Wednesday, September 14, 2005

Ubah dari kuli ke tauke

Ubah dari `kuli' ke `tauke'
Pendapat

Sektor pertanian tidak pernah diabaikan oleh negara ini dalam merancang pembangunannya. Malah sektor pertanian mempunyai begitu banyak kementerian dan agensi pelaksana yang terlibat, sehinggakan berlaku pertindanan fungsi.

Dengan perkataan lain, tidak ada cacat dan celanya dari segi perancangan, strategi dan pelan pelaksanaan bagi memajukan sektor ini. Apa yang dirancangkan pun dinyatakan dengan jelas. Maksudnya, apa yang tersurat itulah yang tersirat, maka semua orang tahu apa yang dirancangkan dan bagaimana mereka boleh terlibat dalam pelaksanaannya.

Negara-negara rantau ASEAN juga tidak pernah mengabaikan sektor pertanian mereka, tidak kiralah sama ada di negara berkenaan sektor pertanian diklasifikasikan sebagai industri pertanian atau industri primer, hakikatnya sektor ini tetap penting.

Apa yang menarik ialah negara-negara ini sentiasa memerhati apakah pelan pembangunan pertanian di Malaysia dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat (secara langsung atau tidak langsung) daripada pelaksanaan pelan pembangunan di Malaysia. Itu cara mereka berfikir, mengatur strategi dan bertindak bagi mendapat manfaat daripada apa yang kita rancangkan untuk pembangunan pertanian.

Saya melihat terdapat kecenderungan yang nyata akan isi kandungan pelan-pelan pembangunan pertanian yang digubal itu. Rata-rata pelan-pelan pembangunan itu lebih menekankan aspek `pengeluaran'. Bukan maksudnya aspek pemprosesan, pemasaran dan aktiviti-aktiviti berasaskan perkhidmatan berkaitan dengan pertanian tidak diberikan penekanan, tetapi ia kurang seimbang.

Walhal dalam dunia pertanian moden, `pengeluar' tidak ubah seperti `kuli' dan pedagang seperti `tauke'. Maksud saya ialah, jika Malaysia terus menekankan dan memberikan prioriti yang lebih kepada aspek pengeluaran (seperti mana zaman kempen Buku Hijau dahulu), maknanya, kita hanya menggalakkan para petani (termasuklah golongan petani komersial dan petani korporat yang ingin dilahirkan) untuk terus menjadi golongan `kuli' sahaja.

Soalnya sekarang ialah kalau kita jadi `kuli' siapa pula yang menjadi `tauke' iaitu saudagar yang meraih keuntungan daripada pelaksanaan aktiviti perdagangan bagi produk yang dihasilkan oleh golongan `kuli' ini?

Apabila menyentuh soal ini maka teringat saya akan beberapa cerita lama. Contohnya, nanas banyak ditanam di Johor dan cultivar yang ditanam dikenali sebagai Singapore Spanish. Pejabat agensi pengawal-selia industri ini iaitu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berada di Johor tetapi para pengilang nanas menubuhkan syarikat pemasaran mereka di Singapura.

Alasannya ia lebih mudah melaksanakan urusan dagang di Singapura kerana di sana cara mereka bekerja lebih efisien, lebih telus dan prasarana pemasaran lebih lengkap.

Lagipun dikatakan, negara berkenaan telah terkenal sebagai pusat dagangan serantau, maka mudah untuk urus niaga. Tidak mengapa dengan industri nanas, lagi pun CPS telah pun dibubarkan.

Suatu ketika dahulu negara berkenaan juga terkenal dengan tanaman orkid, kemudiannya, disebabkan faktor tanah yang menjadi makin sukar diperoleh dan mahal, para pengusaha orkid dari negara berkenaan berpindah ke Johor.

Yang tidak dipindahkan ialah aktiviti perdagangan dan jenama orkid yang dihasilkan. Ia kekal dengan jenama Singapore Orchids, dengan alasan kononnya nama itu telah terkenal di pasaran antarabangsa.

Banyak lagi cerita seperti ini yang boleh kita dengar. Betapa penatnya kita menjadi `kuli' dan orang lain menjadi `tauke' (saudagar) memperdagangkan hasil tani yang kita keluarkan. Dagangan getah pun begitu juga asalnya. Dagangan minyak sawit pun sama nampaknya sehinggakan penduduk di Batam pun membeli minyak sawit kita dari negara berkenaan sedangkan Batam juga bersebelahan dengan Johor.

Produk ikan dari Malaysia tidak dapat dieksport ke negara-negara Asia Barat kerana masalah penyakit yang menyebabkan larangan import oleh negara-negara berkenaan, tetapi ikan yang sama dieksport dari Singapura tiada masalah untuk diterima oleh negara-negara Asia Barat yang sama!

Soalnya bukanlah negara-negara berkenaan patut dipersalahkan dalam isu ini hanya kerana mereka mengeksploitasi peluang perdagangan yang wujud daripada pelan pembangunan sektor pertanian yang kita rangkakan.

Mereka bijak dan mereka tahu apa yang baik untuk mereka, maka apa yang perlu mereka laksanakan ialah mengkaji pelan pembangunan yang kita rancang dan mereka akan `meletakkan' diri mereka untuk mengeksploitasi peluang yang kita wujudkan.

Kalaulah agensi-agensi pelaksana di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang, dipergiatkan untuk `menghasilkan' petani, penternak dan nelayan moden yang enterprising, alangkah sempurnanya pelan pembangunan kita itu jika FAMA pula giat `menghasilkan' saudagar-saudagar dan menyediakan prasarana dan kemudahan pemasaran yang mencukupi bagi `mempermudahkan' saudagar-saudagar ini berdagang.

Malangnya, belum terdengar hingga kini Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan program-program bagi menghasilkan saudagar-saudagar yang enterprising ini. Yang pernah terdengar ialah FAMA sendiri, menerusi FAMACO Sdn. Bhd., ingin menjadi saudagar dengan membuka pasar raya dan menjadi pengeksport. Itu pun gagal!

Oleh itu, mesej yang ingin disampaikan ialah selagi kita tidak mampu menguasai bidang perdagangan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya, sebagus mana sekalipun pelan pembangunan pertanian yang kita rangka dan sehebat mana sekalipun Agenda Pertanian yang ingin diperkasakan oleh Perdana Menteri, tetapi selagi kita terus bermegah dengan keupayaan kita sebagai `pengeluar' selagi itulah kita kekal sebagai `kuli'.

- Dr. Hasan Mad, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Utusan Malaysia, Rabu 14/9/2005

No comments: