Usahawan tak endah ICT akan tercicir
Datuk Mohd Nasir Ahmad
Kelebihan ilmu penting untuk tentukan keupayaan peniaga bersaing
KERAJAAN terus memberi perhatian dan penekanan pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai cabang ilmu dan sumber teknologi untuk kemajuan rakyat dan negara.
Penekanan berterusan oleh kerajaan kepada ICT dibuktikan dengan pelancaran Bulan ICT Malaysia 2005 pada Rabu lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri menyatakan faedah dan manfaat ICT perlu sampai ke setiap pelosok negara supaya timbul kesedaran rakyat mengenai peluang ekonomi yang boleh diwujudkan oleh ICT serta memperkembang budaya ICT di kalangan rakyat.
Untuk memberi peluang rakyat luar Lembah Klang lebih terdedah kepada ICT, pelancaran Bulan ICT Malaysia 2005 dilangsungkan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Kerajaan juga buat pertama kalinya mengadakan Mesyuarat Panel Antarabangsa (IAP) Koridor Raya Multimnedia (MSC) di luar Cyberjaya iaitu di Pulau Pinang bermula Khamis lalu.
Secara kebetulan pada Isnin lalu, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menganjurkan Seminar Keusahawanan Islam Peringkat Kebangsaan 2005. Saya diberi peluang membentang kertas kerja bertajuk 'Usahawan Muslim Dalam Era Teknologi Maklumat'.
Seperti kita tahu, industri ICT bermula sekitar 1950-an. Ia bermula sebagai usaha memproses maklumat untuk memudahkan simpanan rekod dan analisis membuat keputusan. Bagi mereka yang masih ingat, peringkat awal kaedah menyimpan maklumat menggunakan kad penebuk (punch card) dengan mesin pemprosesan yang besar dan perlahan.
Kos menggunakan teknologi pemprosesan maklumat adalah tinggi pada peringkat awal. Bagaimanapun, teknologi ini berkembang secara berperingkat hingga dikenali sebagai ICT sekarang. Dengan kemajuan berterusan, ICT menjadi keperluan yang diterima kerajaan dan organisasi perniagaan.
Sejak pertengahan 1990-an, industri ICT melalui kemajuan yang amat pesat dengan pakar bidang itu berlumba-lumba menghasilkan komputer yang lebih berkuasa. Perlumbaan di kalangan pemain dalam industri ICT memperkenalkan pelbagai kaedah baru seperti 'Local Area Network (LAN)', internet, e-mel dan pelbagai perisian canggih.
Pada masa ini, penggunaan ICT begitu luas dan meliputi setiap aspek kehidupan. Kita mendapati ICT digunakan bagi tujuan komunikasi, pelajaran, pertahanan, pengangkutan, perubatan, perbankan, hiburan dan pelbagai lagi. Terbukti bahawa penggunaan ICT yang positif membantu memperbaiki kehidupan manusia.
Secara umumnya, penggunaan ICT dalam apa bidang sekalipun seharusnya bertujuan meningkatkan kecekapan mengurus maklumat. Di samping itu, ICT seharusnya diguna untuk menjimat masa operasi, mengurangkan kos serta meningkatkan produktiviti.
Pada zaman ICT sekarang, semua usahawan dan ahli perniagaan tidak dapat mengelak daripada menggunakan kemudahan itu untuk mengurus perniagaan dan perusahaan mereka. Sama ada secara langsung atau tidak, setiap perniagaan terpaksa berdepan dengan penggunaan ICT.
Seperti bidang lain, penggunaan ICT dalam perniagaan juga bertujuan membantu pengurusan perniagaan menjadi lebih cekap dan menguntungkan. Perniagaan menggunakan ICT untuk mempercepatkan masa pusing ganti operasi dan dengan ini meningkatkan produktiviti.
Penggunaan ICT dalam perniagaan juga seharusnya membantu meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan, selain mengurangkan kos penyelenggaraan bagi jangka panjang.
Bagi tujuan pengurusan perniagaan, kita perhatikan pelbagai perisian dan aplikasi yang semakin canggih dan bijak terus dicipta. Setiap aspek pengurusan perniagaan boleh memilih jenis perisian dan aplikasi yang sesuai untuk kegunaan pengurusan dan pentadbiran.
Perniagaan yang mempunyai operasi di pelbagai tempat sama ada dalam atau luar negara dapat berkomunikasi dan memantau perkembangan perniagaan mereka dengan pantas. Hal ini sekali gus mewujudkan suasana dunia tanpa sempadan yang membawa proses globalisasi.
Satu hakikat kehidupan ialah perubahan akan sentiasa dan terus berlaku. Kelebihan akal yang dikurniakan Allah kepada manusia menyebabkan proses perubahan sebagai sesuatu yang harus berlaku, melainkan manusia berhenti berfikir.
Kemajuan ICT hanya mempercepatkan proses perubahan. Justeru, semua usahawan, terutama Bumiputera dan Muslim hendaklah mampu menyesuaikan diri dengan semua perubahan yang kebanyakannya didorong oleh kemajuan ICT.
Kita semua berulang kali diingatkan supaya meningkatkan ilmu pengetahuan jika ingin terus maju dan mahu diperlukan. Dalam era ICT sekarang, keusahawanan perlu bergerak dalam suasana yang dipanggil k-ekonomi. Perkara ini bermakna kelebihan ilmu penting untuk menentukan kelebihan persaingan seseorang.
Sama ada kita sedar atau tidak, kebanyakan ilmu yang kita perlukan sekarang berkait rapat dengan penggunaan ICT. Oleh itu, sesiapa yang tidak mempedulikan perkembangan dan kemajuan dalam ICT akan ketinggalan kerana ICT itu sendiri sudah menjadi pemangkin kepada peningkatan ilmu di semua bidang lain.
Dalam konteks keusahawanan dan perniagaan, apa yang dicari ialah penambahan kekayaan bagi pengusaha perniagaan. Matlamat ini hanya boleh dicapai jika usahawan dapat mencari beberapa kelebihan yang meningkatkan daya saingannya.
Memang banyak perkara perlu dipelajari dan didalami oleh usahawan dan ahli perniagaan. Namun, hakikatnya dalam era ICT, banyak perkara yang diketahui hari ini mungkin menjadi lapuk dalam tempoh terdekat. Oleh itu, penggunaan ICT penting supaya tidak ketinggalan zaman.
Usahawan berjaya memiliki beberapa ciri peribadi yang tidak boleh diubah seperti jujur, ikhlas, kreatif dan berani mengambil risiko. Begitu juga untuk berjaya, usahawan perlu kekal berpegang kepada beberapa etika perniagaan yang membezakan usahawan jujur dan penipu.
Namun, usahawan, khususnya Bumiputera, harus segera sedar bahawa walaupun ciri kejayaan dan etika perniagaan tidak boleh diubah, cara mengurus yang tidak menentang etika akan terus berubah. Lebih penting lagi ialah menyedari bahawa kebanyakan perubahan mengenai kaedah dan proses adalah ditunjangi kemajuan ICT.
Oleh itu, usahawan tidak dapat lari daripada kemajuan ICT dan hendaklah segera berusaha meningkatkan pengetahuan serta menggunakannya untuk memajukan diri dan perniagaan. Usahawan yang tidak mengendahkan ICT akan tercicir dalam perlumbaan mengejar kejayaan.
Usaha kerajaan memberi penekanan kepada ICT pasti memberi kelebihan kepada negara untuk bersaing dan menjadi negara maju. Apa yang kita tidak mahu lihat ialah negara menjadi maju dengan MSC dan pelbagai pendekatan lain dalam ICT, tetapi usahawan Bumiputera tidak menjadi sebahagian daripada kemajuan ini.
Berita Harian 13 Sept 2005
Tuesday, September 13, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment