Thursday, June 02, 2005

Tragedi 11 September alih pelancong Asia Barat ke Malaysia

Oleh Jami'ah Shukri
POTENSI Malaysia sebagai antara pusat pelancongan terkemuka dunia tidak dinafikan lagi. Ini terbukti apabila ramai pelancong asing memilih negara ini untuk bercuti kerana bukan saja destinasi selamat dari sebarang bencana alam, malah keindahan alam semula jadinya, lokasi menarik dan kepelbagaian produk pelancongan.Tahun lalu, Malaysia menerima kedatangan 15.7 juta pelancong asing dan berikutan sambutan menggalakkan itu, Kementerian Pelancongan mensasarkan jumlah itu terus meningkat kepada 16.6 juta menjelang akhir tahun ini.Peningkatan itu dijangka mampu dicapai dengan usaha gigih Kementerian Pelancongan menerokai pasaran baru yang berpotensi seperti negara Asia Barat yang penduduknya menunjukkan minat terhadap Malaysia sebagai syurga percutian dan menepati cita rasa mereka.Perangkaan menunjukkan pelancong Arab Saudi semakin bertambah setiap tahun.

Tahun lalu, jumlah pelancong dari negara itu mencatat peningkatan lebih 94 peratus kepada 39,432 berbanding 20,077 pada 2003.Emiriyah Arab Bersatu muncul sebagai pasaran kedua paling penting di Asia Barat dengan peningkatan 250 peratus daripada 6,047 orang pada 2003 kepada 21,161 tahun lalu, manakala jumlah pelancong dari Qatar meningkat hampir sekali ganda kepada lebih 5,000 pelawat tahun lalu. Pelawat dari Kuwait menyaksikan lonjakan 235.2 peratus daripada 3,599 pelancong pada 2003 kepada 12,063 tahun lalu.Serentak itu, Kementerian Pelancongan menerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dalam dan luar negara serta ejen, agensi pelancongan dan hotel di negara ini sentiasa menyediakan pelbagai pakej menarik dengan promosi berterusan bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negara ini.Dengan kebanjiran pelancong Asia Barat ke negara ini, Malaysia mengorak langkah memperhebatkan usaha menarik pelancong dari rantau itu dengan mensasarkan peningkatan 60 peratus atau 200,000 pelancong mengunjungi Malaysia tahun ini, berbanding 126,000 tahun lalu.Perangkaan itu menunjukkan Malaysia terus mampu menjadi daya penarik dan lokasi yang popular kepada pelancong Asia Barat. Apa yang nyata pelancong Asia Barat mengubah haluan percutian mereka kini dengan memilih Malaysia sebagai destinasi kunjungan.

Amerika Syarikat dan Eropah bukan lagi pilihan utama tempat percutian mereka berikutan pelbagai kesukaran yang dihadapi ketika mengunjungi rantau berkenaan.Tragedi 11 September 2001 cukup meninggalkan kesan serta sering membayangi pelancong Asia Barat. Mereka berasa kurang ‘selamat’ kerana kerap berhadapan dengan sikap prejudis negara terbabit terhadap pelancong dari negara Teluk ini. Malaysia sebagai negara Islam yang aman damai dengan keunikan budaya, bangsa, bahasa dan kaum turut menjadi tarikan pelancong asing ke negara ini, khususnya Asia Barat. Mereka berasa sentiasa selamat dan selesa berada di Malaysia.Suasana negara ini yang beriklim Khatulistiwa mendorong sebahagian besar penduduk rantau Teluk yang menghadapi musim panas, mengubah haluan mencari keselesaan dengan menghirup udara dingin dan nyaman di sini. Ini ditambah pula dengan kerjasama yang dijalin antara syarikat penerbangan tempatan yang menyediakan perkhidmatan dalam merealisasikan impian pelancong untuk berkunjung ke negara ini tanpa masalah.Kementerian Pelancongan juga akan memperkenalkan ‘feel-at-home’ (santai dan selesa) bagi memastikan pelancong berkenaan ingin terus menjadikan Malaysia sentiasa di dalam kenangan.Selain itu, persediaan rapi dilakukan dengan menyediakan kata-kata aluan dalam bahasa Arab bermula sebaik pelancong memasuki perut pesawat. Ucapan selamat datang dan papan tanda bahasa Arab juga disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain laluan khas imigresen bagi pelancong itu.Tidak terhenti di situ, Kementerian Pelancongan turut melantik 700 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai jurubahasa. Kita berharap selaras dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam, semua restoran memberi penekanan kepada penyediaan makanan halal di premis mereka supaya tidak menimbulkan rasa was-was memilih makanan.Malaysia juga dijangka akan mempunyai ‘Arab Street’ di Kuala Lumpur yang dilengkapi restoran halal dan kedai shisha dengan menu dalam bahasa Arab. Dari segi keselamatan pula, pihak berkuasa, khususnya polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan perlu lebih kerap membuat rondaan di kawasan berisiko tinggi yang kerap berlaku kejadian jenayah.Diharapkan dengan pengumuman Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyediakan polis berpakaian preman bagi melakukan rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan jenayah di Kuala Lumpur, dapat mengelak kejadian tidak diingini di kalangan pelancong asing. Malah, pemantauan dilakukan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu.Bagi mewujudkan suasana aman dan mesra, kakitangan yang fasih berbahasa Arab juga ditempatkan di ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk membantu pelancong dari Asia Barat sekiranya menghadapi sebarang masalah.Kementerian Pelancongan akan berusaha menambah 200 teksi lagi bagi kemudahan pelancong dan pemandu serta pengusaha teksi diharap tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang tinggi serta enggan menggunakan meter.Berikutan itu, diharapkan supaya pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan pengurusan KLIA membuat pemeriksaan dan pemantauan supaya pemandu teksi dan ulat tidak mengambil kesempatan ke atas pelancong asing. Sikap pemandu teksi juga harus diubah. Mereka sepatutnya melengkapkan diri dengan maklumat serta pengetahuan luas mengenai Malaysia supaya tetamu luar negara itu tidak hilang arah apabila berada di sini. Bagi pelancong pula mereka disediakan dengan maklumat lengkap dan menyeluruh mengenai pusat dan tempat pelancongan menarik. Ini boleh didapati dengan 10,000 buku panduan bagi memudahkan mereka memilih destinasi tertentu.Bagaimanapun, usaha itu juga perlu disulami dengan promosi hebat bagi memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan lain yang berpotensi, termasuk pelancongan berasaskan marin, perubatan dan sukan. Ternyata Malaysia kaya dengan produk dan sumber pelancongan yang boleh diketengahkan. Kita percaya dengan usaha yang dilakukan sasaran Kementerian Pelancongan untuk mencapai pendapatan RM38 bilion dalam sektor ini, berbanding RM25 bilion tahun lalu akan tercapai.Kini, perjuangan kerajaan untuk menyemarak dan menyerlahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di persada dunia sudah bermula dan berterusan tanpa noktah.
Berita Harian 2/6/2005

No comments: