Thursday, April 15, 2004

Pelihara hasrat murni PLKN

Oleh Sapora Sipon

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sedang rancak berjalan. Namun, banyak yang telah diperkatakan terutama sekali dari segi masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya.

Pelbagai masalah seperti masalah pentadbiran, disiplin, penyertaan peserta adalah antara masalah yang memberi gangguan kepada kelancaran perjalanan PLKN.

Perkara ini merisaukan kesemua pihak memandangkan PLKN diwujudkan atas dasar yang sangat murni iaitu untuk melahirkan remaja bersifat patriotik dan mewujudkan semangat perpaduan di antara kaum. PLKN diwujudkan dengan hasrat yang begitu murni melalui pelaksanaan modul-modulnya.

Akibat daripada masalah yang timbul ini, masyarakat sudah mula tertanya dan meragui akan kejayaan dan kerelevanan PLKN. Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan PLKN adalah agenda negara dan setiap perkembangan perjalanan program ini tentunya tidak akan terlepas daripada perhatian setiap pihak. Kerana ia membabitkan sejumlah remaja yang begitu besar bilangannya di mana penyertaan mereka dalam PLKN diiringi oleh harapan menggunung para ibu bapa.

Memandangkan ia sebuah program negara, pelaksanaannya turut menelan perbelanjaan yang cukup besar dan menarik minat segenap lapisan masyarakat untuk mengetahui perkembangan perjalanannya.

Hasrat murni PLKN ternyata dicemari oleh beberapa insiden yang dikatakan tidak sepatutnya berlaku. Selain pergaduhan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pakaian harian peserta yang tidak senonoh dan penggunaan telefon bimbit untuk mengadu dan menghasut para peserta lain menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dikatakan turut mencemarkan program kali pertama ini.

PLKN juga menerima tamparan hebat apabila hampir 10,000 remaja gagal melaporkan diri bagi mengikuti program tersebut. Ekoran beberapa masalah yang timbul, terdapat pelbagai pandangan mengenai perjalanan PLKN. Ada pihak yang meminta PLKN dihentikan, ada juga yang mencadangkan supaya dikaji semula modul PLKN.

Berikutan dengan masalah-masalah disiplin peserta, ada dakwaan yang mengatakan insiden yang berlaku adalah kes terpencil sedangkan majoriti peserta lain dapat mengikuti program dengan baik selain tahap disiplin yang boleh dipuji.

Dalam kelompok yang besar seringkali berlaku konflik. Ini kerana wujudnya keinginan yang berbeza serta peserta yang datang dari pelbagai latar belakang. Tambahan pula, peserta-peserta adalah dari golongan remaja yang dikatakan menghadapi zaman sukar dan zaman peralihan.

Sedikit gangguan boleh menyebabkan mereka memberontak. Walaupun ini tidak memberi mereka sebarang alasan untuk mewujudkan pergaduhan, namun sedikit perselisihan sudah cukup untuk menyebabkan peserta terlibat dalam pergaduhan. Apatah lagi apabila kurangnya pengawasan pihak yang berwajib.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Profesor Datuk Dr. Ahmad Fawzi Basri mendakwa bahawa majoriti peserta PLKN dapat mengikuti program ini dengan baik dan berdisiplin. Namun, beliau juga tidak menafikan terdapat peserta yang meneruskan perangai yang tidak baik yang mereka warisi di sekolah.

Beliau berpendapat masalah disiplin juga timbul kerana berlaku pertembungan tahap kematangan antara peserta yang telah bekerja dengan mereka yang baru menamatkan persekolahan.

Persoalannya, adakah PLKN sedang menuju kegagalan ataupun ia hanya satu masalah kecil (seperti kata pengerusi MLKN) yang tidak akan memberi kesan besar kepada keberkesanan sebenar PLKN. Persoalan sama ada PLKN sedang menuju kegagalan ataupun ia satu proses menuju ke arah kejayaan perlu dilihat dari pelbagai aspek dengan fikiran yang objektif dan rasional.

Sama ada ia perlu diteruskan ataupun dihentikan memerlukan perbincangan yang sedalam-dalamnya kerana sebarang silap langkah yang diambil akan ternyata menjejaskan kewibawaan kerajaan. Kesan yang lebih besar ialah kepada remaja sendiri.

Memandangkan ia pertama kali dilakukan, ia tidak terkecuali daripada terdedah kepada kelemahan. Bagaimanapun, segala kelemahan yang berlaku tidak boleh diperlecehkan oleh pihak yang terlibat. Kekurangan dalam PLKN perlu diakui dan yang paling penting dijadikan sebagai satu sumber maklumat atau data untuk tujuan pengurusan PLKN yang lebih baik pada masa akan datang.

Segala masalah yang timbul perlu diberi perhatian. Komen yang bersifat membina perlu diteliti dan diambil tindakan yang sewajarnya. MLKN serta pihak yang terlibat perlu bersifat terbuka dalam menerima sebarang cadangan.

Cadangan-cadangan yang diberikan oleh pihak-pihak yang prihatin (yang sebenarnya ingin membantu) tidak boleh diketepikan. Sebarang komen perlu dilihat secara positif. Contohnya, pihak MLKN perlu mencari apakah punca-punca yang menyebabkan seramai hampir 10,000 remaja tidak mendaftar.

Adakah ia disebabkan oleh sikap ibu bapa yang dikatakan sebagai tidak berminat untuk menghantar anak mereka ataupun disebabkan oleh faktor lain seperti faktor sikap remaja tersebut ataupun sikap pentadbiran MLKN?

Namun, di sebalik masalah dan kemelut yang berlaku, ia boleh dilihat dari sudut lain yang lebih bersifat positif. Terdapat pengajaran yang boleh dimanfaatkan sepenuh-penuhnya terutama sekali oleh para peserta PLKN. Sesuatu yang perlu difikirkan ialah remaja boleh membina kekuatan daripada segala peristiwa yang berlaku.

Contohnya dalam masalah pengangkutan. Benar, pihak yang bertanggungjawab menyediakan pengangkutan perlu lebih bersifat sensitif akan perkara ini. Namun, peserta yang terbabit juga boleh mempelajari sesuatu dari insiden ini.

Masalah akan sentiasa wujud dalam kehidupan dan yang paling penting ialah bagaimana masalah itu ditangani. Ini kerana dalam kehidupan sebenar, remaja akan berhadapan dengan pelbagai masalah dan masalah ini perlu dihadapi dengan penuh yakin dan berani.

Para peserta PLKN disediakan segala kemudahan seperti pengangkutan, pakaian seragam dan tempat tinggal. Malah mereka diberikan elaun.

Peserta perlu menyedari keprihatinan kerajaan di samping berterima kasih di atas segala kemudahan yang diberikan. Namun dari satu sudut pula, mereka perlu sedar bahawa kerajaan tidak akan selama-lamanya membantu mereka. Ini kerana realiti kehidupan berbeza.

Penyemaian sifat sayangkan negara dan perpaduan kaum adalah satu proses, begitu juga pembinaan karakter yang mantap. Masa diperlukan dalam membentuk karakter yang unggul. Ia berlaku setiap masa dalam kehidupan manusia.

Dalam konteks ini, PLKN hanyalah sebagai satu saluran untuk membantu dalam pembinaan karakter itu. PLKN menyediakan satu ruang dalam membina sahsiah peserta yang lebih mantap. Ia bukannya penamat kepada pembentukan peribadi yang diingini. Ia juga bukan penamat kepada objektif yang ingin dicapai oleh PLKN.

Tiga bulan sebenarnya belum begitu mencukupi untuk melihat keberkesanan sesuatu program. Namun, apa yang paling utama ialah bagaimana peserta dapat mengaplikasi apa yang diperoleh dan dipelajari daripada PLKN dalam kehidupan sebenar.

Objektif PLKN mestilah diteruskan dan tidak boleh berhenti sebaik sahaja PLKN tamat. Jika ini berlaku maka gagallah hasrat murni PLKN. Oleh itu, adalah mustahil untuk menjadikan PLKN sebagai satu titik terakhir pembentukan generasi remaja yang gemilang.

Selalunya untuk sesuatu program atau perkara menemui kejayaan, ia seringkali menempuhi zaman kesukaran. Mungkin itulah yang sedang dialami oleh PLKN. Ia perlu menghadapi masalah sebelum program ini mencapai kejayaan.

Pada waktu kita perlu bersifat prihatin akan masalah yang wujud dalam PLKN, kita juga perlu bersifat optimis bahawa PLKN akan berjaya. Kita perlu berfikir secara realistik bahawa dalam pelaksanaan program yang begitu besar, akan timbul masalah. Kita tidak boleh membenarkan masalah yang timbul menenggelamkan atau mematikan hasrat murni kerajaan. Sifat optimis perlu ada kerana tanpanya pembentukan remaja yang bersifat patriotik dan perpaduan kaum sukar wujud.

Perlu diingatkan bahawa segala masalah ini belum bererti kegagalan bagi PLKN. PLKN belum sampai ke penghujungnya. Adalah sesuatu yang tidak adil untuk menilai sesuatu yang belum berakhir.

Yang pentingnya, program PLKN mesti dinilai sebaik sahaja ia tamat tempoh. Hasil penilaian perlu dijadikan sebagai kayu pengukur sejauh mana berkesannya program ini. Segala kelemahan perlu di atasi. Sama ada program ini perlu kepada pengubahsuaian banyak bergantung pada penilaian yang dilakukan.

- Sapora Sipon ialah pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Utusan Malaysia :: Khamis 15/4/2004

No comments: