Thursday, June 02, 2005

Dari Gerbang Negeri: Sektor pertanian seiring Selangor maju

Oleh Salina Abdullah
MUNGKIN ramai yang tidak tahu di Selangor ada ladang belimbing terbesar di dunia. Dengan keluasan 101 hektar, ladang yang terletak di ‘lembah emas’ – Selangor Fruits Valley – menghasilkan belimbing lazat dan terbaik di dunia. Ladang belimbing meliputi kira-kira 17,000 pokok jenis B10 dan dijangka hasil pengeluarannya mencecah sembilan juta biji tahun ini.Belimbing Selangor ini bukan calang-calang.
Namanya pun Selangor Pride, sesuai dengan kemegahan Selangor, yang bukan saja berjaya mencapai status negeri maju pertama di Malaysia, malah memastikan kemajuan itu turut mewarnai kehidupan masyarakat tani, khususnya di luar bandar.Tidak salah jika dikatakan Selangor adalah antara negeri yang ‘bermati-matian’ menghidupkan sektor pertanian di negara ini. Tanah yang luas dibangunkan sebaiknya untuk memajukan sektor pertanian.Lembah Buah-buahan di Kuala Selangor hanya satu contoh ketara. Lembah Emas yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi anak syarikatnya, Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn Bhd (SOPIC) ini menghasilkan 23 jenis buah-buahan (termasuk belimbing) yang bukan saja menguasai pasaran domestik, malah menembusi pasaran antarabangsa, terutama di negara Eropah.Banyak lagi bidang berkaitan pertanian di Selangor turut mencatat sejarah. Berdasarkan fakta kerajaan negeri, Selangor kini adalah pengeluar padi tertinggi negara mengatasi Kedah dengan hasil mencecah 7.14 tan semusim, dua kali setahun.
Kadar ini melebihi Jepun iaitu lima tan semusim.Selain itu, ladang akuakultur di Batu Arang adalah ladang ternakan ikan tilapia menggunakan tangki simen terbesar di Malaysia, kawasan semula jadi di pantai Klang dan Sabak Bernam menjadi pengeluar benih kerang terbesar, malah Selangor menyumbangkan 30 peratus kepada bekalan daging negara.Begitu juga industri kerepek ubi di Selangor. Kerepek ubi buatan rakyat Selangor bukan saja berjaya menembusi pasaran Timur Tengah, malah memberi pendapatan lumayan sehingga RM35,000 seminggu kepada pengusahanya. Bangga, kagum. Siapa pernah menyangka sektor yang dulunya dikaitkan dengan masyarakat desa dan kemiskinan kini mampu membawa kekayaan malah kembali menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara. Tiada perkara mustahil di dunia ini. Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika melawat ‘mercu tanda’ kejayaan pertanian di Selangor: “Perkara ini bukan mustahil dengan syarat kita perlu bersedia untuk mencipta, kreatif dan menerima pembaharuan. Guna alat dan cara yang membolehkan kita meningkatkan proses pengeluaran dan penjualan.”Dalam hal ini, kita tidak menyangkal, keghairahan dan kebanggaan Selangor untuk menjadi negeri maju menjelang Ogos ini, tidak sesekali mengabaikan kepentingan petani.Jika dilihat dari aspek pengeluaran – semuanya menggunakan teknologi terkini dan canggih. Pengurusan – pengusaha dan petani tradisional dibimbing secara profesional oleh mereka yang berkemahiran. Dari segi pemasarannya – rangkaian pasaran diwujudkan dengan syarikat gergasi hingga berjaya menembusi pasaran, termasuk luar negara.Belum lagi mengambil kira bantuan pembiayaan, kemudahan pinjaman dan skim bertujuan menggalakkan lebih ramai individu atau syarikat menceburi bidang pertanian.Semua ini berjaya mengangkat martabat sektor pertanian, petani, nelayan dan sesiapa saja yang terbabit dalam sektor pertanian di Selangor. Pertanian dan industri asas tani bukan lagi dilihat sebagai satu bidang tradisional yang tidak diketahui untung nasibnya tetapi bidang yang menjadi sumber pendapatan baru atau tambahan, sumber kekayaan kepada rakyat juga negara.Sewajarnya kejayaan Selangor ini membuka mata semua pihak, baik kerajaan negeri mahu pun sektor swasta juga keluarga petani bahawa pertanian boleh mengubah hidup ke arah yang lebih baik jika ia dilaksanakan secara teratur.Satu perkara yang penulis dan mungkin ramai lagi warga Selangor tertanya-tanya. Bagaimana agaknya rupa dan rasa belimbing Selangor, yang dikatakan paling lazat di dunia itu? Sepanjang hampir setahun penulis berkhidmat di Selangor, tidak pernah Selangor Pride ‘diperkenalkan’ kepada tetamu. Rakan yang sudah lama di sini pun, bercerita yang sama. Apabila ada jamuan makan, buah-buahan yang dihidangkan, menu biasa – tembikai, tembikai susu dan oren, yang sah bukan buah-buahan tempatan. Ketika Pak Lah menghadiri jamuan makan bersama rakyat di Kuala Selangor baru-baru ini pun, itulah menu buah-buahannya. Mana pergi buah belimbing yang dibanggakan – seperti namanya Selangor Pride. Mana pergi betik, nanas dan bermacam-macam buah tempatan yang dibanggakan Selangor? Penulis pernah membuat cadangan kepada sebuah agensi kerajaan negeri supaya mempromosi, memperkenalkan belimbing ini kepada warga media, macam kereta, ada uji pandu. Cuba pandu, alami sendiri kehebatan kenderaan, dengan itu penulisan mengenai kenderaan itu akan lebih baik. Begitulah juga Selangor Pride. Cuba makan, alami sendiri kehebatan rasanya, dengan itu, penulisan akan seiring dengan nama belimbing itu... kebanggaan. Fikirkan.
Berita Harian 2/6/2005

No comments: