Friday, September 09, 2005

ICT PANDU MASYARAKAT INOVASI

Terjemahan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (IAP-MSC) Ke-9 di Pulau Pinang pada 8 September 2005.

KITA merasa bertuah dan amat mengalu-alukan kedatangan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke mesyuarat ini sebagai ahli Emeritus IAP.

Koridor Raya Multimedia (MSC) bukan sahaja merupakan gagasan idea beliau tetapi Dr. Mahathir juga menjadi penggerak di belakang setiap kejayaannya.

Di sini, saya juga ingin mengambil peluang untuk mengalu-alukan ahli baru IAP, Greg Lang dari IDT dan Thorsten Heins dari Siemens.

Saya amat berharap mereka boleh memberikan idea dan perspektif baru supaya kelak kita terus berupaya membina kejayaan dalam MSC.

Ini merupakan mesyuarat IAP pertama diadakan di luar Lembah Klang, yang menjadi kawasan MSC asal. Kali ini ia dilaksanakan di bandar raya siber MSC Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sejak 30 tahun lepas, Pulau Pinang telah memperlihatkan perubahan memberangsangkan khususnya dalam bidang teknologi dan industri.

Dengan strategi khusus untuk memperluaskan industri, Pulau Pinang, yang sebelum ini menjadi pusat insentif buruh, proses pengeluaran berteknologi rendah, bertukar menjadi pusat berkemahiran tinggi, intensif modal dan proses berteknologi tinggi.

Sebahagian besar syarikat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri elektronik telah memilih untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pentadbiran dan hab pengeluaran mereka.

Malahan, Pulau Pinang juga bertukar daripada jolokan `Pulau Mutiara' menjadi `Pulau Silikon Timur.

Memandangkan Bayan Lepas kini ditauliahkan menjadi bandar raya siber Malaysia yang pertama, saya yakin negeri Pulau Pinang akan berupaya menggamit lebih ramai pelabur sama ada tempatan dan asing untuk ke sini dan melabur.

Tema bagi mesyuarat tahun ini ialah `ICT-Memandu Masyarakat Berinovasi'. Tema ini amat bersesuaian sekali dan tepat pada masanya lebih-lebih lagi ketika Malaysia mempersiapkan diri untuk memasuki peringkat kedua Wawasan 2020.

Sebagai sebuah negara membangun, kita sedar bahawa inovasi merupakan elemen penting dalam kemakmuran ekonomi.

Malahan, negara-negara terkaya di dalam dunia ini adalah negara yang paling inovatif.

Dengan itu, Malaysia memandang ke hadapan untuk membangunkan sebuah masyarakat yang inovatif, kreatif, berteraskan pengetahuan tinggi dan penuh pengalaman.

Kita berhasrat untuk menambah asas kepada modal insan dan selanjutnya menambah nilai-nilai kepada asas tersebut. Seterusnya, kita mahu membangun dan memperkayakan rakyat sekali gus memberi peluang kepada mereka bersaing dengan kumpulan terbaik di dunia ini.

Saya berharap perbincangan dalam pertemuan selama dua hari nanti akan memberikan panduan dan menunjukkan cara bagaimana Malaysia supaya jangan ketinggalan dalam ICT demi mempertingkatkan keupayaan inovatif dan memperkukuhkan daya saing.

Sejak mula diperkenalkan sembilan tahun lalu, tidak dapat tidak, MSC cukup berjaya dalam mencatatkan pertumbuhan dalam industri ICT di Malaysia.

Sektor ICT Malaysia berkembang sebanyak 8.3 peratus tahun lalu, lebih besar berbanding jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara keseluruhan iaitu sebanyak 7.1 peratus pada tahun 2004.

Syarikat-syarikat MSC juga berkembang maju dengan mencapai jualan melebihi AS$1.6 bilion (RM5.92 bilion) pada tahun lepas.

Laporan oleh International Data Corporation (IDC), sebuah firma kaji selidik ICT terkemuka, meramalkan bahawa perbelanjaan ICT di Malaysia yang berjumlah AS$2.5 bilion (RM9.25 bilion) pada 2003 akan berkembang pada kadar 10 peratus di antara 2003 hingga 2008. Ini meletakkan Malaysia setanding dengan pasaran ICT lain yang sedang pesat berkembang di negara-negara Asia.

Selain perkembangan yang membanggakan dalam industri ICT itu, saya dengan sukacita ingin menyatakan bahawa rakyat Malaysia turut mula membiasakan diri dengan gaya hidup digital.

Meningkat

Dalam tempoh suku pertama tahun ini, Malaysia meramalkan bahawa jumlah pengguna Internet adalah sebanyak 10.3 juta orang, manakala kadar celik Internet adalah hampir 40 peratus.

Jumlah pelanggan jalur lebar Internet di negara ini meningkat sekali ganda menjadi hampir 300,000 dengan bilangannya dijangka terus meningkat kepada 1.3 juta pelanggan pada tahun depan.

Menjelang tahun 2008, Malaysia perlu mencapai kadar celik jalur lebar sebanyak 10 peratus ekoran daripada pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan (NBP).

Menurut pelan itu, kemudahan jalur lebar akan diperoleh dan disediakan meskipun di kawasan bandar-bandar kecil dan daerah perkampungan menjelang tahun 2010.

Kita akan terus menumpukan matlamat dalam pendekatan kita bagi menjadikan MSC serta Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pelaburan ICT.

Lebih daripada itu , kita akan terus membangunkan kawasan-kawasan utama dalam perkembangan ICT di mana kita sebenarnya telah pun memiliki kelebihan daya saing.

Pada masa sama, kita tidak lupa untuk membangunkan kawasan baru di mana sinergi mungkin muncul bersama industri-industri strategik lain.

Salah satu bidang di mana kita telah bina niche kukuh ialah operasi perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar (SSO).

Pada masa ini MSC menjadi hos kepada 48 syarikat SSO berkelas dunia, yang mewujudkan kira-kira 11,200 peluang pekerjaan.

Saya yakin bahawa syarikat-syarikat ini akan tertarik dengan kebanyakan kelebihan serta tawaran yang kita sediakan.

Sebagai contoh, dalam satu kajian yang dijalankan oleh syarikat Deloitte, Kuala Lumpur disenaraikan sebagai bandar raya paling menarik di Asia dari segi kos dan kualiti serta peneraju aktiviti penting seperti pengurusan rangkaian, khidmat pelanggan dan operasi sokongan-pejabat.

Syarikat Frost and Sullivan pula meletakkan Malaysia sebagai penggerak global dalam sektor seperti tenaga, kewangan dan perkhidmatan logistik.

Justeru, kita akan terus membangun dan memperluaskan bidang niche ini ke arah mempertingkatkan tarikan MSC sebagai lokasi utama untuk operasi SSO.

Bidang lain yang turut diberikan keutamaan untuk MSC ialah pembangunan industri kandungan kreatif.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 100 syarikat berstatus multimedia kreatif yang telah pun mengeksport produk dan perkhidmatan mereka secara global.

Barangkali tidak banyak yang diketahui bahawa pada masa ini, syarikat kandungan utama seperti Disney, Sony, Nintendo, Gameboy, Channel `V' dan beberapa studio Bollywood telah memberi sumber kerja-kerja mereka kepada syarikat Malaysia.

Ketika kita akan terus memperluaskan eksport perkhidmatan kandungan kreatif, kita juga ingin mengundang syarikat-syarikat besar kandungan ini untuk menubuhkan operasi mereka di Malaysia selain menggembleng bakat serta kemudahan tempatan.

Saya percaya ia tepat pada masanya kerana rakyat Malaysia mula menghargai dan boleh digunakan sepenuhnya dalam kemahiran tawaran kandungan pembangunan tempatan.

Ini secara tidak langsung akan membantu industri berkenaan berkembang selain mewujudkan pembentukan kandungan tempatan dengan ciri-ciri dan warisan Malaysia sekali gus boleh `dijual' kepada pasaran global.

Dalam usaha membangunkan industri baru seperti bioteknologi, satu strategi penting sebagaimana terkandung dalam dasar bioteknologi kebangsaan ialah pembentukan satu industri bioteknologi berdaya saing menerusi bioinformatik.

Kerajaan telah menggariskan satu bentuk insentif untuk menggalakkan syarikat-syarikat menceburi bidang ini.

Dalam hal ini, saya ingin menggalakkan ahli IAP supaya meneroka peluang-peluang yang ada dalam bidang berkaitan bioteknologi.

Saya turut mahu mengalu-alukan sebarang pandangan dan buah fikiran daripada anda semua untuk diketengahkan supaya Malaysia lebih berjaya dalam mempergunakan sumber baru yang berpotensi berkembang ini.

Dalam usaha untuk memperluaskan daya saing dan tarikan MSC, kita akan terus memperkukuhkan sokongan persekitaran untuk ICT.

Sebagai contoh, tidak lama lagi kita akan memperkemaskan undang-undang jaminan MSC serta rumusan semula pakej insentif yang ditawarkan supaya MSC menjadi pilihan terbaik buat pelabur.

Kita juga akan mengambil langkah untuk merapatkan jurang dalam membekalkan pekerja tempatan yang berteraskan pengetahuan dengan menubuhkan Institut Pembangunan Bakat MSC-ICT.

Selebihnya, kita akan memperkukuhkan landskap dana dengan memastikan ia bersesuaian dan berpatutan kepada semua bentuk dan peringkat firma, walaupun beberapa perkara khusus akan turut diambil kira berhubung dengannya.

Dalam usaha memperkuatkan kedudukan MSC sebagai hab ICT global, kita akan terus berusaha mempromosikan Malaysia sebagai gerbang kemasukan kepada pasaran global serantau.

Dalam konteks ini, Malaysia sedang berusaha untuk menggunakan kekuatan dalam hubungan antarabangsa dan serantau bagi merangsang perdagangan dan kelengkapan perniagaan.

Dengan itu, syarikat beroperasi di Malaysia mempunyai akses pasaran di luar sempadan negara.

ASEAN, China, India dan negara Asia Barat adalah antara pasaran yang memiliki kuasa kuat dengan ekonominya pula sedang pesat membangun.

Justeru kita sedang mencari jalan bagaimana untuk memperluaskan pasaran bagi produk dan perkhidmatan ICT agar ia boleh diperkukuhkan di destinasi-destinasi yang disebutkan.

Meninjau

Saya gembira bahawa firma-firma berasaskan ICT yang berpotensi telah terlebih dahulu `meninjau' pasaran di China.

Beberapa syarikat Malaysia telah pun beroperasi di China selama beberapa tahun manakala sejumlah besar syarikat multinasional asing pula menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan ke China.

Sementara itu, di Asia Barat, produk MSC diterima baik di beberapa negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) termasuk Arab Saudi dan Bahrain.

Dalam pada itu, semasa perbincangan nanti, saya sangat mengalu-alukan sebarang idea anda semua mengenai bagaimana Malaysia boleh memaksimumkan industri ICT di Asia Barat, ASEAN dan negara jiran termasuk China dan India.

Ini bagi membolehkan kita membangunkan MSC sebagai hab ICT yang terus signifikan.

Ketika kita giat memperkukuhkan kedudukan MSC, adalah menjadi penting juga untuk memastikan bahawa manfaat ICT itu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan umur.

Akses ICT yang lebih meluas menjadikan peluang ekonomi dan perniagaan terbuka. Tetapi lebih penting daripada itu , saya percaya bahawa ICT mempunyai kuasa `luar biasa' untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan kualiti hidup yang dinikmati rakyat.

Beberapa inisiatif ini ditonjolkan semasa pelancaran `Bulan ICT Malaysia' kelmarin seperti program e-homestay - yang menggambarkan usaha kita untuk menjadikan kerja-kerja ICT dekat kepada masyarakat.

Ini juga antara lain menjadi usaha merapatkan jurang digital di negara ini.

Untuk Malaysia terus berkembang dan mencapai Wawasan 2020 dengan berjaya, kita mesti menjadi lebih baik dan terbaik dalam proses inovasi.

Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang perbincangan membina dan pertukaran idea ke arah memperkukuhkan MSC sekali gus menjadikan Malaysia lebih dinamik dan inovatif.

Sebagaimana biasa, saya juga akan menyambut baik dan amat menghargai buah fikiran anda semua sepanjang mesyuarat pada kali ini.

Saya percaya perjumpaan ini akan terus berlangsung dalam keadaan yang penuh terbuka, produktif dan inovatif selain menjadi landasan berguna untuk terus membangun sebagaimana mesyuarat-mesyuarat sama yang terdahulu.

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacita merasmikan Mesyuarat IAP-MSC Ke-9.

Utusan Malaysia, 9 September 2005

No comments: