Tuesday, June 28, 2005

Hak pembayar cukai terhadap PBT

Pendapat

Isu yang ditimbulkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz mengenai cadangan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) memohon peruntukan dari Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM51.5 juta bagi tujuan pembiayaan landskap bukanlah isu pertama mengenai gelagat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Cuma kali ini reaksi itu datangnya daripada seorang menteri yang mewakili kawasan beliau sendiri. Walaupun pihak MPKK menyangkal teguran menteri itu atas alasan itu hanyalah draf awal cadangan MPKK yang belum dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan namun cadangan berkenaan dilihat pada mata ramai akan melibatkan sumber kewangan yang tinggi melampaui kemampuan dan peranan asal PBT.

Sebelum ini pun ada seorang bekas timbalan menteri membangkitkan isu mengenai sebuah PBT di Selangor berbelanja besar bagi projek pengindahan dan landskap, ekoran daripada bantahan penduduk setempat. Lebih kurang sebulan lalu akhbar-akhbar tempatan telah memaparkan gelagat sebuah PBT di utara Semenanjung berbelanja mewah atas nama projek pengindahan dan landskap yang juga mendapat bantahan penduduk.

Pendek kata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah banyak kritikan mengenai beberapa PBT yang berbelanja besar bagi projek-projek pengindahan yang tidak wajar, sedangkan keperluan utama penduduk dan pembayar cukai diabaikan. Bantahan demi bantahan dibuat oleh penduduk di sesetengah kawasan PBT malangnya projek-projek sedemikian tetap dijalankan dan berakhir menjadi gajah putih di kawasan PBT berkenaan.

Apatah lagi bagi sesetengah kawasan PBT di mana penduduk dan pembayar cukai mengamalkan sikap tidak ambil peduli, kegiatan berbelanja besar dalam projek pengindahan begitu berleluasa.

Kali ini dengan adanya campur tangan pihak menteri, kita berharap suara beliau akan lebih didengar berbanding dengan suara pembayar-pembayar cukai yang tidak berkesan bagaikan anjing menyalak bukit. Sudah ada titik permulaan di mana pihak pemimpin lebih sensitif dan prihatin dan berani bersuara dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, supaya pihak yang diamanahkan akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan projek-projek awam dan lebih sensitif ke atas implikasi kos dan faedah kepada ahli masyarakat.

Peranan PBT sebenarnya begitu penting dan besar sekali dalam mentadbir dan mengurus kepentingan kawasan masing-masing. Mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam mentadbir dan menjaga kepentingan para penduduk dan pembayar cukai di kawasan masing-masing. Peranan serta tanggungjawab PBT adalah termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Pindaan) dan kuasa-kuasa yang diberikan kepada mereka termasuklah kuasa mengutip cukai pintu daripada pemilik-pemilik hartanah yang berada di kawasan masing-masing yang menjadi sumber utama hasil kepada PBT.

Kuasa yang diberikan kepada PBT mengutip cukai pintu serta sumber hasil yang lain pada prinsip asas pembiayaan awam ialah sejajar dengan peranan dan tanggungjawab PBT membiayai perbelanjaan dalam memberi perkhidmatan asas dan ameniti untuk keperluan para penduduk di kawasan masing-masing.

Asas prinsip pencukaian itu sendiri menekankan bahawa cukai yang adil mestilah berlandaskan kepada keupayaan membayar si pembayar cukai dan faedah yang dipulangkan kepada pembayar cukai. Walaupun cukai pintu merupakan bentuk pencukaian hartanah yang dipersoal keadilannya kerana tidak memenuhi kedua-dua prinsip asas pencukaian, namun atas alasan peranan dan tanggungjawab PBT yang diperlukan bagi menjaga kepentingan para penduduk dari segi perkhidmatan dan ameniti yang diberikan, maka cukai pintu (kadaran) masih diterima sebagai cukai utama kerajaan tempatan.

Faedah yang diberikan oleh PBT dalam bentuk perkhidmatan dan ameniti yang disediakan adalah bagi menjaga kepentingan pelaburan hartanah para pembayar cukai, jadi wajarlah cukai dikenakan ke atas nilai hartanah mereka. Cukai pintu (kadaran) ditaksirkan berlandaskan anggaran nilai sewaan tahunan kasar sesebuah hartanah di kawasan PBT yang mana kadar cukai berbeza mengikut jenis hartanah sama ada kediaman, komersial atau perindustrian.

Walaupun sudah ada konsensus antara PBT dan pembayar cukai dari sudut peranan PBT dan faedah yang diterima oleh pembayar cukai pintu namun PBT masih tertakluk kepada prinsip akauntabiliti dan ber-hemah dalam perbelanjaan. Sebarang cadangan atau pelaksanaan projek-projek yang tidak memberikan faedah kepada para pembayar cukai dan memakan belanja yang besar merupakan perbelanjaan yang begitu tinggi kos melepasnya dan sewajarnya bukan menjadi agenda utama bagi sesebuah PBT.

Adalah sukar untuk kita mengukur secara spesifik faedah yang diberikan oleh sesuatu projek pengindahan dan landskap itu kepada para pembayar cukai di kawasan PBT, sedangkan faedah daripada perkhidmatan yang diberikan dan ameniti yang disediakan sebagai keperluan asas pun hanya dikira sebagai faedah umum kepada pembayar cukai.

- SHAHROM MD. ARIFFIN, Shah Alam, Selangor.

Kirim pendapat anda melalui e-mel: pendapat@utusan.com.my
Utusan Malaysia: 28/6/2005

No comments: