Tuesday, May 24, 2005

Strategi Perlis untuk jadi maju

Oleh YUSRI SAHAT (WARTAWAN UTUSAN)
PERTUMBUHAN ekonomi Perlis menyaksikan perkembangan yang pesat sepanjang tempoh lima tahun dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Pada tahun lalu, pertumbuhan ekonomi negeri berkembang pada kadar 7.72 peratus dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pertanian, perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada nilai semasa tahun lalu ialah sebanyak RM2.3 bilion manakala pendapatan per kapita kira-kira 220,000 penduduknya meningkat kepada RM10,413 berbanding RM9,838 pada tahun 2003.

Bagaimanapun, pendapatan daripada sumber-sumber asli dalaman yang terhad menyebabkan Perlis diramal terus mengalami defisit berjumlah RM51 juta pada tahun ini.

Jika dibanding dengan negeri lain termasuk jirannya, Kedah atau Pulau Pinang, pertumbuhan ekonomi Perlis masih dianggap lembap.

Tidak banyak syarikat multinasional yang membuat pelaburan di Perlis selain satu atau dua syarikat gergasi yang sudah lama bertapak seperti syarikat gula, Perlis Plantations Berhad (PPB) dan Cement Industries of Malaysia Bhd. (CIMA) yang beroperasi di Chuping. Selain dua syarikat yang menjadi penyumbang utama kepada peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, terdapat 11 buah kilang di tiga lagi kawasan industrinya di Jejawi, Kuala Perlis dan Padang Besar.

Wujudnya fenomena tersebut disebabkan oleh sikap para pelabur asing yang kurang berminat melabur di negeri yang paling `hujung' di utara Semenanjung itu.

Sekurang-kurangnya tiga faktor dikenal pasti menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat pelabur untuk menanam modal di negeri Indera Kayangan itu.

Faktor-faktor tersebut ialah dari segi kedudukan negeri yang terlalu jauh di utara Semenanjung dan ketiadaan infrastruktur seperti lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam.

Pelabur yang beroperasi di Perlis terpaksa `turun' ke Kedah atau Pulau Pinang untuk meneruskan urus niaga mereka bagi mendapatkan perkhidmatan di lapangan terbang dan pelabuhan.

Meskipun harga tanah yang jauh lebih rendah berbanding negeri lain, ia masih belum memberi jaminan kepada Perlis untuk menjadi pilihan kepada pelabur menanam modal di negeri tersebut.

Namun, di sebalik kelembapan ekonominya, kerajaan negeri dengan penuh keyakinan mengisytiharkan untuk mencapai status negeri maju seiring negeri lain menjelang tahun 2015.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyedari bahawa faktor kewangan adalah penyuntik utama ke arah mencapai status tersebut yang disasarkan dalam tempoh 10 tahun itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri mengemukakan permohonan peruntukan yang dianggap paling tinggi pernah dilakukan iaitu sebanyak RM7.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Jumlah permohonan itu jauh lebih besar berbanding RM287.26 juta yang diterima dalam RMK-8 dan RM269.14 juta pada RMK-7.

Menurut beliau, tanpa bantuan atau peruntukan yang besar daripada Kerajaan Pusat, proses untuk mencapai status tersebut akan sukar dicapai. Tegasnya, Perlis perlu bermain di atas padang yang sama rata atau `level playing field' dengan negeri-negeri lain yang mempunyai kekuatan ekonomi untuk mencapai negeri maju.

``Kita mahu mewujudkan satu keadaan setiap negeri bermain di atas padang yang sama rata kerana Perlis pada masa ini tidak berada pada tahap yang tidak kompetitif. ``Padahal, jika bermain di atas padang yang sama, Perlis juga boleh muncul sebagai juara,'' katanya sambil merujuk kepada kejayaan pasukan bola sepak Perlis yang menjadi juara Piala Malaysia pada musim lalu.

Pekerjaan

Berbeza dengan Kelantan atau Terengganu yang sentiasa mendapat perhatian Pusat, Perlis seharusnya juga mendapat keistimewaan seumpama itu untuk membangunkan negeri berkenaan.

Selain peruntukan terus dari Kerajaan Pusat, Perlis juga selayaknya menerima royalti Petronas memandangkan komoditi itu merupakan hasil mahsul negara dan wangnya perlu diagihkan ke seluruh negara dan bukan negeri tertentu. Adalah tidak adil jika kerajaan Pusat hanya menyalurkan royalti Petronas kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak sedangkan negeri miskin seperti Perlis diketepikan hak tersebut, ujarnya.

``Sebahagian pelantar minyak di perairan negara terletak sejauh lebih tiga batu nautika dari persisiran pantai dan ia merupakan hak kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri yang berkenaan.

``Oleh kerana ia hak Pusat, setiap negeri terutama yang miskin berhak mendapat royalti tersebut,'' tegasnya.

Berikutan itu, Kerajaan Perlis akan memohon royalti minyak Petronas bagi menyuntik modal bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang perlahan.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pusat bagi menampung pelaksanaan beberapa projek pembangunan negeri yang tergendala berikutan sumber pendapatan yang terbatas.

Perlis, katanya, amat memerlukan peruntukan supaya projek-projek di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM1.7 bilion dan pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) bernilai RM1.2 bilion perlu digerakkan untuk menjana ekonomi negeri.

``Projek-projek ini boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat di negeri ini,'' jelasnya.

Kerajaan negeri juga, tambahnya, akan melaksanakan projek pengeluar tenaga bebas (IPP) di Sungai Baru yang bernilai RM2 bilion yang juga mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan permohonan tersebut memandangkan ia masih dianggap kecil berbanding negeri lain yang dikatakan ada memohon sehingga RM20 bilion dalam tempoh lima tahun itu.

Utusan Malaysia: 24/5/2005

No comments: