Wednesday, September 07, 2005

PERBANDINGAN HARGA MINYAK

Oleh Mustapa Mohamed

Meskipun sudah banyak kali dijelaskan, nampaknya masih ada pihak yang mempersoalkan kenapa harga runcit bahan petroleum di Malaysia tinggi walhal negara merupakan pengeluar petroleum. Ada juga pihak yang kurang senang dengan perbandingan harga yang kita buat di antara Malaysia dengan Thailand atau Singapura kerana negara-negara tersebut tidak mengeluarkan minyak.

Pihak berkenaan nampaknya semakin berang apabila perbandingan dibuat dengan harga di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sebenarnya perbandingan ini dibuat untuk menunjukkan bahawa Malaysia dapat mempertahankan harga yang secara perbandingan agak rendah kerana adanya subsidi yang besar daripada kerajaan.

Subsidi boleh diberikan kerana pengeluaran minyak kita sebanyak 700,000 tong sehari melebihi penggunaan yang berjumlah kira-kira 500,000 tong sehari.

Hakikatnya ialah subsidi kerajaan tidak pernah berkurangan, jauh sekali untuk ditarik balik. Malah kerajaan terpaksa membayar subsidi yang lebih besar pada akhir-akhir ini berikutan harga minyak mentah yang berterusan meningkat di pasaran antarabangsa.

Sebagai contoh, subsidi dan kehilangan hasil petroleum yang berjumlah RM4.23 bilion pada 2002, meningkat kepada RM6.58 bilion pada 2003, RM11.94 bilion pada 2004 dan dianggarkan RM14.48 bilion tahun ini.

Anggaran subsidi dan kehilangan hasil petroleum untuk tahun ini, sebanyak RM14.48 bilion dibuat berdasarkan kepada harga minyak mentah dunia berada pada paras AS$55 setong. Sekiranya harga di sekitar AS$70 sekarang berkekalan sehingga akhir tahun, jumlah subsidi tahun ini pasti jauh melebihi RM14.48 bilion.

Tanpa subsidi atau jika subsidi dikurangkan dengan banyak, harga runcit bahan petroleum di Malaysia pasti akan jauh lebih tinggi daripada apa yang dinikmati sekarang.

Sebagai contoh, harga petrol di Singapura ialah RM3.91 seliter, di Thailand RM2.37 seliter, di Amerika Syarikat RM3.00 seliter berbanding di Malaysia RM1.62 seliter. Soalan yang sering dibangkitkan ialah kenapa kerajaan tidak membandingkan harga minyak di Malaysia dengan harga di Arab Saudi yang kadarnya kira-kira RM1.00 seliter atau di Brunei yang harganya RM1.22 seliter.

Negara-negara ini, seperti juga Malaysia, adalah pengeluar minyak tetapi harga bahan tersebut di negara-negara berkenaan adalah lebih rendah.

Petroleum, seperti juga banyak barangan lain diperdagangkan di pasaran antarabangsa. Oleh yang demikian, harganya seperti juga harga kelapa sawit, bijih timah, getah dan sebagainya ditentukan pasaran antarabangsa.

Jika di pasaran antarabangsa harga minyak kelapa sawit, misalnya, ialah RM1,500 setan dan minyak tersebut dijual di pasaran tempatan pada harga RM1,000, kesannya ialah:-

* Pengeluar rugi sebanyak RM500 satu tan.

* Pengeluar tidak akan menjual minyak di dalam negara kerana lebih untung dijual di luar negara. Dengan itu akan ada kekurangan bekalan.

* Akan berlaku penyeludupan ke luar negara.

Hal yang sama akan berlaku kepada minyak mentah. Jika di pasaran antarabangsa harganya AS$70 setong tetapi dijual dalam negara cuma dengan harga AS$50 setong, kesannya ialah:-

* Akan berlaku penyeludupan ke luar negara.

* Syarikat akan rugi AS$20 setong.

* Akan berlaku kekurangan bekalan dalam negara.

Oleh itu, apabila sesuatu barang boleh dijual di luar negara, harga dalam negara dan luar negara tidak boleh banyak berbeza. Jika ada perbezaan besar dan untuk mengelakkan kerugian kepada syarikat atau penyeludupan, kerajaan perlu memberi subsidi.

Ada juga pihak yang berpendapat oleh kerana kita ada Petronas, dan kita pengeluar minyak, harga dalam negara sepatutnya lebih rendah daripada RM1.62 seliter.

Menurut mereka, kenaikan harga minyak mentah sekarang menambah keuntungan Petronas dan dengan itu menambah pendapatan kerajaan. Apa salahnya hasil yang berlebihan itu dibelanjakan untuk menampung lebih banyak subsidi dan dengan itu harga runcit minyak di Malaysia boleh dijual dengan lebih rendah?

Sebenarnya inilah yang dilakukan kerajaan. Seperti yang dijelaskan di atas, subsidi kerajaan untuk petroleum bertambah setiap tahun.

Ada juga yang membangkitkan kenapa Petronas tidak boleh gunakan semua hasilnya untuk menampung subsidi minyak supaya pengguna dapat manfaat?

Petronas adalah syarikat milik kerajaan dan sebahagian daripada keuntungannya dipulangkan kepada kerajaan. Petronas adalah sebuah syarikat yang berjaya dan di antara syarikat minyak di dunia yang paling menguntungkan untuk tahun kewangan 2004/2005.

Untuk tahun kewangan 2004/2005 sahaja, sumbangan Petronas kepada negara berjumlah RM31.2 bilion dalam bentuk cukai pendapatan (RM14.3 bilion), dividen (RM9.1 bilion), royalti (RM6.2 bilion) dan duti eksport (RM1.6 bilion).

Secara purata Petronas menyumbang 25 peratus kepada hasil Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna bagi setiap RM1 yang dikutip, 25 sen adalah dari Petronas. Petronas adalah penyumbang terbesar kepada hasil negara.

Kehilangan

Wang yang disumbangkan oleh Petronas dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Persekutuan dan wang ini digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus (termasuk penyediaan subsidi) dan pembangunan.

Seperti yang dijelaskan pada awal-awal tadi, tahun ini sahaja, jumlah subsidi kerajaan ialah RM6.63 billion manakala kehilangan hasil ialah RM7.85 billion, menjadikan jumlahnya sebanyak RM14.48 bilion.

Jika semua hasil yang diperoleh dari petroleum digunakan untuk membayar subsidi, implikasinya adalah seperti berikut:-

* Peruntukan bagi pembangunan dan perbelanjaan lain akan terpaksa dikurangkan.

* Petronas tidak dapat menggunakan keuntungannya untuk mencari gali minyak dan gas baru dan dengan itu simpanan kita tidak bertambah.

Jika Petronas dipaksa menjual minyak pada harga yang lebih rendah, Petronas akan menanggung kerugian. Jika Petronas rugi, RM31.2 bilion yang disumbangkan kepada kerajaan pada 2004/2005 tidak dapat diperoleh. Ini akan menjejaskan hasil kerajaan.

Di samping itu, pembabitan Petronas dalam pembekalan runcit minyak hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan tempatan. Bakinya dikuasai oleh syarikat-syarikat asing.

Sekiranya Petronas menjual minyak dengan harga yang lebih rendah daripada syarikat lain dan mengalami kerugian, syarikat-syarikat minyak asing di negara kita juga akan mengalami kerugian kerana minyak mereka tidak akan laku.

Jika rugi mereka tidak akan melabur di negara kita. Syarikat-syarikat asing lain pun akan lari dan oleh kerana Malaysia juga bergantung kepada pelaburan asing, ini akan menjejaskan ekonomi negara kita dengan teruk.

Petronas juga beroperasi di luar negara. Jika semua keuntungan digunakan untuk bayar subsidi, peniagaan luar negaranya akan lumpuh dan Petronas mungkin akan gulung tikar.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, sumbangan Malaysia terhadap pengeluaran minyak dunia amatlah kecil berbanding Arab Saudi dan negara-negara lain di Asia Barat. Malaysia tidak ada pengaruh untuk menentukan harga minyak dunia kerana pengeluaran kita cuma 0.8 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia.

Arab Saudi mampu membekalkan minyak dengan harga yang amat rendah kepada rakyatnya kerana negara tersebut merupakan pengeluar terbesar yang membekalkan kira-kira 15 peratus daripada keperluan dunia.

Brunei mampu membekalkan minyak dengan harga yang lebih rendah daripada Malaysia kerana bilangan rakyatnya cuma 300,000 dan pengeluaran minyak per kapita ialah satu tong seorang manakala bagi Malaysia nisbahnya ialah satu tong untuk 35 orang.

Sebagai pengeluar minyak, Malaysia menyediakan subsidi yang besar kepada rakyatnya. Inilah pendekatan yang kerajaan ambil selama ini. Kita memberi subsidi setakat termampu bagi meringankan beban rakyat. Hasil daripada Petronas diagihkan secara saksama - sebahagian untuk subsidi dan sebahagian lagi untuk pembangunan.

- Datuk Mustapa Mohamed adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


No comments: