Friday, May 27, 2005

Rombak sistem pendidikan

Rombak sistem pendidikan -- Jika kerajaan mahu memperkasa sekolah kebangsaan - Murad
Oleh MARZITA ABDULLAH


KUALA LUMPUR 26 Mei - Sistem pendidikan negara sekarang perlu dirombak semula jika kerajaan mahu memperkasakan sekolah kebangsaan, kata tokoh pendidikan Tan Sri Murad Mohd. Nor.

Beliau berkata, ini kerana wujud ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negara yang memerlukan penilaian dan penelitian secara keseluruhan terhadapnya.

Antara cadangan beliau ialah:

Mengkaji semula kurikulum latihan perguruan agar lebih terkini dengan perubahan dalam bidang pendidikan yang bersifat global.

Pembelajaran dan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris perlu diperkasakan lagi kerana ia adalah mercu tanda dalam pendidikan negara pada masa sekarang dan akan datang.

Sistem pendidikan perlu memberikan pelajaran yang seimbang kepada semua pelajar iaitu dari segi bahasa, sains dan teknologi, sejarah dan asal-usul masyarakat, agama, kebudayaan dan sebagainya.

Murad, yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran selama sembilan tahun sejak 1976 berkata, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan perlu dimulakan dengan guru-guru yang memahami bidang pendidikan negara dan terlatih.

``Mereka perlu faham apa yang diajar kepada siapa, bahasa yang digunakan dan cara penyampaian pengajarannya kepada pelajar,'' katanya kepada pemberita di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.

Ditanya apa yang dimaksudkan dengan ``memperkasa sekolah kebangsaan'', beliau berkata:

``Maksudnya ialah pelajar yang dihasilkan oleh sekolah harus mempunyai ciri-ciri akhlak, disiplin, agama, budaya, akademik dan sukan yang baik.

``Bukannya memastikan sesebuah sekolah itu mempunyai pelajar dan guru pelbagai kaum.''

Katanya, rombakan kepada sistem yang dicadangkan itu bukan dilakukan secara `menampung-tampung' mana-mana yang kurang; bukan secara ad-hoc tetapi ia perlu menyeluruh meliputi guru, sekolah dan pelajar.

``Namun, tegas Murad, rombakan itu tidak harus menyentuh dan mengubah Dasar Pendidikan Kebangsaan sebaliknya ia perlu dipegang teguh.

``Dasar tidak boleh berubah tetapi yang berubah ialah sistem iaitu dengan memperincikan cara-cara kita bertindak,'' katanya.

Rombakan dalam sistem pendidikan juga, menurut Murad, boleh dilakukan menerusi aspek mata pelajaran, di mana pelajar perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan pelajaran tentang amalan kebudayaan kaum.

``Ia bertujuan supaya para pelajar dapat memahami dan tahu mengenai resmi dan budaya kaumlain. Kalau kita dapat wujudkan suasana yang harmoni, hormat-menghormati dan memahami adat resam bangsa lain, ia secara tidak langsung dapat memperkasakan sekolah kebangsaan,'' katanya.

Murad melihat hasil sistem pendidikan di negara ini lebih tertumpu kepada jumlah keputusan dalam setiap peperiksaan.

``Kita alu-alukan kecemerlangan ini, tetapi kenapa hanya satu sahaja pelajar yang sebegini dan kenapa lagi berjuta-juta yang keluar tidak seperti ini,'' katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan para pensyarah yang mendidik bakal guru itu supaya `turun padang' seperti yang dilakukan oleh jemaah nazir sekolah.

``Mereka perlu melihat sendiri situasi di sekolah, melihat gelagat pelajar, cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan memikirkan apayang perlu diubah dan ditambah.

``Jadikan sekolah kebangsaan benar-benar kebangsaan. Kalau kita sudah memperkasakan sekolah kebangsaan, semuanya ada di sana,'' katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang mengimbangi pembelajaran dan pengajaran Sains Teknologi dengan Agama, beliau berkata, pendidikan sebegitu lebih elok dijalankan di sekolah kebangsaan.

``Memang bagus, tetapi kenapa kita tidak boleh pindahkan sistem pendidikan SMKA kepada sekolah kebangsaan.

``Sepatutnya di sekolah kebangsaan kita boleh mendapat kesemua pelajaran yang ada dalam sistem pendidikan kita,'' kata Murad.


um27/5/2005

No comments: