Tuesday, October 07, 2003

Bagaimana birokrasi Malaysia berjaya membangunkan negara

PENTADBIRAN awam di Malaysia telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pentadbiran negara, pembangunan ekonomi, sosial dan proses modenisasi di negara ini. Kemajuan negara selama 46 tahun yang lepas tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kebolehan, profesionalisme dan dedikasi yang ditunjukkan oleh kakitangan kerajaan.

Bermula pada zaman penjajahan British, dua tujuan utama pentadbiran awam ketika itu adalah untuk mengekalkan undang-undang dan keamanan selain berfungsi untuk mengeksploit sumber asli di negara ini. Ketika itu, orientasi perkhidmatan awam adalah berdasarkan keperluan dan bukannya berdasarkan memberi khidmat kepada rakyat.

Kini sebagai sebuah negara yang merdeka, orientasi perkhidmatan awam telah berubah dan komited untuk meningkatkan ekonomi dan perkembangan sosial rakyat. Tanggungjawab dalam usaha pembangunan kemudian terletak di bahu ahli birokrat.

Kandungan buku ini menyingkap semula perkembangan birokrasi semenjak hari kemerdekaan sehinggalah ke hari ini selama empat dekad yang lalu. Ia telah menunjukkan bahawa sistem pentadbiran yang diacuankan daripada gaya British dahulu telah berubah secara drastik untuk menyesuaikannya dengan nilai-nilai sosiopolitik dan peranan perkhidmatan awam yang pelbagai fungsi.

Buku ini mengutarakan peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan awam dalam merumuskan dan melaksanakan polisi utama kerajaan sepanjang 46 tahun yang lalu. Ia menyingkap peranan dalam kerangka kronologi pembangunan negara, termasuk menguatkuasakan undang-undang dan keamanan ketika negara baru mencapai kemerdekaan sehinggalah ke era globalisasi kini.

Polisi utama, pertama membentuk dan menguji perkhidmatan awam di awal permulaannya adalah berkaitan dengan pembangunan luar bandar di awal tahun 1960-an melalui sistem Buku Merah yang berlatarbelakangkan pembentukan Malaysia dan zaman yang tidak menentu pada ketika itu.

Keduanya, pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an yang mana sektor awam memainkan peranan utama untuk menggerak dan menjayakannya. Pada dekad itulah banyak syarikat awam ditubuhkan untuk menjayakan DEB.

Zaman berikutnya pula, negara memasuki fasa industrialisasi pada tahun 1980-an yang menyaksikan peningkatan penglibatan sektor swasta berganding bahu bersama-sama dengan sektor awam. Dekad ini juga menjadi saksi bermulanya polisi penswastaan negara.

Pada dekad 1990-an pula telah ditandai dengan perkembangan pesat di bidang komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) dan permulaan Wawasan 2020.

Sepanjang empat dekad, negara pernah menikmati perkembangan ekonomi yang tinggi dan tidak kurang juga krisis ekonomi yang melanda negara. Perkhidmatan awam telah memainkan peranan utama dalam menguruskan polisi utama dan menangani peristiwa-peristiwa ketika itu. Buku ini banyak menganalisis kejayaan dan juga kekangan yang dialami oleh perkhidmatan awam.

The Malaysian Bureaucracy bukan sahaja ditulis oleh anak Malaysia sendiri malah ia merupakan kombinasi terbaik daripada kaca mata ahli akademik dan juga pegawai perkhidmatan awam yang telah berkhidmat lebih daripada 25 tahun.

Buku ini juga dapat menyediakan bahan yang komprehensif berkenaan perkhidmatan awam Malaysia. Ia antara lain membincangkan latar belakang sejarah pentadbiran awam Malaysia, struktur dan organisasinya termasuklah perhubungan Kerajaan Pusat-negeri dan juga kerajaan tempatan.

Perkembangan pentadbiran tempatan semenjak permulaannya ketika merdeka sehingga kini turut dibincang melalui sistem sumber manusia termasuklah pengambilan, pemilihan, pengelasan, latihan, kenaikan pangkat, penilaian prestasi dan kawalan disiplin kakitangan kerajaan.

Peranan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab ke atas kumpulan tenaga kerja yang paling ramai di negara ini turut diperhalusi.

Selain itu, proses belanjawan negara turut dibincang dan terdapat juga isu akauntabiliti awam sebagai sebahagian daripada proses ketelusan pentadbiran kerajaan. Lain-lain aspek penting yang disentuh termasuklah sistem perakaunan sektor awam, audit, agensi-agensi penguatkuasaan dan juga peranan yang dimainkan oleh Parlimen dan media dalam akauntabiliti penjawat-penjawat awam.

Aspek-aspek lain yang disentuh termasuklah profil pegawai-pegawai kanan (birokrat awam) di sektor awam, peranan agensi kerajaan di dalam pelan pembangunan negara, implementasinya serta anugerah-anugerah antarabangsa untuk sektor awam dan yang akhir juga disentuh pemodenan pentadbiran dan juga inovasi-inovasi oleh kerajaan dalam menghadapi dekad mendatang.

Utusan Malaysia, Selasa 7 Oktober 2003

No comments: