Thursday, June 30, 2005

TINGKATKAN KELICINAN PENTADBIRAN HOSPITAL

LIDAH PENGARANG
Walaupun perkhidmatan kesihatan awam di negara ini mengalami banyak perubahan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi aduan berhubung dengan pentadbiran hospital timbul dari semasa ke semasa.

Soal menunggu lama dan kerenah pentadbiran tertentu dalam mendapatkan rawatan dianggap sebagai sebahagian daripada pakej menjadi seorang pesakit.

Seseorang pesakit mestilah mempunyai kesabaran dan ketabahan yang tinggi di samping kesedaran bahawa penduduk negara ini telah meningkat tinggi berbanding dengan kedudukan bilangan doktor dan jururawat.

Justeru dalam keadaan begini, langkah kerajaan mewujudkan skim perkhidmatan pentadbir hospital bagi membolehkan doktor menumpukan kerja mereka dalam soal rawatan, dan tidak diganggu dengan tugas pentadbiran amat kita sambut baik.

Skim baru ini bukan saja dapat mengatasi masalah kekurangan doktor tetapi lebih penting lagi ia menepati prinsip menghargai nilai profesionalisme dengan tidak membebankan mereka dengan tugas-tugas pentadbiran yang selanjutnya kemungkinan boleh menjejaskan perkhidmatan baik kepada pesakit.

Gejala membebankan tugas-tugas pentadbiran kepada golongan profesional bukan saja berlaku terhadap doktor tetapi juga terhadap pengamal-pengamal profesion lain hingga menjejaskan tumpuan mereka kepada kewajipan sebenar.

Ini juga berlaku dalam profesion perguruan dan kepolisan. Di sekolah-sekolah umpamanya, guru-guru terpaksa menjejaskan tugas mengajar mereka apabila disibukkan dengan pelbagai kerja pentadbiran birokratik berbentuk membuat dan menghantar laporan yang bertambah banyak dan kompleks.

Begitu juga dengan perkhidmatan kepolisan di mana kita dapat saksikan banyak polis terlatih terpaksa ditempatkan dalam posisi pentadbiran seperti perkeranian sedangkan tenaga mereka di lapangan adalah lebih diperlukan.

Kita percaya gejala seumpama ini berlaku secara tidak langsung akibat perkembangan perkhidmatan berkenaan yang semakin besar dan kompleks.

Maka langkah kerajaan memperkenalkan skim perkhidmatan pentadbir hospital adalah wajar bagi mengembalikan golongan profesional, dalam hal ini para doktor memberi tumpuan utama kepada kerja-kerja klinikal.

Selain itu, skim ini memberi peluang kepada kumpulan paramedik seperti jururawat dan pembantu perubatan memberikan sumbangan daripada pengalaman luas mereka untuk manfaat pentadbiran hospital.

Penumpuan doktor kepada kerja-kerja klinikal ini menjadi lebih perlu memandangkan nisbah doktor kepada bilangan penduduk negara ini ialah 1:1,400.

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi juga telah menggariskan beberapa pendekatan bagi meningkatkan bilangan doktor seperti bersedia menerima pulang doktor Malaysia di luar negara, mengambil doktor asing dan meramaikan pelajar perubatan.

Usaha ini berbentuk jangka panjang dan termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tetapi tidak kurang penting ialah memanfaatkan sepenuhnya tenaga doktor yang ada di negara ini dengan mengurangkan pembaziran kemahiran.

Utusan Malaysia: 30/6/2005

No comments: