Sunday, October 26, 2003

Perdana Menteri tenang apabila media barat menghentamnya di Bangkok - Anti-Yahudi: Mahathir menang lagi

Oleh Zaini Hassan dan Mohd. Nor Samad

KOTA raya Bangkok menyaksikan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi `begitu terkenal'.

Beliau berjaya mengakhiri kerjayanya sebagai Perdana Menteri Malaysia di persada persidangan antarabangsa dengan cukup cemerlang sekali. Namanya disebut di merata-rata tempat semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini pada 20-21 Oktober lalu.

Berita Dr. Mahathir ditempatkan dengan begitu strategik - diulas dalam lidah pengarang - di akhbar-akhbar ternama berbahasa Inggeris tempatan, sehingga mengambil alih `kehangatan' kehadiran pemimpin `kuasa besar tunggal dunia' Presiden George W. Bush.

Malah bukan itu sahaja, nama Dr. Mahathir tiba-tiba mendapat perhatian seluruh dunia. CNN mengulang menyebut namanya berkali-kali,termasuk mengadakan forum khas secara live membincangkan mengenainya. Begitu juga agensi-agensi berita asing yang menghebahkan berita mereka ke seluruh pelosok dunia turut menulis mengenai beliau.

Pendek kata nama Dr. Mahathir cukup terkenal. Ia berlaku kira-kira 10 hari sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi Malaysia pada 31 Oktober ini.

Apa yang menjadikan beliau sebagai buah mulut itu adalah kerana ucapannya semasa Sidang Kemuncak Ke-10 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dua hari sebelum APEC bermula di Bangkok. Kenyataannya yang menyebut mengenai orang Yahudi telah disalah tafsir dan diperheboh oleh agensi berita Barat.

Tanpa usul periksa, seluruh dunia - rata-ratanya sekutu Amerika - menuduh Dr. Mahathir sebagai anti-Yahudi.

CNN dan wartawan Barat mahu seboleh mungkin memulas tangan Dr. Mahathir.

Tetapi, mereka tidak tahu siapa yang lebih bijak dalam permainan ini.

Dr. Mahathir kelihatan tenang semasa berita-berita menghentamnya disiarkan oleh akhbar dan televisyen semasa beliau berada di sini.

Lebih cemerkap lagi, pada hari Isnin (20 Oktober) agensi berita asing memetik satu lagi kenyataan kononnya kali ini daripada jurucakap Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu mahu menunjukkan seolah-olah bahawa presiden mereka - Bush menarik Dr. Mahathir ke tepi semasa sidang kemuncak itu lalu mencela beliau kerana ucapan tersebut. Tajuk berita di salah satu akhbar di sini keesokan harinya berbunyi Komen Mahathir berbau kebencian, kata Bush.

Pada pagi berita itu disiarkan, hari Selasa, Dr. Mahathir sibuk dengan program sidang kemuncak itu. Walaupun para pegawainya mengatakan ``mood bos kurang baik'' - mungkin kerana berita itu, atau kerana letih - Dr. Mahathir masih mampu tersenyum.

Wartawan Malaysia pagi-pagi lagi menunggunya di sebuah hotel untuk mendapatkan reaksinya benarkah beliau `ditolak ke tepi oleh Bush'.

Dr. Mahathir berlalu tanpa mahu berjumpa wartawan selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Chile. Beliau hanya tersenyum dan berkata ``sat lagi saya jumpa.''

Pada masa itu tiada siapa yang mengetahui apakah benar Bush melakukan perlakuan seperti seorang koboi mabuk itu. Tiba masanya di akhir sidang kemuncak itu, pada sebelah petangnya (Selasa, 21 Oktober) Dr. Mahathir dijadual mengadakan sidang akhbar.

Wartawan memenuhi dewan besar Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit untuk mengikuti sidang akhbar itu. Kira-kira 150 wartawan seluruh dunia duduk dengan tenang menunggu ketibaan Dr. Mahathir.

Tepat pukul 4.30 petang beliau melangkah ke dewan itu dan duduk di kerusi. Belum sempat pengerusi majlis itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar membuat pengenalan - Dr. Mahathir terus bercakap memberitahu perkara yang sebenar.

``Saya tidak tahu apa yang dia (wartawan yang menulis mengatakan beliau dicela) dengar. Saya tidak dicela. Tapi apa yang berlaku, Bush tarik saya ke tepi untuk jelaskan kenapa dia membuat reaksi yang keras kepada saya. Lalu saya jawab, saya faham.

``Saya minta dia (wartawan itu) tanya Bush (berhubung hal ini) apa yang pemimpin itu cakap kepada saya, kecualilah pendengaran saya kurang baik. Saya rasa tidak, saya masih boleh mendengar soalan yang saudara kemukakan,'' katanya tidak bernada marah - tenang dalam senyum - pada sidang akhbar itu.

Keesokan harinya akhbar-akhbar tempatan Thailand menyiarkan laporan itu. The Nation menyiarkan gambar muka depan close-up wajah Dr. Mahathir dan di belakangnya Bush. Keterangan gambar itu berbunyi Presiden Amerika George W. Bush bergambar di belakang Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad semasa para pemimpin APEC beratur untuk bergambar semalam. Di bawah keterangan itu tercatat: Bush tidak cela saya, kata Mahathir - lihat muka 6A.

Bagaimanapun, tidak pasti apakah CNN menyiarkan penjelasan Dr. Mahathir itu, sebagaimana ia agak keberatan menyiarkan penjelasan Perdana Menteri itu mengenai apa sebenarnya tafsiran isi kandungan ucapan di OIC itu.

Walaupun Dr. Mahathir terpaksa membuat penjelasan itu sendiri - namun itu bukan soalnya. Media Barat yang berada di dalam dewan itu seolah-olah malu dengan gelagat mereka sendiri.

Malah sepanjang 21 soalan yang ditanya dalam sidang akhbar itu masih ada di antaranya soalan yang berunsur `nakal.' Tapi Dr. Mahathir - seperti biasa - menjawabnya dengan tenang dan jelas. Walaupun soalannya sukar dan bernada menghentam, beliau bijak mematahkannya.

Sebaliknya, dalam agenda media asing yang ternyata mahu memburukkan Dr. Mahathir, tokoh itu cukup terkenal dan dihormati di Bangkok.

Akhbar Inggeris tertua, Bangkok Post memberi ruang semuka penuh wawancara eksklusif dengan Dr. Mahathir. Wawan-

cara oleh ketua pengarangnya, Pichai Chuensuksawandi disiarkan pada hari sidang kemuncak APEC berlangsung. Interviu berkisar mengenai kecemerlangannya sebagai Perdana Menteri Malaysia sebelum bersara akhir bulan ini telah menjelaskan segala-gala isu termasuk kontroversi terbaru di OIC itu.

Lebih menarik lagi semasa mengulas kontroversi itu, Dr. Mahathir secara berterus terang dan berani sebagai seorang Islam berkata: ``Jadi, reaksi dunia (yang keterlaluan) itu jelaslah menunjukkan bahawa mereka (Yahudi memang) menguasai dunia.

Katanya, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat dan lain-lain mahu mengutuknya, sedangkan hakikatnya ada orang lain berkata semua orang Islam itu adalah pengganas.

``Perdana Menteri Itali Sylvio Berlesconi sendiri membuat kenyataan bahawa orang Islam adalah pengganas. Adakah EU meluluskan resolusi mengutuk? Mengapa apabila ada pihak mengutuk Islam, EU tidak berkata apa-apa?''

Malah pada hari yang sama, Bangkok Post turut menyiarkan lidah pengarang bertajuk Mahathir tinggalkan Dilema Melayu dengan tajuk kecil Mesyuarat peringkat tertinggi politik pemimpin Islam minggu lalu menyeru diambil tindakan keras terhadap keganasan. Bagaimanapun amat malang komen Mahathir mengenai Yahudi yang menguasai perhatian.

Sebuah lagi akhbar Inggeris terlaris di Thailand, The Nation, pada hari yang sama, turut menyiarkan lidah pengarang di muka 6 mengenai Mahathir. Apa yang menariknya lidah pengarang itu bukan menulis mengenai ketibaan Bush -Êyang menjadi sekutu kuat Thailand, tetapi menulis ketibaan Mahathir ke APEC.

Akhbar itu - yang walaupun mengkritik sikapnya yang lantang, tetapi berkata ``di sebalik retorik anti-Barat, anti-Yahudi, Mahathir banyak bercakap perkara yang membawa erti yang besar.''

Kata akhbar itu, ``Semalam, beliau memberi peringatan berani kepada para pemimpin perniagaan APEC supaya memastikan globalisasi dan sistem perdagangan antarabangsa bukan sahaja membawa kepada perdagangan bebas, tetapi juga adil.''

Sepanjang kerjaya politiknya, kata The Nation, ``Dr. Mahathir sentiasa berada di atas permainannya: Seorang yang bijak dan petah bercakap yang membawa suaranya sehingga ke negara-negara sedang membangun dan miskin seluruh dunia''.

Selain itu, akhbar-akhbar di sini turut membuat pelbagai analisis siapakah pemimpin yang akan memimpin rantau ini dan ASEAN selepas Dr. Mahathir. Mereka cuba mencuit-cuit Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinatwatra.

``Itu adalah misi semua orang, bukan satu peranan rasmi untuk seorang memimpin satu kumpulan,'' kata jutawan telekomunikasi - bertukar ahli politik itu ketika ditanya apakah beliau akan mengambil peranan Dr. Mahathir selepas ini.

Thaksin dikenali sebagai seorang yang banyak mencontohi kepimpinan dan ketokohan Dr. Mahathir. Pada hari terakhir sidang kemuncak APEC semalam beliau menyampaikan satu hadiah sebagai penghormatan perpisahan kepada Dr. Mahathir. The Nation menyiarkan berita itu pada muka satunya bertajuk Thaksin beri penghormatan kepada Mahathir.

Yang pasti dalam masa dua hari APEC berlangsung, Dr. Mahathir berjaya mencuri perhatian.

Seluruh dunia bercakap mengenai beliau. Permainannya - berjaya lagi - walaupun ia berlaku secara tidak sengaja.

Seperti kata lidah pengarang The Nation for good or for worse - pandangan tegas Mahathir amat berbaloi dan suara lantangnya mendapat perhatian.

Sebaliknya, sesiapa sahaja yang menghentamnya kini tertanya-tanya, berbaloi pulakah tindakan mereka? Yang nyata, mereka kalah (lagi) dalam permainan pusingan akhir ini. Tahniah Datuk Seri!

Utusan Malaysia, 26 Okt 2003

No comments: