Sunday, September 11, 2005

AS lupakan seketika 11 Sept.

Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN

HARI ini dunia terpanggil untuk mengingati semula tarikh yang dicatatkan sebagai hari paling mengejutkan apabila berlaku satu peristiwa yang tidak pernah diduga malah di luar jangkaan sesiapa juga pun.

Ruang angkasa Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini sering dianggap sebagai `kebal' dengan mudah berjaya dicerobohi.

Lebih memalukan, menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan Pentagon di Washington, ibu pejabat Jabatan Pertahanan AS telah dirempuh.

Rempuhan luar biasa oleh penyerang yang dikategorikan sebagai berani mati itu didakwa dilakukan oleh pengganas Islam.

Angka rasmi yang dikeluarkan oleh New York Magazine mencatatkan jumlah korban ialah sebanyak 2,819 orang.

Kebanyakan yang terkorban dikatakan terdiri daripada golongan muda yang berusia antara 35 tahun hingga 39 tahun.

Kesan daripada peristiwa tersebut, wujud `ketegangan' antara negara-negara blok barat dengan negara-negara Islam.

Imej Islam yang selama ini dipandang sebagai umat yang amat mementingkan nilai-nilai kemanusiaan dan toleransi serta-merta berubah kepada `keganasan'.

Malah sejak peristiwa itu juga, Islam digambarkan sebagai agama yang seolah-olah menghalalkan serangan berani mati apabila setiap kejadian di merata dunia dikaitkan dengan perancangan umatnya.

Dalam rempuhan menggunakan kapal terbang komersial itu, kedua-dua menara berkembar 110 tingkat dengan ketinggian 415 dan 417 meter runtuh dalam tempoh masa yang agak singkat - kira-kira sejam.

WTC yang terletak di kawasan kewangan New York, pernah menjadi salah satu simbol kekuatan ekonomi AS.

Lokasi itu turut menjadi gambar poskad New York yang cukup popular - selain Statue of Liberty - sebagai simbol bandar itu.

Menurut Lembaga Pelabuhan New York dan New Jersey yang mentadbir bangunan itu, kira-kira 50,000 orang bekerja di situ selain lebih daripada 90,000 orang melawat menara tertinggi di bandar itu setiap hari.

Idea membangunkan WTC bernilai kira-kira RM5.7 bilion itu timbul pada tahun 1966 dan siap sepenuhnya pada 1973.

Bagaimanapun, sejak tahun lepas, sebuah menara baru yang dinamakan Menara Kebebasan sedang rancak dibina bagi menggantikan menara lama yang musnah itu.

Menara Kebebasan dengan ketinggian 541 meter dan dijangka siap pada 2008 itu bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia, mengatasi Menara Taipei 101 di Taiwan.

Tahun ini adalah ulang tahun keempat memperingati serangan ke atas WTC dan Pentagon - tragedi yang menggegarkan AS dan dikaitkan dengan militan Islam.

Jika tahun-tahun sebelumnya, AS yang trauma dengan serangan yang meranapkan bangunan kebanggaannya itu sentiasa berjaga-jaga menjelang ulang tahun tragedi itu, kali ini ia seperti tidak dipedulikan.

Pernah ketika pengeboman di sebuah pusat hiburan di Bali pada 2002 dan diikuti pengeboman di Hotel J.W Marriott setahun kemudian, AS menuding jari dan menganggap Indonesia menjadi sarang pengganas.

Dua hari menjelang ulang tahun ketiga tragedi memperingati pengeboman, sebuah bangunan berhampiran Kedutaan Australia di Jakarta diletupkan menerusi bom kereta.

Sejak tercetusnya tragedi 11 September 2001, serangan pengganas berdekatan dengan kedutaan asing seperti apa yang berlaku di Indonesia itu merupakan perkara biasa.

Seperti selalu, barat terus bertegas dengan mengatakan perbuatan tersebut didalangi oleh apa yang disifatkan sebagai pengganas atau militan Islam.

Dalam masa sama, AS dan sekutunya tidak jemu-jemu melancarkan serangan ke atas Iraq yang dikatakan punca keganasan sebelum merebak ke seluruh dunia.

Ironinya, tidak seperti tahun-tahun lalu, menjelang sambutan ulang tahun keempat (disambut hari ini) agak berbeza bagi AS.

Jika sebelum ini ada sahaja letupan bom yang dikatakan sengaja dirancang oleh pengganas Islam sebagai satu cara memperingati tragedi itu, tahun ini seperti `mereka' memahami apa yang sedang berlaku di AS.

Malah, AS sendiri dalam tempoh kebelakangan ini, tidak lagi begitu lantang mengutuk atau menuduh pihak-pihak terbabit.

Hakikatnya, negara yang dipimpin oleh George W. Bush itu gagal mengelak daripada terpaksa menghadapi saat-saat paling getir.

Gara-gara taufan Katrina, persediaan sambutan memperingati ulang tahun peristiwa hitam itu mungkin tidak `semeriah' yang digambarkan seperti selalu.

Jika sebelum ini ia `diraikan' dengan mengutuk kelemahan negara lain dalam menangani masalah pengganas, kali ini AS sibuk menguruskan hal dalaman sendiri.

Biarpun dendam lama masih membara, masalah yang sedang dihadapi seolah-olah tidak membenarkan mereka terlalu memikirkan tentang perkara itu buat masa ini.

Taufan yang melanda New Orleans dan kawasan sekitarnya Isnin lalu, benar-benar menyedarkan AS yang selama ini berbangga sebagai sebuah kuasa besar, paling maju dan bertamadun juga tidak terlepas daripada menerima kesan daripada bencana alam.

Hal itu mengundang simpati dunia. Bandar pelancongan yang menarik dan terkenal dengan muzik irama jaz itu kini umpama `padang jarak padang terkukur'.

Sehingga kini, dilaporkan kemungkinan 10,000 orang terkorban akibat taufan itu.

Kerugian yang perlu ditanggung akibat taufan mencecah hampir RM101.08 bilion.

Bencana alam yang datang tiba-tiba tanpa diundang, diharap menyedarkan AS daripada terus lena dalam tidur yang panjang.

Ketidakcekapan mengurus berpuluh-puluh ribu mangsa yang terselamat, juga menjejaskan kredibiliti `polis' dunia itu.

Lebih buruk lagi, selain menjadi mangsa taufan, sikap manusia yang tidak berperikemanusiaan - mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain juga memeningkan pemimpin tertinggi negara.

Walaupun cuba menunjukkan kepada dunia betapa ia tetap sebuah kuasa yang sukar ditundukkan, namun Katrina seolah-olah telah menafikan `kehebatan'nya itu.

AS, seperti negara-negara lain yang ditimpa bencana, tetap mengharapkan bantuan dunia. Setakat ini, sebanyak 60 negara telah menyatakan kesediaan mereka untuk membantu termasuk Thailand, Sri Lanka dan Bangladesh, tiga negara yang teruk ditimpa ombak tsunami, hujung tahun lalu.

Dalam hubungan ini, pembinaan Menara Kebebasan di tapak runtuhnya bangunan WTC juga tidak mampu menutup mata dunia tentang masalah yang dihadapi.

Senario yang berlaku memberi ingatan kepada AS bahawa mereka juga tidak terlepas daripada berdepan dengan dugaan.

Mungkin bencana tersebut mampu menyampaikan mesej bahawa itu adalah mereka yang sebenarnya dalam dunia realiti.

Ternyata AS kini terkial-kial. Masalah dalaman yang dihadapinya itu, menyukarkan mereka untuk terus mengatur strategi dalam usaha memperkukuhkan kedudukan.

Sewajarnya, taufan Katrina menyedarkan AS bahawa tiada sebuah pun negara yang akan terlepas daripada `kekuasaan'-Nya.

Mingguan Malaysia, 11 Sept 2005

No comments: