Wednesday, June 01, 2005

HARAPAN PADA KAKITANGAN AWAM

Lidah PengarangPersetujuan kerajaan untuk melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu dan me-wujudkan semula elaun saraan hidup (COLA) bagi kakitangan awam pasti menggembirakan mereka yang terlibat.

Apabila dilaksanakan kelak, kakitangan awam akan menikmati hujung minggu lebih panjang dan pendapatan lebih bagi mereka di bandar untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.
Kita juga menumpang gembira dengan berita ini walaupun ia tidak dilaksanakan pada waktu terdekat.

Ini kerana kita percaya pemansuhan Sabtu sebagai hari bekerja bagi kakitangan awam akan mempercekapkan perkhidmatan mereka memandangkan waktu bekerja dipanjangkan pada hari-hari lain.

Ini kerana kedudukan Sabtu yang singkat tidak membantu melicinkan perkhidmatan, sebaliknya selama ini ia dijadikan hari aktiviti yang kurang serius oleh sebilangan jabatan.
Bagi pembayar cukai, mereka mengharapkan kakitangan awam memberikan perkhidmatan yang baik dan sebarang langkah kerajaan memperbaiki kehidupan kakitangan awam dialu-alukan.
Ini kerana kita mengharapkan pembaikan mutu kehidupan kakitangan awam dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan sikap positif ketika melaksanakan tugas seharian mereka.
Selain daripada mengharapkan kecekapan dan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas, rakyat mahu diberi layanan yang penuh berbudi bahasa dan sopan santun selaras dengan amalan masyarakat kita.
Walaupun mutu perkhidmatan kakitangan awam sudah banyak berubah dan lebih baik berbanding daripada masa-masa lalu melalui usaha pembaikan secara berterusan oleh kerajaan, kita masih terdengar aduan mengenai amalan negatif oleh segelintir daripada mereka yang menjejaskan imej kakitangan awam.
Walaupun hanya segelintir daripada keseluruhan kakitangan awam yang terlibat, tetapi amalan negatif itu menyusahkan orang ramai lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dalam perkhidmatan kritikal seperti kesihatan dan pelajaran.
Kakitangan awam wajar sedar bahawa pembayar cukai tidak ada pilihan dalam membuat urusan dengan kerajaan untuk melicinkan kehidupan seharian mereka. Sikap positif kakitangan awam dalam urusan pekerjaan harian mereka menjadi satu sumbangan berharga kepada rakyat.
Malah sekecil-kecil amalan seperti senyuman oleh kakitangan di kaunter perkhidmatan awam dapat menyejukkan hati orang ramai yang membuat urusan mereka.
Kita percaya kecekapan, komitmen kepada kecemerlangan dan sikap positif kakitangan awam dapat mendatangkan kesan besar kepada kebahagiaan rakyat dan kemakmuran negara.
Lebih-lebih lagi apabila kita mengambil serius terhadap konsep Persyarikatan Malaysia di mana sektor swasta dan awam bekerjasama rapat bagi menjayakan matlamat negara mencapai Wawasan 2020.
Kejayaan sektor swasta akan dapat meningkatkan pendapatan kerajaan, dan kedudukan kewangan kukuh negara pasti memudahkan usaha pembangunan dan memperbaiki hidup taraf rakyat.
Begitu juga di pihak sektor swasta, kejayaan mereka hanya dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama perkhidmatan awam yang cekap, adil dan bersikap positif.

Utusan malaysia: 1/6/2005

No comments: