Sunday, May 29, 2005

USAH TERHIBUR JENAKA MURAHAN - MASYARAKAT LEBIH GEMAR MEMPERMAINKAN DASAR SERIUS

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

TELAH menjadi satu permainan di negara kita, bahawa sesuatu isu atau dasar serius yang tidak digemari oleh sesuatu pihak, maka perkara itu akan dijadikan jenaka yang menggelikan hati, dan dengan itu melupakan persoalan sebenarnya yang lebih serius tentang isu itu.

Contoh terbaik ialah apabila terdapat kumpulan dan di kalangan masyarakat kita yang mempermain-mainkan dasar Islam Hadhari dengan memusingkannya menjadi bahan jenaka yang amat sinikal. Bahan jenaka ini pula tidak mempunyai sebarang nilai adab sopan atau agama, selain menjadi jenaka murahan.

Baru-baru ini saya mendengar suatu cerita ringkas tentang perkara ini, iaitu kononnya seorang saudara baru daripada kalangan orang Barat yang melawat Malaysia telah dikejutkan begitu rupa dengan Islam Hadhari. Kononnya saudara kita ini telah berhenti di sebuah gerai menjual buah-buahan di tepi jalan. Dia melihat gadis Melayu yang bertindak selaku jurujual itu memakai pakaian yang menjolok mata, seluar jean ketat, baju singkat yang menampakkan perut dan pusatnya. Lalu saudara kita ini pun bertanya kepada gadis tersebut kenapa memakai pakaian tidak bersopan itu sedangkan dia seorang gadis Muslim? Gadis ini kononnya menjawab, ``Inilah Islam Hadhari.''

Satu cerita lain yang disebarkan dengan meluas menceritakan bahawa seorang Muslim yang sedang disoal oleh malaikat di alam kubur telah ditanya, ``Apakah agama kamu?'' Orang ini menjawab, ``Islam Hadhari'' lalu malaikat ini pun berkata, ``Oh rupa-rupanya kamu orang Malaysia ya?'' Lalu dipukulnya dengan kuat kerana jawapannya adalah berbeza daripada jawapannya yang sebenar, iaitu ``Islam'' sahaja, tanpa terdapat sebarang tambahan.

Hal ini menunjukkan betapa buntunya akal orang-orang yang cuba untuk menentang Islam Hadhari secara serius dan ilmiah, lalu menjadikannya bahan jenaka dan ketawa yang dapat melencongkan perhatian dan kefahaman orang awam tentang konsep Islam Hadhari yang cuba ditegakkan oleh pihak kerajaan.

Memang hal inilah yang selalu mempengaruhi fikiran orang ramai, dan amat digemari oleh mereka. Oleh sebab itulah juga kita sering kali mendengar ceramah agama yang dipenuhi bahan jenaka seperti ini, sehingga para penceramah yang bijak membicarakan sesuatu isu dalam bentuk jenaka itu mendapat pujian tinggi, walaupun isi ceramahnya amat remeh dan tidak bernilai sama sekali.

Dengan itu maka masyarakat Melayu dan Islam umumnya, sering menjadi masyarakat yang berseronok-seronok, gelak ketawa sepanjang masa tanpa banyak berfikir, dan tanpa mempunyai agenda yang serius dan bersungguh-sungguh. Sesuatu yang serius dan bersungguh-sungguh, terutamanya di dalam bidang ilmu dan pemikiran, berikanlah sahaja kepada orang lain. Biarlah orang lain yang berfikir dan bekerja, kita hanya memadai menurut dan bersorak-sorai dengan riuh-rendahnya, walaupun kampung kita sendiri yang tergadai akhirnya.

Kembali kepada pembicaraan Islam Hadhari yang telah lama dibicarakan di dalam masyarakat kita sebagai satu agenda pembangunan Islam secara bertamadun dan berilmu, terkini dan dinamik, maka semua kalangan masyarakat seharusnya dapat memahami konsep ini secara yang lebih mendalam. Golongan awam sebenarnya yang harus memahami konsep dan pelaksanaan Islam Hadhari ini, kerana merekalah yang sering terpengaruh dengan konsep Islam Hadhari yang dipolitikkan secara sempit, apalagi dengan cerita-cerita jenaka yang disebarkan kepada mereka tentang Islam Hadhari seperti yang tersebut di atas.

Bagaimanapun, kalangan intelektual dan para sarjana juga sering menimbulkan beberapa tanda tanya tentang konsep Islam Hadhari ini yang seharusnya diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan yang mengemukakan agenda Islam Hadhari ini. Pertanyaan mereka sering juga mempengaruhi pemikiran umum golongan terpelajar yang telah lama terdedah kepada pengertian asas tentang Islam sebagai addin atau cara hidup yang lengkap.

Mereka sejak berdekad-dekad hanya mengetahui istilah ``Islam'' itu sebagai agama dan cara hidup Muslim serta perhubungannya dengan tamadun dan perkembangan teknologi dan ilmu lain yang sentiasa berkembang itu.

Maka dalam konteks inilah saya rasa, bahawa penerangan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada para mufti dalam perjumpaan dengan beliau pada 6 Mei yang lalu amat jelas dan sesuai dengan kefahaman masyarakat Islam tentang hubungan Islam dengan Islam Hadhari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Islam Hadhari adalah merupakan satu pendekatan dan agenda pembangunan Islam di negara kita yang berasaskan tamadun dan ilmu. Matlamatnya ialah untuk mencipta sebuah masyarakat Islam yang maju dan bertamadun, iaitu masyarakat dan umat Islam yang Hadhari. Istilah Islam Hadhari tidaklah seharusnya dikelirukan dengan istilah Islam yang merangkumi akidah sebenar Islam yang amat jelas itu. Isu perbezaan akidah tidak timbul sama sekali dalam hal ini.

Atas dasar inilah maka para mufti telah menerima penjelasan Perdana Menteri dengan hati yang terbuka, iaitu tujuannya tidaklah menjejaskan asas akidah umat Islam, tetapi matlamat Islam Hadhari ialah pendekatan dan pelaksanaan Islam itu sendiri yang lebih sesuai dengan pembangunan dunia global sekarang ini, iaitu yang menyentuh agenda pembangunan insan, pembangunan akhlak, amar makruf dan nahi mungkar.

Oleh itu saya rasa bahawa penumpuan istilah Islam Hadhari sekarang ini mestilah ditujukan kepada penekanan tentang masyarakat dan umat Islam itu sendiri, kerana masyarakat dan umat Islam itulah yang seharusnya lahir dalam bentuk hadhari dan bertamadun, bukan Islam, kerana Islam sememangnya lahir dan diamalkan sekarang ini sebagai agama yang telah lengkap. Atas dasar inilah sepatutnya segala aktiviti dan perancangan pembangunan negara itu dilaksanakan, termasuk agenda memerangi maksiat dan penyelewengan akidah, gejala sosial yang berleluasa, aliran hedonisme yang bermaharajalela di dalam masyarakat kita sekarang, di samping memerangi rasuah, salah guna kuasa, pelanggaran etika dan moral di kalangan sektor awam dan swasta, jenayah dan sebagainya.

Aktiviti dan pelaksanaan dasar yang selaras dengan pembangunan Islam Hadhari inilah sebenarnya yang menjadi kayu ukur dan cermin bagi masyarakat umum untuk melihat apakah pembangunan Islam di negara kita ini benar-benar berjalan mengikut gagasan tamadun, ilmu, moral, peradaban dan seterusnya, berteknologi tinggi dan profesional seperti yang dituntut oleh pelaksanaan Islam Hadhari.

Oleh itu sungguh pun Perdana Menteri memberi penerangan yang jelas berhubung konsep ini di mana sahaja beliau pergi, mungkin istilah ini juga perlu kepada perubahan dan pindaan di dalam minda dan kefahaman masyarakat umum supaya tumpuan debat, polemik dan sebagainya tidak lagi Islam Hadhari, tetapi masyarakat dan umat Islam yang hadhari.

Perubahan pemikiran dan persepsi masyarakat tentang konsep istilah ini tidak menjejaskan agenda pembangunan Islam seperti yang diperjuangkan oleh negara kita selama ini. Perubahan ini juga tidak bererti menyerah kalah kepada orang-orang yang cuba mengelirukan istilah ini, malah mungkin perubahan ini akan menutup sebarang ruang yang boleh dikelirukan oleh pihak-pihak yang tertentu, atau dengan itu juga akan dapat memuaskan hati semua orang Islam, sama ada yang menyokong atau menjadikan istilah ini sebagai bahan mereka untuk memperkecil-kecilkan agenda kerajaan.

Dalam masyarakat kita sekarang ini telah timbul banyak cabaran yang mengacau-bilaukan akal fikiran yang rasional dan kemampuan minda untuk menumpukan pemikiran kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dan serius.

Media melaporkan tentang peningkatan laman web lucah sehingga mencecah angka 1.5 juta, dan amat mudah dilayari oleh sesiapa sahaja. Telefon bimbit juga melampaui fungsinya untuk berkomunikasi secara mudah kepada alat canggih yang mempunyai multifungsi, termasuk penggunaannya untuk unsur-unsur lucah. Dasar langit terbuka yang dimanfaatkan oleh saluran televisyen kerajaan dan swasta juga telah memaparkan dan mendidik minda masyarakat dengan kepelbagaian kepalsuan hidup dan anasir ilhad atau tidak beragama.

Semua ini sememangnya merupakan program dunia global dan proses modenisme di dalam masyarakat yang tidak dapat ditolak dengan mudah seperti yang boleh diteorikan di dalam kertas atau perancangan dasar. Kerana yang penting sekali dalam memelihara masyarakat dan anggotanya, ialah bagaimanakah anggota masyarakat sendiri seharusnya mampu bertindak melawan arus kerosakan yang menjahanamkan minda dan peradaban ini.

Kita ingin melihat ramai orang yang tidak akan terpengaruh dengan aliran kehidupan permisif. Ini termasuk yang melihat laman web lucah, menonton program televisyen yang tidak bernilai, atau berjalan-jalan di kota raya pada waktu malam melihat gelagat manusia separuh siuman, atau perilaku penjenayah dan lain-lain yang melakukan maksiat, salah laku, memeras ugut dan seribu satu penyelewengan yang berlaku di hadapan mata kita.

Dalam hubungan inilah juga kita seharusnya segera mengambil langkah-langkah memperkasakan pendidikan mulai dari peringkat awalnya. Begitu juga kita harus merevolusikan pendidikan agama yang dapat membentuk jasad, minda dan pemikiran insan sesuai dengan pembangunan agenda Islam Hadhari yang menekankan tentang tamadun, ilmu dan pembentukan emosi, akal fikiran serta keimanan yang kukuh.

Kita tidak lagi mahu melihat umat Islam mengambil mudah tentang kehidupan yang semakin mendesak ini. Umat Islam di negara kita seharusnya cuba-cubalah melihat kepada statistik para pelajarnya yang berada di luar negara berbanding dengan rakyat kita keturunan kaum lain, dan perhatikan pula apakah jurusan pelajaran yang mereka ambil. Malah tinjauan juga boleh dilakukan di dalam negara sendiri, berapa peratuskah pelajar Islam yang berada di dalam IPTA dan IPTS berbanding dengan rakan-rakan mereka kaum lain.

Persoalannya di sini bukanlah soalan perkauman, tetapi betapa seriusnya jurang yang akan wujud di dalam masyarakat setelah sekian lama kita mencuba untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Oleh itu, kita tidak berdaya dan tidak seharusnya lagi berhibur dan berjenaka secara murahan sekarang ini, seperti yang dilakukan terhadap konsep dan pelaksanaan Islam Hadhari itu. Kita perlukan umat yang serius dan bercita-cita tinggi sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri.

Mingguan Malaysia: 29/5/2005

Friday, May 27, 2005

Kepentingan usahawan bioteknologi kepada Islam

Oleh Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh

Ramai yang menyatakan bahawa banyak hasil penyelidikan dalam bidang bioteknologi misalnya yang hanya menjadi bahan rujukan di dalam jurnal-jurnal ilmiah semata-mata. Tidak banyak hasil penyelidikan ini yang dikomersialkan.

Jika pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dilaksanakan, maka bidang ini tidak akan dapat menyumbang ke arah pengukuhan K-ekonomi. Beberapa sebab dikenal pasti sebagai punca hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dikomersialkan.

Pertama, kebanyakan saintis dan teknologis di dalam bidang bioteknologi tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran di dalam selok-belok dunia perniagaan dan keusahawanan. Agak tidak wajar dan tidak adil untuk mengharapkan mereka terjun ke dalam dunia perniagaan sekiranya mereka tidak mempunyai kepakaran sebagai usahawan.

Oleh itu, satu pendekatan yang sesuai ialah untuk menemukan golongan saintis dan teknologis ini dengan golongan usahawan yang mempunyai naluri peniaga. Walau bagaimanapun, sesetengah peniaga dan usahawan tidak mahu menerokai bidang keusahawanan bioteknologi ini kerana ia tidak menjanjikan pulangan dalam jangka masa yang singkat.

Perkara inilah yang menyumbang kepada punca kedua mengapa hasil penyelidikan dan pembangunan bioteknologi gagal dikomersialkan. Tidak seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyediakan pulangan dalam jangka masa yang agak singkat, bidang bioteknologi memerlukan masa bertahun-tahun untuk proses pembangunan, apa lagi proses pengkomersialan.

Untuk mereka cipta sejenis ubat misalnya mengambil satu jangka masa yang lama. Ubat ini mesti dipastikan keberkesanan dan keselamatannya terlebih dahulu sebelum dipasarkan. Hakikatnya kepada seorang usahawan, masa adalah wang. Maka tidaklah menghairankan apabila kita mendapati ramai yang teragak-agak untuk terlibat di dalam bidang pengkomersialan hasil bioteknologi kerana faktor masa ini.

Jalan penyelesaian bagi keadaan ini ialah untuk mewujudkan satu generasi usahawan yang baru yang dikenali sebagai biousahawan. Golongan ini adalah golongan yang terlibat secara langsung dengan penyelidikan dan pembangunan bioteknologi, dan pada waktu yang sama mempunyai kemahiran di dalam bidang keusahawanan. Golongan biousahawan ini bolehlah dianggap sebagai generasi usahawan alaf baru yang akan menjadi penggerak utama K-ekonomi.

Namun demikian, untuk berjaya di dalam bidang keusahawanan bioteknologi ini, golongan biousahawan perlulah mengenal pasti peluang dan ruang yang memberikan kelebihan kepada mereka. Mereka tidak mampu untuk meniru bulat-bulat apa yang telah dilakukan oleh orang lain.

Tidak seperti pisang goreng, pembangunan bidang bioteknologi tidak boleh ditiru untuk dikomersialkan oleh syarikat lain. Sekiranya satu-satu jenis ubat misalnya telah dipatenkan dan dimiliki oleh sebuah syarikat, maka syarikat lain tidak boleh sama sekali meniru ubat tersebut. Jika ini dilakukan, maka syarikat yang meniru tadi dianggap telah mencuri harta intelektual syarikat yang menghasilkan ubat yang asal tadi.

Dalam konteks Malaysia, seperti yang telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita tidak mampu untuk menjadi penggiat dalam banyak bidang tanpa menguasai apa-apa bidang langsung. Atas sebab inilah maka dua bidang telah dikenal pasti sebagai bidang yang menjadi kekuatan untuk Malaysia, iaitu bioteknologi pertanian dan penerokaan produk semula jadi.

Bidang bioteknologi pertanian sebenarnya telah bertapak lama di negara kita menerusi kajian yang dijalankan ke atas tanaman-tanaman seperti getah dan kelapa sawit. Malah telah diakui bahawa penyelidikan yang dijalankan di Malaysia jauh lebih maju berbanding negara asal tanaman-tanaman tadi.

Walau bagaimanapun, masih banyak ruang yang belum diterokai di dalam bidang bioteknologi pertanian ini. Justeru, dengan mengaplikasikan bioteknologi kepada sektor pertanian, ia mampu menggerakkan semula sektor ini sebagai penyumbang utama pembangunan ekonomi negara.

Dalam bidang penerokaan produk semula jadi pula, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai hasil kekayaan semula jadi yang melimpahruah. Kepelbagaian bio ini membuka ruang dan peluang kepada biousahawan untuk menerokai kemungkinan mengkomersialkan hasil-hasil semula jadi yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada bumi Malaysia.

- SHAIKH SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH ialah Fellow Kanan Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Utusan Malaysia: 27/5/2005

Rombak sistem pendidikan

Rombak sistem pendidikan -- Jika kerajaan mahu memperkasa sekolah kebangsaan - Murad
Oleh MARZITA ABDULLAH


KUALA LUMPUR 26 Mei - Sistem pendidikan negara sekarang perlu dirombak semula jika kerajaan mahu memperkasakan sekolah kebangsaan, kata tokoh pendidikan Tan Sri Murad Mohd. Nor.

Beliau berkata, ini kerana wujud ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negara yang memerlukan penilaian dan penelitian secara keseluruhan terhadapnya.

Antara cadangan beliau ialah:

Mengkaji semula kurikulum latihan perguruan agar lebih terkini dengan perubahan dalam bidang pendidikan yang bersifat global.

Pembelajaran dan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris perlu diperkasakan lagi kerana ia adalah mercu tanda dalam pendidikan negara pada masa sekarang dan akan datang.

Sistem pendidikan perlu memberikan pelajaran yang seimbang kepada semua pelajar iaitu dari segi bahasa, sains dan teknologi, sejarah dan asal-usul masyarakat, agama, kebudayaan dan sebagainya.

Murad, yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran selama sembilan tahun sejak 1976 berkata, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan perlu dimulakan dengan guru-guru yang memahami bidang pendidikan negara dan terlatih.

``Mereka perlu faham apa yang diajar kepada siapa, bahasa yang digunakan dan cara penyampaian pengajarannya kepada pelajar,'' katanya kepada pemberita di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini.

Ditanya apa yang dimaksudkan dengan ``memperkasa sekolah kebangsaan'', beliau berkata:

``Maksudnya ialah pelajar yang dihasilkan oleh sekolah harus mempunyai ciri-ciri akhlak, disiplin, agama, budaya, akademik dan sukan yang baik.

``Bukannya memastikan sesebuah sekolah itu mempunyai pelajar dan guru pelbagai kaum.''

Katanya, rombakan kepada sistem yang dicadangkan itu bukan dilakukan secara `menampung-tampung' mana-mana yang kurang; bukan secara ad-hoc tetapi ia perlu menyeluruh meliputi guru, sekolah dan pelajar.

``Namun, tegas Murad, rombakan itu tidak harus menyentuh dan mengubah Dasar Pendidikan Kebangsaan sebaliknya ia perlu dipegang teguh.

``Dasar tidak boleh berubah tetapi yang berubah ialah sistem iaitu dengan memperincikan cara-cara kita bertindak,'' katanya.

Rombakan dalam sistem pendidikan juga, menurut Murad, boleh dilakukan menerusi aspek mata pelajaran, di mana pelajar perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan pelajaran tentang amalan kebudayaan kaum.

``Ia bertujuan supaya para pelajar dapat memahami dan tahu mengenai resmi dan budaya kaumlain. Kalau kita dapat wujudkan suasana yang harmoni, hormat-menghormati dan memahami adat resam bangsa lain, ia secara tidak langsung dapat memperkasakan sekolah kebangsaan,'' katanya.

Murad melihat hasil sistem pendidikan di negara ini lebih tertumpu kepada jumlah keputusan dalam setiap peperiksaan.

``Kita alu-alukan kecemerlangan ini, tetapi kenapa hanya satu sahaja pelajar yang sebegini dan kenapa lagi berjuta-juta yang keluar tidak seperti ini,'' katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan para pensyarah yang mendidik bakal guru itu supaya `turun padang' seperti yang dilakukan oleh jemaah nazir sekolah.

``Mereka perlu melihat sendiri situasi di sekolah, melihat gelagat pelajar, cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan memikirkan apayang perlu diubah dan ditambah.

``Jadikan sekolah kebangsaan benar-benar kebangsaan. Kalau kita sudah memperkasakan sekolah kebangsaan, semuanya ada di sana,'' katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang mengimbangi pembelajaran dan pengajaran Sains Teknologi dengan Agama, beliau berkata, pendidikan sebegitu lebih elok dijalankan di sekolah kebangsaan.

``Memang bagus, tetapi kenapa kita tidak boleh pindahkan sistem pendidikan SMKA kepada sekolah kebangsaan.

``Sepatutnya di sekolah kebangsaan kita boleh mendapat kesemua pelajaran yang ada dalam sistem pendidikan kita,'' kata Murad.


um27/5/2005

Thursday, May 26, 2005

Pembangunan Asia Timur merentasi beberapa generasi

KITA bertemu pada detik penting dalam sejarah Asia Timur dan sejarah benua Asia. Berita dan peristiwa hari ini mengandungi terlalu banyak drama, misteri, tanggapan dan penipuan, baik yang nyata atau khayalan, yang belum pernah disaksikan di Asia Timur dalam tempoh dua dekad lalu.

Ini bukanlah sesuatu yang asing dalam percaturan mana-mana negara. Dalam ruang lingkup yang lebih besar ia adalah keadaan yang tercetus hasil daripada peluang, kemungkinan, harapan, kebimbangan, impian, kuasa politik dan pemikiran baru yang menjadi sebahagian daripada kunci kejayaan.

Pada detik penting ini, bercakap mewakili Asia Timur, izinkan saya menekankan terhadap kebijaksanaan yang luar biasa. Sekiranya ada keperluan untuk sifat negarawan yang bersejarah di Asia Timur, inilah masanya.

Untuk Asia, khususnya Asia Timur, amat penting bagi kita untuk tidak memilih persimpangan yang salah sekarang, malah lebih kritikal bagi kita supaya tidak mengikuti jalan yang salah, tidak menapak di laluan bahaya dan tergelincir serta dilupakan terus – untuk kembali ke era sejarah yang berlainan yakni ketika Asia berada pada zaman batu dengan tanggapan ia kehilangan pedoman, miskin dan tertekan sehingga membolehkan kita dibahagikan dan dipotong bagaikan tembikai mengikut keinginan orang lain.

Pada detik penting ini, wujud keperluan untuk wawasan jelas serta pemikiran strategik yang mendalam.

Saya percaya semua wawasan dan pemikiran strategik perlu lahir daripada matlamat muktamad yang jelas. Malaysia tidak banyak masalah mengenai bentuk masyarakat yang kita perlu wujudkan dan apa yang perlu dibina secara teliti oleh masyarakat serantau, generasi demi generasi untuk beberapa dekad akan datang. Haluan kita sudah lama ditetapkan bertahun-tahun sebelum ini dan kini berada di landasan yang sepatutnya.

Menjelang 2020, Malaysia secara keseluruhan perlu maju baik dari segi ekonomi, politik, sosial dan budaya, selain progresif serta penyayang.

Tradisi empat dekad mengenai keselamatan dan pertahanan mengingatkan kita apa saja yang dicapai di tanah air sendiri tidak dapat kita lindungi melainkan jika negara kita berada dalam rantau yang selamat.

Kita tidak boleh selamat jika kedudukan negara ini tidak berada di kalangan masyarakat Asia Tenggara yang cintakan keamanan dan setiakawan, sesuatu yang kita bina dengan penuh kesungguhan selama lebih 40 tahun. Ini membuktikan kesungguhan mendalam untuk mewujudkan Masyarakat Keselamatan Asean (ASC) yang dipersetujui semua negara Asean dalam Bali Concord II di Indonesia pada Oktober 2003.

Kita percaya Malaysia tidak boleh makmur dari segi ekonomi, kita tidak boleh mencapai Wawasan 2020, melainkan kita berada di kalangan masyarakat Asia Tenggara yang menikmati pembangunan pesat dan kemakmuran. Itulah sebabnya kita berpegang kepada konsep ‘Memakmurkan Jiran’. Kita menolak sekeras-kerasnya perumpamaan ‘Mengemiskan Jiran’. Inilah sebabnya kita benar-benar komited terhadap penubuhan Masyarakat Ekonomi Asia (AEC).

Kita juga percaya bahawa untuk mencapai matlamat menjadi masyarakat yang maju, kita mesti menjadi sebahagian daripada rantau yang mengalami permodenan dan kemajuan pesat. Itulah sebabnya kita benar-benar komited mewujudkan Masyarakat Sosio-Budaya Asean (ASCC).

Sememangnya, kita tahu bahawa bangsa yang berdaulat adalah pemacu kemajuan dan pembangunan. Tiada siapa pun yang boleh melakukan sesuatu yang buruk terhadap kita berbanding apa yang boleh kita lakukan sendiri. Tiada sesiapa yang akan melakukan untuk kita sesuatu yang perlu kita lakukan sendiri dalam lingkungan sempadan sendiri.

Perubahan penting tidak boleh dilakukan kerana tekanan daripada luar. Ia mesti berpunca daripada hati, kesungguhan dan tenaga kudrat kita sendiri. Kita mesti pastikan yang kita hidup selamat dalam masyarakat Asean yang mengutamakan keamanan, kemakmuran dan kemajuan. Kita mesti memperluaskan masyarakat sedia ada supaya ia boleh memanfaatkan dan membangunkan kita.

Jangan ada yang salah faham. Dalam masa terdekat, negara Asia Tenggara perlu memberi keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan pesat keamanan, kemakmuran dan kemajuan masyarakat Asean. Sudah semestinya usaha memupuk kerjasama dan integrasi meluas di kalangan Asean ini akan menuntut supaya wujud kerjasama lebih erat.

Isu pokok yang ingin saya tekankan ialah hakikat bahawa usaha pembangunan masyarakat dan integrasi ini akan merangkumi rantau geografi. Tiada pelopor pengwujudan konsep serantau atau integrasi boleh menumpukan perhatian untuk menubuhkan satu entiti Asia dengan mengecualikan segala yang lain.

Integrasi Asia juga memerlukan pendekatan pelbagai dimensi. Ia tidak boleh terhad kepada satu dagangan atau lebih khusus kepada kawasan perdagangan bebas, perjanjian dan rejim.

Adalah menjadi satu keperluan supaya integrasi Asia merangkumi pelbagai lapisan. Dalam bidang ekonomi serantau, mereka yang merencana agenda pembangunan negara, pembinaan, jurutera dan memupuk perpaduan bukanlah kerajaan, sebaliknya mereka adalah pengimport dan pengeksport, pengusaha pelancongan dan ejen perkapalan, syarikat penerbangan, masyarakat umum dan pertubuhan media, perbadanan transnasional Asia, Australasia, Amerika, Eropah dan perusahaan, baik yang kecil, sederhana atau besar, dari segenap pelosok dunia. Adalah lebih baik supaya kerajaan Asia Timur mengakui hakikat ini dan tidak pula mewujudkan halangan atau kekangan.

Secara ringkasnya, saya percaya matlamat integrasi ekonomi Asia harus dan akan maju merangkumi bidang yang luas. Ia akan mempunyai pelbagai dimensi dan pelbagai lapisan. Kesinambungan kewibawaan negara Asean dan kesungguhan negara Asean+3 terhadap integrasi ekonomi Asia amat penting. Ini untuk kebaikan kita semua.

Banyak yang bergantung kepada tahun dan dekad mendatang, tetapi biarlah saya bertukar kepada isu yang perlu disegerakan: pembinaan masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju. Satu usaha sama yang kini sudah terjalin dan menjadi asas kepada Sidang Kemuncak Asia Timur yang pertama di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Seperti yang anda sedia maklum, Sidang Kemuncak Asean+3 yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 1997. Sidang Kemuncak Asean+3 yang akan mengumpulkan pemimpin Asean, China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur pada Disember ini adalah yang ke sembilan, bukan kedua, ketiga, keempat atau kelima. Ini kali kesembilan.

Sepanjang tahun yang amat mencabar ini, kita berjaya membangunkan tidak kurang 48 mesyuarat Asean+3. Bukan satu atau dua.

Pada peringkat menteri Asean+3, mereka sudah kerap bertemu dan berbincang mengenai:



Kerjasama Politik dan Keselamatan Asia Timur;

Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Asia Timur;

Kerjasama Kewangan dan Pemantauan Makroekonomi Asia Timur;

Kerjasama Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Asia Timur;

Kerjasama Tenaga Asia Timur;

Kerjasama Alam Sekitar Asia Timur;

Kerjasama Pelancongan Asia Timur;

Kerjasama Berhubung Jenayah Transnasional Asia Timur;

Kerjasama Kesihatan Asia Timur;

Kerjasama Buruh Asia Timur;

Kerjasama Seni dan Budaya Asia Timur;

Kerjasama ICT Asia Timur;

Kerjasama Kebajikan Sosial Asia Timur;

Pada peringkat pegawai kanan pula, Asean+3 turut mewujudkan beberapa proses tambahan untuk kerjasama Asia Timur, umpamanya:


Mengenai isu belia;

Mengenai Sains dan Teknologi dan

Pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

Saya sudah menggariskan semua proses Asean+3 pertamanya kerana mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada pembabitan mereka dalam proses pembangunan masyarakat Asia Timur, perlu mendapat gambaran lebih jelas mengenai apa yang mereka sertai. Kebanyakan mereka ini masih tidak tahu langsung. Ramai yang bertanggapan dan sudah membuat congakan apa yang boleh mereka ambil dari Asia Timur. Sebaliknya, ramai tidak terfikir langsung mengenai apa yang dapat mereka sumbangkan kepada Asia Timur.

Mereka ini hanya bersedia menikmati keistimewaan kerana mengambil bahagian, tetapi sama ada mereka memikirkan tanggungjawab untuk turut serta menjadi persoalan. Adakah mereka sedia untuk mengharungi cabaran jangka panjang?

Pembangunan Asia Timur harus dilakukan dengan sabar merentasi beberapa generasi. Proses membabitkan pelbagai generasi ini tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada sesiapa saja dengan sewenang-wenangnya. Ini bukan peluang untuk direbut sekarang apabila potensi membuat keuntungan amat tinggi dan dilupakan esok apabila keuntungan yang menjadi impian tidak seperti diharapkan.

Saya turut menyenaraikan semua proses Asean+3 yang memang diketahui umum kerana selepas sekian lama, tidak munasabah untuk kita menghapuskan semuanya dan bermula daripada awal. Kita juga tidak seharusnya dilihat ibarat menari cha-cha, iaitu melangkah ke depan dan belakang di tempat sama. Tidak ada gunanya untuk kembali ke asal, terutama apabila umum bersetuju kita berada di landasan yang betul. Pembentukan masyarakat Asia Timur berjalan dengan lancar, itulah sebabnya mengapa banyak negara daripada pelbagai benua ingin menyertai Asia Timur ini, tetapi tiada di antara kita yang mahu melepaskan tempatnya.

Izinkan saya menoleh ke belakang sedikit. Seperti yang anda semua ketahui, atas daya usaha Presiden Kim Dae Jung, Sidang Kemuncak Asean+3 menubuhkan Kumpulan Wawasan Asia Timur (EAVG) pada Disember 1998 yang membariskan golongan intelektual terkemuka Asia Timur yang diberi tanggungjawab merangka wawasan ke arah kerjasama dan integrasi di Asia Tenggara. Kumpulan penyelidik Asia Timur yang dianggotai pegawai kerajaan negara Asean+3, dibentuk pada Mac 2001 untuk mengkaji cadangan Kumpulan Wawasan Asia Timur.

Dalam perenggan pertama laporannya, Kumpulan Wawasan Asia Timur menekankan wawasan ‘masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju berdasarkan pembangunan menyeluruh penduduk serantau’. Pemimpin Asean+3 menerima dan menyokong wawasan ini sebagai lanjutan kepada penerimaan dan sokongan terhadap kumpulan penyelidikan antara kerajaan Asia Timur. Seperti yang anda ketahui, saya juga menerima dan menyokong sepenuhnya wawasan ini.

Dalam laporannya, kumpulan penyelidikan Asia Timur menyatakan: “EASG berpendapat kerangka Asean+3 kekal sebagai satu-satunya alat yang mampu dan realistik untuk mengetengahkan bentuk dan asas kerjasama rantau Asia Timur.” Saya bersetuju sepenuhnya.

Sebagai tambahan, izinkan saya menyatakan penghargaan terhadap tugasan cemerlang yang dilaksanakan di Tokyo hampir sebulan lalu oleh Kumpulan Kerja Mengenai Kerangka Pembangunan Menyeluruh Masyarakat Asia Timur yang dipimpin Rangkaian Kumpulan Pemikir Asia Timur (NEAT) Jepun.

Kumpulan kerja NEAT sebulat suara memperakui ‘landasan utama bagi pembentukan masyarakat Asia Timur ialah proses Asean+3.’ Mereka juga mencapai kata sepakat bahawa Sidang Kemuncak Asia Timur tidak akan menjadi pertubuhan, sebaliknya forum yang patut menjadi landasan bagi jalinan hubungan Asean+3 dengan negara lain.

Ketika pembangunan masyarakat Asia Timur menjadi tanggungjawab Sidang Kemuncak Asean+3 dan proses Asean+3, kumpulan NEAT turut mencadangkan supaya Sidang Kemuncak Asia Timur dijadikan landasan bagi Asean+3 berdialog dengan negara lain supaya semua pihak dapat saling memberi sumbangan. Saya percaya kerajaan perlu mengambil kira pandangan kumpulan pemikir Asia Timur yang berada di bawah kepemimpinan NEAT Jepun.

Saya percaya, kita perlu mengelak pertindihan daripada segi matlamat dan program kerja di antara kedua-dua proses ini. Sebagai contoh, Sidang Kemuncak Asean+3 boleh dipertanggungjawab untuk mengendalikan proses pembinaan masyarakat Asia Timur dari segi keamanan, kemakmuran dan kemajuan. Sidang Kemuncak Asia Timur pula boleh memberi tumpuan terhadap bagaimana Asia Timur dapat memberi sumbangan kepada dunia dan bagaimana negara lain boleh mengambil bahagian dalam pertumbuhan serta kemakmuran Asia Timur supaya semua pihak dapat mengecap nikmatnya.

Pelbagai agenda dirangka bagi Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur. Daripada isu mata wang, tenaga dan pertumbuhan global kepada usaha bersama mengenai keganasan, hingga kaedah menghapuskan kemiskinan dan menjadi rantau negara membangun pertama di dunia mencapai sasaran pembangunan milenium, di samping bagaimana kita boleh meningkatkan kemampuan ke arah integrasi ekonomi Asia menerusi pembangunan infrastruktur ekonomi asas yang merangkumi lebuh raya dan laluan kereta api yang merangkai serta menyatukan masyarakat Asia Timur. Ini boleh dijelmakan sebagai Inisiatif Pembangunan Infrastruktur Asia (AIDI). Idea begini memang memerlukan kita menggunakan segala sumber yang dimiliki. Dalam hal ini, saya gembira kerana Asia semakin rancak bergerak - keyakinannya atas dorongan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan mapan, di samping lebihan imbangan pembayaran.

Lebih ketara, tabungan Asia dalam bentuk simpanan tukaran asing semakin meningkat dan sudah melepasi penanda aras kebangsaan. Baru-baru ini, Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa bank pusat kini menguasai lebih daripada dua pertiga simpanan tukaran asing global dengan agregat mencapai AS$2.5 trilion (RM9.5 trilion). Sebahagian daripada simpanan kita boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini. Perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut menerusi proses Asean.

Malaysia menetapkan supaya Agenda Kuala Lumpur ditentukan bukan oleh Malaysia sendiri, tetapi secara pelbagai hala atas dasar konsensus dan persetujuan bersama tanpa paksaan, tekanan atau prasangka.

Merujuk kepada Sidang Kemuncak Asia Timur, saya bangga melihat banyak yang sudah dibereskan oleh pegawai kanan dan menteri Asean di Cebu serta oleh pegawai kanan dan menteri Asean+3 di Kyoto.

Masyarakat Asia Timur mesti mempunyai pendirian. Orang lain mungkin mahukan perkara berbeza. Mereka mungkin menganggap keamanan hanyalah untuk golongan lemah, manakala persahabatan tidak mempunyai makna dalam dunia yang mana manusia saling mengkhianati. Mereka berhak mempercayai apa saja.

Apa yang ingin kita bina di rantau ini ialah masyarakat yang komited sepenuhnya ke arah mencapai keamanan dan penyelesaian terhadap pelbagai pertikaian Pasifik. Kita gembira dengan apa yang berlaku di Kyoto apabila Asean+3 sepakat bahawa mana-mana negara yang mahu menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur mesti menerima Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) Asean yang sudah dipersetujui China, Jepun, Korea Selatan, India, Pakistan dan Rusia.

Pelbagai cadangan dibuat berhubung Sidang Kemuncak Asia Timur dan banyak lagi pasti ditimbulkan apabila tarikhnya semakin hampir. Satu daripadanya ialah supaya kita bersikap ‘terbuka’. Saya setuju dengan cadangan ini.

Kedua, dalam keadaan pelbagai pihak mahu menjadi sebahagian daripada perlumbaan terhebat ini dan diharap terus menjadi yang terhangat, kita tidak boleh mengatakan ‘ya’ kepada semua. Kita bukan mahu mewujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mini. Kita juga tidak bercadang untuk meniru Apec atau beberapa pertubuhan lain.

Ketiga dan paling ketara, kita tidak patut menerima negara yang mahu menghancurkan matlamat atau memutarbelitkan tujuan atau menentang kecenderungan kita. Hakikat ini mungkin tidak memerlukan penjelasan lanjut.

Keempat, dalam pembentukan Asean+3, sudah wujud satu gugusan kritikal. Pada peringkat ini, apa yang boleh kita peroleh dengan menambah lagi gugusan ini jika tindakan membantutkan kemajuan kita atau meningkatkan risiko tergelincir daripada landasan asal?

Sudah semestinya evolusi dan masa akan menjadikan ahli kumpulan ini melebihi 13. Bagaimanapun, dalam masa terdekat, wujud kesedaran supaya evolusi ini tidak meluas terlalu awal, sebaliknya tumpuan diberi terhadap evolusi yang produktif dan mendalam.

Idea hebat mengenai pembentukan masyarakat Asia Timur mula dicadangkan kira-kira 12 tahun lalu. Amat menakjubkan bagaimana pantasnya perubahan daripada perasaan tidak yakin kepada kebijaksanaan konvensional. Sesiapa di kalangan kita yang percaya terhadap pembangunan masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju, kini perlu mengorak langkah dengan megah dan penuh keyakinan tanpa perlu meminta maaf kepada sesiapa dan semangat setiakawan terhadap semua. Kita berhak menuntut hak menentukan masa depan kita dan anak kita.

Pada masa sama, kita mesti bergerak ke hadapan atas dasar kita mempunyai tanggungjawab untuk bertindak dan memberi sumbangan. Tanggungjawab dan sumbangan ini bukan saja untuk manfaat rakyat kita, tetapi juga untuk masyarakat sejagat, tidak terhad kepada Asia Timur saja.

Tanggungjawab dan sumbangan ini tidak hanya dalam bentuk kemajuan secara zahir, tetapi juga daripada segi kemajuan spiritual dan tamadun. Hanya selepas itu saja kita berhak bercakap dengan penuh kebanggaan, penghormatan dan pencapaian untuk Asia.
Berita Harian 26/5/2005

Merenung keutamaan al-Quran

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri." (Surah an-Nahl, ayat 89).

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu daripada gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (Surah al-Ma'idah, ayat 15-16).

Firman Allah bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman." (Surah Yunus, ayat 57).

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya." (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Umamah).

Daripada Uthman Affan, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis al-Bukhari)

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Menjadikan kesihatan sebagai harta

Oleh ZALIZA HAMID
UNTUK mengubah pendapat dan pandangan seseorang terhadap sesuatu perkara atau perlakuan apatah lagi untuk mengajak dan mendorong mereka melakukan sesuatu yang baru atau di luar kebiasaan walaupun untuk kebaikan, tidaklah semudah yang disangka.
Oleh itu luahan hati yang diiringi oleh perasaan `kecewa' yang ditunjukkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Latiff Ahmad berikutan dengan perkembangan dan tahap sambutan orang ramai terhadap siri kempen `Cara Hidup Sihat' sejak ia dilancarkan, telah tersedia difahami.
Untuk mencapai matlamat, kempen ini mempunyai tiga pengisian penting, yang pertama mengajak orang ramai melakukan aktiviti fizikal yang berjadual lagi teratur, kedua mengelak dari terdedah kepada tekanan mental yang berlebihan dan ketiga mengurangkan bilangan perokok.
Terlalu ramai yang mencari penyelesaian dengan menggunakan jalan mudah terhadap `kegilaan' kepada sesuatu yang boleh memberikan ketenangan, keseronokan dan khayalan dalam satu pakej sekali gus, melalui pengabdian pada rokok dan pelbagai jenis dadah terlarang. Apakah ada harapan lain?
Setiap orang mempunyai pandangan dan cara tersendiri dalam menangani dan mengatasi sesuatu permasalahan.
Apa pun kesihatan sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai perlu dipelihara, ditangani dengan bijak dan seharusnya dihargai oleh yang empunya diri.
Dengan memilikinya tubuh dan otak akan jadi lebih cergas, dinamis dan bertenaga. Di samping itu kita juga dapat terus berbakti dan menabur jasa terhadap negara.
Harta yang dikumpul boleh kita lihat dan ukur kualiti dan kuantitinya di depan mata tetapi tidak bagi kesihatan dan kecergasan. Selalunya kita merasa gembira dan bersyukur kerana memiliki harta yang banyak lebih-lebih lagi atas ikhtiar sendiri tetapi anehnya kita tidak bersikap sedemikian terhadap status dan keupayaan badan untuk kekal sihat.
Maka itu ramai yang tidak mengambil berat malah mengabaikan aspek penjagaan kesihatan kerana melihatnya dari sudut yang subjektif dan bukan sebaliknya.
Walhal soal menjaga dan memiliki tubuh badan yang sihat perlu diberi keutamaan yang seiring dengan lain-lain aktiviti harian malah sepatutnya dilebihkan lagi kerana ketiadaannya boleh melumpuhkan seluruh tenaga, aktiviti dan impian yang ada.
Lagipun apalah ertinya sebuah kehidupan dan kesenangan kalau badan sering terganggu fizikal dan mentalnya sehingga kita tidak dapat mengecapi dan menikmati kesenangan dan kemakmuran.
Kealpaan, kekurangan diri dan kesibukan ada kalanya menyebabkan kita terlepas pandang atau memandang ringan atas banyak perkara.
Maka itu sebagai mengatasinya elok sekiranya ada kesanggupan dalam diri untuk menghadapi kenyataan, bersikap terbuka, senang menerima teguran serta makan nasihat dan saranan yang membina.

Utusan Malaysia: 26/5/2005

Wednesday, May 25, 2005

Ancaman era IT

Oleh Aziz Ishak
Baru-baru ini, seorang menteri terkejut melihat aksi lucah remaja dipercayai Melayu yang dirakamkan dan berlegar menerusi telefon bimbit.

Khabarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedih dengan gejala perlakuan lucah itu dan mahukan semua pihak termasuk kementerian yang berkaitan mengambil langkah menanganinya.

Kelmarin, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan isu yang hampir sama tetapi lebih menjurus kepada cadangan perlunya perisian khas komputer bagi menghalang remaja dan kanak-kanak mengakses bahan dan laman web lucah.

Lega rasanya apabila isu pornografi ini mendapat perhatian kedua-dua pemimpin berkenaan kerana itulah ancaman yang semakin menakutkan dewasa ini.

Era kecanggihan teknologi maklumat (IT) dalam dunia globalisasi membawa cabaran paling besar kepada serangan bahan pornografi menerusi Internet.

Kajian beberapa pihak termasuk MCPCSA, badan bukan kerajaan yang diketuai oleh Sabri Abdul Rahman menunjukkan industri pornografi yang bernilai puluhan bilion ringgit semakin mudah menyerap di kalangan remaja dan pelajar sekolah menerusi Internet.

Dengan pelbagai usaha bagi meningkatkan elemen interaktif dan mudah akses kepada laman web lucah selain tiadanya peraturan menyekat akses, pornografi dan seks siber telah membentuk `ketagihan baru' dalam persekitaran hari ini - selepas dadah.

Penggunaan telefon bimbit yang meluas iaitu kira-kira 14.2 juta pengguna di negara ini pada tahun lalu dengan 30 peratus daripadanya remaja bawah 15 tahun, merumitkan lagi usaha membendung gejala pornografi.

Dengan kian banyak telefon mempunyai kamera yang boleh disalahgunakan bagi tujuan seperti rakaman dan pengedaran bahan lucah, ia juga boleh memuatkan bahan pornografi daripada Internet.

Kemunculan telefon bimbit berteknologi 3G juga mengundang keresahan terhadap gejala seks siber yang lebih meluas dan lebih langsung.

Ini semua petunjuk betapa pornografi dan seks siber serta `pemikiran seks tidak terkawal' yang melanda sebahagian masyarakat memasuki dimensi lebih dahsyat terutama berkaitan seks bebas, seks luar tabii serta seks sejenis.

Selain perlunya sekatan bahan lucah di Internet, kempen besar-besaran berteraskan pendidikan dan peraturan lebih ketat di kafe siber perlu dilaksanakan. Langkah lain juga boleh ditimbangkan antaranya mendaftarkan pembelian kad pra bayar, walaupun mungkin akan dibantah.

Ini kerana isu pornografi dan seks siber kini bukan lagi sekadar masalah sosial yang menggugatkan institusi masyarakat bahkan sudah menjadi ancaman keselamatan nasional jika dihalusi kesannya kepada negara.

Persoalannya, kekuatan dan sumber yang ada pada kita semua tidak digembleng secukupnya untuk melawan `kuasa jahat' yang membudayakan pornografi.

Semua pihak meliputi kerajaan, parti politik, NGO dan rakyat harus memeranginya sebagaimana kesedaran dan ketakutan kita terhadap ancaman militansi.

Persoalannya lagi, seberapa ramai di antara kita yang melihat isu ini sebagai ancaman keselamatan nasional?
Utusan Malaysia 25/5/2005

Tuesday, May 24, 2005

Islam galakkan bioteknologi untuk kepentingan manusia

Oleh Saidul Amin Usman
ROBERT F Curl, pemenang hadiah Nobel 1996 menyatakan bahawa abad ke-20 adalah abad kimia dan fizik. Sementara abad ke-21 ini adalah abad biologi. Kejayaan ilmu kimia dan fizik tidak dapat dinafikan. Pendekatan biologi pula diharapkan dapat mengurangkan kesan negatif yang ditinggalkan oleh penemuan kimia dan fizik sehingga akan lebih memberikan manfaat kepada manusia dan alam sekitar.

Menggunakan kaedah biologi untuk kesejahteraan manusia dikenali dengan bioteknologi. Ia berasal dari dua kata iaitu bio bermakna makhluk hidup dan teknologi pula adalah cara untuk memproduksi atau membuat barang tertentu.Secara sederhana, bioteknologi adalah usaha untuk menghasilkan sesuatu yang baru dengan memanfaatkan mikro organisma tanaman dan haiwan untuk kepentingan ekonomi. Hal sama dinyatakan oleh European Federation of Biotechnology (1989) bahawa bioteknologi adalah perpaduan ilmu pengetahuan alam dan ilmu rekayasa untuk meningkatkan aplikasi organisma hidup, sel, bahagian organisma hidup dan molekul untuk menghasilkan satu produksi atau jasa.Ertinya, bioteknologi tidak menggunakan unsur kimia dalam memproduksi sesuatu. Sebabnya, ia hanya menggunakan mikro organisma, sel dan molekul benda itu dengan merekayasanya untuk tujuan tertentu. Ia sehingga sel hidup yang ada dalam tumbuhan atau haiwan itu dapat melakukan tugas tertentu yang bermanfaat dengan cara yang dapat dijangka dan dikawal.
Oleh itu, menurut Ratledge (1992) bioteknologi sebenarnya bukanlah setakat ilmu pengetahuan. Ia juga penerapan ilmu pengetahuan bagi kesejahteraan manusia dan lingkungan. Hal ini bermakna ia adalah perkara praktikal bukan teoritikal.Berdasarkan definisi di atas, maka nenek moyang kita telah melakukan bioteknologi secara tradisional yang mereka sendiri tidak memahami rumusan sainsnya. Sebab pembuatan tempe, cuka, belacan dan dadih sebenarnya melalui proses bioteknologi, walaupun dalam batas dan bentuk yang sangat sederhana.Saintis sependapat bahawa bioteknologi untuk meningkatkan kesejahteraan manusia dan lingkungan.
Hal ini kerana sifat bioteknologi lebih mesra alam berbanding pendekatan kimia dan fizik.Penggunaan kaedah bioteknologi dapat dilakukan dalam pelbagai aspek kehidupan seperti perubatan, alam sekitar, produksi makanan dan pertanian. Dalam ilmu perubatan, bioteknologi sangat berperanan menciptakan ubat-ubatan seperti insulin untuk penderita sakit kencing manis serta pembuatan pelbagai antibiotik dan vaksin yang dapat mencegah banyak penyakit baik yang disebabkan oleh bakteria, virus mahupun genetik.Dalam aspek alam sekitar, bioteknologi dapat digunakan untuk memodifikasi bakteria tertentu untuk mengubah sampah organik menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada manusia.Bioteknologi juga sangat berperanan dalam aspek makanan dan pertanian. Dengan kaedah bioteknologi, bahan makanan, vitamin, enzim dan sebagainya akan dapat dihasilkan dengan lebih banyak dan berkualiti tinggi.Bidang pertanian sangat memerlukan kaedah ini. Bioteknologi dapat meningkatkan kandungan nutrisi tanaman serta membuat ia lebih tahan daripada gangguan pelbagai penyakit dan tidak tergantung kepada keadaan cuaca atau musim.Dalam ajaran Islam, alam dan isinya seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan diciptakan untuk manusia. Manusia diberikan kesempatan yang seluas-luasnya untuk mengambil manfaat daripadanya. Hal ini dinyatakan dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Apakah mereka tidak memperhatikan bahawa kami telah turunkan air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman untuk makanan mereka dan ternakan mereka.
Maka apakah mereka tidak memperhatikan.” (Surah al-Sajadah, ayat 27)Firman Allah bermaksud: “Dan kami telah ciptakan binatang ternak untuk kamu. Padanya ada bulu yang menghangatkan dan pelbagai manfaat yang lain. Sementara sebahagian yang lain dapat kamu makan.” (Surah al-Nahl, ayat 5). Ayat itu menjelaskan haiwan dan tumbuhan itu diciptakan Allah untuk kepentingan manusia. Tetapi, manusia tidak dibenarkan hanya menikmati apa yang diciptakan Allah kepada mereka begitu saja, tanpa mahu berfikir dan berusaha untuk meningkatkan kualiti ciptaan-Nya dan mengembangkannya menjadi satu ilmu pengetahuan.
Dalam al-Quran banyak ayat yang mengajak manusia untuk berfikir dan menyelidiki sesuatu agar mendapat manfaat yang lebih banyak. Firman Allah bermaksud: “Apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana unta itu diciptakan.” (Surah al-Ghasyiah, ayat 17). Ayat itu bukan setakat memberitahu manusia bahawa unta itu adalah ciptaan Allah. Ia juga menyuruh manusia meneliti dan menyelidiki mengenai unta dan haiwan lain supaya lebih bermanfaat dan memberikan hasil lebih baik serta memberi manfaat bagi kehidupan manusia.
Pada zaman Rasulullah SAW, penduduk Madinah juga pernah melakukan bioteknologi sederhana dengan mengikat pelepah satu batang kokok kurma dengan pelepah pokok yang lainnya. Cara ini dipercayai dapat meningkatkan hasil kurma. Melihat hal itu, Baginda melarangnya dan penduduk Madinah menghentikan kaedah berkenaan. Keadaan itu menyebabkan hasil penanaman kurma di Madinah merosot.Penduduk kemudian menemui Rasulullah untuk menyampaikan berita duka itu. Salah seorang penduduk berkata : “Ya Rasulullah, dulu kami ikat pelepah kurma yang satu dengan yang lain, sehingga hasil kurma kami berlipat ganda. Sesudah engkau melarangnya, kini hasil kurma kami jatuh merosot.”Rasulullah menyuruh penduduk Madinah melakukan perbuatan mengikat pelepah kurma seperti sebelumnya dan berkata: “Kamu lebih faham akan urusan dunia kamu.”Berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa Rasulullah selaku pemegang kekuasaan agama ternyata memberikan kebebasan yang seluas-luasnya kepada manusia untuk mengubah suai dan merekayasa isi alam untuk kepentingan dan kemaslahatan umum.Jumlah penduduk dunia semakin bertambah.
Pembangunan perumahan, bandar baru dan industri akan membuat bahan pertanian semakin berkurangan. Tetapi keperluan manusia untuk bahan makanan semakin bertambah. Penggunaan bahan kimia untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan ternyata memiliki beberapa kesan negatif terhadap manusia dan alam sekitar.
Pada keadaan ini, bioteknologi dapat dijadikan alternatif untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan. Dari aspek agama, penemuan sesuatu yang baru dan bermanfaat bagi kemaslahatan manusia dan alam sekitar adalah amal jariah yang tidak akan putus pahalanya dan kebaikan yang abadi.
Berita Harian, 24/5/2005

Ahmad Fawzi pencetus idea awal PLKN

Oleh Sopha Sulaiman (WARTAWAN UTUSAN)

Pemergian Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Brig. Jeneral Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri semalam bukan sahaja diratapi oleh warga universiti itu tetapi juga peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara.
Ahmad Fawzi dengan UUM cukup sinonim, beliau memulakan kerjaya sejak UUM ditubuhkan pada 1984 di kampus sementara di Bandar Darulaman Jitra sebagai pensyarah dan mengakhiri kerjaya beliau sehingga akhir hayatnya di Sintok sebagai Naib Canselor yang kelima sejak tahun 2001.
Beliau juga antara ahli akademik dan beberapa tokoh lain yang terlibat dalam mencetuskan idea awal untuk mewujudkan PLKN bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin dan patriotik kepada negara.
Komitmen beliau dalam program itu akhirnya beliau diberi kepercayaan oleh kerajaan sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara yang pertama.
Mengenali Ahmad Fawzi lebih dekat, beliau bukan sekadar seorang ahli akademik dan pentadbir tetapi turut menjiwai semangat keperwiraan dan juga seorang sejarawan.
Sebelum melangkah masuk ke UUM sebagai pensyarah sejarah, Ahmad Fawzi adalah pegawai tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada tahun 1998 beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UUM sehingga 2001.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM, Mohd Zaini Nasri menyifatkan Allahyarham seorang yang rajin bekerja demi membangunkan sahsiah pelajar, seorang yang menekankan disiplin dan naib canselor yang ``sering turun padang.''
Ketegasan beliau di UUM ialah berjaya membendung pelajar dan pengajar UUM daripada dipengaruhi anasir-anasir yang propembangkang kerana bagi beliau universiti adalah tempat menimba ilmu dan bukan tempat bermain politik atau kampus tempat membiak penentang kerajaan.
Kritikan terhadap pembangkang menyebabkan beliau tidak begitu disenangi oleh mereka yang propembangkang tetapi bagi kerajaan terutama pemimpin UMNO, mereka mahukan ``lebih ramai Ahmad Fawzi'' di pusat pengajian tinggi negara ini.
Menyingkap sejarah Ahmad Fawzi, beliau ingin menjadi pegawai tentera, tetapi cita-cita itu terkandas. Namun hasrat beliau untuk memberi khidmat kepada negara melalui bidang ketenteraan tercapai juga. Beliau adalah Komander 513 Rejimen Askar Wataniah (AW) dan Komandan Palapes UUM.
Daripada rekrut AW semasa bertugas di UKM pada 1974, beliau dinaikkan pangkat sarjan dan kemudian ditauliahkan leftenan, kapten dan seterusnya dinaikkan pangkat Brigedier Jeneral. Ahmad Fawzi lahir pada 10 Mei 1949 di Kampung Belanja Kiri, Parit, Perak memiliki Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya (UM), Sarjana Sastera di universiti yang sama dan Ph.D dalam bidang politik di Universiti of Hull, United Kingdom. Dalam politik beliau pernah memegang Jawatankuasa Pendidikan UMNO Malaysia pada 1997 dan Timbalan Pengerusi Kelab UMNO UK serta Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit, Kepong dan Wilayah Persekutuan.
Beliau kembali ke rahmatullah jam 4.47 petang semalam di Hospital Selayang kerana menghidap sehticaemic shock dan pernah dimasukkan di Pusat Pakar Perubatan Kedah sejak 5 Januari lalu. Allahyarham meninggalkan isteri Aishah Ibrahim dan empat orang anak Dzulhimi, Dzuwairi, Noor Ezdiani dan Noor Elyana.
Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan ``sebutir permata'' kerana idea dan pemikirannya selain sumbangannya kepada negara terutama dalam bidang pendidikan dan politik.

Sintok pekan perlombongan yang lengang.
Di situlah terbinanya universiti bestari.
Tempat jatuh lagi kan kukenang.
Inikan pula lembah pengubah nasib diri.
Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.


Utusan Malaysia 24/5/2005

Strategi Perlis untuk jadi maju

Oleh YUSRI SAHAT (WARTAWAN UTUSAN)
PERTUMBUHAN ekonomi Perlis menyaksikan perkembangan yang pesat sepanjang tempoh lima tahun dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8).

Pada tahun lalu, pertumbuhan ekonomi negeri berkembang pada kadar 7.72 peratus dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pertanian, perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada nilai semasa tahun lalu ialah sebanyak RM2.3 bilion manakala pendapatan per kapita kira-kira 220,000 penduduknya meningkat kepada RM10,413 berbanding RM9,838 pada tahun 2003.

Bagaimanapun, pendapatan daripada sumber-sumber asli dalaman yang terhad menyebabkan Perlis diramal terus mengalami defisit berjumlah RM51 juta pada tahun ini.

Jika dibanding dengan negeri lain termasuk jirannya, Kedah atau Pulau Pinang, pertumbuhan ekonomi Perlis masih dianggap lembap.

Tidak banyak syarikat multinasional yang membuat pelaburan di Perlis selain satu atau dua syarikat gergasi yang sudah lama bertapak seperti syarikat gula, Perlis Plantations Berhad (PPB) dan Cement Industries of Malaysia Bhd. (CIMA) yang beroperasi di Chuping. Selain dua syarikat yang menjadi penyumbang utama kepada peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, terdapat 11 buah kilang di tiga lagi kawasan industrinya di Jejawi, Kuala Perlis dan Padang Besar.

Wujudnya fenomena tersebut disebabkan oleh sikap para pelabur asing yang kurang berminat melabur di negeri yang paling `hujung' di utara Semenanjung itu.

Sekurang-kurangnya tiga faktor dikenal pasti menjadi penyebab utama kepada kurangnya minat pelabur untuk menanam modal di negeri Indera Kayangan itu.

Faktor-faktor tersebut ialah dari segi kedudukan negeri yang terlalu jauh di utara Semenanjung dan ketiadaan infrastruktur seperti lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam.

Pelabur yang beroperasi di Perlis terpaksa `turun' ke Kedah atau Pulau Pinang untuk meneruskan urus niaga mereka bagi mendapatkan perkhidmatan di lapangan terbang dan pelabuhan.

Meskipun harga tanah yang jauh lebih rendah berbanding negeri lain, ia masih belum memberi jaminan kepada Perlis untuk menjadi pilihan kepada pelabur menanam modal di negeri tersebut.

Namun, di sebalik kelembapan ekonominya, kerajaan negeri dengan penuh keyakinan mengisytiharkan untuk mencapai status negeri maju seiring negeri lain menjelang tahun 2015.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyedari bahawa faktor kewangan adalah penyuntik utama ke arah mencapai status tersebut yang disasarkan dalam tempoh 10 tahun itu.

Berikutan itu, kerajaan negeri mengemukakan permohonan peruntukan yang dianggap paling tinggi pernah dilakukan iaitu sebanyak RM7.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Jumlah permohonan itu jauh lebih besar berbanding RM287.26 juta yang diterima dalam RMK-8 dan RM269.14 juta pada RMK-7.

Menurut beliau, tanpa bantuan atau peruntukan yang besar daripada Kerajaan Pusat, proses untuk mencapai status tersebut akan sukar dicapai. Tegasnya, Perlis perlu bermain di atas padang yang sama rata atau `level playing field' dengan negeri-negeri lain yang mempunyai kekuatan ekonomi untuk mencapai negeri maju.

``Kita mahu mewujudkan satu keadaan setiap negeri bermain di atas padang yang sama rata kerana Perlis pada masa ini tidak berada pada tahap yang tidak kompetitif. ``Padahal, jika bermain di atas padang yang sama, Perlis juga boleh muncul sebagai juara,'' katanya sambil merujuk kepada kejayaan pasukan bola sepak Perlis yang menjadi juara Piala Malaysia pada musim lalu.

Pekerjaan

Berbeza dengan Kelantan atau Terengganu yang sentiasa mendapat perhatian Pusat, Perlis seharusnya juga mendapat keistimewaan seumpama itu untuk membangunkan negeri berkenaan.

Selain peruntukan terus dari Kerajaan Pusat, Perlis juga selayaknya menerima royalti Petronas memandangkan komoditi itu merupakan hasil mahsul negara dan wangnya perlu diagihkan ke seluruh negara dan bukan negeri tertentu. Adalah tidak adil jika kerajaan Pusat hanya menyalurkan royalti Petronas kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak sedangkan negeri miskin seperti Perlis diketepikan hak tersebut, ujarnya.

``Sebahagian pelantar minyak di perairan negara terletak sejauh lebih tiga batu nautika dari persisiran pantai dan ia merupakan hak kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri yang berkenaan.

``Oleh kerana ia hak Pusat, setiap negeri terutama yang miskin berhak mendapat royalti tersebut,'' tegasnya.

Berikutan itu, Kerajaan Perlis akan memohon royalti minyak Petronas bagi menyuntik modal bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang perlahan.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pusat bagi menampung pelaksanaan beberapa projek pembangunan negeri yang tergendala berikutan sumber pendapatan yang terbatas.

Perlis, katanya, amat memerlukan peruntukan supaya projek-projek di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM1.7 bilion dan pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) bernilai RM1.2 bilion perlu digerakkan untuk menjana ekonomi negeri.

``Projek-projek ini boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat di negeri ini,'' jelasnya.

Kerajaan negeri juga, tambahnya, akan melaksanakan projek pengeluar tenaga bebas (IPP) di Sungai Baru yang bernilai RM2 bilion yang juga mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan permohonan tersebut memandangkan ia masih dianggap kecil berbanding negeri lain yang dikatakan ada memohon sehingga RM20 bilion dalam tempoh lima tahun itu.

Utusan Malaysia: 24/5/2005

Monday, May 23, 2005

Profesional ganti ulama

Oleh HELMI MOHD FOAD (WARTAWAN UTUSAN)

SUARA yang mahukan pembaharuan dalam Pas kini semakin menyerlah terutama desakan agar kepimpinan parti diterajui oleh golongan profesional.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri telah menerima hakikat itu dengan membuat kejutan apabila buat pertama kali menamakan wanita yang juga profesional - Dr. Mariah Mahmud sebagai calon naib presiden.

Namun setelah lebih 20 tahun dasar `Kepimpinan Ulama' diperkenalkan, kekeliruan mengenainya terus berlaku apabila ulama dalam Pas masih merasa terancam dengan kehadiran golongan profesional.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamed Daud Iraqi baru-baru ini melahirkan kebimbangan apabila ramai ahli dan penyokong parti itu cenderung kepada golongan cendekiawan atau profesional.

Beliau juga khuatir apabila sudah menjadi trend kepada gerakan Islam di negara ini memberikan tempat kepada orang yang pandai bercakap bagi menerajui kepimpinan.
Inilah cabaran yang dihadapi oleh ahli-ahli parti itu dalam pemilihan pada Muktamar Pas Ke-51 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) pada 1 hingga 5 Jun ini dalam usaha mereka melakukan perubahan.

Angin perubahan dapat dirasakan apabila jawatan Timbalan Presiden menyaksikan lapan tokoh telah dicalonkan.

Seperti yang dijangka, Datuk Dr. Haron Din muncul sebagai calon popular dengan mengatasi Hassan Syukri yang sebelum ini `mengecewakan' perwakilan Pas apabila mengambil keputusan bertanding hingga memaksa Haron menarik diri pada saat-saat akhir.

Ia diikuti oleh Naib Presiden sekarang, Azizan Abdul Razak dan Bendahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut dicalonkan ialah Setiausaha Agung, Nasharuddin Mat Isa; dua lagi Naib Presiden; Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr. Hassan Ali serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Daeng Sanusi Mariok.

Dalam sejarah Pas, amat jarang berlaku pertandingan sengit bagi merebut jawatan tertinggi ketika pemilihan parti terutama selepas ia mengamalkan dasar kepimpinan ulama.

Pas cuba mengelak daripada disamakan dengan lawannya, UMNO dan kalau boleh perubahan kepimpinan dilakukan secara syura dan tanpa pertandingan.

Bagaimanapun ahli Pas melihat parti itu memerlukan satu lagi ikon ulama berkaliber setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Justeru jika dilihat senarai pencalonan jawatan nombor dua itu, sebahagian besar tokoh berkenaan mempunyai latar belakang ulama kecuali Hassan Ali dan Mustafa.

Bagi jawatan Presiden, Abdul Hadi sudah dijangka menang tanpa bertanding walaupun Pas Tanah Merah mencalonkan Haron bagi jawatan tersebut.

Menurut sumber dari Kelantan, sebenarnya pencalonan itu telah lama dibuat tetapi tidak didedahkan kepada umum.

Jika perkara itu diumumkan lebih awal, mungkin banyak pencalonan dibuat bagi memberi saingan kepada Hadi yang dilihat gagal memberikan nafas baru kepada Pas selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun seperti yang dikatakan dari awal, teraju Pas tidak mungkin diubah dengan drastik melainkan jika terdapat kesalahan besar sebagaimana berlaku pada zaman Datuk Asri Muda.

Oleh itu, Hadi tetap akan dikekalkan dalam tempoh yang lama.

Persoalannya, siapa yang layak menjadi timbalan kepada Hadi sekurang-kurangnya dapat kekal selama dua penggal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Jika mengambil kira pendirian Haron yang ingin menarik diri, perwakilan dari utara dijangka memberikan sokongan kepada Azizan.

Namun `isyarat' Nik Aziz tidak boleh diketepikan dan dengan itu kemungkinan besar undi akan beralih kepada Abdul Halim.

Menurut Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dengan mengambil kira pendirian Haron itu, Abdul Halim adalah calon paling sesuai untuk melakukan perubahan.

``Pertamanya, beliau orang lama dalam Pas serta arif selok-belok politik dan yang utamanya beliau mempunyai latar belakang ulama.

Bertahan

``Apabila beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, maka kini tiba masanya Abdul Halim membantu kepimpinan parti di peringkat Pusat,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dari segi percaturannya, pemilihan dijangka lebih tertumpu kepada pemilihan antara Abdul Halim dan Hassan.

Hassan ketika ditemui baru-baru ini membayangkan beliau akan terus mempertahankan jawatannya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya merasakan Mustafa dan Hassan Ali akan lebih menumpukan usaha mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandang masing-masing.

Kedudukan Abdul Halim sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memberikannya kelebihan untuk memenangi jawatan timbalan presiden.

Ini bagi memastikan suara Pas dapat diketengahkan setelah ramai pemimpin besar parti Islam itu termasuk Hadi dan Nasharuddin tiada lagi dalam Parlimen.

Bagi Hassan pula, kontroversi dalam Koperasi Al-Hilal (Kohilal) yang mempunyai kaitan dengan Pas mungkin akan memberikan sedikit masalah kepadanya untuk terus bertahan.

Kebanyakan golongan muda dalam Pas juga melihat Hassan bukan pemimpin masa depan parti berdasarkan faktor usianya berbanding Hadi dan pendekatannya yang konservatif.

Selain itu, terdapat juga calon gabungan pemimpin baru dan lama dalam Pas seperti Mustafa dan Hassan Ali serta Nasharuddin.

Daeng Sanusi yang merupakan pemimpin veteran dari Johor mungkin sukar mendapat sokongan perwakilan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.

Tumpuan kedua pula ialah jawatan Naib Presiden yang lebih dilihat akan memberikan peluang kepada golongan profesional dalam Pas apabila sebanyak 20 tokoh dicalonkan.

Sumber berkata, Hassan Ali, Mustafa dan Husam Musa adalah tiga pemimpin yang mendapat pencalonan tertinggi, sekali gus membayangkan itulah barisan Naib Presiden Pas yang baru.

Jika berdasarkan `isyarat Nik Aziz', Husam mempunyai potensi besar untuk menduduki salah satu kerusi itu.

Dr. Mariah yang menduduki tangga keenam pencalonan juga mampu memenangi kerusi itu jika perwakilan mahu membuat kejutan, sekali gus ia merupakan lonjakan besar dalam politik Pas.
Tetapi adakah perwakilan Pas bersedia memberikan tempat kepada golongan wanita?

Hassan Ali pula dilihat perlu dikekalkan kerana imej profesionalnya amat diperlukan bagi mengembangkan pengaruh Pas di Selangor manakala Mustafa adalah pakar strategik politik dan pilihan raya Pas.

Bagi perwakilan utara, mereka mempunyai pilihan sama ada untuk mengekalkan Azizan atau memilih Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin.

Nasharuddin yang pertama kali dicalonkan bagi kerusi Naib Presiden mungkin mempunyai peluang untuk menang setelah mengambil kira hasil kerjanya sebagai Setiausaha Agung.

Perlu diingat, Nasharuddin adalah tokoh muda yang telah diangkat oleh Allahyarham Fadzil memandangkan beliau mempunyai imej ulama dan profesional.

Rata-rata ahli Pas menyatakan, lebih baik Nasharuddin diangkat menjadi Naib Presiden kerana beliau mampu menjadi jurucakap parti yang berkesan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang berpengalaman dari segi pengurusan pula disebut-sebut tokoh yang layak menggantikan tempat Nasharuddin.

Sementara itu, Mohammad Sabu dan Mahfoz Omar yang telah ditolak pada pemilihan 2003 mungkin hanya boleh mencuba nasib kali ini atau kekal dalam barisan AJK Pas Pusat.

Selain itu, nama-nama besar yang dicalonkan ialah bekas Imam Besar Masjid Negara, Mohd. Taib Azamudden Md. Taib dan bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang.

Berdasarkan senarai pencalonan tersebut ternyata ahli Pas mahu kepimpinan ulama dikekalkan tetapi dalam masa yang sama golongan muda dan profesional perlu dinaikkan taraf untuk memegang jawatan tertinggi parti.

Justeru kebimbangan Dewan Ulama Pas mengenai ancaman terhadap kepimpinan mereka ternyata tidak berasas.

Ini kerana, jika Pas terus kekal dengan imej dan rentak lama, sudah pasti ia akan menjadi tidak relevan dan jauh sekali gerakan Islam yang berkesan.
Utusan Malaysia, 23 Mei 2005

Thursday, May 05, 2005

PERSEDIAAN HADAPI KEMISKINAN BARU

Lidah Pengarang

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memperingatkan kita bahawa Malaysia akan dilanda masalah `kemiskinan baru' jika rakyat terus ketinggalan serta tidak menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), barangkali ada yang tidak faham.

Lazim perkataan `kemiskinan' merujuk golongan yang daif dan kurang berada dari segi kewangan dan kebendaan. Golongan ini masih ramai terdapat di negara ini baik di luar bandar mahupun di bandar. Tafsiran kemiskinan itu pelbagai. Ia boleh merujuk miskin dari segi harta benda dan juga semangat jiwa.

Tetapi kemiskinan baru yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu jika diselami dengan mendalam, ia tidak jauh bezanya dengan tafsiran kemiskinan yang lain. Cuma ia berada dalam konteks ICT.

Pun begitu, dalam konteks yang mudah difahami, bermakna jika rakyat terus tidak mengambil peduli perkembangan ICT atau meningkatkan minat untuk belajar dan menguasai ilmu itu, mereka akan ketinggalan.

Dulu, apabila kerajaan menggesa rakyat dari peringkat kanak-kanak supaya menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira, kemudian menguasai ilmu sains dan teknologi moden, mungkin ramai yang tidak percaya apa yang kita capai sekarang.

Kini kita boleh melihat manfaat yang diraih daripada penguasaan ilmu pengetahuan yang sentiasa berkembangan.

Jadi, dalam dunia tanpa sempadan kini, kepantasan penyaluran maklumat amat penting. Dalam kehidupan kita sekarang pun, kita banyak menggunakan kemudahan ICT secara langsung atau tidak langsung.

Jadi ICT sudah ada dalam hidup kita, tinggal lagi ia tidak boleh berada pada tahap itu sahaja. Kita yakin ICT akan terus berkembang merangkumi pelbagai bidang.

Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang dimiliki oleh kebanyakan masyarakat kita kini bukan lagi barangan mewah, maka menguasai kemahiran ICT juga nampaknya menjadi satu keperluan.

Sebab itu penegasan Najib bahawa penggunaan ICT bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian harus diiringi usaha untuk meningkatkan masyarakat menguasai ilmu itu.

Dalam pada itu, realiti yang kita hadapi sekarang ialah jurang digital antara bandar dan luar bandar. Dalam menangani masalah kemiskinan baru ini, semua pihak perlu berusaha mengurangkan masalah jurang digital ini demi keadilan.

Masih ramai masyarakat di luar bandar yang tidak mempunyai capaian terhadap ICT dan kita tidak mahu mereka terus ketinggalan.

Kita percaya masalah kemiskinan baru khususnya akibat ICT boleh dielak melalui sistem pelajaran negara.

Malah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan hasratnya mahu semua sekolah dilengkapi dengan prasarana ICT tanpa pengecualian iaitu tidak mengira sama ada sekolah tersebut menerima bekalan elektrik atau tidak.

Jalan menyelesai halangan itu perlu diatasi walau apa cara sekali pun.

Walaupun selama ini kemiskinan rakyat menjadi salah satu tugas kerajaan untuk mengatasinya, tetapi tidak bolehkah kita sendiri mengatasinya dengan membuat persediaan lebih awal?

Utusan Malaysia, Khamis 5/5/2005

Tuesday, May 03, 2005

TSUNAMI

Di penghujung tahun 2004, musibah demi musibah menimpa bangsa Indonesia. Mulai dari banjir, longsor, kecelakaan pesawat dan yang terakhir adalah gempa yang disertai gelombang tsunami yang menimpa saudara-saudara dan teman-teman kita di Aceh dan Sumatera Utara serta dibeberapa negara lainnya. Apa yang dapat kita lakukan untuk mereka? Yang pasti, mereka saat ini sangat membutuhkan bantuan, seperti makanan, obat-obatan, uang dan masih banyak lagi, selain itu yang sudah seharusnya kita lakukan adalah berdo'a, agar saudara-saudara dan teman-teman kita di Aceh dan Sumatera Utara bisa menerima ujian dan musibah ini dengan sabar. Hal lain yang harus kita lakukan adalah memantau bantuan yang telah diberikan sampai pada mereka yang membutuhkan, jangan sampai disalah gunakan oleh orang-orang yang mencari kebahagiaan (harta) di atas penderitaan orang lain.

Dalam sebuah lagunya, Koes Plus menggambarkan Indonesia sebagai tanah surga dengan segala keindahan, kesuburan tanah dan kekayaan lautnya. Tapi hal tersebut seakan tidak layak lagi disandang. Karunia Tuhan berupa musim yang banyak diinginkan oleh bangsa-bangsa di dunia sebagai negara tropis yang hanya mempunyai dua musim, yaitu musim hujan dan musim kemarau,tampaknya tak disyukuri oleh bangsa ini. Pantaslah kalau kemudian Tuhan menguji umat manusia. Bukankah bangsa-bangsa di belahan bumi lain harus kedinginan ketika salju turun, dan kepanasan ketika summer tiba. Di tanah nusantara ini, kita tak perlu kedinginan di musim salju dan tidak terlalu kepanasan di musim panas.

Tapi dua musim yang mestinya mendatangkan kenyamanan dan kemakmuran ternyata mendatangkan bencana yang silih berganti. Di musim panas hutan-hutan kita terbakar, asapnya bahkan membuat sesak negara-negara tetangga seperti Malaysia dan Singapura. Di musim hujan seperti yang terjadi dalam minggu-minggu ini, musibah bankir merenggut harta benda dan nyawa. Musibah banjir di beberapa daerah di tanah air, seakan tak bisa dicegah. Selain musibah tersebut, ada satu musibah yang sudah sering terjadi sejak dahulu. Musibah tersebut disebut dengan "tsunami". Dahsyatnya gelombang tsunami yang terjadi di belahan dunia ini, terutama di Aceh dan wilayah lainnya bisa kita saksikan dimedia elektronik maupun dimedia cetak.

Apakah Tsunami Itu ?

Kata "Tsunami" merupakan istilah dari bahasa Jepang yang menyatakan suatu gelombang laut akibat adanya pergerakan atau pergeseran di bumi di dasar laut. Gempa ini diikuti oleh perubahan permukaan laut yang mengakibatkan timbulnya penjalaran gelombang air laut secara serentak tersebar ke seluruh penjuru mata angin. Sedangkan pengertian gempa adalah pergeseran lapisan tanah dibawah permukaan bumi. Ketika terjadi pergeseran tersebut timbul getaran yang disebut gelombang seismik dari pusat gempa menjalar ke segala penjuru.

Tinggi gelombang Tsunami disumbernya kurang dari 1 meter. Tapi pada saat menghempas ke pantai tinggi gelombang ini bisa lebih dari 5 meter. Tsunami yang terjadi di Indonesia berkisar antara 1,5 - 4,5 skala Imamura, dengan tinggi gelombang Tsunami maksimum yang mencapai pantai berkisar antara 4-24 meter dan jangkauan gelombang ke daratan berkisar antara 50 sampai 200 meter dari garis pantai.

Arti dari "TSUNAMI"

Para ilmuwan umumnya mengartikan tsunami dengan "gelombang pasang" (tidal wave) atau dikenal juga dengan sebutan "seismic sea waves" (gelombang laut karena gempa). Kedua sebutan tersebut benar, akan tetapi jika dilihat dari asal bahasanya, bahasa Jepang, "tsunami" mempunyai dua suku kata, "tsu", artinya "pelabuhan" (harbor), "nami" berarti "gelombang".

Apa saja yang menyebabkan gelombang tsunami

Gempa merupakan salah satu penyebab utama terjadinya gelombang tsunami. Gempa ini biasanya terjadi karena adanya pergeseran lempeng yang terdapat di dasar laut. Gempa tersebut disebut juga dengan gempa bumi. Selain itu, penyebab lainnya adalah meletusnya gunung berapi yang menyebabkan pergerakan air di laut/perairan sekitarnya menjadi sangat tinggi.

Peristiwa tsunami di Indonesia dan daerah lainnya

Sejak 1990 di Indonesia sedikitnya terjadi 15 kali gelombang Tsunami. Pada 19 Agustus 1997 terjadi di Sumba dengan korban 189 orang, 12 Desember 1992 di Flores dengan korban 2.100 orang dan 1994 di Banyuwangi dengan korban 209 orang, sepanjang sejarah gempa Tsunami terbesar adalah pada tahun 1883 yang ditimbulkan meletusnya Gunung Krakatau dengan korban jiwa 36.000 orang meninggal.

Di antara gelombang tsunami yang pernah tercatat selain di Indonesia adalah:

26 Desember 2004, gempa bumi paling kuat dalam masa 40 tahun telah menimbulkan gelombang besar yang bergulir ribuan kilometer dan menghempas ke kawasan pantai sekurang-kurangnya lima negara Asia, yang menewaskan sekurang-kurangnya 3.700 jiwa dan menimbulkan kesengsaraan bagi jutaan warga lainnya.
17 Juli 1998, gempa bumi di lepas pantai menyebabkan gelombang besar yang menghantam kawasan utara pantai Papua Nugini, menewaskan kira-kira 2.000 orang dan menyebabkan ribuan warga lainnya kehilangan tempat tinggal.
16 Agustus 1976, tsunami membunuh lebih dari 5.000 orang di Teluk Moro , Filipina.
28 Maret 1964, gempa bumi pada Hari Paskah di Alaska menyebabkan tsunami di sebagian besar pantai Alaska dan menghancurkan sejumlah tiga. Gelombang itu menewaskan 107 orang di Alaska, empat di Oregon dan 11 di California ketika gelombang tsunami itu bergulung di Pantai Barat AS.
22 Mei 1960, gelombang besar dilaporkan setinggi 11 meter menewaskan 1.000 orang di China dan menyebabkan kerusakan besar di Hawaii, di mana 61 orang tewas di Filipina, Okinawa dan Jepang ketika gelombang itu bergulung menyeberangi Pasifik.
1 April 1946, gempa bumi di Alaska menimbulkan tsunami yang menghancurkan North Cape Lighthouse, menewaskan lima orang. Beberapa jam kemudian gelombang tsunami berikutnya melanda Hilo, Hawaii, yang menewaskan 159 orang dan mengakibatkan kerusakan jutaan dolar AS.
31 Januari 1906, satu gempa bumi kuat terjadi di lepas pantai yang menenggelamkan sebagian Tumaco, Kolombia, dan menyapu setiap rumah yang ada di pantai antara Rioverde, Ekuador, dan Micay, Kolombia. Angka kematian diperkirakan kira-kira 500 sampai 1.500.
17 Desember 1896, tsunami menyapu bagian pantai dan boulevard utama di Santa Barbara, California, AS.
15 Juni 1896, tsunami Sanriku menghantam Jepang tanpa peringatan. Gelombang diperkirakan setinggi lebih 23 meter (70 kaki) menggulung kerumunan masyarakat yang berkumpul untuk merayakan suatu festival keagamaan, yang menewaskan lebih dari 26.000 orang.
27 Agustus 1883, ledakan gunung berapi Krakatau menimbulkan gelombang tsunami besar yang menyapu kawasan pantai di ujung pulau Jawa dan Sumatera, yang menewaskan kira-kira 36.000 orang.
1 November 1775, gempa bumi besar Lisbon menimbulkan gelombang tsunami setinggi 6 meter (sekitar 20 kaki) melanda pantai Portugal, Spanyol dan Moroko

http://www.e-smartschool.com/PNU/002/PNU0020009.asp

Syor Keng Yaik dibantah -- NGO terkejut isu agama diguna tolak dasar kerajaan perkasakan SK

Oleh: AZMAN CHE MAN dan ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Cadangan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik supaya sekolah kebangsaan (SK) dipisahkan daripada sebarang unsur-unsur keagamaan disifatkan sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan bukan Melayu daripada menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Beberapa pihak yang terkejut, marah dan kesal dengan kenyataan tersebut memberitahu Utusan Malaysia hari ini, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu sengaja mahu mewujudkan prasangka negatif dengan menimbulkan isu agama untuk menolak dasar kerajaan yang mahu memperkasakan SK.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, kerajaan selama ini bersikap terbuka dan adil dalam soal pendidikan tanpa mengekang amalan-amalan agama yang dipraktikkan mana-mana kaum di sekolah.

Misalnya kata beliau, sekolah-sekolah mubaligh yang turut menempatkan pelajar-pelajar Melayu Islam tidak pernah dihalang daripada menekankan elemen-elemen agama Kristian yang diamalkan di sekolah-sekolah jenis itu.

``Keng Yaik sepatutnya faham soal agama dan pendidikan itu tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya memainkan peranan dalam pembentukan insan,'' jelasnya.

Keng Yaik dilaporkan berkata kepada The New Straits Times hari ini, hal mengenai keagamaan harus dipisahkan daripada sekolah kebangsaan bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.

Beliau dipetik sebagai berkata: ``Kalau anda ingin berbincang mengenai isu agama, lakukannya di rumah, di kelas agama atau di tempat beribadat.''

Keng Yaik berkata demikian sebagai

merujuk kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang terlalu menekankan mengenai unsur-unsur keislaman, termasuk amalan membaca doa, memakai songkok, serta pakaian bercorak Islam.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Awang Mohamed berkata, Keng Yaik sebenarnya masih ragu-ragu dengan dasar kerajaan untuk melaksanakan pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di SK.

``Kenapa tiba-tiba timbulkan mengenai unsur-unsur agama sedangkan apa yang menjadi isu utama di sini ialah dasar kerajaan untuk melaksanakan pengajaran kedua-dua bahasa ini di SK,'' katanya.

Awang yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia berkata, Keng Yaik juga seolah-olah cuba mencabar Dasar Pelajaran Kebangsaan berhubung penyatuan pendidikan dan soal agama di SK.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Ismail Nihat berkata, Keng Yaik tidak mempunyai sebab untuk menimbulkan perkara itu kerana kerajaan tidak pernah memaksa pelajar bukan Islam untuk mengamalkan ajaran-ajaran agama lain.

``Saya tidak faham kenapa beliau (Keng Yaik) timbulkan perkara ini kerana soal agama adalah sensitif.

``Kalau dulu bahasa ibunda dijadikan isu dalam SK, kerajaan sudah selesaikan perkara itu dengan membenarkan bahasa Mandarin dan Tamil diajar di SK, jadi kenapa isu agama ini pula dibangkitkan,'' tegasnya lagi.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), Prof. Madya Dr. Rahman Daud pula berkata, kenyataan Keng Yaik berbau prasangka negatif yang seolah-olah mengandaikan SK diwujudkan untuk mengislamkan pelajar-pelajar bukan Islam.

``Agama adalah menjadi asas pembentukan sahsiah pelajar dan diajar kepada pelajar Islam sahaja. Kita tidak pernah paksa siapa-siapa mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam.

``Setiap sekolah ini memberi pendedahan ilmu agama secara adil tanpa memberi tumpuan kepada elemen-elemen pendidikan mana-mana agama tertentu,'' ujarnya.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim pula berkata, kenyataan itu boleh membangkitkan kemarahan masyarakat Islam kerana agama adalah sebahagian daripada hidup mereka dan ia tidak boleh dipisahkan, lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan.

``Ini menunjukkan masih ada di kalangan masyarakat tidak dapat menangani soal agama dengan cara yang positif. Dalam hal ini, agama bukan untuk `dikunci' di rumah terutamanya bagi masyarakat Islam.

``Saya tidak nampak ada percubaan mana-mana sekolah di negara ini untuk menukar agama pelajarnya, jadi (kenyataan) ini tidak perlu disentuh langsung,'' ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berpendapat, unsur-unsur agama tidak menimbulkan masalah kepada orang bukan Melayu yang ingin menghantar anak-anak mereka ke SK.

Sebaliknya kata beliau, banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan ibu bapa terbabit termasuk isu bahasa serta budaya, mutu pendidikan, kemudahan pembelajaran dan pencapaian di SK.

``Zaman British dulu pun ramai pelajar Melayu yang belajar Injil untuk tujuan peperiksaan tapi saya tengok tak ada pun yang masuk Kristian,'' katanya.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berpendapat, `roh' kepada pandangan Keng Yaik itu sebenarnya menandakan pemimpin berkenaan berpegang kepada fahaman Barat iaitu soal agama adalah hak peribadi dan hanya diselesaikan dalam lingkungan keluarga sahaja.

Utusan Malaysia:: Isnin 2/5/2005