Tuesday, May 03, 2005

Syor Keng Yaik dibantah -- NGO terkejut isu agama diguna tolak dasar kerajaan perkasakan SK

Oleh: AZMAN CHE MAN dan ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Cadangan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik supaya sekolah kebangsaan (SK) dipisahkan daripada sebarang unsur-unsur keagamaan disifatkan sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan bukan Melayu daripada menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Beberapa pihak yang terkejut, marah dan kesal dengan kenyataan tersebut memberitahu Utusan Malaysia hari ini, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu sengaja mahu mewujudkan prasangka negatif dengan menimbulkan isu agama untuk menolak dasar kerajaan yang mahu memperkasakan SK.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, kerajaan selama ini bersikap terbuka dan adil dalam soal pendidikan tanpa mengekang amalan-amalan agama yang dipraktikkan mana-mana kaum di sekolah.

Misalnya kata beliau, sekolah-sekolah mubaligh yang turut menempatkan pelajar-pelajar Melayu Islam tidak pernah dihalang daripada menekankan elemen-elemen agama Kristian yang diamalkan di sekolah-sekolah jenis itu.

``Keng Yaik sepatutnya faham soal agama dan pendidikan itu tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya memainkan peranan dalam pembentukan insan,'' jelasnya.

Keng Yaik dilaporkan berkata kepada The New Straits Times hari ini, hal mengenai keagamaan harus dipisahkan daripada sekolah kebangsaan bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.

Beliau dipetik sebagai berkata: ``Kalau anda ingin berbincang mengenai isu agama, lakukannya di rumah, di kelas agama atau di tempat beribadat.''

Keng Yaik berkata demikian sebagai

merujuk kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang terlalu menekankan mengenai unsur-unsur keislaman, termasuk amalan membaca doa, memakai songkok, serta pakaian bercorak Islam.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Awang Mohamed berkata, Keng Yaik sebenarnya masih ragu-ragu dengan dasar kerajaan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di SK.

``Kenapa tiba-tiba timbulkan mengenai unsur-unsur agama sedangkan apa yang menjadi isu utama di sini ialah dasar kerajaan untuk melaksanakan pengajaran kedua-dua bahasa ini di SK,'' katanya.

Awang yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia berkata, Keng Yaik juga seolah-olah cuba mencabar Dasar Pelajaran Kebangsaan berhubung penyatuan pendidikan dan soal agama di SK.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Ismail Nihat berkata, Keng Yaik tidak mempunyai sebab untuk menimbulkan perkara itu kerana kerajaan tidak pernah memaksa pelajar bukan Islam untuk mengamalkan ajaran-ajaran agama lain.

``Saya tidak faham kenapa beliau (Keng Yaik) timbulkan perkara ini kerana soal agama adalah sensitif.

``Kalau dulu bahasa ibunda dijadikan isu dalam SK, kerajaan sudah selesaikan perkara itu dengan membenarkan bahasa Mandarin dan Tamil diajar di SK, jadi kenapa isu agama ini pula dibangkitkan,'' tegasnya lagi.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), Prof. Madya Dr. Rahman Daud pula berkata, kenyataan Keng Yaik berbau prasangka negatif yang seolah-olah mengandaikan SK diwujudkan untuk mengislamkan pelajar-pelajar bukan Islam.

``Agama adalah menjadi asas pembentukan sahsiah pelajar dan diajar kepada pelajar Islam sahaja. Kita tidak pernah paksa siapa-siapa mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam.

``Setiap sekolah ini memberi pendedahan ilmu agama secara adil tanpa memberi tumpuan kepada elemen-elemen pendidikan mana-mana agama tertentu,'' ujarnya.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim pula berkata, kenyataan itu boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Islam kerana agama adalah sebahagian daripada hidup mereka dan ia tidak boleh dipisahkan, lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan.

``Ini menunjukkan masih ada di kalangan masyarakat tidak dapat menangani soal agama dengan cara yang positif. Dalam hal ini, agama bukan untuk `dikunci' di rumah terutamanya bagi masyarakat Islam.

``Saya tidak nampak ada percubaan mana-mana sekolah di negara ini untuk menukar agama pelajarnya, jadi (kenyataan) ini tidak perlu disentuh langsung,'' ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berpendapat, unsur-unsur agama tidak menimbulkan masalah kepada orang bukan Melayu yang ingin menghantar anak-anak mereka ke SK.

Sebaliknya kata beliau, banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan ibu bapa terbabit termasuk isu bahasa serta budaya, mutu pendidikan, kemudahan pembelajaran dan pencapaian di SK.

``Zaman British dulu pun ramai pelajar Melayu yang belajar Injil untuk tujuan peperiksaan tapi saya tengok tak ada pun yang masuk Kristian,'' katanya.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berpendapat, `roh' kepada pandangan Keng Yaik itu sebenarnya menandakan pemimpin berkenaan berpegang kepada fahaman Barat iaitu soal agama adalah hak peribadi dan hanya diselesaikan dalam lingkungan keluarga sahaja.

Utusan Malaysia:: Isnin 2/5/2005

No comments: