PADA hemat saya, Parti Komunis Malaya (PKM) yang masih diharamkan serta Ong Boon Hua @ Chin Peng dan `kawan-kawannya' bukan nasionalis. Perjuangan mereka hanya berlindung di sebalik laungan nasionalisme. PKM pula bukan sebuah parti politik tulen tempatan. Perjuangan komunisme hanya mempergunakan kelemahan, kepincangan atau kekuatan yang terdapat dalam negara dan masyarakat untuk dieksploitasikan oleh mereka ke arah mencapai cita-cita dan matlamat parti dan komunisme. Rumusan akhir - komunisme dan nasionalisme tidak sinonim.
PKM yang ditubuhkan di sekitar tahun 1930-an dalam gerak kerjanya bukan sahaja mengikuti tetapi mematuhi ideologi, doktrin, pendekatan cara kerja parti-parti komunis luar negara iaitu China dan Kesatuan Soviet. Bagi menentukan kejayaan serta keberkesanan perjuangan mereka, pelaksanaannya diubah suai mengikut keperluan dan kerenah tempatan.
Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh politbiro atau jawatankuasa pusat parti sering mengikuti perkembangan atau pergolakan di Republik Rakyat China (RRC) yang seterusnya akan menyiarkannya melalui Radio Peking atau diterbitkan dalam akhbar-akhbarnya mengenai arahan-arahan atau perkembangan penting dalam PKM.
Ini semua bererti bahawa pihak Parti Komunis China dan pemerintahnya mengakuri serta mengiktiraf perkembangan dan tindakan-tindakan oleh PKM dan membantu menghebahkan berita mengenai segala perkembangan ini untuk dimaklumkan kepada ahli-ahli PKM dan penyokong-penyokongnya supaya dapat menyesuaikan gerak-tindak mereka dengan dasar parti dan matlamat komunisme.
Jika diteliti dari sudut mana sekalipun kegiatan atau perjuangan PKM itu, pada pendapat saya sama sekali tidak masuk dalam takrif sebagai perjuangan nasionalis yang berkepentingan menyumbang kepada apa jua bentuk pembangunan Malaya. Harus diingat negara kita mengalami peristiwa-peristiwa pahit dalam dua fasa darurat menentang pergerakan pengganas di bawah pimpinan dan arahan PKM. Fasa pertama ialah dari 1948-1960 di mana pada bulan Mei 1960 kerajaan Malaya, mengisytiharkan kesemua wilayahnya sudah diputihkan dan gerombolan pengganas PKM telah lari berundur ke selatan Thailand di utara Semenanjung.
Pada awal 1968, bertindak atas arahan pucuk pimpinan RRC, pihak PKM menggerakkan unit-unit bersenjata dan anasir bawah tanahnya yang terdapat di Semenanjung untuk melancarkan semula operasi bersenjata yang dianggap oleh mereka lebih bermakna dan berkesan berbanding kegiatan atau pergerakan mengikut perlembagaan.
Dalam fasa kedua ini dari 1968 hingga 1984, PKM menekankan gerakan yang lebih agresif melalui strategi serampang dua mata iaitu meneruskan gerakan bersenjata di hutan dan peperangan gerila mengelilingi bandar-bandar. Peristiwa 13 Mei 1969 memberi kesempatan dan helah kepada PKM untuk menyusup kembali ke wilayah Semenanjung serta melancarkan program keganasan mereka (ada ciri perkauman di sini).
Mereka melancarkan gerakan pembunuhan pegawai dan anggota polis, kebanyakannya dari Cawangan Khas termasuk Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak mendiang Tan Sri Khoo Chong Kong serta mengebom landasan kereta api dekat Padang Besar dan Tugu Negara.
Kepada Chin Peng angkara-angkara tersebut telah dilakukan oleh anasir dari PKM (Marxist-Leninist) yang berpecah dari PKM induk. Namun mereka adalah komunis yang asalnya adalah daripada kelompok yang sama dan telah mematuhi dasar perjuangan yang sama.
Operasi pasukan keselamatan dilancarkan di Kedah, Perak dan Pahang untuk memburu gerombolan-gerombolan yang sempat menyusup masuk ke hutan. Pasukan keselamatan memperoleh kejayaan yang cemerlang walaupun mengalami kehilangan anggota yang teruk bagi kali kedua dalam usaha mereka hendak merampas kuasa kerajaan Malaya dan kemudiannya Malaysia yang sepenuhnya diperintah oleh anak-anak watan. Di mana letaknya perjuangan nasionalisme mereka?
Dari segi politik pula, PKM pada awal perjuangan bercita-cita menubuh sebuah pemerintah yang dinamakan `Republik Rakyat Demokratik Malaya' tetapi pada bulan April 1980 mereka telah mengumumkan matlamat perjuangan adalah untuk menubuh sebuah `kerajaan Barisan Demokratik' (perkataan `Republik' dihilangkan bagi menyesuaikan dengan selera majoriti rakyat Melayu yang masih mahukan raja-raja terus bertakhta).
Satu lagi helah mengabui rakyat bahawa perjuangan PKM ada mendapat sokongan orang Melayu maka PKM melalui Radio Suara Demokrasi telah mengumumkan penubuhan sebuah parti yang diberi nama Parti Revolusioner Kebangsaan Melayu Malaya (PRKMM) di bawah pimpinan Abdullah CD. Sebenarnya PRKMM hanya wujud atas nama sahaja.
Radio Suara Demokrasi Malaya dalam tahun 1982 menyiarkan berita bahawa PKM telah menukar nama-nama perjuangan dan tenteranya kerana situasi dan keadaan negara telah berubah. Perjuangan-perjuangan PKM asalnya yang dianggap oleh mereka sebagai peperangan dan dinamakan sebagai `peperangan pembebasan menentang British' atau `anti British Liberation War' ditukar kepada `peperangan pembebasan rakyat' atau `People's Liberation War'.
Dalam struktur organisasi PKM, mereka mempunyai tentera (atau sayap-sayap bersenjata) yang dikenali sebagai `tentera pembebasan kebangsaan Malaya' ditukar kepada `tentera rakyat Malaya' atau `Malayan People's Army'. Jelas perubahan dan pertukaran ini mempunyai muslihat politik semata-mata cuba menunjukkan bahawa PKM berjuang untuk rakyat Malaya (bukan Malaysia) yang pada hakikat sebenarnya sudah pun merdeka, bebas dan kegiatan berpolitik mengikut ketentuan perlembagaan berjalan lancar.
Bagi Ku Seman Ku Hussain dalam ruangan `Pada Hemat Saya', pada 4 Oktober membuat perbandingan sejarah dan mengkategorikan Chin Peng sebagai nasionalis bukan sahaja `jahil' tetapi pada hemat saya boleh menimbulkan interpretasi yang bertentangan, mengelirukan dan akhirnya mengubah sejarah sebenar. Jika ini berlaku maka segala yang diperjuangkan oleh PKM akan secara langsung atau tidak langsung termakbul dan segala yang telah dilakukan oleh kerajaan kita khususnya selepas 1957 dan ketika menghadapi fasa kedua darurat menjadi sia-sia termasuk mereka yang terkorban akan dianggap telah `mati katak' sahaja.
Portugis, Belanda dan Inggeris menjajah negara kita dalam zaman dan keadaan yang berlainan. Kesan peninggalan zaman tersebut masih disimpan dan pamerkan sebagai bukti bahawa Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauannya sudah memiliki daya penarik sejak beratus tahun dahulu dan juga sudah bertamadun. Tanda-tanda peninggalan juga terus disimpan sebagai perbandingan kepada generasi sekarang dan mendatang bahawa perlunya kita mempertahankan kemajuan yang telah dicapai dan kedaulatan negara daripada dijajah semula.
PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak dapat menjanjikan lebih daripada apa kerajaan Malaya kemudian Malaysia telah laksanakan kepada rakyat. Peristiwa huru-hara dan penentangan bersenjata terhadap kerajaan yang dipilih rakyat yang merdeka sama sekali tidak boleh diiktirafkan sebagai sumber sejarah. Perjanjian menamatkan gerakan militan dan bersenjata antara kerajaan Malaysia dan PKM telah termeterai dan terlaksana. Ia mempunyai maksud dan tujuan yang lebih luas merangkumi kepentingan dan kesejahteraan rakyat jelata serta kewangan kerajaan dapat dibelanjakan ke arah yang lebih berkesan.
Benar juga komunisme dikatakan telah `pupus' di kebanyakan tempat di dunia. Tetapi tidak RRC di mana ia masih menjadi ideologi negara dan masih diperlukan. Komunisme dan Marxisme adalah kepercayaan atau kefahaman yang belum lagi boleh dianggap sudah `pupus'. - ZULKIFLI ABDUL RAHMAN, Shah Alam, Selangor.
Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854 atau pendapat@utusan.com.my
Utusan Malaysia, Selasa 7/10/03
Tuesday, October 07, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment