Friday, April 16, 2004

BISIK-BISIK -- AWANG SELAMAT

Kecoh pelantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai masih belum selesai. Dan sahabat Awang, Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak dapat menyembunyikan rasa tidak senangnya terhadap akhbar.

Katanya: ``Saya merayu kepada anda semua serta editor kamu supaya melaporkan ini dengan jelas seperti yang saya katakan dan seperti yang kamu rekodkan dan saya telah rekodkan.

``Gambaran perasaan saya pada masa ini tidak penting. Jangan ceritakan perasaan saya jika saya tidak nyatakannya sendiri.''

Memang perasaan beliau tidak penting. Perasaan kedua-dua pegawai yang terbabit dalam satu kontroversi yang berpunca daripada pihak lain, juga tidak penting.

Perasaan wartawan dan editor akhbar lagi tidak penting. Yang penting ialah imej kerajaan. Juga penting ialah tanggapan orang ramai terutama sekali penduduk Seberang Perai.

Tentu mereka sedang bertanya apa sudah jadi. Kenapa pelantikan Yang Dipertua MPSP tiba-tiba menjadi masalah?

Akhbar punya tanggungjawab mencari jawapan kepada tanda tanya mereka. Sahabat Awang itu lebih baik bertenang.

-- Awang - Sesekali naik darah juga.

Utusan Malaysia :: 16/4/2004

No comments: