Sunday, October 12, 2003

Memerhati Media

MASANYA telah tiba - media asing mula memuatkan rencana demi rencana untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ada yang memuji, ada yang kritikal, dan banyak yang mempamerkan kekaguman, walaupun secara berselindung. Tetapi mereka bersetuju akan sama ada mereka sayang atau membenci beliau, kehilangan Dr. Mahathir akan dirasai oleh media asing yang amat gemar menemu ramah beliau. Minggu ini, kita tinjau media Australia yang merupakan media yang amat kritikal terhadap Perdana Menteri. Fokus perhatian mereka minggu ini ialah kehadiran terakhir Dr. Mahathir di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-9 di Bali, Indonesia. Secara khususnya, adalah menarik untuk memerhatikan laporan mereka mengenai salam perpisahan ASEAN kepada Dr. Mahathir.

SALAM PERPISAHAN DIBERI GAMBARAN NEGATIF

DUA daripada koresponden media Australia yang berada di Bali ialah Mark Baker dan Kimina Lyall. Kedua-duanya bukanlah meminati Dr. Mahathir seperti dipamerkan dalam laporan mereka. Dalam artikel bertajuk Megawati menitiskan air mata mengucapkan selamat tinggal kepada Mahathir (The Melbourne Age - 8/10/03), Baker bermula dengan berkata, ``Presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri menangis semalam apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad yang mengundur diri daripada pentas rantau tersebut.'' Beliau menambah (walaupun ini tidak disebut dalam mana-mana laporan lain), ``Ucapan yang beremosi tersebut nampaknya telah memalukan beberapa pemimpin di rantau ini yang berdiam diri di samping Megawati di atas podium dan menepuk tangan apabila tamatnya upacara tersebut.'' Baker yang masih tidak berpuas hati dengan pandangannya bahawa pemimpin-pemimpin ASEAN tidak berminat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Dr. Mahathir berkata, ``Curahan perasaan beliau (Megawati) telah memeranjatkan ramai pemerhati oleh kerana ketegangan yang berlaku sekian lama di antara Malaysia dan Indonesia dan juga merupakan seteru semasa rejim bapanya Jeneral Sukarno.''

Dalam artikel bertajuk Nada beremosi untuk perpisahan Dr. Mahathir (The Australian - 8/10/03), Lyall menggambarkan ucapan Megawati sebagai ``meletakkan asas kepada nada sepanjang bulan yang akan dipenuhi oleh tangisan perpisahan daripada rakan-rakan Dr. Mahathir di merata dunia sebelum persaraannya pada 31 Oktober''. Penulis tersebut juga berkata bahawa tidak seperti Megawati yang menangis, Dr. Mahathir ``kering mata'' dalam ucapannya. Sambil merujuk kepada Australia, Lyall berkata pertunjukan emosi Megawati untuk Dr. Maha thir ``bertentangan dengan persahabatan peribadi beliau dengan pemimpin Australia yang agak renggang apabila beliau membatalkan mesyuarat bersama pemimpin pembangkang Simon Crean di Jakarta pada bulan ini dan telah memilih untuk tidak menghadiri upacara peringatan pengeboman Bali pada hari Ahad.''

MAULANA: Tanpa syak lagi, kita akan melihat lebih banyak bahan yang kritikal daripada kedua-dua penulis tersebut dalam minggu-minggu sebelum persaraan Dr. Mahathir. Apa yang nyata ialah penulisan mereka mengenai perpisahan Dr. Mahathir adalah untuk menggambarkan beliau sebagai seorang yang mahu dilihat oleh wartawan agar berundur. Baker khasnya telah menghentam keras Perdana Menteri Dalam sebuah artikel bertajuk Mahathir tentukan waktu untuk bersara, tetapi masih mahu bersuara (The Melbourne Age - 29/9/03), Baker menulis, ``Tidak syak lagi pemimpin rantau yang paling lama yang masih kuat dan gagah seperti semasa beliau menjadi pemimpin UMNO dalam tahun 1981, merupakan seorang yang berat untuk bersara.'' Tentang lawatan Dr. Mahathir ke luar negara, Baker berkata, ``Dr. Mahathir telah juga menentukan bahawa tidak banyak yang akan tinggal dalam bajet perjalanan Perdana Menteri apabila beliau bersara.'' Baker nampaknya bertekad untuk menjadikan persaraan Dr. Mahathir sesuatu yang negatif walaupun terpaksa menyalahgunakan fakta. Usaha beliau untuk menggambarkan secara negatif salam perpisahan ASEAN dengan berkata bahawa pemimpin ASEAN tidak berminat dengan perpisahan Dr. Mahathir, adalah bertentangan dengan suasana yang telah ditulis oleh bukan hanya media tempatan tetapi juga media asing. Seperti yang dilaporkan oleh AFP, Setiausaha Agung ASEAN Ong Keng Yong berkata tentang persaraan Dr. Mahathir, ``Warisan beliau ialah analisis beliau yang tepat mengenai sesuatu suasana, bercakap benar dan sentiasa mengeluarkan idea-idea yang berani. Beliau tidak takut untuk berucap dan telah banyak kali didapati betul. Perasaan di ASEAN ialah kami akan merasai kehilangan personaliti yang kuat dan berpelbagai seperti Dr. Mahathir dan juga gayanya.'' Kita hanya mampu melihat apa yang Baker akan tulis pada penghujung Oktober, tetapi sudah tentunya ia akan bernada kritikal dan jauh dari kebenaran.

DR. MAHATHIR HALANG CITA-CITA AUSTRALIA

SALAH satu daripada sebab kenapa kedua-dua koresponden tersebut mahukan pemergian Dr. Mahathir ialah persepsi bahawa beliau merupakan penghalang bagi kemasukan Australia ke dalam ASEAN. Ini adalah gambaran yang mahu ditonjolkan oleh media Australia apabila mereka menemu ramah Ong sebelum bermulanya Sidang Pemimpin ASEAN.

Dalam artikel bertajuk Hubungan dengan Canberra rendah dalam senarai keutamaan ASEAN (The Australian - 6/10/03), Lyall menulis bahawa salah satu soalan yang telah diajukan kepada Ong ialah sama ada ``beliau berpendapat Australia perlu menunggu sehingga persaraan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, seorang pembangkang hubungan Australia dengan ASEAN''. Ong berkata beliau tidak fikir sebab-sebab ASEAN adalah berbentuk peribadi. Dalam siaran radio pada 5/10/03 (seperti yang dilaporkan dalam artikel bertajuk Pemimpin ASEAN kurang berminat mengenai idea sidang kemuncak bersama Australia - BBC - 6/10/03) Radio Australia melaporkan bahawa rancangan pemimpin Australia John Howard untuk mengadakan hubungan rapat dengan ASEAN telah gagal apabila pemimpin ASEAN menolak ``permohonan untuk diadakan mesyuarat tahap persidangan di antara mereka dan Perdana Menteri Australia.'' Program tersebut menambah bahawa penolakan tersebut ``mencerminkan kemarahan mengenai taktik perundingan Australia yang telah melukakan hati sesetengah pemimpin Asia Tenggara, termasuk Perdana Menteri Malaysia Dr. Mahathir Mohamad, seorang pengkritik Australia.'' Program tersebut turut melaporkan, ``Telah banyak diperkatakan bahawa salah satu daripada rintangan untuk mengadakan hubungan rapat di antara Australia dan ASEAN ialah Perdana Menteri Malaysia. Dr. Mahathir mempunyai tradisi lama dalam membangkang cita-cita Australia untuk mempunyai lebihan suara di rantau ini.'' Dalam artikel bertajuk Mahathir meningkatkan penghinaan yang dilakukan Indonesia (The Australian - 9/10/03), Lyall melaporkan bahawa para pegawai Indonesia telah menolak rancangan untuk menjemput Howard untuk berucap bersama pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain di forum perniagaan ASEAN. Beliau menambah, ``Australia sudah lama tahu bahawa Malaysia merupakan seteru terkuatnya dalam usahanya untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan ASEAN. Tetapi campur tangan Indonesia ialah sesuatu yang baru yang mengesahkan kecurigaan bahawa hubungan Australia dengan jiran terdekatnya adalah amat renggang.''

MAULANA: Seperti kata pepatah, sesiapa yang makan cili, dialah yang merasa pedasnya. Walaupun individu seperti Baker dan Lyall mahu mempamerkan Dr. Mahathir sebagai seorang yang anti-Australia, kebenarannya ialah Dr. Mahathir hanya menyampaikan sentimen kebanyakan rakyat di rantau ini yang tidak menganggap Australia sebagai sebahagian daripada Asia. Dan walaupun agak mudah bagi sesiapa sahaja untuk menyalahkan orang lain bagi kesalahan mereka sendiri, yang nyata ialah pemimpin Australia, khasnya Howard, telah bertindak seperti seorang yang gila kuasa - yang mahu menunjukkan kekuasaannya dalam sebuah rantau yang tidak meng-

alu-alukan kedatangan beliau. Australia mungkin merasakan bahawa ia boleh mendampingi ASEAN selepas persaraan Dr. Mahathir. Beliau sendiri berkata bahawa ini mungkin berlaku. Tetapi media Australia harus ingat bahawa masalah mereka di rantau ini bukanlah disebabkan oleh Dr. Mahathir dan tidak akan hilang dengan persaraannya. Media Australia selalunya berlagak seperti aktivis sosial dan sering kali menyoal Dr. Mahathir secara kasar. Tetapi kerap kali mereka telah dikalahkan oleh seorang yang cerdik dan tidak senang mengaku kalah. Mungkin media Australia harus mempelajari dari kata-kata William Pesek Jr. daripada Bloomberg yang menulis artikel bertajuk Cinta atau bencikannya, Mahathir tetap unggul (International Herald Tribune - 10/10/03). Dalam artikel tersebut Pesek berkata, ``Kehilangan Dr. Mahathir akan dirasai dan bukan sahaja kerana beliau merupakan bahan berita yang baik. Sebenarnya, suara beliau seorang merupakan suara Asia yang telah berkumandang di seluruh dunia dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Negara Jepun dan China, walaupun dengan kekuatan mereka, jarang-jarang mempunyai keberanian atau visi untuk bercakap bagi pihak Asia. Mahathir telah bersuara - sejak awal lagi dan berulang-ulang kali. Saya mungkin tidak selalu bersetuju dengan Dr. Mahathir tetapi saya akan merasai kehilangan beliau.''

Utusan Malaysia Online, 12/10/2003

No comments: