Wednesday, June 29, 2005

Balas cuti dengan kerja kuat

Lidah Pengarang

Pelbagai alasan dan sebab telah disuarakan oleh banyak pihak terutama Cuepacs bagi mewajarkan kerja lima hari seminggu dilaksanakan. Antara sebab utama ialah bagi membolehkan kakitangan kerajaan berehat pada hari Sabtu dan Ahad serta meluangkan masa dengan ahli keluarga masing-masing.

Di samping itu ia juga dapat merangsang sektor pelancongan domestik dan meningkatkan daya produktiviti kakitangan awam hasil daripada cuti dua hari tersebut.

Permintaan hampir satu juta kakitangan awam ini telah diterima oleh Perdana Menteri dan operasi kerja lima hari seminggu itu akan dilaksanakan mulai Julai ini.

Namun begitu, kita harapkan dalam keseronokan bercuti dua hari dalam seminggu itu, jangan abaikan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat.

Kita tidak mahu mendengar alasan baru akan diberikan oleh kakitangan awam selepas Julai ini apabila produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan tidak memuaskan.

Malah kesempatan bercuti pada Sabtu dan Ahad, jangan sampai menyebabkan timbul pula penyakit baru di kalangan kakitangan kerajaan yang datang ke pejabat dalam keadaan lesu pada hari Isnin.

Cuti yang kerajaan berikan adalah untuk mereka berehat, melakukan riadah atau melancong. Jadi mereka perlu bijak mengurus masa cuti.

Kerajaan sendiri mahu kakitangannya datang ke pejabat dengan semangat baru seolah-olah mereka dicaj semula semasa bercuti.

Dalam konteks cuti ini juga kerajaan wajar melihat semula jumlah hari kelepasan am bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri. Kajian semula ini elok dilakukan bagi memastikan produktiviti negara sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun sedar akan hakikat ini.

Kita harus sedar dengan jumlah cuti umum sedia ada, cuti tahunan individu dan ditambah pelaksanaan cuti setiap hari Sabtu, maka tempoh bekerja kakitangan awam untuk satu tahun bertambah pendek.

Di sini kita mahu komitmen sepenuhnya daripada kakitangan awam. Jangan minta cuti untuk rehat tetapi tidak diganti dengan peningkatan produktiviti. Ada `harga' yang perlu mereka bayar untuk cuti tersebut.

Malaysia sebenarnya adalah negara membangun. Oleh itu kita masih lagi perlu bekerja kuat. Malah masih banyak perkara yang perlu kita selesaikan dan ini bukan masa untuk relaks.

Pemahaman tentang bekerja lima hari seminggu yang diberikan kepada kakitangan awam, jangan ada tersalah faham bahawa negara kita sudah bertaraf negara maju.

Rakyat di negara maju seperti di negara Barat memang bekerja lima hari seminggu tetapi mereka sudah pun lama mencapai kemajuan, baik dalam bidang pembangunan sosial mahupun ekonomi.

Tidak banyak perkara yang mereka hendak lakukan sejak beberapa tahun lalu kerana semuanya yang sedang kita kejar sudah mereka miliki. Jadi kita tidak boleh mengikut rentak mereka untuk bersantai. Banyak perkara perlu kita bereskan untuk mencapai Wawasan 2020.

Malaysia masih dalam perjalanan menuju ke peringkat tersebut, dan kakitangan awam tidak boleh leka bahawa kerajaan perlu melayan permintaan mereka sahaja.

Mereka memang sepatutnya bercuti tetapi jangan ada sikap takut kembali berkerja dengan semangat baru selepas bercuti.

Utusan Malaysia 29/6/2005

No comments: