APABILA BOS TIADA DI PEJABAT
PESANAN Awang kepada sesiapa sahaja yang bergelar bos, jika anda ingin tahu perangai sebenar anak buah anda, selidiklah bagaimana dia bekerja semasa anda tiada di pejabat.
Jika mahu bolehlah dipamerkan peringatan ini di bilik pejabat anda, sebaik-baiknya dalam bentuk poster yang digantung betul-betul di dinding di belakang kerusi eksekutif anda.
Bunyi poster itu: PRESTASI SEBENAR SEORANG PEKERJA HANYA BOLEH DINILAI KETIKA BOS TIADA DI PEJABAT.
Dalam mana-mana kumpulan manusia - sama ada di pejabat, atau dalam parti politik, atau dalam persatuan, dan kini dalam surau dan masjid - akan ada kumpulan yang pandai bermuka-muka. Mereka ini kelihatan amat baik, rajin dan jujur ketika di hadapan orang lain terutama ketua atau bos.
Jika bos tiada di pejabat, mutu kerja mereka akan cepat berubah. Jika sentiasa kelihatan berada di pejabat, mereka mulai hilang tanpa diketahui di mana berada.
Awang membangkitkan perkara ini setelah membaca laporan tentang lebih 40 buah kenderaan mengekori Pak Lah setiap kali Timbalan Perdana Menteri kita itu melawat ke kawasan banjir.
Kita percaya sebilangan kecil mereka memang layak berada bersama Pak Lah ketika itu. Tetapi yang lain hanyalah datang untuk bermuka-muka. Mereka ini adalah sama dengan golongan yang berperangai buruk apabila bos tiada di pejabat.
Biasanya orang begini tidak boleh dipercayai sangat. Bos kena mengambil tahu tentang perangai mereka ketika tiada di pejabat. Selalulah telefon pejabat.
Di dalam Islam, bermuka-muka merupakan salah satu sifat orang munafik.
SATU HARAPAN BUAT MAHATHIR
DUA puluh (20) hari lagi akan bermulalah kehidupan Dr. Mahathir Mohamad sebagai orang biasa.
Sekalipun apa yang beliau lakukan selepas bersara adalah urusan peribadinya kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri kita, namun setelah 22 tahun kita di bawah pimpinannya, Awang yakin setiap orang akan sentiasa ingin tahu tentangnya dan akan terus memerhatikannya.
Awang percaya semua rakyat Malaysia, dengan hati yang agak berat, telah merelakan beliau mengundur diri untuk berehat. Kita telah terlalu lama memenatkan beliau.
Walaupun beliau pernah mendeklamasikan sajak Perjuangan Yang Belum Selesai, kita harus menerima bahawa perjuangan Dr. Mahathir untuk Malaysia akan selesai. Apa yang belum selesai akan diteruskan oleh penggantinya yang amat selesa dipanggil Pak Lah, dengan sokongan kita semua.
Namun, jauh di sudut hati, Awang sebenarnya menyimpan satu harapan besar agar dapat Dr. Mahathir teruskan.
Kebetulan pula Khamis ini beliau akan mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC yang pertama di Malaysia, dan Awang meneliti ucapan-ucapannya yang lalu mengenai Islam dan umat Islam.
Di antara ucapannya yang Awang anggap terbaik dan sering baca semula, berjudul Masa Depan Umat Islam Pada Abad Baru yang disampaikan pada pertemuan dengan kalangan cendekiawan dan profesional di London pada 3 Oktober 2000.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah memberikan pandangan yang tajam, kritikal dan tepat terhadap dilema umat Islam masa kini. Awang mengibaratkan ucapan itu satu pembedahan post-mortem yang dilakukan oleh seorang negarawan Islam dengan kemahiran seorang doktor bedah.
Ucapan tersebut terkandung dalam buku The Collection of Mahathir's Speeches 2000 terbitan Jabatan Penerangan Malaysia.
Dr. Mahathir mengakhiri ucapannya itu dengan pesanan: ``Saya minta maaf kerana tidak dapat menyaksikan kebangkitan semula Ketamadunan Islam Abad ke-21. Kita belum bangkit untuk menyahut cabaran Zaman Industri, apatah lagi Zaman Maklumat. Jika ada hanya sedikit di antara kita, tetapi tidak banyak yang boleh kita lakukan.
``Saya berharap akan tampil ramai lagi (orang Islam) yang akan membuktikan bahawa abad ke-21 akan memperlihatkan kebangkitan semula Ketamadunan Islam. Saya berharap mereka boleh meyakinkan supaya saya dan lain-lain Muslim boleh menyumbang dengan apa cara untuk kebangkitan itu.''
Datuk Seri, kepada hampir seluruh umat Islam sedunia, anda adalah salah seorang yang layak meneruskan sumbangan untuk membangkitkan semula ketamadunan itu. Bersaralah daripada tugas Perdana Menteri, tetapi janganlah daripada tanggungjawab ini. Jadikan Sidang Kemuncak OIC ini sebagai langkah baru anda. Sama ada kebangkitan itu akan menjadi kenyataan hanya Allah yang boleh menentukannya. Kita hanya boleh berusaha.
CABARAN SEBENAR OIC
SIDANG Kemuncak OIC yang akan dihadiri oleh 35 ketua kerajaan negara Islam di Putrajaya memikul tugas yang besar bagi dunia Islam ekoran perkembangan selepas peristiwa 11 September 2001.
Peristiwa itu meletakkan umat Islam di bawah teropong dunia dengan imej keganasan yang digarap oleh media dan negara Barat khususnya Amerika Syarikat (AS).
Sidang Kemuncak OIC ini bertambah relevan kerana berlangsung ketika rakyat Palestin kian dikejami oleh Israel; Iraq dikuasai AS dan Afghanistan terus bercelaru.
Terbaru Syria dicerobohi oleh Israel dan AS pula akan meluluskan sekatan ekonomi terhadapnya. Lihatlah betapa Israel yang menyerang, tetapi AS secara terang-terang menyokong pencerobohan itu dengan hasrat mengenakan sekatan ekonomi dan politik.
Ini menunjukkan bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan isu Palestin adalah sukar kerana Amerika `tidur sebantal' dengan Israel. Amerika sengaja tidak mahu memahami bahawa isu Palestin, dan hubungan intimnya dengan Israel adalah punca peristiwa 911 di New York itu.
Untuk melihat AS menyerahkan kembali pentadbiran Iraq sepenuhnya kepada rakyat negara itu, juga usah dimimpikan setelah AS bersusah payah mengetepikan PBB dan menipu dunia dengan menuduh Saddam Hussein memiliki senjata pemusnahan besar.
Segalanya ini hanya menunjukkan bahawa Amerika mempunyai agenda tersembunyi yang besar di Asia Barat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Kenyataan calon Presiden AS dari Parti Demokrat, Jeneral (B) Wesley Clark baru-baru ini bahawa Presiden George W. Bush mempunyai rancangan mengubah rejim di tujuh lagi negara Islam adalah satu amaran yang patut dibimbangi.
Justeru provokasi Israel terhadap Syria sewajarnya memperkuat tuntutan terhadap Sidang OIC di Putrajaya untuk turut membincangkan ancaman bersenjata yang dihadapi oleh negara-negara Islam, khususnya di Asia Barat.
Mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengutuk mana-mana pihak adalah mudah, tetapi adakah itu akan menghasilkan kesan yang dikehendaki. Namun kutukan akan tetap dikeluarkan kerana membantah adalah lebih baik daripada berdiam diri. Itulah sahaja tindakan segera yang boleh diharapkan.
Namun tugas sebenar OIC ialah mencari dan melaksanakan langkah-langkah untuk memperkuat dan memajukan negara-negara dan umat Islam supaya dihormati oleh kawan dan lawan. Lakukanlah sekalipun memakan masa yang panjang.
Dr. Mahathir Mohamad yang akan mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC pernah berkata: ``Kita tidak perlu memekik supaya dihormati tetapi apabila bangsa dan negara kita maju, penghormatan dunia datang dengan sendirinya.''
Selamat bersidang!
GABENOR SCHWARZENEGGER
PARTI Demokrat menyifatkan kemenangan calon Parti Republikan, Arnold Schwarzenegger dalam pilihan raya Gabenor California adalah semata-mata kerana masalah ekonomi yang dihadapi oleh negeri yang terkaya dan paling ramai penduduk di Amerika Syarikat itu.
Calon yang kalah ialah Gray Davis, penyandang gabenor dari Parti Demokrat yang menghadapi kecaman kerana di bawah pentadbirannya California menanggung defisit kewangan AS$38 bilion (RM144.4 bilion).
Pada kebiasaannya pilihan raya gabenor di AS (seakan-akan jawatan Menteri Besar) hanya mendapat perhatian rakyat negara berkenaan. Disebabkan yang bertanding ialah Schwarzenegger, maka ia menjadi bahan berita utama dunia. Siapa yang tidak kenal aktor filem lasak yang berbadan sasa itu.
Kemenangan Schwarzenegger turut menimbulkan pertanyaan sama ada para pengundi California telah membuat pilihan yang bijak, seperti didakwa oleh Parti Demokrat.
Walaupun masa akan menentukan jawapan yang tepat, Awang sendiri tidak melihat Schwarzenegger sekadar bergantung tuah kepada popularitinya sebagai pelakon filem. Atau dia turut menumpang kehebatan nama keluarga isterinya, Maria Shriver, anak saudara mendiang Presiden John F. Kennedy.
Apabila meneliti riwayat hidupnya, terserlah bahawa Schwarzenegger adalah seorang pengurus yang berjaya sejak zaman mudanya. Bekas Mr. Universe yang termuda dalam sejarah kejohanan bina badan yang terunggul itu berhijrah dari negara kelahirannya Austria pada usia 21 tahun.
Di Amerika beliau memenangi banyak lagi gelaran juara bina badan antarabangsa dan menggunakan wang kemenangannya itu untuk membeli hartanah serta membuka perniagaan peralatan bina badan melalui pos.
Sambil itu beliau memasuki Universiti Wisconsin dan lulus dengan ijazah di bidang ekonomi dan perniagaan.
Kejayaannya dalam filem sudah amat diketahui umum sejak beliau menempa nama melalui Conan The Barbarian. Awang percaya tidak ada pembaca yang tidak pernah menonton sekurang-kurang sebuah filem lakonannya.
Justeru, perhatikanlah karier politik bekas bintang filem yang lebih terkenal dengan watak robot cyborg Terminator itu, sama ada akan turut berakhir dengan kejayaan seperti dua bidang yang diceburinya sebelum ini.
Jangan pandang remeh keupayaannya untuk menangani masalah defisit AS$38 bilion yang California hadapi. Dia datang ke Amerika tanpa wang dan kelulusan, serta langsung tidak boleh berbahasa Inggeris.
Kini Schwarzenegger ialah Gabenor California. Tentulah dia telah menguruskan dirinya dengan cemerlang untuk berada di tempatnya sekarang. Agak aneh jika dia tidak merancang ke White House pula.
Utusan Malaysia Online, 12/10/2003
Sunday, October 12, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment