Wednesday, May 25, 2005

Ancaman era IT

Oleh Aziz Ishak
Baru-baru ini, seorang menteri terkejut melihat aksi lucah remaja dipercayai Melayu yang dirakamkan dan berlegar menerusi telefon bimbit.

Khabarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedih dengan gejala perlakuan lucah itu dan mahukan semua pihak termasuk kementerian yang berkaitan mengambil langkah menanganinya.

Kelmarin, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan isu yang hampir sama tetapi lebih menjurus kepada cadangan perlunya perisian khas komputer bagi menghalang remaja dan kanak-kanak mengakses bahan dan laman web lucah.

Lega rasanya apabila isu pornografi ini mendapat perhatian kedua-dua pemimpin berkenaan kerana itulah ancaman yang semakin menakutkan dewasa ini.

Era kecanggihan teknologi maklumat (IT) dalam dunia globalisasi membawa cabaran paling besar kepada serangan bahan pornografi menerusi Internet.

Kajian beberapa pihak termasuk MCPCSA, badan bukan kerajaan yang diketuai oleh Sabri Abdul Rahman menunjukkan industri pornografi yang bernilai puluhan bilion ringgit semakin mudah menyerap di kalangan remaja dan pelajar sekolah menerusi Internet.

Dengan pelbagai usaha bagi meningkatkan elemen interaktif dan mudah akses kepada laman web lucah selain tiadanya peraturan menyekat akses, pornografi dan seks siber telah membentuk `ketagihan baru' dalam persekitaran hari ini - selepas dadah.

Penggunaan telefon bimbit yang meluas iaitu kira-kira 14.2 juta pengguna di negara ini pada tahun lalu dengan 30 peratus daripadanya remaja bawah 15 tahun, merumitkan lagi usaha membendung gejala pornografi.

Dengan kian banyak telefon mempunyai kamera yang boleh disalahgunakan bagi tujuan seperti rakaman dan pengedaran bahan lucah, ia juga boleh memuatkan bahan pornografi daripada Internet.

Kemunculan telefon bimbit berteknologi 3G juga mengundang keresahan terhadap gejala seks siber yang lebih meluas dan lebih langsung.

Ini semua petunjuk betapa pornografi dan seks siber serta `pemikiran seks tidak terkawal' yang melanda sebahagian masyarakat memasuki dimensi lebih dahsyat terutama berkaitan seks bebas, seks luar tabii serta seks sejenis.

Selain perlunya sekatan bahan lucah di Internet, kempen besar-besaran berteraskan pendidikan dan peraturan lebih ketat di kafe siber perlu dilaksanakan. Langkah lain juga boleh ditimbangkan antaranya mendaftarkan pembelian kad pra bayar, walaupun mungkin akan dibantah.

Ini kerana isu pornografi dan seks siber kini bukan lagi sekadar masalah sosial yang menggugatkan institusi masyarakat bahkan sudah menjadi ancaman keselamatan nasional jika dihalusi kesannya kepada negara.

Persoalannya, kekuatan dan sumber yang ada pada kita semua tidak digembleng secukupnya untuk melawan `kuasa jahat' yang membudayakan pornografi.

Semua pihak meliputi kerajaan, parti politik, NGO dan rakyat harus memeranginya sebagaimana kesedaran dan ketakutan kita terhadap ancaman militansi.

Persoalannya lagi, seberapa ramai di antara kita yang melihat isu ini sebagai ancaman keselamatan nasional?
Utusan Malaysia 25/5/2005

No comments: