Oleh Mohd Fuad Razali
ISU mengenai umur sebagai syarat kelayakan menjadi pemimpin pertubuhan belia bukanlah isu baru. Yang barunya adalah label ‘pemimpin purba’ yang diberikan kepada mereka yang berusia lebih 40 tahun, tetapi masih lagi memegang teraju pimpinan pertubuhan belia.
Label itu digunakan oleh Pengerusi Akademi Belia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan menggubal semula Dasar Belia Negara untuk memastikan kepemimpinan persatuan belia tidak diterajui oleh ‘pemimpin purba’ yang melebihi usia 40 tahun.
Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) itu berpendapat perubahan drastik perlu kerana golongan berkenaan statik dan tidak mampu membawa cabaran serta aspirasi golongan muda.
Oleh itu, katanya, sudah sampai masanya kementerian memberi tumpuan terhadap isu kepemimpinan persatuan belia. Jika tidak, beliau bimbang jumlah belia yang tidak berpersatuan akan terus meningkat setiap tahun. Jika ini berlaku, ia tidak akan membantu kerajaan dalam menangani pelbagai masalah dihadapi oleh golongan belia.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman mengenai lebih 8.2 juta daripada 11 juta belia negara ini yang tidak berpersatuan. Azalina dilaporkan berkata, isu keengganan belia berpersatuan perlu diselesaikan bagi memastikan mereka menyertai aktiviti berfaedah anjuran kerajaan.
“Masalah ini boleh berlaku kerana pemimpin berusia di atas 40-an atau ‘pemimpin purba’ yang memimpin belia dilihat statik dan tidak dapat membawa perubahan yang membanggakan dalam persatuan. Belia memerlukan pemimpin yang proaktif yang mampu ‘membaca’ minat dan kecenderungan mereka kerana belia Malaysia kini adalah generasi baru yang sukakan cabaran dalam pelbagai aspek,” kata Saifuddin.
Benarkah keengganan belia berpersatuan disebabkan pertubuhan sedia ada gagal melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka?
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Raja Ruslan Raja Samah, ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen Belia Kebangsaan pertengahan tahun lalu, pernah menyarankan supaya pemimpin belia mengambil pendekatan baru bagi menarik lebih ramai belia menyertai kegiatan serta pertubuhan berkenaan kerana kira-kira 2.8 juta belia saja menjadi ahli 6,955 pertubuhan belia yang berdaftar di negara ini.
Katanya, kerajaan berharap pertubuhan belia sebagai rakan kongsi pembangunan, sentiasa cergas dan aktif melaksanakan kegiatan yang menarik minat belia. Persatuan belia perlu menyediakan program pembangunan belia seperti program kemasyarakatan, kepemimpinan dan sahsiah serta kemahiran.
“Paradigma pertubuhan dan kepemimpinan belia perlu diubah supaya dapat memainkan peranan lebih aktif mencorakkan hala tuju agenda pembangunan negara, bukan sekadar menerima manfaat daripada pembangunan yang didapati.
“Walaupun banyak ruang, peluang serta kemudahan sudah disediakan untuk mereka, masih terdapat laporan mengenai kelemahan serta ketidakupayaan persatuan belia. Persatuan belia didapati mempunyai masalah seperti tiada matlamat penubuhannya, pemimpin tidak mempunyai arah tuju dan tiada kesinambungan pendaftaran,” katanya.
Bagaimanapun, Raja Ruslan juga mengakui bahawa pada masa sama, kesediaan belia menyertai persatuan belia masih pada tahap kurang memuaskan. Buktinya, kajian menunjukkan 63.2 peratus belia gemar melepak, ponteng sekolah (52.5 peratus), bermain snuker (15 peratus) dan mengunjungi disko (20 peratus).
Ini bermakna selain faktor pendekatan kurang menarik dilakukan pertubuhan belia, kurang atau ketiadaan minat golongan sasaran sendiri menyertai pertubuhan dan kegiatan belia adalah satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian. Kementerian dan MBM sendiri perlu mengkaji minat sebenar golongan ini supaya usaha dapat dibuat bagi menarik lebih ramai belia menyertai pertubuhan itu.
Oleh itu, selain mengkaji minat kumpulan sasaran, sudah tentu pendekatan yang digunakan pertubuhan belia ketika ini juga perlu dikaji. Benarkah pendekatan yang dikatakan kurang menarik itu kerana pemimpin persatuan belia yang berusia lebih 40 tahun? Adakah itu juga punca sebenar menyebabkan sesetengah pertubuhan belia dikatakan menjadi lesu?
Naib Presiden MBM, Sobri Ahmad, berkata usul ini sebenarnya pernah dibincangkan pada Dialog Belia Kebangsaan yang berlangsung di Sabah, tahu lalu, ketika mengadakan perbincangan mengenai draf Akta Pertubuhan Belia. Usul itu ialah supaya 50 peratus pemimpin berusia lebih 40 tahun dikekalkan dalam kepemimpinan belia, manakala selebihnya pemimpin muda yang berpotensi.
Katanya, usul itu telah dikemukakan kepada Majlis Perundingan Belia Negara yang kemudian telah menerimanya. Ia bertujuan supaya pemimpin berusia lebih 40 tahun muda dapat memberi pendedahan, bimbingan serta tunjuk ajar kepada pemimpin muda bagi mempersiapkan mereka mengambil alih kepemimpinan pertubuhan belia.
“Jika dibuat secara mendadak dibimbangi akan menyebabkan kejutan kepada pertubuhan belia kerana majoriti pemimpin muda belum benar-benar bersedia untuk menerajui pertubuhan itu pada peringkat kebangsaan,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden MBM, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menimbulkan kebimbangannya mengenai masalah utama yang bakal dihadapi persatuan belia jika usia kepemimpinannya dihadkan kepada 40 tahun saja iaitu sumber kewangan.
Beliau bimbang jika persatuan belia diterajui pemimpin bawah 40 tahun, persatuan akan mati kerana kebanyakan aktiviti dibiayai pengerusi ataupun ketua belia, sebaliknya pemimpin belia yang berusia lebih 40 tahun lebih bijak mencari sumber kewangan melalui pengaruh dan pelbagai sumber.
Sebab itu Menteri Besar Selangor itu berpendapat kementerian perlu menyalurkan peruntukan penuh kepada setiap persatuan belia jika mahu mengelakkan ia diterajui pemimpin berusia lebih 40 tahun.
"Jika kementerian sedia memberikan peruntukan penuh, kita alu-alukan cadangan menukar kepemimpinan belia yang berusia lebih 40 tahun. Jika tidak, saya khuatir persatuan belia akan mati.
“Jika penukaran ini dilakukan secara kejutan, ia tidak sesuai dan hanya menyebabkan kegiatan belia mati kerana ketiadaan sumber kewangan bagi menampung kos aktiviti kerana penganjuran aktiviti belia banyak bergantung kepada kebolehan pengerusi atau ketua mereka untuk mendapatkan sumber kewangan. Wang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya adalah wang,” katanya.
Hujah itu mungkin ada kebenarannya. Bukan menjadi rahsia bahawa keupayaan sesebuah badan sukarela seperti belia mendapat sumber kewangan turut dipengaruhi faktor siapa yang memimpin persatuan itu selain sejauh mana giatnya ia menjalankan kegiatan. Lebih terkenal seseorang tokoh, lebih mudah pertubuhan yang dipimpinnya memperoleh dana.
Pengaruh ini pada umumnya ada pada pemimpin yang berusia lebih 40 tahun berbanding yang lebih muda. Ini tentu memberi kebaikan bukan saja kepada pertubuhan belia, tetapi juga membantu kerajaan membiayai aktiviti pertubuhan belia.
Seperti kata Sobri, walaupun setiap tahun kementerian memberi peruntukan kepada pertubuhan belia, ia sangat terhad dan tidak mencukupi untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti serta menanggung kos pengurusan persatuan, terutama bagi yang mempunyai kakitangan tetap serta ramai ahli.
Yuran keahlian memang jauh daripada mencukupi untuk tujuan berkenaan. Persatuan yang ramai ahli sekalipun tidak mungkin mengenakan yuran tinggi kerana boleh menyebabkan belia tidak tertarik menyertai pertubuhan itu.
Jadi, persatuan terpaksa mencari sendiri sumber kewangan menerusi sumbangan pihak lain, seperti syarikat dan badan korporat untuk membiayai aktivitinya. Di negara maju, katanya, kira-kira 60 peratus daripada dana untuk membiayai aktiviti pertubuhan sukarela seperti belia datang daripada sumbangan bukan kerajaan.
Dalam hal ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan menimbangkan insentif pengecualian cukai kepada syarikat dan pihak yang memberi sumbangan dalam bentuk kewangan bagi menyokong aktiviti belia.
Dengan itu sudah tentu pertubuhan akan mendapat lebih banyak dana dan kegiatan belia menjadi lebih aktif sejajar dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melihat pergerakan belia kembali aktif seperti zaman beliau menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Selain itu, tidak mustahil pada masa depan pertubuhan belia dapat menjana sumber kewangannya dengan lebih mudah dan banyak untuk menjalankan kegiatan mereka serta akhirnya berdikari tanpa perlu bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Bagaimanapun, Sobri berkata, MBM mengalu-alukan cadangan kementerian untuk melihat kemungkinan umur kepemimpinan pertubuhan belia dihadkan kepada yang berusia 40 tahun saja.
“Ini cadangan yang baik kerana dari satu segi akan menggalakkan kemunculan lebih ramai pemimpin muda dalam pertubuhan belia sejajar dengan matlamat menjadikan pertubuhan itu sebagai wadah melatih dan membentuk pemimpin masa depan negara,” katanya.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna pemimpin dan ahli pertubuhan belia yang sudah berusia melebihi 40 tahun perlu diketepikan. Mungkin yang boleh dilakukan ialah membuat peruntukan membenarkan mereka yang berusia lebih 40 tahun menjadi ahli kehormat kepada pertubuhan belia. Dengan itu, mereka masih lagi berpeluang untuk aktif serta memberi sumbangan kepada kegiatan pergerakan belia.
Kita harus ingat sebagai ahli berpengalaman adalah rugi jika pengetahuan dan kemahiran mereka tidak dimanfaatkan untuk menggiatkan kegiatan belia di negara ini. Ini kerana pemimpin belia yang berpengaruh tetapi sudah melepasi usia 40 tahun masih boleh membantu menjana sumber kewangan pertubuhan dan sekali gus menyumbang ke arah menggiatkan aktiviti belia.
Berita Harian :: 16/4/2004
Friday, April 16, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment