Wednesday, September 07, 2005

Terdapat usaha iktiraf PKM

Pendapat

saya ingin merujuk kenyataan Pemuda UMNO yang dilaporkan di akhbar ini bertarikh 5 September 2005. Pergerakan itu dalam laporan tersebut menyifatkan DAP berniat jahat apabila tersiarnya tulisan di laman web parti berkenaan yang antara lain menuduh pemimpin negara terdahulu termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Bapa Kemerdekaan bukanlah pejuang sebenar kemerdekaan negara.

DAP mendakwa dalam artikel itu bahawa pejuang sebenar kemerdekaan negara adalah terdiri daripada golongan berhaluan kiri dan Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng. Bagi mereka, Tunku, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah merupakan pejuang sebenar kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan penjajah, tidak pernah dipenjara dan mendapat layanan istimewa dalam usaha mendapatkan kemerdekaan.

Tuduhan ini tersasar jauh dari kebenaran. Tunku misalnya telah membuat pengorbanan besar apabila beliau meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan sebagai Timbalan Pendakwaraya (DPP) selepas dipilih menjadi Presiden UMNO pada tahun 1951. Beliau mempunyai pilihan untuk meneruskan perkhidmatannya dengan kerajaan dan hidup dengan selesa, beliau boleh maju dalam kariernya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Namun beliau sanggup meletak jawatan dan menjadi Presiden UMNO sepenuh masa. Bukan itu sahaja beliau juga telah mengorbankan harta benda peribadinya demi perjuangan untuk kemerdekaan.

Sebagai seorang nasionalis yang juga putera raja terpelajar, Tunku telah berjaya mendapatkan keyakinan semua pihak untuk menerajui usaha-usaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Beliau bukan sahaja dipercayai oleh majoriti orang Melayu tetapi juga majoriti orang bukan Melayu.

Disebabkan kepercayaan rakyat jelata inilah maka beliau telah berjaya mengasaskan kerjasama kaum yang praktikal untuk mendapatkan kemerdekaan melalui penubuhan Perikatan yang terdiri daripada gabungan parti-parti UMNO mewakili kaum Melayu, MCA mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India. Gabungan ini telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum 1955 mengabsahkan sokongan majoriti rakyat pelbagai kaum terhadap kepemimpinan beliau.

Ini berbeza dengan perjuangan golongan berhaluan kiri dan PKM yang tidak mendapat sokongan majoriti rakyat. Golongan berhaluan kiri mahukan kemerdekaan bersama-sama Indonesia bagi membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya. Manakala PKM pula mahu mendirikan negara komunis berasaskan pemerintahan kaum minoriti di Malaya yang akan memansuhkan institusi Raja-Raja Melayu dan mengetepikan kedudukan agama Islam. Kedua-dua hala tuju masa depan ini tidak disokong majoriti penduduk Tanah Melayu.

Persoalannya jika Chin Peng dan PKM betul-betul ikhlas memperjuangkan kemerdekaan negara sudah tentu beliau dan PKM akan meletakkan senjata pada tanggal 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kenapa Chin Peng dan PKM perlu menunggu 32 tahun selepas merdeka untuk meletak senjata iaitu pada Disember 1989? Itupun tindakan meletak senjata diambil setelah mereka tidak lagi mampu meneruskan perjuangan bersenjata disamping senario antarabangsa yang menyaksikan rejim-rejim komunis seluruh dunia mulai tumbang satu demi satu seiringan dengan runtuhnya Tembok Berlin.

Kenapa dalam tempoh empat dekad setelah merdeka mereka masih lagi melancarkan operasi yang mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan negara yang telah merdeka.

Kenyataan DAP ini adalah seiringan dengan usaha-usaha kebelakangan ini oleh Chin Peng, PKM dan sekutu-sekutu mereka untuk menulis semula sejarah negara dengan menggambarkan bahawa kesan langsung hasil daripada perjuangan Chin Peng dan PKM-lah yang telah berjaya mendesak British memerdekakan Tanah Melayu.

Ini adalah satu usaha yang berbahaya dan perlu dilawan. Perjuangan PKM sebenarnya adalah perjuangan kejam, tanpa perikemanusiaan dan penuh tragedi berdarah. Ingatlah kepada para balu, anak-anak dan ibu bapa para anggota keselamatan yang telah terkorban demi untuk semua rakyat negara tercinta ini. Ingatlah kepada anggota keselamatan yang cacat anggota akibat khidmat bakti mereka menentang keganasan PKM. Memberi pengiktirafan kepada perjuangan PKM dalam apa bentuk sekalipun adalah satu pengkhianatan terhadap jasa bakti semua pahlawan negara. Kepada DAP, saya ingin menyeru janganlah kita memuliakan perjuangan golongan penderhaka dan petualang negara ini.

Bagi saya artikel dalam laman web DAP ini merupakan hanya satu sub-plot di dalam plot yang lebih besar untuk menulis semula sejarah negara bagi melenyapkan bukan hanya sumbangan UMNO tetapi juga orang Melayu dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara dan usaha-usaha pengisiannya.

- IRMOHIZAM IBRAHIM, Petaling Jaya, Selangor.

Utusan Malaysia, 7/9/2005

No comments: