Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
IKHLAS adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah dan keikhlasan jugalah yang menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan yang dilaksanakan oleh setiap Muslim diterima Allah ataupun sebaliknya. Pendek kata, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.
Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim yang bertakwa. Antaranya, firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya.” (Surah al-Zumar, ayat 2)
Rasulullah tidak ketinggalan untuk memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari Muslim lewat sabdanya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan nas-nas suci di atas, dapat disimpulkan betapa keikhlasan memainkan peranan yang penting dalam menentukan penerimaan satu amalan di sisi Allah. Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman Muslim kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang mencintai kerana Allah, yang membenci kerana Allah, yang memberi kerana Allah dan yang menahan diri pun kerana Allah, maka dia sesungguhnya telah mencapai kesempurnaan imannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dari sini jelas bahawa sifat ikhlas ini amat penting disemai dan dibajai di setiap hati Muslim dalam semua lapangan hidup agar dia dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa. Perlu disedari bahawa sifat ikhlas ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan amalan ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya, malahan niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat yang diberi ganjaran pahala kerananya.
Sebaliknya, niat yang tidak baik seperti riak atau 'ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai satu-satu amalan walaupun ia berupa amalan ibadat sekalipun dan ia akan mengubahkan menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksa yang pedih di akhirat kelak.
Sehubungan itu, Rasulullah ada memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kita kepada Allah seperti sifat riak, 'ujub, sombong dan lain-lain sifat yang tercela. Pernah satu ketika Rasulullah menganggap riak itu sebahagian daripada syirik yang tersembunyi kepada Allah. Ini jelas dalam satu sabda baginda yang bermaksud: “Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik.”
Justeru, sesiapa yang memusuhi wali Allah nescaya dia telah memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta yang tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) di dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari dan kalau mereka hadir pun di situ mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang akan menyuluh mereka keluar dari tempat yang gelap gelita.” (Hadis riwayat Hakim)
Demikianlah gambaran indah yang dilukiskan oleh Rasulullah tentang hamba Allah yang mengikhlaskan dirinya kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan apa-apa habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya apa yang mereka harapkan hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah saja.
Itulah cita-cita dan impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian yang penuh tulus lagi kudus semata-mata kerana Allah sebagaimana terungkap dalam firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya).” (Surah al-An'am, ayat 162 - 163).
Dari satu segi lain, gambaran orang yang tidak ikhlas dalam amalan mereka serta mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang yang beriman. Apa tidaknya, kerana Rasulullah sebagai seorang rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan kita akan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang yang tidak ikhlas hatinya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa yang dikerjakan kerana Allah dan apa-apa yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkannya ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Baihaqi)
Di samping itu, Islam adalah addin yang amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan oleh Muslim dianggap sebagai ibadah. Oleh itu, setiap amalan sama ada yang berbentuk duniawi mahu pun ukhrawi ada ganjaran pahalanya sekiranya diniatkan penuh ikhlas kerana Allah.
Hal ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala sehinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam satu hadis lain, Rasulullah juga bersabda maksudnya: “Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa yang engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah ada padanya pahala sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Ringkasnya, selama mana seseorang Muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh keikhlasan yang tulus, selama itulah segala gerak geri dan diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah. Kalaulah begini kedudukan seorang yang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah, kita sebagai umat Islam sewajibnya menghiaskan diri dengan sifat mulia itu dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.
Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati kita bersih dan suci dari sebarang kekotoran dan penyakit yang boleh menghancurkan ummah. Harta dan kemewahan dunia serta pesonanya tidak mempunyai apa-apa erti, sebaliknya harta paling bernilai ialah hati yang ikhlas.
Ini tepat sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Bharian :: April 2004
Sunday, April 11, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment