan yang dihasilkan oleh mana-mana tamadun, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip Islam sebenarnya yang diiktiraf sebagai prinsip universal.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kebijaksanaan itu barang hilang kepunyaan orang beriman. Di mana saja ia menemuinya, dialah yang lebih berhak ke atasnya.”

Islam terbuka pintunya untuk menerima pengurusan dari Rumawi dan sistem pertahanan dari Parsi. Sama ada sistem pengurusan atau pertahanan, ia adalah aspek ketamadunan yang kebangkitannya tidak dapat terpisah daripada interaksi pelbagai bangsa di dunia ini. Justeru, penerapan ajaran toleransi yang menjadi sebahagian ajaran Islam adalah penting.

Dalam peradaban Hindu, politik toleransi adalah sesuatu yang asing. Tuhan pencipta dan Tuhan pemusnah dalam ajaran agama Hindu tidak pernah berkompromi. Bagaimanapun, ajaran tauhid dalam ajaran Islam, Tuhan yang satu, memiliki sifat pengampun dan penyayang. Tuhan yang sama juga tidak membiarkan penderhaka lepas bebas tanpa mengenakan azab kepadanya. Ia Maha Berkuasa dan kehendaknya adalah bebas. Ia mengampun sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya.

Toleransi telah mewarnai budaya politik di negara ini yang berjaya membawanya ke mercu kejayaan, kestabilan dan keamanan.

Dalam penghayatan Islam Hadhari, apakah rakyat yang bukan beragama Islam hanya menjadi rakyat kelas dua atau sebagai komuniti yang dilindungi atau kafir zimmi? Status kafir zimmi dalam tamadun Islam hanya dalam jangka waktu tertentu saja dalam tamadun Islam.

Keadaan dunia yang berubah, telah melenyapkan status zimmi itu. Ia bukanlah dasar yang mesti dilaksanakan dalam semua keadaan. Ia adalah dasar yang boleh berubah mengikut perubahan zaman.

Dalam penghayatan politik di negara ini, hubungan orang Islam dan bukan Islam bukanlah berbentuk hubungan orang Islam dan kafir zimmi. Hubungan yang terjalin berdasarkan konsep perkongsian kuasa dan tradisi politik yang meletakkan orang Melayu sebagai teras dalam pelaksanaan konsep perkongsian kuasa itu.

Hubungan dalam bentuk orang Islam dan kafir zimmi tidak timbul lagi. Hubungan baru ini lebih mantap dan sesuai dalam situasi masyarakat majmuk di Malaysia. Bagaimanapun, pelaksanaannya tetap terpancar daripada prinsip toleransi.

Islam Hadhari memberi penekanan kepada pemerintahan yang adil bukan hanya untuk orang Islam. Keadilan dalam Islam adalah untuk semua, walaupun terhadap musuh. Begitu juga penekanan Islam Hadhari kepada ‘public morality’ atau akhlak awam.

Penekanan kepada keperluan membersihkan masyarakat daripada rasuah, maksiat, fitnah memfitnah, maki hamun dan sebagainya, bukan hanya memberikan kebaikan kepada orang Islam dan patut diamalkan oleh orang Islam saja. Ia adalah untuk semua dan perlu diamalkan oleh semua.

Dalam aspek ketamadunan, semua bangsa tanpa mengira agama dan status sosial mempunyai tanggungjawab sama bagi membangunkan negara ini sebagai negara tamadun yang berkualiti tinggi. Semua faedah dan manfaat daripada amalan itu dirasai oleh semua. Keamanan dan kestabilan di negara ini tidak hanya dirasai oleh orang Islam. Ia juga dapat dirasai oleh orang bukan Islam.

Konsep Islam Hadhari belum difahami secara menyeluruh oleh masyarakat kita. Memang benar bahawa secara umumnya masyarakat mula mengerti mengenainya, tetapi penjelasan terperinci diperlukan dalam mempengaruhi pembentukan dasar dan membuat perancangan pembangunan negara berasaskan konsep ini. Tanpa penjelasan yang mendalam dan menyeluruh, konsep ini hanya akan menjadi slogan dan retorik semata-mata.

Politik berasaskan kefahaman Islam yang dibentuk dari perspektif ketamadunan akan muncul sebagai kefahaman Islam yang menyeluruh dan merata dalam masyarakat Malaysia, sama ada di kalangan orang Islam atau bukan Islam. Ia akan menjadi pemangkin ke arah menamatkan persengketaan politik berasaskan Islam.

Kegagalan politik Islam dalam memberikan alternatif kepada perjuangan menegakkan kembali tamadun Islam pada zaman moden, akan menjadikan Islam Hadhari sebagai pemangkin kepada perpaduan di kalangan umat Islam. Justeru, mengungkapkan konsep Islam Hadhari ini secara menyeluruh dan jelas adalah diperlukan.

Ruang untuk menjernihkan kekeliruan dan salah faham mengenai Islam terbuka luas. Siapakah yang paling diharapkan untuk menjelaskannya, selain daripada intelektual dan ulama.

Keruntuhan tamadun Islam membawa bersamanya kerugian besar kepada manusia. Ia membawa musibah dan keperitan kepada umat Islam. Manusia terperangkap ke dalam peradaban Barat yang lebih membanggakan dirinya daripada berkongsi kejayaan dengan masyarakat dunia.

Kemajuan sains dan teknologi dikritik kerana merosakkan ekologi, disebabkan kegelojohan pemimpin politik dunia Barat. Justeru, membangun kembali tamadun Islam dengan wajahnya yang sesuai mengikut zaman adalah kemestian kemanusiaan.

Bolehkah tamadun Islam akan bangun kembali sedangkan orang Islam hanya memberi tumpuan hanya ke arah menyelamatkan diri sendiri daripada api neraka. Mereka tidak memberikan tumpuan sewajarnya untuk memberikan kesejahteraan kepada manusia di dunia. Rahmat Islam tidak kelihatan di dunia ini. Mereka sendiri kalah dan hina, walaupun iman dan akidah begitu kukuh di dada.

Jika di dunia lagi mereka dalam keadaan yang lemah kerana tidak menunaikan tanggungjawab dan tidak memainkan peranan semestinya sebagai khalifah di bumi, apakah mereka akan terselamat di akhirat?

Paradigma yang hanya berusaha untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada neraka perlu diubah. Kewajipan mukmin ialah bekerja untuk kesejahteraan manusia di dunia dan membuktikan tamadun Islam membawa rahmat ke seluruh alam.

Hanya dengan melaksanakan sewajarnya peranan mukmin untuk kesejahteraan manusia di dunia, maka mereka akan terselamat daripada neraka di akhirat.

Berita Harian :: 16/4/2004



No comments: