Sunday, September 11, 2005

Selepas empat tahun 11 Sept - Sejak runtuhnya WTC, gejala Islamofobia menjadi ciri di Barat

Oleh: ZIN MAHMUD

HARI ini empat tahun lalu berlaku peristiwa 11 September. Sejak itu, Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan perang ke atas Afghanistan dan Iraq. Di pihak Al-Qaeda pula, mereka telah melakukan serangan bom berani mati di Madrid, Sepanyol dan London, Britain.

Perang antara AS dengan Al-Qaeda masih berterusan. Tempat di mana mereka bertemu secara berdepan ialah di Iraq.

Akibat perang menentang keganasan ini, Presiden George W. Bush berjaya mempertahankan kedudukannya apabila menang pilihan raya presiden tahun lalu. Tetapi Mullah Omar dan Saddam Hussein telah hilang kuasa mereka di Kabul dan Baghdad. Tetapi kerajaan Madrid yang mendukung perang AS ke atas Iraq telah tumbang. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tony Blair berjaya mempertahankan kerajaannya dalam pilihan raya Britain.

Pada prinsipnya Afghanistan, Iraq, Sepanyol dan Britain tidak ada kaitan dengan perang antara AS dengan Al-Qaeda. Kesemua mereka diheret oleh AS dan Washington telah meluaskan medan konflik perang antaranya dengan Al-Qaeda.

Musuhnya kini bukan saja Al-Qaeda sebagai sebuah organisasi. Tetapi mereka juga bermusuhan dengan ideologi Al-Qaeda.

Ini kerana mereka beranggapan bahawa Al-Qaeda bukannya menentang AS. Tetapi hakikatnya ialah Al-Qaeda memusuhi ideologi AS. Jadi perang ini adalah pertembungan ideologi yang dilakukan secara keras, ganas dan menjadikan sesiapa yang kebetulan berada dalam medan pertembungan akan terkorban menjadi mangsa, baik oleh Al-Qaeda mahupun AS.

Sejak berlaku peristiwa 11 September 2001, diikuti dengan perang ke atas Afghanistan, Iraq hinggalah kepada pengeboman di Madrid dan London, peperangan ini sedang berubah kepada keadaan berbeza berbanding dengan kedudukan awalnya. Persepsi, interpretasi dan pemahamannya juga telah berubah.

Perang Al-Qaeda menentang AS sudah berlaku lebih awal sebelum 11 September. Asal puncanya ialah apabila Osama bin Laden marah dengan kehadiran tentera AS di tanah Arab Saudi ekoran Perang Teluk pertama.

Baginya tanah Arab Saudi atau Hijaz sepatutnya bebas daripada sebarang orang kafir. Dalam tradisi Islam terdapat sebutan bahawa Rasulullah s.a.w. telah membebaskan tanah Hijaz daripada golongan kafir maka keadaan itu sepatutnya dipertahankan.

Osama menuntut Washington supaya mengundurkan tenteranya dari Arab Saudi. Terdapat pengulas di AS yang mengkritik fahaman ini. Menurut mereka mengharamkan orang kafir daripada memasuki Arab Saudi adalah bersifat perkauman dan diskriminasi. Osama tidak berhak menghalang sesiapa tidak kira agama memasuki Arab Saudi. Mereka juga menganggap mengharamkan orang bukan Islam daripada memasuki Mekah juga suatu perkauman dan diskriminasi.

Tetapi pada sesetengah pendapat maksud kafir dan bukan Islam adalah berbeza. Golongan kafir adalah mereka yang menentang Islam. Seseorang bukan Islam tetapi tidak menentang Islam tidak menentang atau memerangi Islam bukanlah kafir.

Apabila Rasulullah membebaskan semenanjung Arab daripada orang kafir bukanlah bermaksud tidak ada orang bukan Islam di wilayah itu. Orang bukan Islam terus berada di tanah Hijaz walaupun selepas semenanjung Arab menjadi wilayah Islam.

Apa yang berlaku ialah tidak ada orang yang menentang Islam, pemerintahan Islam dan Rasulullah selepas itu.

Persoalannya ialah, adakah tentera AS itu memerangi Islam atau tidak? Bagi Osama, tentera AS yang berada di Arab Saudi itu kafir kerana menentang orang Islam, iaitu perang menceroboh Iraq ketika itu.

Tetapi bagi Riyadh, tentera AS adalah sekutu orang Islam kerana mereka diundang untuk mempertahankan Arab Saudi. Serangan ke atas Iraq juga adalah kerana Saddam ketika itu menceroboh Kuwait.

Sememangnya pada awal perjuangannya, Osama tidak berperang menentang AS, Israel atau Barat. Ia hanya menjadikan kerajaannya sebagai sasaran kerana ia berpendapat Riyadh tidak mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatannya. Tetapi ia kemudian beralih ke Afghanistan yang menghadapi ancaman komunis. Baginya komunis yang merupakan ateis lebih berbahaya daripada Zionis dan Barat.

Jadi kemuncak keupayaan Al-Qaeda ialah serangan 11 September. Ketika itu Osama berada di Afghanistan di mana kerajaan Taliban memberi ruang kepada mereka.

Taliban tidak bermusuh dengan AS dan Osama dianggap sebagai tamu yang banyak menolong mereka. Tetapi apa yang dilakukan oleh Osama tidak ada kaitan dengan mereka.

Sebelum peristiwa itu juga, AS tidak memusuhi Taliban. Malah sokongan AS terhadap Taliban berlaku secara tidak langsung iaitu melalui Pakistan dan Arab Saudi.

Apabila Washington meminta Taliban menyerahkan Osama, Kabul enggan berbuat demikian. Justeru Bush menjadikan Taliban musuh AS. Serangan ke atasnya pun dilancarkan Afghanistan menjadi musuh AS hinggalah ia dikuasai.

Sementara Iraq di bawah Saddam pula tidak ada kaitan dengan Al-Qaeda. Tetapi Saddam adalah musuh AS. Lebih tepat lagi musuh Bush dan keluarganya.

AS melancarkan serangan ke atas Iraq. Kalau serangan terhadap Afghanistan mendapat sokongan dunia, keadaan ini tidak berlaku terhadap Iraq. Bagaimanapun, Bush mendapat sokongan dari beberapa negara dunia termasuk Sepanyol dan Britain.

Maka dengan peperangan ini, Iraq telah mewujudkan kaitannya dengan Al-Qaeda. Ini kerana Bush menegaskan bahawa Iraq merupakan sebahagian daripada peperangannya terhadap keganasan dan Al-Qaeda.

Justeru, selepas Saddam tumbang, pejuang-pejuang Al-Qaeda tertumpu ke Iraq untuk berperang secara berdepan dengan AS.

Perang di Iraq juga membuka ruang bagi Al-Qaeda untuk menjadikan Britain dan Sepanyol sebagai sasarannya. Maka itulah juga yang berlaku.

Kini semuanya telah terheret: Afghanistan, Iraq, Britain dan Sepanyol.

Malah bukan itu saja, keseluruhan dunia terlibat. Di satu pihak, AS mengehendaki supaya semua manusia dan semua negara yang didiami bersama dengannya menentang keganasan - maksudnya ialah Al-Qaeda.

Ini kerana Al-Qaeda beroperasi secara transnasional dan global. Justeru, setiap negara mesti bekerjasama menentang ancaman ini.

Hasilnya, semua negara bersetuju. Tidak ada satu pun negara di dunia yang menentang seruan AS ini. Mereka mungkin menentang serangan AS ke atas Afghanistan dan Iraq, tetapi tidak ada mana-mana kerajaan yang menyokong keganasan.

Malah ada negara yang mengambil kesempatan untuk mentafsir keganasan bukan kepada Al-Qaeda semata-mata tetapi kumpulan-kumpulan militan yang menentang mereka. Umpamanya Israel menganggap Hamas, Jihad Islam dan Hizbullah sebagai pengganas. Rusia mahu pemisah Chechnya sebagai pengganas. Begitu juga China mahu AS dan dunia menganggap pemisah Xinjiang sebagai pengganas. Filipina dan Thailand juga mahu pemisah di bahagian selatan negara mereka dianggap sebagai pengganas juga.

Tidak semua, kata AS. Washington menerima Hamas, Jihad Islam dan Hizbullah sebagai pengganas. Tetapi bukan pemisah Chechnya dianggap pejuang kemerdekaan walaupun mereka juga melancarkan serangan berani mati dan menjadikan orang awam sebagai sasaran.

Hakikatnya, AS hanya mahu dunia menganggap Al-Qaeda ataupun mana-mana kumpulan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda sebagai pengganas.

Bagi umat Islam di seluruh dunia, kegiatan Al-Qaeda ini bukan saja mencemarkan agama dan penganutnya tetapi juga menyusahkan kehidupan seharian mereka khususnya dalam aktiviti ketika berhubung dengan negara-negara Barat. Bagi mereka yang tinggal di negara-negara Barat, ketakutan terhadap keganasan bertambah berat dengan masalah Islamofobia.

Gejala Islamofobia sudah wujud sebelum peristiwa 11 September. Tetapi selepas peristiwa itu, ia menjadi suatu ciri di negara-negara Barat.

Bagaimanapun, pengulas di Britain umpamanya menyifatkan bahawa konsep Islamofobia ini hanya diada-adakan oleh orang Islam. Apa yang wujud hanyalah paranoia yang dapat difahami dan diterima. Tetapi Islamofobia atau Islamparanoia mendatangkan hasil yang serupa. Ia menyusahkan kehidupan seharian umat Islam di negara-negara Barat.

Ketika turut marah kepada Al-Qaeda, umat Islam sedunia juga menambah kebencian mereka terhadap AS. Washington dilihat sebagai angkuh dan hipokrit. Di sebalik laungan demokrasi, AS telah melakukan perbuatan yang tidak mencerminkan keadilan. Daripada menahan beribu-ribu orang yang dianggap sebagai pengganas tanpa perbicaraan di kem Guantanamo hinggalah perlakuan sumbang mereka terhadap tahanan di Abu Gharib di Iraq.

Banyak negara terutama di kalangan umat Islam menyatakan bahawa punca masalah keganasan ini ialah sokongan AS terhadap Israel. Selagi masalah Palestin tidak diselesaikan, maka keganasan Al-Qaeda akan wujud dengan memperoleh rekrut baru bagi perjuangan mereka.

AS tidak menerima pendapat ini. Katanya, keganasan muncul kerana negara-negara Islam tidak mengamalkan demokrasi dan nilai-nilai moden Barat. Jadi AS telah meletakkan agenda pendemokrasian sebagai cara melawan Al-Qaeda. Selain dari Afghanistan dan Iraq yang dipaksa untuk mengamalkan demokrasi, AS memberi tekanan kepada semua negara Islam, khususnya Arab supaya berubah.

Namun begitu, AS cuba juga berpakat dengan Israel mencari jalan supaya perubahan dapat diwujudkan di Palestin bagi mengurangkan kemarahan umat Islam. Hasilnya, pengunduran tentera Israel dari Gaza, tetapi pada waktu yang sama mendirikan tembok memisahkan rakyat Palestin dari tanah-tanah milik mereka.

Yasser Arafat sudah meninggal dan penggantinya, Mahmoud Abbas sedia berunding. Hasilnya, umat Islam masih marah pada Israel dan AS yang disifatkan oleh mereka sebagai penipu, penceroboh dan musuh Islam.

Setelah empat tahun peristiwa 11 September dengan berlakunya pengeboman terbaru di London, muncul satu pandangan di Barat bahawa masalah keganasan Al-Qaeda ini bukan bersifat politik atau ekonomi, tetapi adalah masalah budaya atau agama.

Islam dilihat sebagai punca keganasan. Pandangan ini banyak dipegang oleh fundamentalis Kristian dan neo-konservatif di AS, serta neo-orientalis di Britain, Perancis dan Itali.

Mereka menganggap ideologi Al-Qaeda membenci tamadun Barat. Mereka akan hanya berpuas hati jika tamadun Barat terkubur. Jadi salah satu mesti dikalahkan. Tetapi adakah ideologi Al-Qaeda ini boleh dipisahkan daripada Islam? Maka terdapat penganalisis Barat yang melihat bahawa teras ideologi Al-Qaeda adalah Islam. Justeru, agama Islam mesti direformasikan untuk dibenarkan hidup dalam kerangka tamadun Barat.

Umat Islam menolak reformasi kerana ia tidak relevan. Apa yang berlaku ialah menilai kembali pendekatan supaya Islam sebenar iaitu yang bersih daripada keganasan dapat ditimbulkan. Maka suasana pascafundamentalisme timbul di seluruh dunia Islam. Daripada polisi baru Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Turki hinggalah gagasan Islam Hadhari di Malaysia adalah kesemuanya merupakan sebahagian daripada usaha ini.

Pandangan terbaru pula menyebut bahawa tamadun Barat dan tamadun Islam mempunyai teras serupa dan boleh hidup bersama. Tetapi ideologi Al-Qaeda bercanggah dengan Islam, begitu juga dengan ideologi AS yang turut bertentangan dengan tamadun Barat.

Kedua-dua ideologi Al-Qaeda dan AS berada di luar kerangka tamadun, baik tamadun Barat mahupun Islam.

Mingguan Malaysia, 11 Sept 2005

No comments: