Mukadimah
Teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada perasmian Sidang Kemuncak Ke-10 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Pusat Konvensyen Putrajaya, pada 16/10/2003.
Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah, kerana atas kebesaran dan rahmat-Nya dapat kita, para pemimpin Pertubuhan Persidangan Islam, berkumpul hari ini untuk berunding dengan harapan kita dapat merintis arah tuju masa depan Islam dan ummah di seluruh dunia.
Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai agama, izinkan saya mengucapkan selamat datang kepada setiap dan semua hadirin ke sesi ke-10 Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam di Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia.
Sememangnya ia satu penghormatan tinggi bagi Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi sesi ini dan untuk menjawat kedudukan sebagai Pengerusi OIC. Saya berterima kasih kepada negara-negara anggota OIC atas keyakinan mereka terhadap keupayaan Malaysia memikul tanggungjawab itu.
Juga izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini bagi merakamkan penghargaan istimewa kepada negara Qatar, khususnya kepada Yang Maha Mulia Shaikh Hamad Khalifa Al-Thani, Amir negara Qatar, kerana kepimpinan cemerlang dalam menerajui pertubuhan kita sepanjang tiga tahun yang lepas.
Sebagai tuan rumah, Malaysia sungguh terhutang budi dan bangga dengan jumlah penyertaan yang tinggi daripada kalangan anggota. Ini jelas menunjukkan keyakinan dan ketaatan kita yang berterusan serta komitmen kita kepada pertubuhan kita dan keinginan kita bersama untuk memperkuat peranan kita demi maruah dan manfaat umat Islam.
Saya juga mengalu-alukan kedatangan para pemimpin dan perwakilan daripada banyak negara yang ingin hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat kali ini berdasarkan besarnya jumlah penduduk mereka yang beragama Islam. Sama ada mereka itu beragama Islam atau tidak, kehadiran mereka akan menyumbang ke arah mempertingkat kefahaman terhadap Islam dan umat Islam, dengan cara itu menyangkal tanggapan kononnya Islam agama yang mundur dan ganas.
Seluruh dunia kini menumpukan perhatian kepada kita. Sudah pasti 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia iaitu satu per enam jumlah penduduk dunia menyandarkan harapan mereka kepada kita pada mesyuarat ini, walaupun mereka mungkin bersikap sinis terhadap keazaman dan keupayaan kita, biarpun sekadar dapat mencapai keputusan untuk menebus maruah Islam dan umatnya, apatah lagi untuk membebaskan saudara seagama daripada penindasan dan penghinaan yang mereka alami pada ketika ini.
Saya tidak hendak membilang satu persatu peristiwa-peristiwa penghinaan dan penindasan terhadap kita dan saya juga tidak ingin untuk sekali lagi menghentam pengutuk atau penindas kita. Ia akan menjadi usaha sia-sia kerana mereka tidak akan mengubah sikap mereka terhadap kita semata-mata kerana kita mengecam mereka. Jika kita ingin menebus kembali maruah kita dan maruah Islam, agama kita, kitalah yang mesti membuat keputusan, kitalah yang mesti bertindak.
Sebagai langkah awalan, kerajaan kesemua negara Islam boleh merapatkan barisan dan mengambil pendirian bersama sekurang-kurangnya mengenai isu-isu besar seperti Palestin, kalau pun tidak mengenai semua isu. Semua kita ini umat Islam. Kita semua ditindas. Kita semua dihina. Tetapi kita, yang ditempatkan Allah sebagai pemimpin umat Islam tidak langsung benar-benar cuba bertindak secara bersatu untuk mempamerkan persaudaraan dan perpaduan yang dituntut oleh Islam.
Bukan sahaja sesama kerajaan kita berpecah-belah, malahan umat Islam sendiri berpecah-pecah, dan dipecahkan lagi berulang kali. Sejak 1,400 tahun yang lalu, pihak yang mentafsirkan Islam, para cerdik pandai, para ulama telah mentafsirkan dan mentafsir semula agama Islam yang tunggal yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dengan sangat berlainan sekali sehingga kita kini mempunyai beribu agama yang sering bertelagah satu sama lain sehingga kita bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri.
Daripada sebuah ummah yang tunggal, kita membiarkan diri kita dipecah-pecah kepada pelbagai golongan, mazhab dan tarikat, dengan masing-masing lebih mengutamakan Islam siapa lebih tulen daripada soal ummah yang satu. Kita gagal melihat bahawa musuh dan pengkritik kita tidak ambil peduli sama ada kita umat Islam sejati atau tidak. Bagi mereka kita semua Islam, pemeluk suatu agama dan pengikut seorang Nabi yang mereka isytiharkan sebagai penggalak keganasan dan kita semua ini adalah musuh ketat mereka. Mereka akan menyerang dan membunuh kita, menakluk tanah air kita, menjatuhkan kerajaan kita, tidak kira sama ada kita ini Sunni atau Syiah, Alawiah atau Druze atau apa sahaja. Dan kita membantu dan bersekongkol dengan mereka secara menyerang dan memperlemah sesama kita sendiri, dan kadangkala kita menjadi dalang dan bertindak sebagai tali barut untuk menyerang saudara kita yang seagama. Kita cuba menjatuhkan kerajaan kita sendiri melalui kekerasan dan berjaya melemahkan serta memiskinkan negara kita.
Kita bulat-bulat mengabaikan dan terus mengabaikan kehendak Islam supaya kita bersatu dan bersaudara sesama kerajaan negara-negara Islam dan sesama ummah.
Tetapi bukan ini sahaja ajaran Islam yang kita kebelakangkan. Kita disuruh membaca, Iqra' yakni untuk menimba ilmu. Umat Islam zaman dahulu menganggap suruhan ini bermaksud menterjemah dan mengkaji hasil penyelidikan cerdik pandai Yunani dan ilmuwan sebelum Islam. Dan para cerdik pandai Islam ini pula menokok tambah kandungan ilmu pengetahuan melalui hasil penyelidikan mereka sendiri.
Umat Islam awal menghasilkan banyak tokoh matematik, sains, cendekiawan, ahli fizik dan kaji bintang serta lain-lain, malah cemerlang dalam semua bidang ilmu semasa di samping belajar dan mengamalkan agama Islam sendiri.
Hasilnya orang Islam mampu membangun dan mengembangkan kekayaan dari tanah air hingga perdagangan dunia, berkemampuan menguatkan pertahanan, melindungi rakyat dan memberi kehidupan mengikut cara Islam, Addin yang dikehendaki oleh Islam.
Ketika orang Eropah di Zaman Pertengahan masih anuti kepercayaan tahyul dan mundur, kegemilangan orang Islam sudah mewujudkan peradaban Islam yang hebat, dihormati dan berkuasa, malah mampu menyaingi pihak lain di dunia dan mampu melindungi ummah daripada pencerobohan asing. Orang Eropah perlu melutut di kaki cendekiawan Islam dalam mendapatkan warisan keilmuan sendiri.
Umat Islam dipimpin oleh tokoh-tokoh hebat seperti Abdul Rahman III, Al-Mansur, Salahuddin Al Ayubi dan lain-lain yang mengepalai bala tentera ke medan perang demi melindungi bumi Islam dan ummah.
Bagaimanapun di pertengahan pembangunan tamadun Islam yang hebat, timbul golongan baru pentafsir Islam yang mengajar bahawa penguasaan pengetahuan oleh umat Islam cuma bermaksud pengajian mengenai pengetahuan agama sahaja. Pengajian sains, perubatan dan lain-lain tidak digalakkan.
Daya intelek umat Islam mula merosot. Kemerosotan daya intelek ini meruntuhkan tamadun Islam dan membuatkannya semakin layu. Kalau tidak kerana kemunculan para pahlawan Uthmaniah, tamadun Islam mungkin pupus sama sekali ekoran kejatuhan Granada pada 1492.
Kejayaan awal para pahlawan Uthmaniah tidak seiring dengan kebangkitan semula daya intelektual Islam. Sebaliknya tumpuan hanya kepada isu-isu kecil seperti soal sama ada memakai seluar ketat atau memakai topi tinggi bersesuaian dengan kehendak Islam, sama ada mesin cetak boleh digunakan atau kuasa elektrik boleh digunakan untuk menerangi masjid-masjid. Umat Islam tertinggal sama sekali semasa Revolusi Perindustrian. Kemerosotan itu berterusan sehingga pihak British dan Perancis mencetuskan pemberontakan terhadap pemerintahan Turki dan menyebabkan kejatuhan empayar Uthmaniah, iaitu satu-satunya kuasa Islam terakhir di dunia dan menggantikannya dengan tanah jajahan Eropah dan bukan negara merdeka sebagaimana yang mereka janjikan. Cuma selepas Perang Dunia Kedua barulah tanah jajahan ini mendapat kemerdekaan.
Selain daripada negara-negara yang baru wujud, kita juga menerima sistem demokrasi Barat. Ini memecah-belahkan kita disebabkan parti dan kumpulan politik yang kita sendiri wujudkan, yang di antaranya mendakwa Islam cuma untuk mereka dan menolak Islam yang diperjuangkan oleh pihak lain dan menolak keputusan demokrasi, jika mereka gagal meraih kuasa untuk diri mereka sahaja. Mereka bertindak ganas dan kesannya, meranapkan dan melemahkan negara-negara Islam.
Perkembangan sejak berkurun lalu menyebabkan ketamadunan Islam menjadi begitu lemah sekali sehingga tiada langsung sebuah negara Islam yang tidak ditakluki atau dijajah orang Eropah. Walaupun setelah mencapai kemerdekaan kemudiannya, negara-negara Islam gagal memperkuatkan ummah. Negara mereka lemah dan disalahtadbirkan dengan teruk sekali menyebabkan mereka sentiasa dilanda pergolakan.
Orang Eropah bertindak sewenang-wenangnya terhadap bumi Islam. Tidak hairanlah apabila mereka merampas bumi Islam untuk mencipta negara Israel bagi menyelesaikan masalah mereka dengan orang Yahudi. Oleh kerana mereka berpecah, umat Islam langsung tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyekat pencerobohan pihak Balfour dan Zionis itu.
Di sebalik hakikat ini, ada di antara kita yang beranggapan bahawa kehidupan kita lebih baik daripada musuh-musuh kita. Ada di antara kita percaya bahawa kemiskinan, kesengsaraan dan hidup tertindas adalah kehendak Islam.
Dunia ini bukan untuk kita. Hak kita cuma untuk merasakan nikmat di syurga di akhirat nanti. Kita hanya perlu menunaikan amalan dan memakai pakaian tertentu dan menonjolkan wajah tertentu sahaja. Kelemahan, kemunduran dan kegagalan kita untuk membantu saudara seagama yang tertindas adalah atas kehendak Allah iaitu kesengsaraan yang perlu dirasai sebelum menikmati hidup di syurga di akhirat nanti. Kita mesti menerima takdir yang menimpa kita. Kita tidak perlu berbuat apa-apa pun. Kita tidak boleh membuat sesuatu yang menentang takdir Allah.
Tetapi adakah benar bahawa ini semua kehendak Allah dan kita tidak boleh dan tidak harus buat apa-apa? Allah menyatakan dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11 bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu sendiri mencuba mengubah nasib mereka.
Senapang
Seperti umat Islam zaman silam yang mengalami penindasan, kita umat zaman sekarang juga tertindas. Tetapi selepas mereka berusaha dengan jujur dan gigih untuk membela nasib mengikut ajaran Islam, Allah telah membantu mereka mengalahkan musuh-musuh dan membangunkan ketamadunan Islam yang kuat dan cemerlang. Tetapi apakah usaha yang kita lakukan, khususnya dengan sumber kekayaan yang Dia telah berikan kepada kita.
Umat Islam kini berjumlah 1.3 bilion orang. Kita memiliki simpanan minyak terbesar di dunia. Kita banyak kekayaan. Kita tidak lagi buta ilmu seperti mana puak Jahilliah yang memeluk Islam dahulu. Kita memahami cara perdagangan dan kewangan dunia diuruskan. Kita menguasai 57 daripada 180 negara di dunia. Undi kita boleh memperkuat atau melemahkan pertubuhan antarabangsa. Tetapi kita nampaknya lebih lemah daripada kumpulan kecil Jahilliah yang memeluk Islam dan menerima Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin mereka. Kenapa? Adakah ini kehendak Allah atau kerana kita telah salah mentafsir agama kita, atau gagal mematuhi ajaran sebenar agama kita atau kerana kita telah membuat kesilapan?
Islam menyuruh kita bersiap sedia untuk mempertahankan ummah. Malangnya kita kurang menekankan soal pertahanan sebaliknya tertumpu pada jenis senjata pada zaman junjungan besar Nabi Muhammad. Senjata dan kuda yang digunakan ketika itu tidak boleh lagi mempertahankan kita.
Kita perlukan senapang dan roket, bom dan pesawat pejuang, kereta kebal dan kapal perang untuk pertahanan kita. Tetapi oleh kerana kita tidak digalakkan mempelajari sains, matematik dan lain-lain ilmu kerana perbuatan itu disifatkan sebagai tidak mementingkan akhirat, akibatnya hari ini kita tiada keupayaan untuk mengeluarkan senjata sendiri untuk pertahanan kita.
Kita terpaksa membeli senjata daripada pengutuk dan musuh kita. Inilah akibat tafsiran cetek al-Quran yang tidak menghiraukan isi sunnah Nabi dan ajaran Quran tetapi mementingkan bentuk, cara dan ikhtiar yang digunakan semasa abad pertama Hijrah. Begitulah juga dengan ajaran Islam yang lain. Kita lebih utamakan bentuk daripada isi kata-kata Allah dan cuma mengikuti tafsiran perkataan-perkataan dalam sunnah junjungan besar Nabi.
Kita mungkin mahu mengembalikan cara hidup pada abad pertama Hijrah, untuk mengamalkan apa yang kita anggap sebagai cara hidup Islam sebenar. Tetapi kita tidak akan diizinkan berbuat demikian. Pengutuk dan musuh kita akan mengambil kesempatan daripada kemunduran dan kelemahan kita untuk menguasai kita. Islam bukan untuk kurun ke tujuh Selepas Masihi sahaja. Islam untuk semua zaman. Dan masa telah berubah.
Sama ada suka atau tidak, kita perlu berubah bukan dengan mengubah agama kita tetapi mengamalkan ajarannya dalam konteks dunia yang berlainan sekali daripada dunia pada abad pertama Hijrah. Islam tidak salah tetapi tafsiran para cerdik pandai kita yang bukannya daripada golongan rasul walaupun mereka terpelajar, mungkin salah. Kita perlu kembali kepada asas ajaran Islam untuk mengetahui sama ada kita sebetulnya menganuti dan mengamalkan ajaran Islam yang disebarkan oleh Nabi Muhammad. Masakan kita semua mengamalkan ajaran Islam sebenar dan yang betul jika kepercayaan kita berbeza sekali antara satu sama lain.
Hari ini seluruh umat Islam dibenci dan tidak dihormati. Agama kita dihina. Tempat-tempat suci kita dicemari. Negara kita ditakluki. Umat Islam kebuluran dan dibunuh. Tiada satu pun negara Islam benar-benar bebas. Kita dikenakan tekanan supaya tunduk kepada kehendak penindas kita yang menetapkan kelakuan kita, cara kita mentadbir negara kita, hinggakan cara kita harus berfikir.
Hari ini jika mereka mahu menyerang negara kita, membunuh orang kita, memusnahkan kampung dan bandar kita, tiada apa yang boleh kita lakukan. Adakah Islam punca segala ini? Atau adakah kerana kita sendiri gagal menunaikan tanggungjawab mengikut agama kita?
Reaksi kita sekadar menjadi marah dan bertambah marah. Orang yang marah tidak dapat berfikir dengan waras. Jadi kita mendapati sesetengah orang kita bertindak tidak rasional.
Mereka melancarkan serangan, membunuh sesiapa sahaja termasuk umat Islam sendiri untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan mereka. Kerajaan mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyekat mereka. Pihak musuh bertindak balas dan menambah lagi tekanan terhadap kerajaan mereka. Kerajaan mereka tiada pilihan kecuali mengalah dan mengikut telunjuk musuh, pendek kata, mereka tidak bebas untuk bertindak.
Kemarahan yang memuncak di kalangan rakyat mereka dan umat Islam lain mendorong mereka menentang kerajaan mereka pula. Sebarang usaha damai disabotaj dengan serangan terancang lebih hebat untuk mengapikan lagi amarah musuh dan menutup jalan penyelesaian. Tetapi serangan-serangan itu tidak menghasilkan apa-apa. Cuma umat Islam terus tertindas.
Timbul rasa kehampaan di kalangan negara Islam dan rakyat mereka. Mereka merasakan tiada yang betul dapat mereka lakukan dan keadaan akan hanya menjadi lebih buruk. Sampai bila pun umat Islam akan tertindas dan dikuasai orang Eropah dan Yahudi. Sampai bila pun mereka akan terus miskin, mundur dan lemah. Sesetengah daripada mereka percaya, seperti mana yang saya katakan tadi, bahawa ini semua kehendak Allah, nasib umat Islam di dunia ditakdirkan terus miskin dan ditindas.
Tetapi benarkah kita tidak harus dan tidak boleh berbuat sesuatu untuk diri kita sendiri? Benarkan 1.3 bilion umat Islam tidak berkuasa untuk menyelamatkan diri mereka daripada penghinaan dan penindasan yang dilakukan musuh yang lebih sedikit bilangannya?
Mustahil tidak ada jalan lain. Umat Islam berjumlah 1.3 bilion orang tidak boleh dikalahkan oleh beberapa juta Yahudi. Mesti ada jalan lain. Dan kita akan nampak jalannya jika kita berhenti seketika dan berfikir untuk mengukur kelemahan dan kekuatan kita, untuk merancang, mengatur strategi dan kemudian melancarkan serangan balas. Sebagai umat Islam, kita mencari pedoman daripada al-Quran dan Sunnah Nabi. Sudah pastinya pengalaman perjuangan Nabi selama 23 tahun boleh memberi panduan tentang apa yang kita boleh buat dan patut buat.
Kita tahu Nabi Muhammad dan pengikut awalnya ditindas kaum Quraisy. Adakah beliau melancarkan serangan balas? Tidak. Nabi bersedia untuk berundur secara strategik. Baginda menghantar pengikutnya ke sebuah negara Kristian dan baginda sendiri kemudian berhijrah ke Madinah. Di situ beliau menambahkan pengikutnya dan membangunkan keupayaan pertahanan dan memastikan keselamatan pengikutnya. Di Hudaibiah, baginda rela menerima perjanjian yang berat sebelah walaupun tidak direstui para sahabatnya dan pengikutnya. Semasa tempoh damai yang menyusul selepas itu, baginda memperkukuhkan kekuatan dan akhirnya berjaya memasuki Mekah dan menawan kota itu untuk Islam. Namun demikian baginda tidak membalas dendam dan menuntut bela. Dan kesemua rakyat Mekah menerima Islam dan ramai di antara mereka menjadi penyokong kuat melindungi umat Islam daripada musuh.
Begitulah secara ringkas sejarah perjuangan baginda Nabi. Kita banyak bercakap tentang meneladani Sunnah Nabi. Kita tidak putus-putus memetik peristiwa-peristiwa dan sunnah baginda. Tetapi kita sebenarnya tidak menghiraukan kesemuanya itu.
Jika kita menggunakan kebolehan berfikir yang dianugerahi Allah, kita patut sedar bahawa tindakan kita tidak waras. Kita berjuang tanpa matlamat selain untuk mencederakan musuh kerana mereka mencederakan kita. Dengan mudah kita mengharapkan mereka menyerah diri. Tanpa sebab kita mengorbankan banyak nyawa dan tidak mencapai apa-apa kecuali mengundang serangan balas dan penghinaan yang lebih buruk.
Sudah sampai masanya kita berhenti sejenak dan berfikir. Tetapi adakah ini membuang masa? Lebih separuh abad kita berperangan kerana Palestin. Apa yang telah kita capai? Kosong. Kita lebih teruk daripada sebelumnya. Jika kita berhenti seketika untuk berfikir, kita mungkin telah pun merangka satu pelan, satu strategi yang boleh membawa kita kepada kemenangan muktamad. Berhenti sejenak untuk berfikir bukanlah membuang masa. Kita perlu membuat pengunduran strategik dan menilai kedudukan kita dengan tenang.
Kita sebenarnya masih sangat kuat. 1.3 bilion umat Islam tidak boleh dihapuskan dengan mudah begitu sahaja. Orang Eropah telah membunuh enam juta daripada 12 juta orang Yahudi. Tetapi hari ini puak Yahudi memerintah dunia secara proksi. Mereka membiarkan orang lain berjuang dan mati untuk mereka.
Kita mungkin tidak dapat melakukan sedemikian. Kita mungkin tidak dapat menyatukan 1.3 bilion umat Islam. Kita mungkin tidak berjaya menggabungkan kesemua kerajaan Islam untuk bertindak seiring. Tetapi jika kita dapat menggembleng sepertiga daripada umat Islam dan sepertiga daripada negara Islam untuk bertindak bersama-sama, kita memang boleh berbuat sesuatu. Ingatlah bahawa baginda Nabi tidak mempunyai ramai pengikut semasa baginda pergi ke Madinah. Tetapi baginda menyatukan puak Ansar dan Muhajirin dan kemudian baginda menjadi cukup kuat untuk mempertahankan Islam.
Selain daripada perpaduan yang kita perlukan, walaupun tidak menyeluruh, kita juga perlu menilai aset kita. Sebentar tadi saya telah pun menyebut tentang jumlah umat Islam dan kekayaan minyak kita. Dalam dunia hari ini, kita mempunyai banyak kuasa politik, ekonomi dan kewangan dan semua ini mencukupi bagi kita mengatasi kelemahan kita dalam bidang ketenteraan.
Kita juga tahu bahawa tidak semua orang bukan Islam menentang kita. Sesetengah daripada mereka lebih terdorong ke arah kita. Ada di antara mereka melihat musuh kita sebagai musuh mereka juga. Malahan sesama orang Yahudi sekalipun, banyak yang tidak menyokong apa yang dilakukan Israel sekarang.
Jangan kita membangkitkan kemarahan sesiapa. Kita perlu menawan hati dan minda mereka. Kita mesti menarik mereka menyebelahi kita bukan secara menagih bantuan mereka tetapi dengan berjuang untuk membela nasib kita sendiri secara yang terhormat. Jangan kita pula membantu memperkuatkan musuh dengan mendorong semua pihak menyebelahi mereka hanya kerana tindakan kita yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan Islam. Ingatlah akan Salahuddin dan cara beliau melawan tentera Salib, khususnya Richard, Raja Inggeris. Ingatlah akan sikap timbang rasa baginda Rasulullah terhadap musuh Islam. Kita mesti turut berbuat demikian. Yang penting ialah memenangi perjuangan, bukan kemarahan tindak balas, bukan membalas dendam.
Kita perlu membina kekuatan dalam setiap bidang, bukan sahaja kekuatan bersenjata. Negara kita mestilah stabil dan ditadbirkan sebaik-baiknya, mesti kukuh ekonomi dan kewangannya, mesti cekap dalam bidang perindustrian dan teknologi. Ini memerlukan masa tetapi ia mampu dilaksanakan dan masa yang ditumpukan ke arah ini tidak akan sia-sia. Agama kita menyuruh kita bersabar. Innallahamaasabirin. Nyata sekali ada hikmah di sebalik kesabaran.
Tetapi dalam mempertahankan ummah, kita tidak perlu menunggu sehingga kita selesai memperbetulkan diri sendiri untuk memulakan serangan balas. Malahan pada hari ini pun kita mempunyai harta mencukupi untuk digunakan menentang musuh kita. Terpulang kepada kita sahaja untuk mengenal pasti aset-aset itu dan bagaimana hendak menggunakannya bagi menghentikan kehancuran yang disebabkan musuh kita. Kesemuanya ini boleh dilakukan sekiranya kita berhenti sekejap untuk berfikir bagi merancang, merangka strategi dan memulakan langkah-langkah yang genting. Langkah-langkah yang kecil sekalipun mampu membawa hasil yang berkesan.
Kita mengetahui puak Arab Jahiliah sering bermusuh-musuhan, saling berbunuh hanya kerana mereka berlainan suku kaum. Baginda Rasulullah mengajar mereka tentang persaudaraan Islam dan kesannya mereka dapat menghapuskan kebencian terhadap sesama sendiri, dan kemudian bersatu dan membantu membentuk ketamadunan Islam yang cemerlang. Bolehkah kita menyatakan bahawa kita, umat Islam yang moden tidak boleh melakukan apa yang dicapai oleh puak yang jahil itu? Jika tidak semua pun, sekurang-kurangnya sebahagian daripada kita boleh melakukannya. Kalaupun kita tidak mampu membangkitkan semula kegemilangan Islam, sekurang-kurangnya kita menjamin keselamatan ummah.
Untuk melaksanakan semua yang dicadangkan ini, kita tidak perlu mengenepikan perbezaan pendapat sesama kita. Kita hanya perlu mewujudkan waktu gencatan supaya kita seiring menangani masalah kepentingan bersama yang tertentu sahaja, misalnya masalah Palestin.
Dalam mana-mana perjuangan, mana-mana peperangan, tiada yang lebih penting daripada tindakan yang seiring dan selaras. Yang diperlukan hanya disiplin. Baginda Rasulullah tewas di Jabal Uhud kerana pasukannya berpecah belah. Kita tahu tentang hal ini tetapi kita masih enggan mendisiplinkan diri dan berhenti bertindak tidak menentu dan tidak selaras. Kita perlu berani tetapi tidak terlalu berani hingga mengambil risiko yang bodoh. Kita perlu memikirkan bukan sahaja tentang balasan di akhirat tetapi kesan duniawi akibat tindakan kita.
Al-Quran mengajar kita bahawa apabila musuh menuntut perdamaian, kita wajib menyambutnya secara positif. Memang benar bahawa perjanjian damai yang ditawarkan berat sebelah dan merugikan kita. Tetapi kita boleh berunding. Baginda Nabi pun berbuat demikian di Hudaibiah. Akhirnya Rasulullah beroleh kemenangan.
Saya sedar bahawa semua gagasan ini tidak digemari ramai. Mereka yang marah akan menolaknya bulat-bulat. Malahan mereka akan mendiamkan sesiapa yang mengambil atau menyokong cadangan sedemikian. Mereka mahu mengerahkan lebih ramai pemuda dan pemudi supaya membuat pengorbanan tertinggi. Tetapi ke manakah akhirnya semua ini? Sudah pasti bukan kemenangan. Sejak 50 tahun peperangan di Palestin, kita tidak mencapai sebarang hasil. Malahan kita telah memburukkan lagi keadaan.
Pihak musuh mungkin mengalu-alukan cadangan-cadangan ini dan kita akan membuat kesimpulan kononnya pihak yang menimbulkan cadangan mahu bersekongkol dengan musuh. Tetapi fikirkanlah. Kita menentang pihak yang menggunakan fikiran. Mereka terselamat daripada pembunuhan kaum selama 2,000 tahun bukan dengan cara menyerang balas tetapi dengan berfikir. Mereka mencipta dan berjaya menyebarkan fahaman sosia isme, komunisme, hak asasi manusia dan demokrasi supaya sebarang tindakan menindas mereka akan dilihat sebagai perbuatan yang salah demi membolehkan mereka menikmati hak yang sama dengan orang lain.
Dengan cara ini mereka kini berjaya menguasai negara-negara terkuat di dunia dan masyarakat kecil ini sudah menjadi kuasa dunia. Kita tidak dapat melawan mereka dengan kuasa kudrat sahaja. Kita juga perlu menggunakan otak kita.
Sejak akhir-akhir ini, oleh kerana kuasa mereka dan kejayaan mereka, golongan ini menjadi angkuh. Dan orang yang angkuh, seperti juga orang yang marah, akan melakukan kesilapan dan mereka akan lupa untuk berfikir.
Mereka telah pun mula melakukan kesilapan. Dan mereka akan membuat banyak lagi kesilapan. Mungkin ada peluang bagi kita sekarang dan pada masa hadapan. Kita mesti merebut peluang-peluang ini.
Tetapi untuk berbuat demikian, langkah-langkah kita mestilah betul. Perbincangan sesama kita memang baik. Ia membantu kita mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan terhadap kita, dan mungkin kita akan beroleh simpati dan sokongan. Ia boleh menyemarakkan semangat, iltizam dan keazaman kita bagi menghadapi musuh.
Kita boleh dan seharusnya berdoa kepada Allah s.w.t. kerana akhirnya nanti Dialah yang akan menentukan sama ada kita berjaya atau gagal. Kita memerlukan restu-Nya dan bantuan-Nya untuk segala ikhtiar kita.
Tetapi yang menentukan sama ada Dia akan membantu dan memberi kita kemenangan ialah bagaimana kita bertindak dan apa yang kita lakukan. Yang Maha Kuasa telah pun menyatakan demikian dalam al-Quran. Sekali lagi rujuk kepada Surah ar-Ra'd ayat 11.
Seperti yang saya katakan pada awal ucapan tadi, seluruh dunia memerhati kita, seluruh ummah menaruh harapan kepada persidangan para pemimpin negara-negara Islam. Mereka mengharapkan kita bukan sahaja untuk meluahkan kekecewaan dan kemarahan kita menerusi kata-kata dan tindakan, tidak sekadar berdoa kepada Allah memohon restunya. Mereka mengharapkan agar kita berbuat sesuatu, agar kita bertindak. Kita tidak boleh menyatakan yang kita ini, iaitu para pemimpin negara-negara Islam, tidak dapat berbuat apa-apa. Kita tidak boleh menyatakan yang kita tidak boleh bersatu walaupun dalam ketika kita berhadapan dengan kemusnahan agama dan umat Islam.
Kita tahu kita boleh melakukannya. Banyak perkara yang boleh kita laksanakan. Ada banyak sumber kekayaan untuk kita gunakan. Yang diperlukan cuma kesungguhan untuk bertindak. Sebagai umat Islam, kita mesti bersyukur atas pedoman yang dibawa agama kita, kita harus melakukan apa yang perlu dibuat dengan kerelaan dan keazaman. Allah tidak mengangkat kita, para pemimpin, mengatasi yang lain supaya kita menikmati kuasa untuk faedah diri kita sendiri sahaja. Kuasa yang kita pegang ialah untuk rakyat kita, untuk ummah, untuk Islam. Kita perlu ada kesungguhan untuk menggunakan kuasa ini dengan bijaksana, adil, berhemah dan berkesepakatan. Insya-Allah kita akan berjaya akhirnya.
Saya berdoa kepada Allah supaya Sidang Kemuncak ke-10 Persidangan Pertubuhan Islam di Putrajaya, Malaysia akan menunjukkan hala tuju yang baru dan positif kepada kita, supaya direstui dengan kejayaan oleh-Nya, Allah Yang Maha Kuasa, al-Rahman, al-Rahim.
Utusan Malaysia, 17/10/2003
Friday, October 17, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment