Monday, May 23, 2005

Profesional ganti ulama

Oleh HELMI MOHD FOAD (WARTAWAN UTUSAN)

SUARA yang mahukan pembaharuan dalam Pas kini semakin menyerlah terutama desakan agar kepimpinan parti diterajui oleh golongan profesional.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri telah menerima hakikat itu dengan membuat kejutan apabila buat pertama kali menamakan wanita yang juga profesional - Dr. Mariah Mahmud sebagai calon naib presiden.

Namun setelah lebih 20 tahun dasar `Kepimpinan Ulama' diperkenalkan, kekeliruan mengenainya terus berlaku apabila ulama dalam Pas masih merasa terancam dengan kehadiran golongan profesional.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamed Daud Iraqi baru-baru ini melahirkan kebimbangan apabila ramai ahli dan penyokong parti itu cenderung kepada golongan cendekiawan atau profesional.

Beliau juga khuatir apabila sudah menjadi trend kepada gerakan Islam di negara ini memberikan tempat kepada orang yang pandai bercakap bagi menerajui kepimpinan.
Inilah cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli parti itu dalam pemilihan pada Muktamar Pas Ke-51 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) pada 1 hingga 5 Jun ini dalam usaha mereka melakukan perubahan.

Angin perubahan dapat dirasakan apabila jawatan Timbalan Presiden menyaksikan lapan tokoh telah dicalonkan.

Seperti yang dijangka, Datuk Dr. Haron Din muncul sebagai calon popular dengan mengatasi Hassan Syukri yang sebelum ini `mengecewakan' perwakilan Pas apabila mengambil keputusan bertanding hingga memaksa Haron menarik diri pada saat-saat akhir.

Ia diikuti oleh Naib Presiden sekarang, Azizan Abdul Razak dan Bendahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut dicalonkan ialah Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa; dua lagi Naib Presiden; Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Daeng Sanusi Mariok.

Dalam sejarah Pas, amat jarang berlaku pertandingan sengit bagi merebut jawatan tertinggi ketika pemilihan parti terutama selepas ia mengamalkan dasar kepimpinan ulama.

Pas cuba mengelak daripada disamakan dengan lawannya, UMNO dan kalau boleh perubahan kepimpinan dilakukan secara syura dan tanpa pertandingan.

Bagaimanapun ahli Pas melihat parti itu memerlukan satu lagi ikon ulama berkaliber setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Justeru jika dilihat senarai pencalonan jawatan nombor dua itu, sebahagian besar tokoh berkenaan mempunyai latar belakang ulama kecuali Hassan Ali dan Mustafa.

Bagi jawatan Presiden, Abdul Hadi sudah dijangka menang tanpa bertanding walaupun Pas Tanah Merah mencalonkan Haron bagi jawatan tersebut.

Menurut sumber dari Kelantan, sebenarnya pencalonan itu telah lama dibuat tetapi tidak didedahkan kepada umum.

Jika perkara itu diumumkan lebih awal, mungkin banyak pencalonan dibuat bagi memberi saingan kepada Hadi yang dilihat gagal memberikan nafas baru kepada Pas selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun seperti yang dikatakan dari awal, teraju Pas tidak mungkin diubah dengan drastik melainkan jika terdapat kesalahan besar sebagaimana berlaku pada zaman Datuk Asri Muda.

Oleh itu, Hadi tetap akan dikekalkan dalam tempoh yang lama.

Persoalannya, siapa yang layak menjadi timbalan kepada Hadi sekurang-kurangnya dapat kekal selama dua penggal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Jika mengambil kira pendirian Haron yang ingin menarik diri, perwakilan dari utara dijangka memberikan sokongan kepada Azizan.

Namun `isyarat' Nik Aziz tidak boleh diketepikan dan dengan itu kemungkinan besar undi akan beralih kepada Abdul Halim.

Menurut Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dengan mengambil kira pendirian Haron itu, Abdul Halim adalah calon paling sesuai untuk melakukan perubahan.

``Pertamanya, beliau orang lama dalam Pas serta arif selok-belok politik dan yang utamanya beliau mempunyai latar belakang ulama.

Bertahan

``Apabila beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, maka kini tiba masanya Abdul Halim membantu kepimpinan parti di peringkat Pusat,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dari segi percaturannya, pemilihan dijangka lebih tertumpu kepada pemilihan antara Abdul Halim dan Hassan.

Hassan ketika ditemui baru-baru ini membayangkan beliau akan terus mempertahankan jawatannya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya merasakan Mustafa dan Hassan Ali akan lebih menumpukan usaha mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandang masing-masing.

Kedudukan Abdul Halim sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memberikannya kelebihan untuk memenangi jawatan timbalan presiden.

Ini bagi memastikan suara Pas dapat diketengahkan setelah ramai pemimpin besar parti Islam itu termasuk Hadi dan Nasharuddin tiada lagi dalam Parlimen.

Bagi Hassan pula, kontroversi dalam Koperasi Al-Hilal (Kohilal) yang mempunyai kaitan dengan Pas mungkin akan memberikan sedikit masalah kepadanya untuk terus bertahan.

Kebanyakan golongan muda dalam Pas juga melihat Hassan bukan pemimpin masa depan parti berdasarkan faktor usianya berbanding Hadi dan pendekatannya yang konservatif.

Selain itu, terdapat juga calon gabungan pemimpin baru dan lama dalam Pas seperti Mustafa dan Hassan Ali serta Nasharuddin.

Daeng Sanusi yang merupakan pemimpin veteran dari Johor mungkin sukar mendapat sokongan perwakilan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.

Tumpuan kedua pula ialah jawatan Naib Presiden yang lebih dilihat akan memberikan peluang kepada golongan profesional dalam Pas apabila sebanyak 20 tokoh dicalonkan.

Sumber berkata, Hassan Ali, Mustafa dan Husam Musa adalah tiga pemimpin yang mendapat pencalonan tertinggi, sekali gus membayangkan itulah barisan Naib Presiden Pas yang baru.

Jika berdasarkan `isyarat Nik Aziz', Husam mempunyai potensi besar untuk menduduki salah satu kerusi itu.

Dr. Mariah yang menduduki tangga keenam pencalonan juga mampu memenangi kerusi itu jika perwakilan mahu membuat kejutan, sekali gus ia merupakan lonjakan besar dalam politik Pas.
Tetapi adakah perwakilan Pas bersedia memberikan tempat kepada golongan wanita?

Hassan Ali pula dilihat perlu dikekalkan kerana imej profesionalnya amat diperlukan bagi mengembangkan pengaruh Pas di Selangor manakala Mustafa adalah pakar strategik politik dan pilihan raya Pas.

Bagi perwakilan utara, mereka mempunyai pilihan sama ada untuk mengekalkan Azizan atau memilih Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin.

Nasharuddin yang pertama kali dicalonkan bagi kerusi Naib Presiden mungkin mempunyai peluang untuk menang setelah mengambil kira hasil kerjanya sebagai Setiausaha Agung.

Perlu diingat, Nasharuddin adalah tokoh muda yang telah diangkat oleh Allahyarham Fadzil memandangkan beliau mempunyai imej ulama dan profesional.

Rata-rata ahli Pas menyatakan, lebih baik Nasharuddin diangkat menjadi Naib Presiden kerana beliau mampu menjadi jurucakap parti yang berkesan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang berpengalaman dari segi pengurusan pula disebut-sebut tokoh yang layak menggantikan tempat Nasharuddin.

Sementara itu, Mohammad Sabu dan Mahfoz Omar yang telah ditolak pada pemilihan 2003 mungkin hanya boleh mencuba nasib kali ini atau kekal dalam barisan AJK Pas Pusat.

Selain itu, nama-nama besar yang dicalonkan ialah bekas Imam Besar Masjid Negara, Mohd. Taib Azamudden Md. Taib dan bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang.

Berdasarkan senarai pencalonan tersebut ternyata ahli Pas mahu kepimpinan ulama dikekalkan tetapi dalam masa yang sama golongan muda dan profesional perlu dinaikkan taraf untuk memegang jawatan tertinggi parti.

Justeru kebimbangan Dewan Ulama Pas mengenai ancaman terhadap kepimpinan mereka ternyata tidak berasas.

Ini kerana, jika Pas terus kekal dengan imej dan rentak lama, sudah pasti ia akan menjadi tidak relevan dan jauh sekali gerakan Islam yang berkesan.
Utusan Malaysia, 23 Mei 2005

No comments: